Entah apa malang nasib dia hari ini. Semuanya serba tidak
kena. Pagi tadi, dia tersalah bangun dari katil ke? Melangkah keluar rumah mula
dari kaki kiri? Ataupun, tak baca Bismillah
bila nak mula buat kerja tadi? Dhia mengeluh berat. Air kopi yang dibancuh buat
kali kedua dibuang ke dalam sinki. Membazir saja. Habis tu, takkan dia nak
minum air lebihan Ameal pula? Apa kena dengan lelaki tu pagi ni agaknya? Tah mengenan
apa tak tahulah. Tak pasal-pasal meroyan.
“Aku bancuh air kopi ni macam biasa. Satu sudu teh kopi,
tiga sudu teh gula. Tak lebih, tak kurang. Biasa tu okey saja. Tak banyak
kompelin pun. Bolehkan hari ni, dia cakap tawar. Pahit. Tak cukup gula,” rungut
Dhia sendirian sambil tangan membancuh kopi O Ameal yang baharu. Kalau nombor
tiga ini pun Ameal masih tak puas hati, memang dia tuang air ini atas kepala mamat tu nanti. Baru padan dengan muka.
Banyak songeh sangat!
“Melati! Awak buat kopi ke berangan?” sergah Ameal di
muka pintu pantri.
“Oi mak kau rimau!” Nyaris mug di tangan hendak melambung. Jawabnya, ada orang bermandikan air
kopi O pagi ni.
“Saya tengah buat kopi Encik Ameal la ni... Sabarlah
sekejap. Saya buat cincai-cincai karang, encik kata tak sedap pulak. Kalau haus sangat, encik minum
air mineral atas meja tu dulu.”
“Pandainya awak menjawab? Saya nak air kopi O tu. Yang
awak suruh saya minum air mineral kenapa? Apa kena dengan awak hari ni? Buat
kopi O pun lambat. Dahlah lambat, tak sedap pulak
tu. Asyik berangan ingatkan budak lelaki semalam tu saja ke?”
“Apa kena dengan Encik Ameal ni? Saya berangankan siapa?”
Hati Dhia tersenyum. Bukan dia tersalah tempat bangun tidur. Bukan sebab
melangkah mula kaki kiri. Juga bukan pasal tak baca Bismillah. Dia dipaksa membancuh air sehingga tiga kali ini kerana Ameal
cemburukan Zul Hafiz rupanya. Kenapa nak cemburu pula? Macam tak percaya
saja...
“Jangan awak ingat saya tak tahu. Awak ingat Melati, masa
kerja buat kerja. Awak jangan buat benda lain pulak,” tutur Ameal berbaur amaran.
“Apa benda yang Encik Ameal melalut pagi-pagi ni? Benda
lain apa yang saya buat? Kalau tak puas hati, encik cakap saja terang-terang.
Jangan perli-perli. Tak payah corner
sana corner sini. Saya tak fahamlah!”
Dhia hampiri lelaki itu.
“Nah! Ambil kopi ni.” Selamba Dhia menarik tangan Ameal
dan menyelitkan pemegang mug ke dalam
genggaman lelaki itu. Kemudian dieratkan genggaman Ameal supaya mug tidak terlepas. Tindakkan itu
dilakukan spontan. Di luar sedarnya. “Kalau yang ini pun tak sedap, encik buat
sendiri. Kalau tak pun suruh Marissa buatkan. Saya banyak lagi kerja lain nak
buat. Kerja saya bukan bancuh kopi encik saja.”
Dan, pabila kulit bertemu kulit
implikasinya..., Ameal tersentak, terkedu, kelu. Ringkasannya menjadi ‘takdulu’. Dia pegang tangan aku? Dia
pegang tangan aku! Dia pegang tangan aku!!! Oh
My... Dia... pegang... aku...!!! Hati Ameal menjerit tak keruan. Terbit senyuman
lebar hingga ke pipi. Bukan tidak pernah perempuan memegang tangannya. Malahan
lebih dari itu. Berpelukan pun ada, tetapi, yang ini betul-betul lain rasanya.
Seperti ada karan. Terus terlupa soal cemburu terhadap lelaki yang bertemu Dhia
petang semalam.
Selepas beberapa langkah meninggalkan Ameal, Dhia
berpaling. Apa kena mamat ni? Tadi
macam orang meroyan. Sekarang muka dah macam orang kena sawan! Senyum sorang apa
hal? “Encik Ameal, cepatlah! Pukul sebelas setengah ni kita kena pergi sub-con kan?”