Bab 26
Jantung semakin laju
berdetak. Darah panas terasa penuh di muka. Dada berbahang. Itu belum dikira
lagi hati dan perasaan yang libang libu. Habis segala ayat dia baca. Tiga Qul, Al-Fatihah,
ayat Kursi. Kalaulah surah Yasin pun dia hafal, memang dia akan
baca juga. Namun begitu gemuruh tidak juga reda.
Yaya melihat jam di
tangan. Hampir pukul tujuh. Waktu maghrib dah nak masuk. Ikutkan rasa hati
ketika di dalam teksi tadi, memang ingat nak berpatah balik saja tapi
dibatalkan niatnya itu. Rasa serba-salah hendak mengecewakan Puan Julita.
Ditambah pula Encik Kamil beria-ia mempelawanya ketika di pejabat petang tadi. Sekarang
sudah terpacak di hadapan banglow indah ini hati dia masih lagi berbolak-balik!
Telunjuk teragak-agak
menekan suis di tepi tembok. Baru saja jari hendak mencecah punat loceng, pintu
pagar bergerak ke tepi. Belum tekan loceng pagar dah terbuka?
“Yaya tunggu apa lama
sangat dekat luar tu? Mari masuk.”
Yaya melarikan matanya ke
pintu utama banglow. Dalam sisa cahaya matahari yang berbalam-balam, dia
melihat Puan Julita berdiri di anjung. Muka di maniskan seboleh mungkin. Tidak
mahu Puan Julita menyangka yang bukan-bukan. Langkah diatur kemas. Saat tiba di
hadapan Puan Julita, terus salam dihulurkan tetapi tidak bersambut. Penuh mesra
tubuhnya dirangkul kemas oleh Puan Julita.
“Jom masuk. Jangan malu-malu. Nampak segan macam
tak pernah datang rumah saya pula. Segan nak jumpa Chad ya?” usik Puan Julita. Tangan
Yaya ditarik selepas pelukan dileraikan. Yaya senyum tawar tanpa membalas
apa-apa.
“Emmm... Maaf Puan Julita. Tak manis sungguh Yaya ni. Datang, terus
tahu nak makan saja.” Yaya cuba berbasa-basi supaya dia tidak nampak terlalu
canggung ketika ini.
“Alah..., apa nak kira
sangat, Yaya? Bukannya saya tak tahu yang Yaya ni bekerja. Lagipun bibik kan ada?” ramah Puan Julita
membalas sambil memeluk bahu Yaya dan berjalan beriringan bersama Yaya, masuk
ke dalam rumah.
Di ruang tamu, kedengaran
suara sedang berbual bersulam ketawa gembira. Apabila kaki semakin menghampiri
ruang tamu, detak jantung Yaya semakin laju. Bekerja seperti hendak meletup. Nafas
yang disedut macam nak kena semput. Silap gaya boleh pengsan ni.
“Ha! Yaya dah sampai pun.”
Bergema suara Kak Farah mematikan tawa mereka. Anak mata Yaya hanya tertumpu
kepada Kak Farah dan suaminya. Takut hendak menjeling pada sekujur tubuh yang
duduk di sisi Encik Kamil. Disalami Kak Farah dengan penuh hormat dan menyapa
Abang Rizal kala pandangannya singgah ke wajah lelaki itu.
“Jemput duduk Yaya,” kata
Kak Farah lagi.
“Encik Kamil,” sapa Yaya
kepada majikannya tika punggung dilabuhkan ke sofa. Anak mata masih lagi tidak
dipalingkan melihat lelaki di sebelah Encik Kamil. Takut! Puan Julita pula
mengambil tempat di sisi Yaya.
“Chad, inilah budak
perempuan yang mama ceritakan tu. Sinar Suria namanya. Tapi kami panggil Yaya
saja. Yaya ni dah kira seperti anak angkat mama.” Wajah Puan Julita bercahaya
saat menuturkan kata-kata itu. Yaya senyum nipis kepada Puan Julita.
“Yaya ni pekerja papa
juga. Kerja dekat PAC. Sebagai assistant
Fatimah,” cerita Encik Kamil pula.
“Oh! Ya ke?” Suara garau lelaki
itu kedengaran jelas di telinga Yaya. Suara dari dalam perut, bak kata cikgu
Shafi, guru teknikal vokal Akademi Fantasia tu.
“Apa malu-malu ni, Yaya?”
Kak Farah terus capai dagu Yaya yang hampir mencecah dada. Ditolak wajah Yaya
dan dihalakan kepada lelaki itu. Yaya tergamam.
“Yaya, itu satu-satunya
adik lelaki kak Farah. Chad! Atau nama penuhnya Farris Arshad.”
Mahu tidak mahu, terpaksa juga Yaya jatuhkan
pandangannya pada wajah Chad. Handsome!
Hasil kacukan Encik Kamil dan Puan Julita. Hidung mancung. Kening lebat. Alis
menawan. Ditambah dengan betuk matanya yang bundar. Bibir merah. Seksi! Muka
putih bersih tanpa sebarang cela. Nampak kemerah-merahan juga. Dah biasa dengan
cuaca sejuk di UK, sebab tulah bila kena bahang panas matahari Malaysia pipi tu
macam baru lepas disapu blusher. Ke
Chad pun malu seperti dia juga? Eh! Sempat juga kau menilik muka si budak Chad
tu Yaya?
Yaya tundukan kepalanya
melihat hujung ibu jari kaki sendiri. Tak tahu nak buat apa lagi. Nak bercakap
pun rasa macam dah tak ada lidah.
“First time jumpa, mestilah malu-malu kan Yaya,” senda Puan Julita
pula. Turut sama giat mengusikYaya.
“Dah! Jangan disakat Yaya
ni lagi. Nanti dia merajuk, terus nak balik baru tahu!” cantas Encik Kamil.
Rasa kasihan melihat wajah Yaya bertukar kemerahan. “Jom kita solat dulu.
Maghrib pun dah hampir ni. Kita jemaah bersama-sama. Lepas tu baru makan. Boleh
Yaya?”
Punya ramai manusia dekat
ruang tamu ini, kenapa kepada dia pula Encik Kamil ajukan pertanyaan? Maknanya,
kalau dia kata tak boleh, maka mereka kena makan dululah? Lepas tu baru solat? Yaya
senyum sumbing sambil mengangguk perlahan. Suara masih lagi tidak boleh
dikeluarkan. Bila mereka semua bangkit dan mula bergerak ke arah salah sebuah
bilik di tingkat bawah yang dijadikan surau, Yaya turut bangun. Ketika itu,
Yaya memberi ruang kepada Chad supaya Chad melaluinya dulu.
“Ladies first!” kata Chad. Senyum menawan terpamer di bibirnya. Yaya
rasa seperti mahu keras di situ masa tu juga.
“Awak jalan dulu,” tutur
Chad lagi selepas melihat tiada apa-apa reaksi dari Yaya. Dengan terpinga-pinga
campur serba-salah, Yaya melangkah mendahului lelaki itu.
“Sinar Suria... Sedap
nama awak. Sangat klasik. Saya suka.”
Errrkkk! Kenapa suara itu kedengaran begitu hampir di telinganya?
Terasa nafas lelaki itu menghembus di belakang kepala. Hati semakin tidak
tenteram. Jantung melompat-lompat sakan. Kalau Puan Julita tidak ada niat nak
judukan dia dengan Chad tetapi perbuatan dan percakapan lelaki itu
terang-terangan menyatakan sebaliknya. Lelaki ni dah sukakan dia ke? Dah!
Jangan nak perah santan Yaya! Pantas langkah dipanjangkan menghampiri Puan
Julita dan Kak Farah.
******
Semoga Allah ampunkan
dosanya. Menerima solat dia yang tak berapa sempurna ini. Manakan tidak,
langsung tak kusyuk solatnya tadi. Leka mendengar dan menghayati ayat-ayat suci
yang dialunkan oleh Chad. Merdu sungguh. Rasa terbuai dan terleka. Aduh! Besar
sungguh dosa dia. Sedang bersolat pun boleh terlalai! Bertuahlah siapa yang
dapat bersuamikan Chad. Walaupun tinggal jauh dari bumi Malaysia, hidup lama di
negara barat, pegangan agamanya masih utuh.
Dia ke yang bertuah tu? Woi!
Ayin kau nak letak mana? Cepat Yaya tersedar. Sepantas itu juga dia teringatkan
Ayin. Tentu waktu ini Ayin juga bersama keluarganya. Bersama Mak Long, Pak
Long, Along dan Kak Dina. Tiba-tiba rasa rindu mula menggebu. Kalaulah dia
boleh jumpa Ayin, tentu detik ini dia sudah berada di hadapan Ayin. Menatap
sepuas-puasnya wajah Ayin tetapi dilema yang sedang dia hadapi kini menghalang
dia dari buat begitu. Kalaulah dia disuruh buat pilihan, antara Chad dan Ayin.
Antara budi dan cinta. Mana satu yang perlu dia pilih agaknya?
“Yaya! Mari kita makan.”
Peha kanannya terasa
ditepuk perlahan. Cepat Yaya tersedar. Dia kalih melihat Kak Farah. Eh! Doa dah
habis rupanya. Segera kedua telapak tangan diusap ke muka. Kak Farah hanya
senyum melihat. Agaknya dia boleh meneka Yaya sedang berangan. Di meja makan,
Puan Julita sengaja memberi ruang kepada Chad untuk duduk di sebelah Yaya. Puan
Julita dan Encik Kamil duduk bertentangan di kepala meja. Kak Farah dan Abang
Rizal duduk bersebelahan di hadapan Yaya. Mahu tidak mahu, Yaya terpaksalah
mengambil tempat di kerusi kosong sebelah Chad. Terasa amat canggung.
“Anak-anak kak Farah
mana?” Sehabis daya Yaya paksa menggetarkan kotak suaranya melontarkan bunyi.
Berusaha bersungguh-sungguh menutupi rasa kekoknya.
“Besok sekolah. Jadi
Abang Rizal malas nak bawak. Takut
balik lewat. Nanti susah nak bangun pagi.”
“Kakak nak balik JB juga
ke malam ni?”
“Haah! Tak boleh nak
cuti. Projek banyak,” balas Kak Farah.
“Cuti hujung minggu ni,
akak bawak dia orang balik. Rindulah
nak main dengan Ainan dan Amir,” suara Chad di sebelah Yaya pula.
“Kalau rindu, datanglah
JB,” ujar Abang Rizal.
“JB tu jauh sangat. Nanti
belum hilang penat, dah nak balik KL semula. Lagipun, akak tahukan, cuti Chad
tak lama?” balas Chad. Yaya hanya pasang telinga mendengar butir perbualan
mereka adik-beradik. Dia berlagak selamba sambil capai dan menyuakan gelas air
terisi jus oren ke mulutnya.
“Chad rasa, cuti Chad
kali ni, Chad nak ambik peluang
berkenalan lebih rapat dengan anak angkat mama nilah. Biar lebih mesra.”
Huk! Yaya tersedak. Hampir tersembur jus oren yang tidak
sempat ditelan. Mujur tangan pantas menutup mulut. Kalau tidak, berterabur jus
oren bercampur liur ke atas meja. Paling malang, termasuk pula ke dalam lauk-pauk
yang terhidang. Ada juga yang termakan sisa dia nanti. Barulah satu keluarga ni
dengar cakap dia, dah makan sisa malin
dia, kan? Yaya menelan jus oren yang masih berada di dalam mulut tetapi jus
oren tersekat dikerongkong pula apabila terasa ada tangan mengusap dan menepuk
lembut di belakang badannya. Tindakan reflect!
Sepantas kilat Yaya berpaling kepada orang di sebelah. Jus oren terus bertukar menjadi
batu hingga buat dia rasa tercekik, apabila melihat Chad dengan wajah bersahaja
mengusap belakangnya.
“Saya sebut pasal awak,
terus saja tersedak. Kenapa?”
Apa punya soalan daaa? Kalau dah bercakap tak pakai filter, siapa yang tak tersedak? Yaya hampir
nak pengsan tercekik jus oren. Chad boleh buat muka selamba begitu? Langsung
tak ada rasa bersalah ke? Kak Farah dan suami, Puan Julita serta suami,
tersenyum berpandangan sesama sendiri. Suka benar melihat drama sebabak di
hadapan mereka ketika ini. Paling gembira Puan Julita. Nampaknya tak perlulah
dia bersusah payah berusaha. Berusaha untuk apa? Sendiri mahu fahamlah!
“Kalau nak lagi mesra,
terus balik saja. Tak payah nak pergi UK semula. Nanti lagi banyak masa Chad
boleh habiskan berkenalan dengan Yaya ni,” suara Puan Julita bersama tawa
halus. Suka sangat dia.
“Kenapa sekarang ni Chad
rasa macam nak setuju saja dengan cadangan mama tu?” Chad senyum. Kata-kata
Chad seperti mempunyai makna yang tersirat.
“Dah tahu isi hati
sendiri, lagi nak tanya ke?” celah Kak Farah pula. Dia turut ketawa selepas
itu.
“Papa lagi suka macam tu,
Chad. Bukan tak ada kerja dekat Malaysia ni. Di PAC tu, memang dah ada jawatan
untuk Chad. Bila-bila masa saja Chad boleh mula kerja,” tambah Encik Kamil.
Tuturnya turut diakhiri dengan tawa.
Kenapa semua orang suka
sangat ni? Tak ada yang kelakar pun? Kenapa Yaya rasa, setiap yang dikatakan
oleh mereka itu macam bersangkut paut dengan dia saja?
“Nanti Chad fikirkanlah,
papa. Sementara ni, biar Chad habiskan cuti Chad ni dulu. Kalau nak berhenti
kerja pun, Chad kena balik Portsmouth dulu. Bagi notis, lepas tu baru boleh
terus balik sini.”
Sebelum ni Puan Julita
kata, Chad tak mahu pulang ke Malaysia walaupun sudah puas dipujuk. Kenapa
sekarang ni, tak perlu dipujuk pun, bunyi kata-kata Chad tu seperti dengan rela
hati pula nak terus menetap di Malaysia
ni? Tak faham betul!
“Good! Papa suka.”
“Chad pertimbangkan, ya
papa?”
“Nak timbang apa lagi?
Jangan tangguh-tangguh. Umur Chad dah dua puluh enam tahun. Dah berkenan tu,
sambar saja. Diambil dek orang lain, melopong nanti. Kami pun berkenan dah.
Betul tak mama?” Encik Kamil memandang isterinya.
“Betul! Betul! Betul!”
jawab Puan Julita.
“Betul! Betul! Betul!”
sampuk Kak Farah pula.
“Saya pun setuju!” celah
Abang Rizal tiba-tiba. Tadi dia diam saja.
Pelik! Mereka semua ni
mengerti apa yang sedang mereka bualkan. Kenapa Yaya tak faham pula? Dia blur! Tidak tahu hujung pangkal. Yaya
semakin tidak faham apabila semua mata tertumpu kepadanya. Termasuklah Chad, tetapi
pandangan Chad lain. Kalau dia jenis tak kuat iman, memang cair dah. Pantas
ditundukkan kepalanya menghadap pinggan yang masih kosong di hadapannya.
“Asyik sembang saja, bila
perut nak kenyang ni? Jom makan!” kata Puan Julita lalu mengambil mangkuk nasi dan
mula mencedok nasi ke dalam pinggan suaminya. Mangkuk nasi kemudian dihulurkan
kepada Kak Farah selepas dia menyenduk nasi untuk dirinya. Perkara yang sama
juga dilakukan oleh Kak Farah kepada suami dan dirinya. Apabila mangkuk nasi
itu disuakan kepada Yaya, cepat-cepat Chad menyambutnya.
“Biar saya bubuhkan nasi
untuk awak.”
Tak boleh nak cakap apa.
Mata hanya mampu memandang Chad menyendukkan nasi ke dalam pinggannya. Bukan
nasi saja, Chad turut mengambil lauk dan disudukan ke dalam pinggan Yaya. Bukan
satu, tapi hampir semua lauk-pauk yang ada di atas meja itu. Mujur tiada lagi
ruang kosong di dalam pinggannya ini. Kalau tidak..., mahu juga Chad letak
semua lapan jenis lauk-pauk atas meja ni ke dalam pinggan Yaya agaknya.
Berulang kali anak mata
Yaya berlegar dari pinggannya ke wajah Chad. Ini nak suruh dia makan ke,
melantak? Sedangkan jus oren tadi pun dah rasa seperti batu bila nak telan,
inikan pula nasi sepinggan. Macam mana nak menelan, kalau semua mata memandang
dia dengan penuh makna? Apakah ini bermaksud tebakan dia berkenaan niat Puan
Julita mahu menjodohkan dia dengan Chad benar belaka? Mengenangkan itu semakin
tidak lalu Yaya hendak menjamah makanan di dalam pinggan.
“Makanlah,” suara Chad
hampir di cuping telinganya. Yaya menelan liur. Takut hendak berpaling kepada
Chad. Dia pasti, wajah Chad masih dekat. Kalau dia berpaling, tak pasal-pasal
saja nanti hidung berlaga hidung. Dahlah hidung Chad tu mancung bak seludang.
Hidung dia? Mancung bak muncung udang!
Ya Allah, cepatkanlah
masa berlalu supaya aku boleh balik, doa Yaya dalam hati.
Wahh..best gak cter ni. Xdelah berbunga2 sgt ayat dia. Tp ada sdikit persamaan ttg gaya penulisan Qaseh dgn kak ZO. Apa2 pun teruskn berkarya. Lau buat drama best gak cter ni..
ReplyDeleteafiqahedora, sapa kak ZO tu? kebetulan jer tu gaya penulisan sama. huhuhu
Delete