Bab 31
Bilik Assistant Marketing Manager yang sudah bersih
dipandang dengan rasa puas hati. Tak pernah dia buat perangai macam ni.
Kalaulah pekerja PAC lain tahu, tentu mereka kata dia buang tabiat. Kak Midah
pun kata begitu juga. Berleter panjang Kak Midah sewaktu dia mahu pinjam kain
buruk, feather duster dan vacuum.
“Dah sudah ke belum?” Kak
Midah pacul di pintu bilik.
“Dah! Terima kasih kak
Midah, bagi Riya pinjam harta pusaka ni.” Barang-barang kepunyaan Kak Midah
dipulangkan semula seraya tersenyum. Kak Midah sambut sambil geleng kepala.
“Kenapalah Riya ni? Semua
nikan kerja kak Midah.” Masih ada sisa rasa tidak puas hati kerjanya diambil
alih oleh Yaya.
“Hari tu Riya ada jumpa budak
baru yang nak masuk kerja ni. Dia bagitau
Riya dia alergi dengan habuk. Jadi dia mintak tolong pastikan biliknya bersih. Nak
suruh kak Midah buat, Riya kesian pula. Kak Midahkan banyak kerja, sebab tu Riya
tolong kemas ofis ni.”
“Ooo... dia ada semput
ya?”
“Tak...”
“Habis tu?”
“Badan dia gatal-gatal.”
“Macam tu pula...” Kak
Midah geleng kepala lagi. Ini, kalau Encik Kamil tahu dia benarkan Yaya buat
kerja ni, lunyai dia kena marah. Bukan dia tak tahu, hubungan baik antara Yaya
dan keluarga Encik Kamil. Ada ura-ura mengatakan gadis ini bakal menjadi
menantu Encik Kamil. Mulut pekerja dalam syarikat ni mana boleh diam, sebab
tulah cerita ni sampai ke telinga dia.
“Aku ingatkan hantu mana
bercakap dalam bilik ni. Rupanya kak Midah dengan kau.” Kepala Azhan terjengul
di celah daun pintu.
Kak Midah senyum. “Ni, si
Riya ni. Pelik sangat hari ni,” adu Kak Midah. Azhan melangkah masuk
menghampiri Yaya dan Kak Midah.
“Memang perangai dia pelik
pagi ni. Kak Midah tahu tak, Riya paksa Azhan bangun pukul lima setengah? Lepas
subuh terus ajak keluar rumah. Nak pergi pejabat cepat. Banyak kerja
kononnyalah... Kerja apa ke benda dekat sini pula dia?” Anak mata Azhan
merenung tajam di wajah Yaya. Penat betul dia melayan kerenah temannya ini pagi
tadi. Mujur Yaya sahabat dia. Kalau tidak memang dah diluku-luku kepala.
“Kerjalah ni. Kak Midah
mintak tolong bersihkan bilik ni.”
“Eh, apa kak Midah pula?!
Bukan ke...”
Terus Yaya peluk tubuh
Kak Midah. Wajah dipalingkan menghadap Kak Midah, disembunyikan dari
penglihatan Azhan supaya Azhan tidak dapat melihat apa yang dia akan buat
sekejap lagi. Cepat matanya dikenyitkan kepada Kak Midah.
“Aku nak terus naik atas
tadi, tapi bila tengok Kak Midah buat kerja, kasihan pula. Kau tahukan, aku ni
baik. Tak sampai hati tengok orang lain susah.” Yaya paling semula kepada
Azhan.
Azhan terkedu. Memang
sahlah kawan dia ni buang tabiat. “Wei
Riya! Selama ni aku tak pernah nampak pun kau tolong Kak Midah?”
“Selalu tu aku tak nampak
Kak Midah buat kerja. Hari ni aku ternampak. Itu yang aku tolong tu,” pangkas
Yaya. Bertambah pelik Azhan dibuatnya. Macam tak logik sangat Yaya kata baru
hari ni nampak Kak Midah buat kerja. Habis tu selama ni, Kak Midah turun naik
dari tingkat satu sampai tingkat lima buat housekeeping,
Yaya tak nampak ke? Azhan geleng kepala bila Yaya dan Kak Midah menyeringai
kepada dia. Dua-dua buang tabiat agaknya, detak Azhan.
“Aku tunggu kau dekat
luar.” Azhan berpaling dan meninggalkan Yaya serta Kak Midah di dalam pejabat
itu. Malas nak layan. Waktu hampir pukul tujuh setengah. Yaya dah janji nak belanja
sarapan di kedai mamak tepi jalan, hujung blok bangunan PAC ini. Kak Midah
turut keluar selepas itu sambil menjinjit barang-barangnya. Yaya pula sebelum
beredar, dikeluarkan sesuatu dari beg sandang.
“Hadiah istimewa untuk
kau Ayin.” Yaya berbisik. Kotak comel berbalut cantik diletakkan di
tengah-tengah meja kerja.
Apa isi dalamnya? Cubalah
teka!
******
Dia berdiri di hadapan
bangunan PAC. Ini kali ketiga dia menjejakkan kakinya ke syarikat milik
keluarga Chad ini. Kali pertama ketika menghantar resume. Kali ke dua untuk
sesi temu duga. Ayin berdehem beberapa kali. Kolar kemeja dibetulkan. Juntaian
tali leher diusap hingga ke perut. Butang kot dikancing. Dengan langkah penuh
berkarisma, dia menapak ke arah pintu masuk bangunan PAC. Ditolak perlahan
pintu kaca itu dan mendekati meja si penyambut tetamu.
Yard yang berada di meja
kerjanya terlopong mulut melihat Ayin.
“Selamat pagi.” Ayin
melontarkan suaranya yang sedikit serak basah. Tiada balasan. Ayin berdehem
sekali. “Selamat pagi,” ucapnya buat kedua kali.
Yard senyum malu.
“Ssselamat... pppagi. Aaaa... aaa...” Telunjuk digoyangkan di hadapan
Ayin. Cuba mengingati nama si jejaka. Lelaki seganteng mamat ini mana boleh lupa romannya. Bila berpakaian formal koporat
bertambah kacak pula. Terus terlupa siapa nama lelaki itu. Rin? Dazrin? Zarin?
“Azrin! Azrin Hisham.”
Ayin memperkenalkan dirinya. Dia tahu gadis di hadapannya ini sedang cuba
mengingati namanya.
“Ha... Baru teringat. Ya,
Encik Azrin. Selamat pagi. Selamat datang ke PAC. Jemput duduk dulu. Saya
panggilkan PA Encik Azrin untuk bawak
Encik Azrin ke pejabat ya.” Ibu jari Yard menunding ke arah set sofa di sudut
tepi bersebelahan dengan ruang showroom.
“Terima kasih,” balas
Ayin bersama senyuman dan beredar ke arah set sofa yang ditunjukkan. Ketika
Ayin sedang menunggu, seorang wanita menolak pintu masuk dan berjalan
melaluinya. Cepat dia bangun.
“Puan Fatimah,”
panggilnya.
Kak Fatimah berpaling. “Oh!
Encik Azrin. Dah sampai?”
Ayin senyum membalas. Dia
datang menghampiri Kak Fatimah. Briefcasenya
digenggam kemas di jari. Nampak segak, detak Kak Fatimah.
“Janganlah berencik-encik
dengan saya Puan Fatimah. Segan pula. Saya bukannya big boss. Puan panggil saja saya, Ayin. Saya dan biasa dengan nama
tu.”
Kak Fatimah tersenyum.
“Baiklah! Kalau macam tu, Ayin panggil saya kak Fatimah. Akak pun macam awak
juga. Bukan big boss dekat sini nak
dipanggil puan.”
Ayin angguk, setuju.
“Tunggu siapa ni?”
“Penyambut tetamu tu
suruh saya tunggu di sini, sementara dia panggilkan PA saya.” Ayin tundingkan
ibu jarinya kepada Yard.
“Jomlah ikut akak. Tak
payah tunggu PA Ayin tu.” Kak Fatimah melihat kepada jam di pergelangan tangan.
“Pagi-pagi macam ni memang susah nak dapatkan PA Ayin tu.”
“Susah? Kenapa kak?”
“Ni ha!” Kak Fatimah
melakonkan seperti dia memegang sesuatu. Dan sesuatu itu hampir ditenyehkan ke
bibirnya. “Paling kurang, setengah jam dalam toilet,” ujar Kak Fatimah lagi. Ayin ketawa kecil sambil angguk
tanda faham. Make-uplah apa lagi.
“Bangunan lima tingkat ni
dari mula beroperasi sampai sekarang, memang tak disediakan lif. Jadi kena
panjat tanggalah hari-hari,” cerita Kak Fatimah tanpa diminta. “Ayin tak apa, pejabat
Ayin di tingkat dua. Tak jenuh turun naik tangga. Bos kata, baik juga macam ni.
Satu bentuk exercise untuk pekerja
syarikat ni, supaya sentiasa cergas dan sihat. Sihat macam akak ni!” Kak
Fatimah merujuk kepada tubuhnya yang tembam. Ayin ketawa lagi. Kak Fatimah ni
memang nampak ramah orangnya. Very
friendly, puji hati Ayin. Tiba di tingkat dua, Kak Fatimah menolak pintu
kaca yang menjadi pemisah antara tangga dan ruang pejabat. Mereka bertembung
dengan seorang gadis cantik memakai dress
singkat paras lutut di situ.
“Dari mana Laila?” tegur
Kak Fatimah.
“Washroom kak,” balas gadis itu ringkas.
“Dah agak dah...”
Gadis itu tersenyum
sahaja kepada Kak Fatimah. Faham kata-kata Kak Fatimah itu sebenarnya bermaksud
sindiran.
“Ini bos baru kamu.
Menggantikan Encik Razehan tu,” beritahu Kak Fatimah terus kepada Laila.
Ayin hulurkan tangan
kepada Laila sambil tersenyum. “Azrin Hisham,” tuturnya.
Laila sambut huluran tangan Ayin. “Selamat datang ke
syarikat kami, Encik Azrin. Dan selamat bertugas. Saya Laila, secretary merangkap PA Encik Azrin,”
ujar Laila. Senyuman Ayin dibalas dengan senyuman juga tapi lebih manis dan
menggoda.
Ini sudah bagus. Secretary
merangkap Personal Assistant. 2 in 1. Dah macam instant coffee pula. Kalau macam tu, hal-hal personal pun boleh mintak tolong dialah! desis Ayin.
“Ayin, kak Fatimah naik atas dulu, ya. Ofis akak dekat
tingkat empat. Kalau ada apa-apa, Ayin boleh telefon akak. Nak jumpa akak terus
pun boleh.”
Ayin angguk. “Baiklah. Terima kasih,kak.”
“Mari saya tunjukkan bilik Encik Azrin.” Laila bertutur
dalam nada penuh lembut. Kemudian dia berjalan mendahului ketua baharunya. Ayin
membuntuti saja dari belakang. Mata nakalnya tidak dapat lari dari memandang
lenggok badan Laila yang dibuat-buat itu. Menggeleng kepala Ayin melihatnya.
“Lepas ni dalam pukul sepuluh pagi, Encik Azrin ada sesi
taklimat, office tour dan terus ada training lesson,” kata Laila lagi.
Dalam hati Ayin berkata, ‘apa?! Tak cukup ke apa yang aku
belajar dan pengalaman aku dekat UK tu? Assistant
Marketing Manager pun nak kena training?’
Mula nak riak. Cepat-cepat Ayin beristighfar. Mungkin ini procedure bagi pekerja baru. Tak kiralah apa pangkat pun.
“Ini pejabat Encik Azrin. Saya pergi buat kopi untuk
encik. Gula atau susu?”
“Tak apa, Laila. Saya dah minum tadi. Terima kasih. Nanti
pukul sepuluh, awak ingatkan saya pasal sesi taklimat tu, ya.” Pintu pejabat
ditolak selepas Laila meninggalkannya. Dia melangkah memasuki ruang pejabat.
Sambil merapatkan pintu, mata melihat ke seluruh bilik.
“Hmm..., nampak kemas dan tersusun. Cantik! Bersih! Aku
puas hati. Bagus betul company ni.
Barulah syok nak kerja. Lagi dua bulan Chad pun ada. Lagi best!” Ayin teringat waktu bekerja di Portsmouth. Mereka berdua team yang selalu dipuji oleh bos. Ayin hampiri
mejanya. Briefcase diletakkan. Kot
dibuka dan ditanggalkan lalu digantung pada coats
stand. Lengan kemeja dilipat hingga separas siku. Baru punggung mencecah
kerusi, mata tertancap pada satu objek di atas meja.
“Eh! Apa benda pula ni?” Kotak berbalut cantik diambil.
Dipusing-pusingkan kotak itu di hadapan mata. Didekatkan ke telinga, kemudian
digoncang perlahan. Kerak! Keruk! Kerak!
Keruk! Tak puas hati. Kotak digoncang sekali lagi. Masih juga bunyi yang
sama. Bibir tersenyum. Baru kerja dah dapat hadiah. Tanpa berlengah tangan ligat
mengoyakkan kertas pembalut. Selepas kotak dibuka senyuman yang menyeringai terus
lesap.
“Tupperware?” Ayin kerut dahi. Tidak dapat mengagak apa
isinya. Bekas plastik dikeluarkan dan cepat-cepat penutupnya dibuka. KUIH
BANGKIT TEPUNG! Ayin terlongo tidak percaya. Lama matanya melekat pada kuih di
dalam bekas itu. Bekas didekatkan ke hidung. Aroma kuih disedut dalam-dalam.
“Aduhhh... sedapnya bau... Lama betul aku tak makan kuih
ni.” Seingat dia, semenjak arwah Nek Ngah meninggal, dia tidak lagi menjamah
kuih bangkit tepung ini. Memang senang jumpa kuih bangkit tepung dijual di
kedai-kedai, tapi rasanya tak sama. Bila dia teringatkan bau dan rasa kuih bangkit
tepung Nek Ngah, aduh! Pecah air liurnya. Nafsu bergelojak ingin mencuba.
Hilang pertimbangan untuk berfikir, alasan dan sebab musabab kenapa kuih
bangkit itu berada di atas mejanya. Siapa yang meletakkannya? Mengapa
diletakkan di atas mejanya? Dia ambil seketul kuih bangkit.
“Bismillah!” Lalu segera disumbatkan ke dalam mulut. Kena
sahaja air liur, kuih bangkit tepung terus cair.
“Eh, sama la!” Tersembur habuk kuih bangkit dari mulut,
bila dia terjerit begitu. Dia ambil lagi seketul. Sumbat lagi ke dalam mulut.
“Emmm...
Sedapnya... Memang sedap. Sesedap kuih bangkit Nek Ngah, tapi siapa yang bagi?”
Bekas ditutup semula dan dia pantas menuju ke pintu. Dia perlu tahu siapa yang
menghadiahkan kuih bangkit tepung yang rasanya sama dengan air tangan Nek Ngah
ni. Dengan bekas berisi kuih bangkit di genggaman, dia keluar mencari Laila.
Pasti Laila tahu. Lailakan PA dia? Malangnya Laila tiada di mejanya.
“Mana pula perginya si Laila ni. Takkan make-up lagi? Macam mana nak jadi PA aku
ni? Masa aku perlukan dia, dia tak ada pula!” Ayin berpatah balik memasuki
biliknya semula. Menghampiri meja dan duduk di kerusinya.
“Takkan kuih bangkit Nek Ngah? Nek Ngah kan dah lama tak
ada? Tapi bau dan rasa kuih ni sama.” Ayin mula curiga.
“Siapa pula yang bagi? Siapa yang tahu aku suka kuih
bangkit? Siapa yang pandai buat kuih bangkit rasa sama macam Nek Ngah punya?”
Hati mula rasa kecut campur seram.
Yeah akhirnya ayin dah smpai ke pac. Apa agaknya riaksi ayin bila nampak yaya hehe
ReplyDelete