Bab 38
Tolak saja pintu pejabat
perkara pertama yang Ayin lakukan adalah memandang ke arah mejanya. Sah! Seperti
yang dijangkakan. Pagi ini dia terima lagi sekotak hadiah. Isinya? Mestilah
sama. Selepas meletakkan briefcase di
sisi meja, dia ambil kotak hadiah tersebut lalu dibuka. Pagi semalam ada. Dekat
rumah pun ada. Pagi ini ada lagi. Siapa punya kerja ni hah? Hati ditimpa
pertanyaan. Kala itu, pintu pejabat kedengaran dibuka. Ayin berpaling melihat.
Laila muncul bersama dulang berisi minuman.
“Laila, awak tahu siapa
yang letak kuih ni atas meja saya?”
“Kuih semalam ke, encik?”
tanya Laila sambil meletakkan secawan kopi O di atas meja Ayin. Semalamkan dah
beritahu dia tak tahu langsung pasal kuih tu.
“Tak! Yang ini saya baru
dapat pagi ni,” jelas Ayin.
Pantas terbit secubit
senyuman di bibir Laila. “Encik Azrin baru kerja, dah hari-hari dapat hadiah.
Siapalah yang berminat sangat dengan bos saya ni ya?” usik Laila.
Ayin menyeringai kurang
senang. “Kalau awak tak tahu, tak apalah. Terima kasih.”
Laila senyum lagi.
Gamaknya bos tak suka kena usik! “Sebelum saya keluar, encik nak apa-apa tak?”
Pandangan Ayin kembali kepada
Laila. “Pagi ni saya tak ada apa-apa agendakan?”
Laila geleng. “Tak ada,
encik.”
“Bolehlah saya baca buku
ISO. Kalau ada apa-apa, cepat-cepat bagitau
saya.”
Laila angguk dan keluar
dari situ.
Ayin buka kot dan
sangkutkan di coats stand. Tali leher
dilonggarkan sedikit. Lengan baju dilipat hingga ke siku. Bekas kuih di atas
meja disimpan ke dalam laci. Jangan nak pening-pening kepala fikir siapa yang
bagi kuih bangkit ni, Yin. Lambat laun kau tahu juga. Salah langkah kau boleh
tangkap orang yang buat kerja ni. Nak bagi hadiah bagilah depan-depan. Ni
tidak, main curi-curi letak atas meja. Nak buat aku thrill la konon... Ceh!
Kemudian tangan ingin
mencapai buku manual ISO yang dia letakkan di tepi meja petang semalam. Hah!
Tak ada? detak hatinya. Habis semua tempat dia selongkar. Atas meja, bawah
meja, dalam laci. Penat mencari, Ayin duduk di kerusinya.
“Mana pula perginya buku
ni?” Tong sampah di sebelah meja juga dikerling tetapi kosong. Segumpal kertas
pun tidak ada inikan pula buku tu tapi, kalau ada pun apa ke hal pula duduknya
dalam tong sampah? Ayin berdecit.
“Macam mana pula boleh
hilang buku ni?” rungut Ayin berterusan. Dia memang pasti, buku itu dia
tinggalkan di atas meja petang semalam tapi pagi ini sudah tidak ada pula. Di telinga
terngiang-ngiang semula pesanan Cik Riya. “Jangan hilang!”
“Itu bukan pesanan, tapi warning namanya. Sekarang dah hilang,
macam mana? Nak cakap apa? Nak bagi reason
apa?” Ayin bersoal jawab sendiri. Pelik! Memang pelik! Macam-macam betul hal
berlaku kepada dia dekat pejabat ni. Cik Riya sengaja cari pasallah. Kes kuih
bangkitlah. Buku manual ISO hilanglah. Ini tandanya apa? Petanda dia tak serasi
ke bekerja dekat sini? Dia tak sesuai bekerja di syarikat ni?
Huh! Apa punya prasangka
la kau ni, Yin? Kalau Chad tahu kau fikir macam ni, mesti dia kecik hati dengan
kau. Mesti dia ingat kau sengaja cari alasan tak nak kerja dekat company papa dia ni. Kalaulah tahu nak
jadi macam ni, aku angkut bawak balik
buku manual ISO tu semalam, berjela rungutan Ayin. Ayin mengeluh lagi. Ditebar
pandangannya ke segenap ruang pejabat. Manalah tahu kot-kot dia salah letak.
Atau terlupa dekat mana dia letak sebenarnya. Tiba-tiba, telefon di atas meja
berbunyi. Butang hijau ditekan, supaya ganggang tidak perlu diangkat.
“Helo!”
“Encik Azrin!”
“Ya Laila?”
“Riya telefon, dia suruh
pesan pada Encik Azrin, katanya dia perlukan buku manual ISO dia tu lepas lunch nanti.”
“Bila dia telefon?”
“Baru sekejap tadi.”
Apasal minah tu tak
terus telefon aku hah? Kalau tak,
senang aku nak auta dia apa yang patut. Leceh betullah macam ni...
“Encik Azrin?”
“Ya!”
“Boleh tak Riya nak buku
manual ISO dia tu semula?”
“Awak cakap dekat dia,
saya belum habis baca.”
“Memang betullah dia
cakap.”
“Apa cakap dia yang
betul?” Hati tiba-tiba membara. Minah
nama Riya tu, ada-ada saja nak cari pasal. Entah apalah yang diumpat dengan si
Laila ni?
“Riya cakap, Encik Azrin
tentu belum habis baca lagi buku dia tu. Lepas tu dia pesan, encik dah habis
baca ke, belum habis baca ke, dia nak juga buku tu lepas lunch nanti. Jangan tidak, dia nak juga.”
“Laila awak cakaplah pada
dia, esok saja saya pulangkan buku ni dekat dia.”
“Tak boleh Encik Azrin.
Riya cakap, buku tu dia nak guna untuk buat soalan test hari ni.”
Sekarang ni, si Laila ni
PA siapa? Aku ke Cik Riya? Dah dia lagi dengar perintah Cik Riya tu. “Soalan
untuk test?!” Dahi sudah berkerut.
Dah serupa dekat sekolah pula ada soalan ujian. “Soalan test untuk siapa?” Tiba-tiba hati terdetak. Ayin dapat rasakan dia
yang bakal menerima soalan ujian itu.
“Enzik Azrinlah!”
Binggo!
“Untuk saya?”
“Biasalah tu Encik Azrin.
HR memang buat test lepas bagi kita training. Dah tertulis dalam SOP. Nak
tengok kita faham ke tidak tapi, apasal
Riya kata encik sorang saja kena ambik
test tu hah?”
Ayin mula gemuruh. “Ooohhh
yyya keee...? Bbbudak lain yang training
semalam tu, belum faham lagi kot. Saya dah faham, sebab tulah saya sssorang
saja yang ambik test tu,” suara Ayin
tergagap-gagap. Nafas rasa semput. Mampus aku! Dahlah tak sempat baca lagi.
Buku pula hilang. Lepas tu nak test!
Nak jawab apa? Kalau gagal test tu,
malulah aku... Alamakkk..., manalah perginya buku ni....?
“Encik Azrin, jangan lupa
ya. Lepas lunch nanti saya datang ambik buku tu?”
Aduhhh... macam mana
niii....? “Eh! Tak apa Laila. Nanti, lepas lunch,
saya pergi pulangkan sendiri dekat Cik Riya.”
“Jangan lupa tau, Encik
Azrin. Nanti Riya bising dengan saya pula.”
“Ok!” Huh! Si Laila ni
lagi takut dengan Cik Riya tu dari aku ke? Butang merah ditekan untuk
memutuskan panggilan.
“Aduh...!” Dia mengeluh.
Risau makin beraja bila mengenangkan buku yang masih belum ditemui. Kalau tak
jumpa macam mana? Ayin garu tepi dahi. Macam mana kalau terus hilang dan tak jumpa
lagi? Apa nak jawab dengan Cik Riya? Ayin gosok kasar mukanya dengan kedua
telapak tangan, kemudian dia raup hingga ke belakang kepala. Tubuh dihempas
kuat ke penyandar kerusi. Mata melilau. Dari atas meja, ke bawah meja, ke sofa,
ke kabinet fail. Tiba-tiba...
“Hah! Buku apa atas
kabinet tu?” Cepat dia bangkit dan menuju ke arah kabinet fail berdekatan
dengan set sofa di tepi bilik. Tangga kecil bergerak yang dikhaskan untuk
mengambil fail dipetak kabinet yang tertinggi, ditarik. Satu persatu mata
tangga dipanjat sambil tangan memaut kepada petak-petak kabinet. Buku yang
sedikit terjulur di atas kabinet ditarik. Bentuk sama, tebal sama, saiz sama,
warna kulit pun sama. Diterbalikkan muka buku menghadapnya. Buntang mata dia.
Cepat Ayin melangkah menuruni tangga. Takut nanti tergolek ke bawah pula. Naya saja!
“Macam mana kau boleh ada
dekat atas tu?” Ayin pandang meja kerjanya. Kemudian beralih pula ke atas
kabinet. Memang dia yakin buku itu ditinggalkan di atas meja.
“Berapa punya jauh jarak
meja tu dengan kabinet ni. Macam mana kau boleh ada dekat atas tu?” Takkan buku
ni boleh terbang pula? gerutu Ayin. Mustahil buku ni boleh berada di atas
kabinet. Tinggi pula tu. Sedangkan dia pasti, buku ini diletakkan di atas meja
bukan dicampakkan di atas kabinet. Apa ke jadahnya pula dia nak campak buku ni
atas kabinet. Tak ada kerja dia nak buat macam tu. Ayin garu belakang telinga.
Rasa pelik semakin meluap. Memang ada yang tak kena di syarikat ni. Ada orang
yang nak permainkan dia ke? Nak kata makhluk muka hodoh punya angkara, tahyul!
Dia tak percaya. Tapi rasa seriau tu ada juga.
Bila dia terlihatkan jam
di dinding angkanya menghampiri pukul sepuluh, cepat-cepat dibuang segala rasa
yang tidak menyedapkan hati. Macam mana buku ini boleh berada di atas kabinet
tu, nanti-nanti dia fikirkan. Sekarang yang lebih penting, khatam dan fahamkan
kandungan buku ini secepat mungkin. Masa cuma ada tiga jam saja lagi sebelum
tiba waktu makan tengah hari. Lepas itu, dia kena pulangkan semula buku ini
kepada tuan empunyanya. Dan kemudian, tuan empunyanya entah bila nak adakan
sesi ujian buat dia.
Heh! Memang macam-macam betul
Cik Riya tu. Sekali aku ngorat dia,
baru dia tau! Woi! Sinar nak letak mana? Ya tak ya juga. Sinar nak letak mana
kan? Cancel! Tak jadi ngorat Cik Riya.
Selak punya selak, punya
selak. Baca punya baca, punya baca. Apa habuk pun dia tak faham. Dah hampir
setengah buku, setiap yang dihadam oleh matanya sepatah pun tak melekat di
kepala. Memang dia tak boleh tumpukan perhatian langsung. Mana nak faham, mana
nak ingat, kalau dalam otak ni macam-macam yang dia fikir. Pasal kuih
bangkitlah. Pasal Cik Riyalah. Pasal buku nilah. Sah-sahlah tak ada yang dia
hafal. Tambahan ayat-ayat dalam buku ni, mengalahkan ayat dalam buku
undang-undang bahasanya. Berbelit-belit! Ayin mendesah. Buku ditutup dan
diletakkan di atas meja. Mata beralih melihat jam di pergelangan tangan.
12:50 pm. Sepuluh minit
lagi tiba waktu makan tengah hari. Lepas makan buku ni kena dipulangkan semula.
Baca pun tak habis lagi. Bukan saja tak habis baca, tapi tak faham langsung.
Itulah..., semalam masa Cik Riya bagi penerangan, kau bantai membuta! Rungut
hatinya kepada diri sendiri.
“Tak boleh jadi ni. Kalau
gagal test Cik Riya tu, malu aku.” Dia
mesti cari satu tempat yang boleh menenangkan hatinya. Bila hati tenang,
barulah otak lapang. Senanglah nak faham apa yang ada dalam buku ni. Dan tempat
itu adalah...Tiba-tiba dia teringatkan sesuatu. Yes! Cepat tangan menekan nombor interkom Laila.
“Laila!”
“Ya Encik Azrin?”
“Awak boleh tolong
bungkuskan saya apa-apa tak bila awak keluar lunch nanti?”
“Boleh Encik Azrin, tapi lunch ni saya pergi Mc’D.”
“Okey juga. Awak belikan
saya satu set Big Mac.”
“Regular ke large?”
Apa barang regular. Gerenti perut dia berkeriuk
sakan lepas otak bekerja keras menghafal buku yang boleh tahan tebalnya ni. “Large!”
“Okey bos!”
Dan panggilan ditamatkan.
Bila tiba waktu makan tengah hari, terus dia capai bekas kuih bangkit di dalam
laci dan botol air mineral di atas meja. Buat alas perut sementara menunggu
kiriman makanan tengah harinya dibawa pulang oleh Laila. Kemudian, buku manual
ISO diambil. Kaki segera melangkah keluar dari pejabat menuju ke tempat yang
terlintas di kepalanya sebentar tadi.
Manalah tempatnya tu ye hehe
ReplyDelete