Bab 28
Seperti diduga, berdiri
saja di depan pintu masuk kafe itu, semua mata tertumpu kepada mereka berdua.
Hampir separuh rakan sepejabatnya berada di situ. Termasuklah Azhan.
Hantu bungkus Azhan ni!
kutuk Yaya dalam hati. Kenapa Azhan tak ajak dia turun makan tengah hari? Kalau
tidak, tak adalah dia berdiri di sebelah Chad saat ini. Eh! Bukan ke pagi tadi dia
pesan minta Azhan tapau makan tengah hari? Yaya tepuk dahi. Baru teringat.
“Yaya kenapa?” Chad
memandang pelik.
“Hah?!”
“Kenapa tepuk dahi?”
“Errr...” Apa alasan? Nanti Chad ingat dia kurang siuman pula. Cakap
nyamuk gigit? Wei! Yaya. Dahi kau ada
mata ek? Kau nampak pula ada nyamuk
dekat situ.
“Saya rasa, macam nak
pitam!”
Spontan Chad menarik
tangan Yaya. “Nak Pitam?! Jom duduk cepat!” Chad cemas. Kerusi yang paling
hampir ditarik. Kedua-dua tangan diletakkan pada bahu Yaya. Memaksa tubuh Yaya
duduk di kerusi itu. Kemudian, laju tapak tangannya melekap di dahi Yaya.
Hendak merasa suhu badan Yaya. Yaya mengelak tetapi sudah terlambat. Saat itu
juga anak mata Yaya jatuh ke wajah Azhan yang duduk bertentangan dengannya, selang
dua buah meja. Azhan buntang mata.
“Awak okey ke tak ni
Yaya?”
“Okey! Okey! Saya okey!”
Yaya mengelak lagi. Tidak mahu telapak tangan Chad terus berada di dahinya.
“Sebab tulah saya kata, time makan kena makan. Tengok sekarang
ni? Nasib baik tak pitam betul-betul. Kalau tidak, saya dukung awak terus pergi
klinik saja.”
Glup! Kalau begitulah, lagi hebat dia kena gosip nanti.
“Awak tunggu sini. Tak
payah bangun. Biar saya saja yang pergi ambik
nasi untuk awak.” Chad terus beredar menuju ke ruang bufet kafe yang
menyediakan pelbagai jenis lauk-pauk. Yaya pula tidak berani angkat muka. Tak
sanggup melihat reaksi wajah Azhan. Juga tidak berani melihat kepada semua
rakan sepejabatnya yang lain. Dia pasti mereka semua tidak beralih pandang dari
dia. Malu betul rasanya. Siaplah kau Yaya! Muak kena usik nanti.
Chad kembali semula ke
meja. Terbeliak mata Yaya melihat isi yang menggunung di dalam pinggan di
hadapannya. Agaknya Chad ni memang pesen
suka bubuh makanan dalam pinggan orang banyak-banyak. Makan malam di rumahnya
malam tadi pun begini juga. Apa Chad ingat dia ni buruk melantak ke? Agak-agaklah!
Untuk diri sendiri pandai pula ambil sedikit saja. Lauk pun, lebih banyak sayur
dari protein. Orang dah biasa telan salad dua puluh empat jam, begitulah
agaknya. Macam kambing pula, suka makan daun.
“Meh! Tangan tu.” Chad hulurkan sebelah tangannya kepada Yaya.
Sebelah lagi memegang kendi.
“Hah?!” Yaya kelabu.
“Basuh tangan dulu, baru
boleh makan.” Terus Chad ambil tangan Yaya. Letak atas kendi dan mula membasuh
tangan gadis itu.
Chad basuhkan tangan dia?!
Secepat kilat Yaya larikan anak matanya mencari Azhan. Kali ini, anak mata
Azhan seperti nak terjojol. Cepat Yaya menarik tangannya. Tunduk semula. Takut
nak angkat muka. Sepanjang waktu makan, bising mulut Chad bercakap. Ada saja
yang diceritakan. Habis semua tentang Yaya disoal, tapi Yaya bukannya lurus
sangat pun. Dia ni seperti highway.
Ada lurus, ada bengkok. Takkan nak cerita semua kisahnya pada Chad. Dalam
seratus persen, suku sahaja yang dia cerita. Baru kenal kan? Mana boleh nak
buka cerita luar dalam. Cerita yang luaran sahaja cukuplah. Usai makan, Chad
mengiringi Yaya hingga ke pintu utama PAC saja. Kalau Chad hantar sampai ke
tingkat empat, kenalah sumbat kapas dalam telinga.
“Saya hantar sampai sini
saja ya?”
“Eh! Tak apa. Kalau awak
tak hantar, lagi saya tak kisah.”
“Hah?!”
“Tak! Tak! Maksud saya,
saya tak mahu susahkan awak. Terima kasih belanja makan tengah hari tadi.”
“Tak perlu nak berterima
kasih. Kitakan kawan?”
Apa? Kawan? Yaya ketawa
dalam hati. Dia rasa lega. Gembira pun ada. Jika Chad tak ada di depannya,
tentu dia dah terlompat-lompat suka. “Saya naik dulu,” tutur Yaya. Sempat juga
dia tersenyum kepada Chad.
Chad terpana seketika. Oh!
Manis sungguh senyumannya, detak Chad. Dia dah tertawan pada gadis yang sangat
menawan. “Okey! Saya pun nak balik. Nak jumpa kawan lelaki saya sekejap. Ada
hal.”
Pergilah Chad... Aku tak ambik kisah pun kau nak pergi mana. Nak
jumpa siapa. Lelaki ke, perempuan ke. Nak pergi dating dengan awek pun, aku tak kisah. Kita kawan saja kan? Aku
peduli apa, bisik hati Yaya.
“Bye!” kata Yaya.
“Bye!” balas Chad.
Dan mereka berpaling ke
arah yang bertentangan. Chad menuju ke keretanya di petak parkir di tepi jalan,
Yaya melangkah masuk ke dalam bagunan PAC. Lalu sahaja di hadapan meja
penyambut tetamu, Yard sudah bersedia dengan senyuman nakalnya.
“Amboi! Mesranya? Siap babai-babai bagai. Bertuahlah kau
Riya... Dapat anak bos...”
“Kita orang kawan
sajalah,” sanggah Yaya. Memang itu yang Chad katakan tadi.
“Yalah... Mula-mula
berkawan. Lepas tu...”
“Tak adalah...” cantas
Yaya. Terus Yard ditinggalkan. Lagi lama dia di situ, lagi kuat Yard menyakat
dia nanti. Kaki memanjat tangga ke tingkat atas. Baru saja memijak anak tangga
menuju ke aras tiga, tiba-tiba namanya dipanggil.
“Wei Riya!”
Azhan! Perlahan Yaya
palingkan tubuhnya. Dia tersenyum sumbing kepada Azhan. “Hai...” Tangan
diangkat sedikit.
“Dah! Tak payah nak
berhai-hai dengan aku. Jangan kau buat senyum kambing kau tu. Meh! Ke sini kau!” Azhan menggamitkan
tangannya. Tersekat-sekat langkah Yaya menghampiri Azhan. Melihat senyuman
sinis di bibir Azhan, dia tahu, dia akan menjadi bahan usikan temannya itu.
Sedia sajalah menadah telinga.
“Amboi amboi amboi...
Bukan main romantik lagi? Patutlah aku ajak lunch
kau tak nak. Suruh tapau saja. Banyak kerja konon... Rupanya ada lunch date! Kot ya pun, pergilah tempat
lain. Tak adalah aku nampak. Ini tidak, dekat kafe depan tu saja. Ke kau
sengaja nak tunjuk dekat aku? Berpimpin tangan, main sapu-sapu dahi, makan berambikkan, siap tolong basuhkan tangan
lagi!” Azhan bercekak pinggang. Usikannya seperti versi mak tiri tengah
membebel pula.
“Memang aku banyak kerja
dekat atas. Aku tak nak pergi makan tapi dia paksa aku. Habis tu, aku nak buat
macam mana lagi?”
“Aku tak percaya. Alasan!
Okey! Aku pun tengah banyak kerja dekat dalam. Tak ada masa nak berborak dengan
kau sekarang ni.” Azhan sengih nakal, lalu menolak pintu dan masuk semula ke
dalam pejabatnya.
Yaya tersenyum. Senyum
bukan kerana usikan Azhan, tetapi senyum kerana dia rasa lega. Bukan seperti
sangkaannya. Tidak juga seperti yang Azhan katakan. Chad sukakan dia, atas
dasar kawan. Bukan suka kerana dah jatuh cinta kepada dia. Balik ni, dia nak
tidur nyenyak-nyenyak. Ganti semula tidurnya yang terganggu malam tadi. Sakit
kepala? Entah! Tiba-tiba saja hilang sendiri.
No comments:
Post a Comment