Bab 27
Sejak pagi tadi termasuk
yang di dalam genggamannya, sudah enam biji Panadol Actifast ditelan. Kalau dua
biji ini juga tidak mampu menyembuhkan denyut di kepala, dia dah tak tahu nak makan
ubat apa. Enam biji kot. Tak jalan juga? Maknanya memang hebatlah penangan si
Chad tu. Mampu buat otak dia tenat sepanjang hari. Kalau begini, satu kerja pun
tak boleh buat. Dahlah fail-fail bertimbun dalam ‘IN’ tray.
Yaya capai botol air
mineral berbaki setengah lagi di sebelah telefon. Buka tutup dan minum air
seteguk. Kemudian dua biji Panadol Actifast tadi diletakkan pada hujung lidah
yang paling dalam. Dia teguk lagi air. Ubat dan air ditelan serentak. Selamat
masuk dalam perut. Tunggu nak mujarab saja. Tangan ditupangkan ke meja sambil memicit-micit
dahinya. Kata Actifast, tapi tak fast pun hilang sakit kepala ni? rungut hati
Yaya. Dia paling tak suka tak cukup tidur. Sebab, inilah bahananya. Senang
dapat sakit kepala, tapi susah nak elok. Entah berapa kali dia rasa menyesal benarkan
Chad menghantar dia pulang malam tadi.
Tiga pilihan yang diberikan
oleh Puan Julita malam tadi. Pertama balik naik teksi tapi Kak Farah dah buat
dia rasa takut dengan cerita penumpang kena rogol. Seriau! Kedua, bermalam di
rumah Puan Julita. Kata Puan Julita soal baju jangan risau, baju Kak Farah
banyak tapi Yaya bisik pada Kak Farah, baju kecik dan seluar kecik tak boleh
pinjam. Tak boleh recycle. Dah acam! Sudahlah hampir basah, gara-gara
berpeluh melayan perangai Chad yang buat dia berbahang satu badan. Lagipun hari
ni kerja. Kalau tak kerja pun dia tetap hendak pulang juga. Berada sebumbung
dengan Chad buatkan dia jadi kecut. Pilihan yang ketiga, biar Chad yang hantar
balik. Peluang inilah yang Chad gunakan sebaik-baiknya untuk mengayat dia malam
tadi. Perjalanan ke rumah sewanya yang hanya empat puluh minit menjadi dua jam
lamanya. Perlahan betul Chad memandu kereta. Empat puluh kilometer per hour. Yaya rasa macam nak tolong
tekan pedal minyak saja. Nasib baik juga waktu dah dinihari. Kalau siang hari
buat perangai lagu tu, memang berkontena-kontena kena sumpah.
Jadi apa pilihan terbaik yang dia ada? Mahu tak mahu
kenalah pilih yang nombor tiga. Akibatnya, dia tidak boleh tidur kerana asyik
teringatkan kata-kata Chad saja. Asyik fikirkan apa perlu dia buat dengan Chad.
Asyik fikirkan pasal Puan Julita. Asyik fikirkan Encik Kamil. Asyik fikirkan
Mak Long. Asyik fikirkan Pak Long. Asyik fikirkan Ayin. Asyik fikirkan antara
budi dan hati. Huh! Banyaknya berfikir... Sebab tulah tak boleh lelap!
Bila dia ceritakan kepada Azhan pagi tadi, bukannya
sahabat dia tu nak beri jalan penyelesaian, malahan tambah digiat lagi ada.
Gelak besar Azhan apabila diberitahu dia takut sampai tak lelap tidur bila Chad
kata dah sukakan dia pada pandang pertama. Kata Azhan, dia beruntung sebab Chad
spesies lelaki edisi terhad. Pakej lengkap. Apa yang untung? Malang lagi ada! Kerana
dia bakal berdepan dengan masalah tapi tak boleh nak salahkan Azhan. Azhan tak
tahu hubungan dia dan Ayin.
“Kenapa Yaya?” Encik
Kamil berdiri tegak di hadapan meja Yaya.
“Sakit kepala, Encik
Kamil.”
“Tak pergi klinik?”
“Yaya dah makan Panadol.”
“Dah makan Panadol, tapi
tak elok lagi?” Ada nada ambil berat pada kata-kata Encik Kamil itu. Yaya ukir
senyuman kelat. Encik Kamil tahu tak, Yaya sakit kepala ni pasal anak bujang
Encik Kamil tu? omel Yaya dalam hati.
“Sekejap lagi okeylah ni,
Encik Kamil.”
“Kalau tak okey juga,
nanti pergi klinik,” arah Encik Kamil. Yaya angguk.
“Yaya dah bagitau Fatimah pasal iklan jawatan
kosong tu?” soal Encik Kamil kemudiannya. Yaya kerut dahi. Tidak faham.
“Iklan jawatan kosong?”
soalan diajukan semula.
“Dah lupalah tu. Iklan
jawatan Assistant Marketing Manager
tu...”
Baru dia teringat arahan
Encik Kamil petang semalam. “Maaf Encik Kamil. Memang Yaya terlupa.”
“Hmm... Asyik ingatkan
Chad ke sampai terlupa ni?” Encik Kamil senyum.
Glup! Bertambah sakit rasa kepala dia. Yaya menyengih.
“Panggilkan Fatimah.
Mintak dia datang jumpa saya sekarang ya.”
“Baik Encik Kamil.” Yaya
angguk laju. Tangan terus mencapai ganggang telefon. Jari pantas menekan butang
nombor interkom. Bila Encik Kamil melangkah jauh dari mejanya, Yaya terus
mengeluh.
Berat! Berat! Berat betul
masalah aku ni. Yaya, kau kena chill...
Kena kuatkan semangat... Kalau tak, sampai ke petang nanti kau macam ni. Cuba
sibukkan diri kau tu dengan kerja. Tentu boleh lupakan tentang Chad, tentang
Ayin, tentang semua orang. Detak hatinya memujuk perasaan sendiri. Yaya tarik
nafas dalam-dalam, memenuhi paru-parunya dengan udara. Supaya berlaku
pertukaran oksigen dan karbon dioksida dalam struktur alveolus. Kemudian segala
urat darah akan menyalurkan oksigen itu keseluruh tubuhnya, terutama di
bahagian otak. Bila otak cukup oksigen hilanglah sakit kepala. Barulah boleh
fokus kepada kerja. Selepas menahan nafas beberapa saat, perlahan-lahan karbon
dioksida dihembus keluar.
“Riya, lamanya buat
senaman tarik nafas?” suara Kak Fatimah di dalam talian. Tangkas Yaya beralih
pandang menembusi cermin kaca pejabat Kak Fatimah. Dia lihat Kak Fatimah sedang
menyeringai lebar kepadanya. Yaya balas dengan senyuman tawar lagi hambar. Bila
masa Kak Fatimah angkat telefon jawab panggilan aku? Soalan itu hanya untuk
dirinya sendiri. Selepas itu cepat dia menyampaikan arahan Encik Kamil sebentar
tadi. Letak saja ganggang telefon, dia terus beri sepenuh perhatian kepada
kerjanya yang bertimbun. Buang jauh-jauh soal Chad. Tolak tepi pasal Ayin.
Lupakan sekejap perihal nak balas budi ke atau penuhi kehendak hati. Balik
kerja nanti, ambil masukkan dalam otak semula. Dekat rumah, nak tertonggeng ke,
terbalik ke, fikir pasal semua tu tak ada orang tahu. Dekat ofis ni, banyak
mata yang perasaan kalau mood dia upside-down.
******
Yaya panggung kepala kala
mejanya diketuk seseorang. Erk, dia
lagi?! Belum sempat jiwa tenang sepenuhnya, Chad muncul di depan dia. Jawabnya,
bertambah huru-haralah otak dan hati. Apalah mamat ni nak agaknya? detak Yaya. Pantas mata Yaya melilau melihat
sekeliling. Mana pergi semua orang? Yaya beralih melihat jam dinding di atas
pintu pejabat Kak Fatimah. Pukul satu petang! Patutlah aras ni tak ada orang.
Sudah lunch hour rupanya.
Tak perasan pula dia,
waktu sudah berlalu. Leka sangat buat kerja. Mujur tak ada orang nampak
kehadiran Chad di sini. Kalau tidak, tentu ada mulut-mulut nakal mengusik dia
dan Chad. Maklumlah, Chad bujang trang
tang tang. Handsome sepuluh per
sepuluh. Anak bos pula tu. Tiba-tiba datang cari dia, tentu nanti digosip
liarkan. Dahlah dia ni anak dara, tapi not
available. Bukannya Chad dan budak ofis ni tahu dia dah bertunang.
Agak-agaknya kalau Chad tahu dia dah bertunang, berani tak Chad tackle dia? Chad datang cari kau ke
Yaya? Entah-entah datang nak jumpa papa dia. Perah santan kau!
“Selamat tengah hari Encik Farris Arshad.”
Formal Yaya menyambut kedatangan Chad. Puas mengawal perasaan agar tidak
tergagap-gagap.
“Ni apa berencik-encik
ni? Kan kita dah setuju malam tadi? Saya panggil awak Yaya, awak panggil saya
Chad. Lupa?” Chad hampirkan sedikit mukanya ke depan Yaya. Menelan air liur
gadis itu dengan tindakan Chad. Dijauhkan tubuhnya dari meja, lantas berdiri.
“Awak tak keluar makan
ke?” Chad senyum memikat.
“Tak,” ringkas Yaya
membalas. Bertambah gugup bila Chad senyum begitu. Kalaulah Ayin tidak ada
dalam hati dia, confirm dua ratus
peratus dia cair dengan senyuman itu.
“Kenapa,” sepatah juga
Chad bertanya semula. Tangan gatal mencolek kertas dan fail yang bertimbun di
dalam tray di atas meja Yaya.
“Banyak kerja.” Yaya tunduk.
Tidak berani menentang pandangan tajam Chad.
“Yaya..., macam mana
banyak sekalipun kerja tu, kalau time
makan, kena makan. Time rehat, kena
rehat. Time kerja, kena kerja. Dah,
jom kita pergi makan!”
“Bukan ke Encik
Farris...” tidak habis kata-katanya bila Chad cepat mencantas.
“Chad!”
“Ya, Chad... Bukan ke
Chad nak jumpa Encik Kamil?” Ibu jarinya ditundingkan ke arah belakang Chad.
Pantas Chad menoleh. Fuh! Tunjuk bilik papa rupanya. Ingatkan
papa dah ada belakang. Malulah kalau papa tahu datang pejabat ni, semata-mata nak
jumpa Yaya, tukas Chad dalam diam. Sedangkan selama Kak Farah ada di sini,
boleh dikira dengan sebelah jari berapa kali dia muncul di PAC ni. Tentu dia
diusik papa, kata dia rindukan Yaya. Sebelum papa nampak, lebih baik cepat-cepat
blah! putus Chad. Dia kembali melihat
Yaya. “Ada ke saya kata nak jumpa papa saya tadi?” Chad jongket kening.
“Emmm... Aaaa... Errr... Tttak!”
“Jom kita pergi makan.”
Chad ulang suara pelawaannya tadi.
“Tak apalah, Chad. Terima
kasih. Saya ada banyak kerja nak buat. Kalau saya lapar nanti, saya buat milo
di pantri saja.”
“Mana boleh macam tu?
Setakat minum milo, mana cukup. Nanti tak ada tenaga nak buat kerja. Kan saya
kata tadi, time kerja, kena kerja, time makan, kena makan, time rehat kena rehat.”
Aduh! Macam mana lagi nak
tolak pelawaan Chad ni? Yaya mula resah.
“Dah, jangan banyak
alasan! Mari ikut saya.” Chad bergerak ke sisi meja. Lantas tangan Yaya diraih.
Erat jarinya menggenggam di jari Yaya. Gadis itu terus ditarik menuju ke
tangga. Yaya terpempan. Kaki tidak mampu menahan tarikan tangan Chad yang
gagah.
“Kkkita nak pergi mana?”
“Kita makan dekat kafe
depan ofis ni. Saya belanja.”
Kafe depan pejabat?
Itukan memang port budak-budak ofis lunch? Mampus! Kena sakat sakan
nampaknya nanti ni. Sambil melangkah berat, dia berusaha melepaskan pautan
tangan Chad. “Chad! Boleh lepaskan tangan saya tak? Malulah kalau budak-budak
ofis nampak.” Yaya rengkuh perlahan tangannya dari genggaman tangan Chad.
“Ops! Sorry! Tak sengaja.”
Chad lepaskan tangan Yaya. Tika itu sempat juga dia menyengih. Suka... Suka
dapat pegang tangan Yaya! Ammmboiii... Gatalnya kau Chad...
Xsabar nk bace sambungan....
ReplyDeleteAlaaaa mana ayin ni..kite nak ayin n sinar bertemu..
ReplyDeletearghhh...dilema..hahaha...haih...mengancam si chad ni...hihihi... :p
ReplyDeleteNak ayin jugak huhu. Jgn pisahkan huhu
ReplyDelete