“Hai Ayin!”
Mata Ayin terpaku. Dia terkedu. Lidah kelu. Suara itu menyerbu
masuk ke dalam telinga dan menggetarkan kokleanya. Seperti pernah dia dengar!
Mata perempuan itu merenung redup ke wajahnya. Ayin kaku, kerana detik ini
otaknya bertungkus-lumus cuba mengingati sesuatu.
Suara dia aku pernah dengar. Iras wajah dia juga macam pernah
aku jumpa tapi siapa dia? Dikerah lagi otaknya untuk berfikir. Tiba-tiba, dia
teringatkan seseorang. Mungkinkah...? Liur ditelan. Bersedia untuk meneka.
“Cik Riya?!”
Perempuan itu tersenyum manis. Kepalanya bergerak
perlahan ke atas dan ke bawah. Ayin pana. Terkejut beruk. Eh! Bukan. Terperanjat
tapir, sebab muka sudah hitam putih kerana tergamam yang amat sangat.
“Cik Riya?!” Ayin menyoal sekali lagi. Sambil itu otak
seperti komputer yang sedang melakukan teknik CGI. Membayangkan gumpalan buih
sabun berada di muka perempuan itu. Sama seperti kejadian di pantri tempoh
hari. Kemudian gambaran gumpalan buih sabun dibuang. Sekali lagi gambaran buih
sabun diletakkan. Selepas itu dipadamkan semula. Berulang kali Ayin
melakukannya. Confirm dia!
“Cik Riya?!” Nada suaranya sedikit tinggi dari tadi. Tidak
percaya apa yang dia lihat ketika ini. Dan perempuan itu tetap melakukan
perbuatan yang sama. Angguk sebagai mengiakan pertanyaan Ayin itu.
Ayin melangkah menghampirinya. Berdiri betul-betul di
sisi perempuan itu. Di dalam jarak yang tidak sampai sedepa antara mereka, Ayin
dapat melihat dengan jelas raut wajahnya. Diamati setiap inci raut itu. Ketika
itu, di dalam hati dia terdetik sesuatu. Mungkinkah dia? Ah! Pelanduk tujuh
serupa ni, sanggah Ayin.
Perempuan itu bangkit dan berdiri di hadapannya. Matanya merenung
redup kepada Ayin. Dan Ayin pula masih lagi tidak percaya.
Cik Riya?
Cik riya yg dia cam. Yaya x cam ke hehe
ReplyDeleteNape Ayin tak boleh recall Yaya... sebenarnya suka Yaya ke tak
ReplyDelete