Total Pageviews

Tuesday, April 14, 2015

Benci / Cinta... Awak Budak Nakal - 36




Bab 36
“Ma! Mana courier yang mama terima tengah hari tadi?” Memang dia tidak senang duduk di pejabat tadi. Hati tak sabar-sabar mahu tahu apakah kiriman itu. Takut kalau-kalau barang itu dikirimkan dari tempat kerja lamanya di Portsmouth.
“Tak menyempat-nyempat! Ada dalam bilik Yin.”
Pantas Ayin berpaling. Mahu ke tingkat atas.
“Tak nak minum dulu ke?” tegur Mak Long.
“Sekejap lagilah mama. Karang Yin turun balik.” Ayin terus hilang.
“Karang Yin turun konon. Sekejap lagi berlelah-lelah la turun tu!” bisik Mak Long. Mak Long tersenyum. Mulut mula mengira turun. “Sepuluh, sembilan, lapan, tujuh, enam, lima, empat, tiga, dua... satu!”
“Mamaaa!” Kedengaran suara si teruna melaung dari tingkat atas.
“Kan!” Mak Long sengih sendiri. Mak Long angkat dulang berisi minuman dan kuih bingka. Dia melangkah keluar dari dapur. Terus menuju ke luar rumah, menghampiri meja batu di tepi kolam ikan kap. Ayin laju menuruni tangga. Berlari mendapatkan mamanya. Di tangan terjinjit plastik bungkusan penghantaran ekspres.
“Mama! Mana datangnya benda ni?”
“La! Budak dispatchlah yang hantar.”
“Yalah! Ayin tahu... Siapa yang kirim?”
“Manalah mama tahu, Yin. Cuba tengok slip dekat plastik tu.”
“Dah tengok! Tak ada tulis nama.” Ayin mengeluh. Dahi diketuk dengan ruas jari berkali-kali. Mak Long hendak meletus tawa melihatnya.
“Kenapa Yin? Ada yang tak kena ke?” Mak Long buat-buat tanya.
“Memang ada yang tak kena. Kuih bangkit tepung ni, Yin nak tahu siapa yang kirimkan?”
“La... Kuih bangkit tepung ke isinya? Mama ingatkan apa isinya. Kalau mama tahu, tengah hari tadi mama dah buka bedal dulu. Lama dah tak merasa kuih bangkit tepung ni.”
“Itu yang buat Yin rasa ada yang tak kena,” getus Ayin dengan kerut berlapis.
“Mama rasa Yin lagi tak kena. Kuih bangkit tepung tukan kegemaran Yin? Dah ada orang bagi, makan sajalah! Buat muka orang cuak saja kenapa?”
“Dekat ofis pagi tadi pun Yin dapat kuih ni juga.”
Mak Long sudah mengulum senyum. Dia berpaling membelakangkan Ayin sekejap. Roman muka puas ditahan supaya kelihatan serius. Nanti kantoi pula.
“Yin ada dapat kuih ni dekat ofis?” soal Mak Long selepas dia menghadap Ayin semula. Mak Long kalau jadi nasi tambah, memang hebat. Ayin angguk sambil melabuhkan punggung di sisi ibunya. Bungkusan plastik penghantaran ekspres diletakkan di atas meja.
“Kalau macam tu Yin tahulah siapa yang bagi?” Hendak terburai tawa Mak Long saat melihat wajah Ayin semakin biru.
Ayin menggeleng. Menidakkan soalan mamanya. “Pagi tadi masa Yin masuk ofis, ada satu kotak hadiah atas meja Yin. Yin pun buka. Isinya, kuih bangkit tepung. Bila Yin makan, rasanya saling tak tumpah macam kuih bangkit tepung buatan Nek Ngah. Bila Yin tanya siapa yang letak atas meja, sorang pun tak tahu. Sekarang ni dapat dekat rumah pula. Mana Yin tak rasa pelik?” rungut Ayin berjeda.
“Bak sini mama rasa!” Hendak juga merasa kuih bangkit hasil air tangan bakal menantunya. Kalau Ayin yang bertekak memilih tu kata sedap maknanya betullah tu. Selepas membuka penutup bekas, Mak Long terus masukkan sebiji ke dalam mulut.
Masuk sahaja kuih itu ke dalam mulut, “Eh, betullah Yin! Memang sebijik rasa kuih bangkit tepung Nek Ngah. Misteri! Ini memang betul-betul misteri! Siapa tahu buat kuih ni serupa rasanya dengan Nek Ngah punya? Siapa tahu Ayin sukakan kuih ni? Siapa dekat pejabat tu yang kenal Yin?” Beria-ia benar Mak Long menjadi penambah rasa risau Ayin.
“Mama ni... buat Yin makin takutlah! Yin tak kenal orang ni tapi Yin dapat rasa dia kenal sangat dengan Yin.” Irasnya semakin cemas.
“Cuba tanya papa, kalau-kalau papa tahu.” Mak Long menjuih mulut ke arah belakang Ayin. Dah tak tahan nak ketawa. Lebih baik passing kepada suaminya pula. Biar suaminya pun jadi nasi tambah juga.
“Nak tanya papa apa?” soal Pak Long yang baru muncul di situ.
“Yin dapat kuih bangkit tepung ni dekat ofis dan di rumah. Papa tahu siapa yang bagi?”
“Tanya papa, lagilah papa tak tahu. Papa bukannya satu pejabat dengan Yin. Siang tadi pun, papa bukan ada rumah. Mama yang terima. Papakan kerja.” jelas Pak Long pula. Suka menjadi pelakon tambahan. Buat-buat tidak tahu. Sedangkan isterinya, awal-awal sudah menelefon dia menceritakan tentang rancangan Yaya ini. Ayin merengus. Tiada siapa yang dapat membantunya mencari jawapan. Dia bangun mahu meninggalkan tempat itu.
“Yin nak ke mana?” tanya Pak Long.
“Nak mandi papa. Nak sejukan kepala yang dah makin panas ni.” Laju dia melangkah meninggalkan papa dan mamanya. Tiba-tiba Ayin berpatah semula. Bekas berisi kuih bangkit di atas meja diambil.
“Kata tak tahu siapa yang bagi, buat apa ambik? Yin nak makan ke?” Mak Long menyoal. Sengaja ingin mengusik lagi. Suka benar melihat Ayin jadi huru-hara begitu.
“Yang penting kuih bangkit tepung ni sedap! Tak kiralah siapa yang bagi.” Langkahnya diteruskan. Mak Long dan Pak Long saling berbalas senyuman.
******
Di meja makan hanya tinggal mereka berdua sahaja. Rakan-rakan serumah yang lain sudah bersila di hadapan televisyen.
“Riya, hari ni kau buat kuih bangkit lagi tak? Kuih bangkit semalam tu, sedaplah!” Tiba-tiba Rita menjerit bertanya dari ruang tamu.
“Betullah Riya. Sikit sangat kau buat. Semua dapat rasa sorang seketul saja” celah Fida pula.
“Hari ni aku tak buatlah. Besok aku buatkan, okey?”
Masing-masing menayangkan ibu jari dari ruang tamu.
“Kau buat banyak-banyak kuih tu semalam untuk siapa?”
Yaya menoleh kepada Azhan. Temannya itu masih meneruskan suapan. “Aku ingatkan suara kau dah hilang?” Dari dalam kereta tadi Azhan senyap saja. Azhan panggung muka dan menjeling kepadanya.
“Kuih tu kau buat untuk bos baru aku kan?!”
Huk! Huk! Huk!” Yaya tepuk dada apabila nasi yang ditelan tersengkang di saluran esofagus. “Air! Air!” Bersusah payah Yaya mengeluarkan dua patah kata itu. Tidak sampai hati Azhan melihatnya. Dia bangun lalu menuang air dan dihulurkan kepada Yaya. Selepas gelas beralih tangan, dia urut pula belakang badan Yaya.
“Betulkan, kau buat kuih tu untuk bos baru aku?!”
Emmm... Aaaa.... Errrr...
“Kau jangan nak tipu aku, Riya!” Azhan terus mengangkat pinggannya ke dapur. Kecil hati apabila Yaya cuba berdalih.
“Kau marah aku ke? Aku mintak maaf, kalau kau marah dekat aku.”
Azhan berpaling. “Aku ni bukan marah. Aku ni kecik hati. Kau tahu tak apa bezanya marah dengan kecik hati tu?” Pinggan yang sudah dicuci diletakkan pada rak pengering.
“Bukan sama makna ke?” Yaya tersengih. Cuba buat kelakar untuk memujuk Azhan.
“Tak lawak, okey!” Azhan tinggalkan Yaya di situ. Terus dia menuju ke biliknya. Cepat-cepat Yaya mencuci pinggan dan tangan. Lauk-pauk di atas meja hanya ditutup dengan tudung saji. Yaya masuk ke dalam bilik dan mendekati Azhan yang sedang bersandar di kepala katil sambil membaca majalah URTV.
“Azhan!” Bahu Azhan digoyang bila dia duduk di sisi teman sebiliknya itu. “Aku tahu kau marah, sebab aku banyak sembunyikan hal dari kau,” suara Yaya perlahan. Tubuhnya turut disandarkan ke kepala katil.
“Tahu pun!” balas Azhan. Mata tetap tertumpu kepada gambar-gambar artis di dalam majalah URTV. Anak mata ralit meneliti poster Zul Ariffin dan Ayda Jebat.
“Janganlah marah aku,” pujuk Yaya dengan suara lembut.
“Kalau kau tak nak aku marah, kau kena ceritakan semuanya dekat aku. Aku ni kawan kau kan? Kenapa banyak benda kau sembunyikan dari aku?”
“Aku bukan tak nak cerita. Cuma aku tak biasa cerita masalah aku dekat orang.”
“Cerita dekat orang? Maksud kau, kau anggap aku ni orang luar? Bukan sahabat baik kau?” Azhan tentang wajah Yaya kala itu. Hati semakin terasa. Malam ni, dia tak kira. Kalau patut dia putus kawan sekejap dengan Yaya, demi untuk memaksa Yaya menceritakan hal yang sebenar, dia sanggup. Alah! Sehari dua saja putus kawan, apa ada hal? Masuk hari ke tiga nanti berbaiklah semula. Tak bertegur sapa selama tiga hari berdosa pula.
Yaya garu kepala rasa serba salah. Nak jaga hati Azhan, kenalah cerita. Kalau tak pun, sampai bila dia nak sorok semua benda ni? “Baiklah aku cerita.”
“Jangan kau auta aku pula.” Azhan memberi amaran. “Aku tahu kau sukakan Encik Azrinkan, habis tu Chad kau nak letak mana?” Belum dicerita, Azhan sudah menebak.
 “Azhan..., kau dengarlah cerita aku dulu.”
Azhan letak majalah URTV ke meja sisi. Dia kalih menghadap Yaya. Bersedia untuk mula mendengar Yaya berhikayat kisah dirinya.
“Kau tahukan umi dan abah aku dah lama meninggal? Dan selepas itu adik Mak Long aku yang jaga aku.”
Azhan angguk.
“Masa tulah aku kenal Ayin, anak Mak Long aku.”
“Ayin?”
“Ya! Ayin a.k.a Azrin Hisham, a.k.a Encik Azrin bos nombor dua kau tu, a.k.a Assitant Marketing Manager yang menggantikan Encik Razehan.”
“Apa?” Mulut Azhan terlongo besar. Tidak percaya. Yaya mula bercerita pengalaman bersama Ayin sewaktu di zaman remajanya. Bagaimana perangai Ayin dahulu. Kenakalan Ayin kepadanya. Hinggalah ke saat mereka berpisah. Serta pertunangan mereka yang belum diketahui oleh Ayin. Dia juga menerangkan apa tujuan dia menguji Ayin.
“Habis tu, macam mana dengan Chad? Dia kan sukakan kau.”
“Sebab tulah, aku takut bila Chad sukakan aku. Kalaulah Puan Julita dan Encik Kamil buka mulut nak jodohkan aku dengan Chad, apa aku nak jawab nanti?”
“Kau bagitaulah yang kau dah bertunang.”
“Kalau Puan Julita dan Encik Kamil tu orang biasa-biasa, yang aku kenal-kenal macam tu saja, senanglah aku nak tolak tapi ini Puan Julita dan Encik Kamil. Orang yang bertanggungjawab bagi aku peluang jumpa keluarga angkat aku semula. Orang yang bantu aku mulakan hidup baru. Puan Julita dan Encik Kamil dah banyak tolong aku. Besar budi dan jasa mereka pada aku. Takkan aku nak hampakan harapan mereka? Tak sampai hati aku nak tolak. Lepas tu apa aku nak bagitau pada Mak Long? Macam mana aku nak cakap dengan Ayin? Aku sayangkan Ayin. Sembilan tahun aku tunggu dia, takkan nak putuskan pertunangan kami? Lagipun, keluarga Mak Long pun banyak juga berjasa pada aku selepas umi dan abah aku meninggal.”
Azhan garu kasar kepalanya. Yaya punya masalah, dia pula yang terasa terbeban di kepala. “Inilah susahnya kalau dah banyak termakan budi.”
“Kalau tidak, tak dikata dek orang, banyak termakan budi nanti tergadai body,” cantas Yaya. Dia mengeluh lagi. Dituruti pula oleh Azhan.
“Inilah dikatakan oleh orang tua-tua, ditelan mati emak, diluah mati bapa. Ditelan termengkelan, hendak diluah tak keluar, kan?”
Yaya mengangguk lesu mengiakan soalan Azhan itu. Tiba-tiba telefon bimbit milik Azhan mendendangkan lagu All Of Me. Segera telefon yang terhimpit di bawah majalah URTV diambil. Nombor yang tertera pada skrin, nombor yang tidak dikenali. Urutan nombornya juga agak panjang. Seperti panggilan dari luar negara. Punat hijau ditekan untuk menyambungkan panggilan. Sejurus selepas menjawab, telefon dihulurkan kepada Yaya.
Yaya angkat dagu. “Siapa?”
“Chad!”
“Hah?!”
“Cepatlah jawab.” Azhan ambil tangan Yaya dan meletakkan telefon bimbit itu ke atas telapak tangan Yaya. Dia kemudiannya melangkah turun dari katil mahu memberi ruang untuk Yaya dan Chad berbual. Berbincang barangkali.
“Aku nak cakap apa dengan dia, wei!” Telefon bimbit dilekapkan ke dadanya.
“Jawab sajalah apa yang dia tanya.”
“Kalau dia cakap yang bukan-bukan?”
“Pandai-pandailah kau bincang dengan dia. Sebelum benda jadi lebih parah, baik kau cegah cepat-cepat,” nasihat Azhan. Dia terus berlalu dari bilik itu.
Yaya berdecit. Perlahan telefon Azhan dilekapkan ke telinga.

3 comments:

  1. Cegahlah yaya..sblm parah..huhuhu

    ReplyDelete
  2. yang mana satu pilahan kalbu yaya. Pilih jgn tak pilih...

    ReplyDelete
  3. Betul cakap azhan. Cegahlah dri awal. Bukannya susah. Ni yg geram ni

    ReplyDelete