Bab 30
Ayin sudah sebulan pulang
ke Malaysia. Chad pula sudah dua minggu berangkat ke UK semula. Yang peliknya,
sejak Chad balik UK setiap hari Chad menghubungi dia. Macam-macam yang Chad
bualkan. Selalunya dia jadi tukang dengar saja. Naik panas cuping bila ganggang
melekap lama di telinga. Banyak sangat ke duit si Chad tu? Dahlah buat
panggilan dari jauh, lama pula. Memang begitu ke cara Chad melayan seorang
kawan? Lagi pelik bila Chad buat permintaan yang bukan-bukan. Apa kes Chad
minta dia tunggu tiga bulan? Bila tanya, Chad cuma jawab, “adalah... Nanti awak
tahu. Surprise!”
Pening kepala melayan
perangai Chad ni. Lantak Chadlah. Malas nak ambil tahu apa surprise Chad tu. Nak kahwin dengan perempuan mata biru, rambut
bulu jagung kot. Nampaknya telan air liurlah Puan Julita. Diakan tak suka
perempuan mat saleh? Kalau anak dah
suka, Puan Julita boleh buat apa? Mahu tak mahu, kena jugalah terima.
Sejak Ayin balik, Mak
Long dan Pak Long pun sudah lama tidak dijenguk. Takut nanti terserempak dengan
Ayin. Pecah pula tembelang. Kasihan Ayin, masih tidak tahu tentang hal sebenar
antara mereka berdua.
“Bila Riya nak jalankan plan Riya tu? Dah sebulan Ayin balik. Riya senyap saja?” Mak Long
bertanya ketika Yaya telefon bertanya khabar hari tu.
“Nantilah mama. Tunggu
masa yang sesuai dulu.”
“Lama sangatlah... Riya
pun bukan nak datang sini jumpa mama sejak Ayin balik ni. Mama dah rindu tau!”
suara Mak Long merajuk.
“Sabarlah mama. Masanya
akan tiba. Riya pun rindukan mama dan papa juga.”
“Apa-apa sajalah kau
orang berdua ni.” Mak Long mengalah.
“Dia mana mama?”
“Dia tu siapa?” Mak Long
mula mengusik.
“Ayin mama...”
“Ooo... katalah Ayin.
Ingatkan tanya papa.”
Ke situ pula Mak Long ni.
Tanya pasal Pak Long buat apa? Saja tau nak mengusik.
“Ada dalam bilik. Tengah
bersiap. Nak keluar. Katanya nak pergi hantar resume.”
“Mama cakap dengan siapa
tu?” Tiba-tiba Yaya terdengar suara sayup-sayup di sebelah sana.
“Ayin ke mama?”
“Haah!”
“Okeylah mama! Riya letak
telefon dulu ya? Nanti dia tahu pula. Assalamualaikum...” Terus ganggang
telefon diletakkan. Jantung berdegup kencang.
Esoknya, pagi-pagi lagi
Encik Kamil memanggil Yaya ke biliknya.
“Yaya, masuk bilik saya
sekejap,” suara Encik Kamil berkumandang dari interkom.
“Baik Encik Kamil.” Yaya bangun dari kerusi. Melangkah laju
ke bilik Encik Kamil. Entah kenapa, sejak semalam hatinya risau semacam. Tak
berapa nak sedap sangat. Seperti ada sesuatu yang tak kena. Bila Encik Kamil pagi-pagi
lagi dah panggil dia, hati semakin huru-hara. Mana pernah Encik Kamil cari dia
pagi-pagi. Selalunya Kak Fatimah yang menghadap Encik Kamil. Dia ada buat salah ke? Tiba
di hadapan pintu pejabat Encik Kamil, kaki Yaya mati di situ. Tidak berani nak
mengetuk pintu itu.
“Yaya! Kenapa tegak macam
patung depan pintu ni?” tegur salah seorang staf Account Department yang melalui koridor tersebut. Yaya sengih.
Terus buku lima singgah ke papan pintu pejabat Encik Kamil.
“Masuk!” Suara Encik
Kamil terdengar dari dalam. Yaya pulas tombol pintu dan menolaknya dengan penuh
berhati-hati. Kaki melangkah setapak dan berhenti di muka pintu.
“Ya, Encik Kamil. Ada
apa-apa yang boleh Yaya bantu.” Yaya bertanya perlahan. Takut juga jikalau dia
betul-betul ada buat salah.
“Fatimah tak adakan?”
Ooo... Yalah! Baru
teringat. Kak Fatimah cuti hari ni. Sebab tulah Encik Kamil nak jumpa dia.
Diakan assistant Kak Fatimah.
Tentulah Encik Kamil jumpa dia. Takkan Encik Kamil nak jumpa Kak Midah cleaner pula kan? Apa punya blurlah kau Yaya! Yaya melangkah
menghampiri meja Encik Kamil, bersama sebuah senyuman di bibir.
“Ya, Encik Kamil. Kak
Fatimah cuti hari ni.”
“Nah, Yaya ambil resume
ni. Lepas tu telefon budak ni, suruh datang interview
besok. Besok dia datang, lepas interview,
minta Fatimah issue offer letter terus dan minggu depan
mintak dia start kerja. Saya dah buat
short-list, budak ni yang paling
sesuai.”
Yaya sambut sampul yang
Encik Kamil hulurkan. Uish! Cepat
sungguh buat short-list? Baru
seminggu saja kot, jawatan kosong tu diiklankan. Ramai sangat ke yang apply? Hari ni dah nak close interview, Yaya tertanya-tanya. Tentang
temu duga jawatan kosong tu, memang Yaya tak tahu. Dari pengiklanan hingga ke
penerimaan borang permohonan, semuanya
Kak Fatimah uruskan. Calon-calonnya pun Yaya tak pernah nampak. Semua resume Yard
yang terima. Kemudian terus diserahkan kepada Kak Fatimah.
“Baik Encik Kamil. Ada
apa-apa lagi Encik Kamil?”
“Tak ada apa-apa.”
“Terima kasih, Encik
Kamil. Yaya keluar dulu.” Yaya melangkah keluar dari pejabat Encik Kamil dan
kembali semula ke mejanya. Kalau dah tak kena marah dengan Encik Kamil, kenapa
hati masih lagi berdebar?
Duduk sahaja di
kerusinya, sampul surat terus dibuka. Si pemohon harus dihubungi dengan segera.
Manalah tahu, tidak dapat hadir pula untuk temu duga esok hari. Bolehlah dia
atur semula pada hari lain. Encik Kamil beria-ia mahu calon ini bekerja di PAC.
Mula kerja pada minggu hadapan pula tu. Tinggal beberapa hari saja lagi ni. Bermakna,
tidak dapat tidak, dia mesti menghubungi calon itu sampai dapat.
Helaian kertas yang
berkampil dengan dawai kokot, ditarik keluar. Dia mula membaca butir yang
tertulis. Mata terus mati pada nama yang tertera. Seperti tidak percaya.
“Betul ke dia ni? Mungkin nama saja sama kot.” Cuba untuk
menidakkan apa yang terpampang di depan mata. Yaya ambil pula sekeping gambar
yang terjulur keluar dari dalam sampul surat itu. Gambar bersaiz 4R dengan
wajah penuh separas bahu, direnung tajam.
“Betul ke dia?” Yaya cuba mengingati wajah lelaki itu.
Dibandingkan pula gambar itu dengan gambar yang pernah dia tengok di rumah Mak
Long.
“Gambar pun sama.
Confirm, memang dia! Punya banyak
syarikat pengiklanan dekat KL ni, kenapa dekat sini pula dia mintak kerja.”
Resume dibaca berulang kali. Azrin Hisham. Memang Ayin. Patutlah dada aku
berdebar saja, detik Yaya. Memang betul kata Mak Long. Jodoh mereka kuat. Tak
lama lagi, nak jadi office mate pula.
Mungkin inilah masa yang sesuai untuk dia mulakan plan menguji. Adakah Ayin baik seperti yang Mak Long dan Pak Long
katakan. Paling penting jawapan kepada soalannya selama ini. Masihkah Ayin ingat
padanya? Masihkah Ayin sukakan dia? Adakah perasaan Ayin masih sama?
Ganggang diangkat.
Tinggalkan pesanan pada Mak Long sajalah. Tentu Mak Long pun terkejut jika tahu
Ayin bakal sepejabat dengannya.
Hari yang ditunggu tiba. Kak
Fatimah sudah dimaklumkan tentang sesi temu duga pagi ini. Fail resume serta
salinan lengkap sijil-sijil graduan Ayin diserahkan kepada Kak Fatimah.
“Hmm... Patutlah Encik
Kamil terus nak ambik dia bekerja.
Memang dia calon yang sesuai. High
education, banyak pengalaman bekerja. Bekas pekerja syarikat dekat oversea pula tu. Memang padanlah...”
Yaya senyum. Resume tu,
entah berapa kali dia khatam semalam. Sampai melekat semua butir-butir tentang
Ayin di dalam otak dia ni. Kalaulah ada ujian tentang Ayin, pasti dia dapat
A+++++++. Uish! Berderet plusnya. Eh! Tentulah. Buah hati kita
kan?!
“Nanti masuk sekali ya?”
“Hah, eh! Tak naklah
kak.”
“Dah kenapa pula? Budak
ni handsome ha... Bolehlah kita
cuci-cuci mata masa interview tu
nanti. Jadi Optrex...” Kak Fatimah julang tinggi menayang gambar Ayin di depan
Yaya. Gatal Kak Fatimah. Tibalah angin tak berapa nak betul dia tu.
“Nanti jealous Abang Hamdan,” ujar Yaya merujuk
kepada suami Kak Fatimah. Yaya kenal dengan Abang Hamdan. Manakan tidak,
seminggu dua tiga kali Abang Hamdan datang ke pejabat ini bila waktu tengah
hari bawa isteri tersayang keluar makan.
“Janganlah Riya bagitau Abang Hamdan. Alah! Macam tak
biasa.”
Yaya ketawa. Untung betul
dapat head of department supporting seperti Kak Fatimah ni. Tak
adalah otak tension buat kerja sepanjang
hari. “Tak bolehlah kak. Kan Riya kena pergi pejabat Socso pagi ni.”
“Iya ke? Kalau macam tu,
rugilah Riya. Akak mohon cuci mata sendirian ha? Jangan jealous tau!”
Yaya geleng kepala sambil
ketawa. Tak ada maknanya dia nak jealous.
Itu tunang dia kan? Suka hatilah Kak Fatimah nak buat apa. Optrex ke, Eyemo ke.
Hujung-hujung Ayin tu milik dia juga. Kalaulah Kak Fatimah tahu, tentu dia jealous tahap Ultraman.
Senyuman Yaya terus
meleret panjang kala dia meninggalkan pejabat Kak Fatimah. Dia perlu secepat
mungkin keluar dari bangunan PAC ni. Buatnya Ayin sampai lebih cepat dari yang
dijadualkan, tidak ke nanti terserempak.
Hari ini sebelum balik,
dia mahu singgah di pasar raya dulu. Esok dan Ahad boleh mulakan projek di
rumah. Isnin minggu hadapan, hari pertama Ayin bekerja, akan ada sesuatu yang
menanti Ayin. Yaya rasa tak sabar. Teruja untuk memulakan operasi menguji Ayin.
uish...bile nx kuar lagi ni...haih...x sabo da ni...hahaha...
ReplyDeleteHish suspen la pulak. X sabar nak tgu esok hehe
ReplyDelete