Total Pageviews

Wednesday, April 15, 2015

Benci / Cinta... Awak Budak Nakal - 37




Bab 37
“Assssalamualaikum...” Lambat-lambat Yaya menuturkannya. Hati berbelah-bahagi. Perasaan rasa bersalah. Seolah-olah dia telah berlaku curang kepada Ayin. Walhal antara dia dan Chad hanya kawan. Bukankah itu ayat yang Chad tuturkan hampir dua bulan yang lepas? Sekarang apakah hubungan itu masih sama? Pada mata dia, ya tapi pada Chad dia tak tahu.
“Waalaikumussalam... Yaya sihat?” Kedengaran suara Chad begitu ceria. Macam orang baru lepas kena loteri saja.
“Alllhhhamdulillah, sihat.” Yaya gugup. Perbualan terasa amat canggung.
“Tak tidur lagi?”
Yaya berusaha mengawal perasaannya supaya tidak gementar. Bimbang nanti Chad tersalah tafsir fikir dia mengelabah kerana sukakan Chad. “Tak. Chad tak tidur lagi ke?”
Chad ketawa di hujung sana. “Dekat sini baru pukul dua petang, sayang oi...”
Sayang! Yaya..., jangan ambik peduli apa yang dia panggil kau tadi.
“Nak tidur apa? Chad baru habis makan tengah hari.”
Emmm... Ada apa Chad telefon Yaya?” Perasaan hati semakin tak berapa nak sedap.
“Chad nak bercakap dengan Yaya sebab tu Chad mintak nombor handphone Azhan dari papa. Nak telefon Yaya, bukannya Yaya ada handphone. Nak telefon pejabat, Chad dekat sini pukul dua tiga pagi, tengah syok tidur.” Chad ketawa lagi. Gembira benar bunyinya. “Nanti Chad belikan handphone untuk Yaya, ya? Senang Chad nak telefon,” kata Chad kemudiannya.
“Bbbbeli handphone?! Tak payahlah Chad. Nanti Yaya beli sendiri. Yayakan baru mula kerja. Tengah kumpul duit ni,” bantah Yaya. Dup dap dup dap dalam dada semakin hebat. Kenapa malam ini lain benar bunyi suara dan percakapan Chad.
“Kalau tak nak Chad belikan, Yaya kenalah beli cepat-cepat. Senang Chad nak telefon.”
“Tttak payahlah Chad telefon. Jauh... Tentu mahal bilnya.”
“Chad sanggup walau sejauh mana sekalipun. Tak kiralah berapa chargesnya. Asalkan dapat bercakap dengan Yaya. Bila dengar suara Yaya ni, hilang separuh rindu Chad”
Huk! Huk! Huk!” Yaya tersedak air liur sendiri. Dia rindu aku?! Alamak!
“Kenapa Yaya?” Nada suara Chad bertukar cemas di sebelah sana.
“Tttakkk. Yaya batuk.” Bukan batuk, tapi tersedak bila yang di sana kata rindu pada yang di sini. Yang di sini dah bertunanglah wahai yang di sana...
“Tak sihat?”
“Haah!” Nak cakap apa lagi. Iyakan sajalah.
“Dah makan ubat?”
“Bbbelum.”
“Kenapa tak makan ubat lagi?”
“Nak makan tadi, tapi Chad telefon pula.” Alasan!
“Oh! Ya ke? Okey, Chad letak phone dulu. Yaya pergi makan ubat cepat. Nanti melarat susah. Chad sudahlah jauh dekat sini. Nanti Chad telefon lagi. Sebelum tu, Chad nak mintak maaf sebab mungkin lepas ni, Chad tak boleh nak telefon Yaya selalu. Banyak kerja nak diselesaikan sebelum Chad balik Malaysia.”
Glup! “Ccchhhad nak balik Mmmlaysia?” Puan Julita kata dulu, Chad jarang balik. Setahun sekali dua saja. Ini dah nak masuk tiga kali, kenapa ya? Sebab dia ke?
“Ya! Chad nak balik terus! Tak nak lagilah tinggal dekat UK ni.”
“Bbbblik terus?” Makin teruk gagap Yaya. Air liur rasa sudah tidak tertelan.
“Sabar ya. Tak lama saja lagi. Pejam celik, pejam celik habis dua bulan. Kalau Yaya rindukan Chad, seru saja nama Chad tiga kali. Tentu Chad akan muncul dalam mimpi Yaya.”
Huk! Huk! Huk!” Yaya tersedak lagi. Aku rindukan dia?
“Teruk Chad dengar bunyi batuk Yaya tu. Dah! Pergi makan ubat cepat. Chad letak telefon dulu. Okey bye sayang! Assalamualaikum.” Dan panggilan pun terputus.
Mampus! Sejak bila pula Chad panggil dia sayang ni? Mereka kan kawan? Mana pula datangnya rindu dan sayang Chad tu? Aduh pitam! Berakhir saja panggilan Chad, Azhan masuk semula ke bilik. Macam tahu-tahu. Ke, Azhan mencuri-curi dengar dekat luar?
“Chad kata apa?” Azhan duduk di birai katil. Wajah pucat lesi temannya itu amat jelas di matanya. Yaya geleng kepala.
“Apa ni?” Azhan ajuk perbuatan Yaya menggeleng kepala sebentar tadi.
“Perkara paling aku takuti mungkin akan terjadi.”
Azhan kerut dahi tidak mengerti. “Yang mana satu?” Azhan tayang lima jarinya. “Nombor satu, Puan Julita confirm nak jodohkan kau dengan Chad. Nombor dua, Chad kata dia memang suka dan cintakan kau. Nombor tiga, kau kena pilih antara Chad atau Ayin. Nombor empat, kau kena kecewakan Puan Julita atau Mak Long kau. Nombor lima...”
“Dah la tu... Banyak sangat dah masalah aku yang kau sebut. Janganlah buat aku jadi makin takut,” bantah Yaya.
“Riya..., aku ni bukan nak takut-takutkan kau. Aku ni, sedang mempersiapkan diri kau supaya bersedia menghadapi masalah ni semua. Aku yakin, lambat laun kau kena juga buat keputusan.”
“Bagaimana kau begitu pasti?”
“Kalau tak, Chad takkan bersusah payah cari nombor telefon aku, tebalkan muka telefon aku semata-mata nak bercakap dengan kau. Tak pernah seumur hidup dia telefon aku. Jadi, apa maknanya tu? Jawapannya, dia memang dah suka dan cintakan kau.”
“Azhan... janganlah cakap macam tu. Kau tahu tak, kata-kata kita ni satu doa. Kau doakan aku dengan Chad ke? Habis tu Ayin macam mana? Aku sayangkan tunang aku...”
“Satu saja jalan penyelesaian. Kau kena berani buat keputusan. Kalau kau sayangkan Ayin, kau terus-terang pada Chad. Lagi kau simpan, lagi kau biarkan benda ni lama-lama, lagi menggunung harapan dan perasaan Chad. Masa tu lagi susah kau nak tolak. Sekarang ni masih belum terlambat sebab semuanya belum clear. Baik mak bapak Chad, ataupun Chad sendiri. Kalau salah, tak apalah juga. Tak pening kepala. Kalau semuanya betul, macam mana? Dah terhantuk baru nak tengadah masa tu?” Berjela Azhan berceramah. Yaya terdiam lama selepas itu. Memang ada benarnya kata-kata Azhan. Lagi dibiarkan, lagi bernanah nanti. Otak mula berfikir mencari jalan penyelesaian.
Kalau gantikan aku dengan orang lain untuk Chad, macam mana? Aku mesti alihkan perhatian Puan Julita dan Encik Kamil, bukan aku saja yang boleh dipadankan dengan Chad. Aku kena bukak mata Chad supaya Chad tahu ada gadis lain yang lebih baik dari aku? Paling penting gadis tu juga sebenarnya dah lama sukakan Chad, gumam Yaya. Pandangan terus melekat ke wajah Azhan. Yes! Calon sudah ada. Bukan ke masa dia cerita pasal Chad kepada Azhan dulu, Azhan  pernah mengaku sukakan Chad juga, tapi yang pelik Azhan langsung tak cemburu bila tahu Chad sukakan dia. Yaya..., kalau nak tahu, inilah ciri-ciri sahabat sejati. Tak pernah iri hati, busuk hati, cemburu bila tengok kawan lebih dari diri sendiri, bisik hati Yaya. Sekarang dia yakin, Azhan adalah calon yang terbaik.
“Kau suka dengan Chad kan?”
Tak semena-mena mata Azhan terbeliak. “Apa yang kau mengarut ni?”
“Kau suka Chad kan? Kau pernah bagitau aku dulu.” Tanpa menjawab pertanyaan Azhan, dia ulang semula soalannya tadi.
“Iya..., aku suka dia tapi tu dulu.”
“Aku arrangekan kau dengan Chad, kau nak tak? Kau ganti tempat aku.”
“Apa kena dengan kau ni Riya?” Hati Azhan tersentuh. “Kau ingat aku ni apa? Desperate sangat ke? Kau tak nak Chad, kau tolak dekat aku pula. Macam tak laku sangat aku ni.”
Yaya tarik tangan Azhan lalu diusap perlahan. “Bukan begitu maksud aku. Bukan soal aku tak nak Chad aku tolak dekat kau. Aku tahu, sampai sekarang kau masih sukakan Chad. Tadi masa kau jawab panggilan Chad aku tengok muka kau merah semacam. Itu tandanya hati kau berdebar-debar bila bercakap dengan Chad. Berdebar pasal kau masih sukakan dia. Betul tak? Kau jangan nak tipu aku, Azhan. Aku boleh baca apa yang ada dalam hati kau tu,” pujuk Yaya. Suara dilembutkan sehabis lembut untuk melembutkan hati Azhan. Berapa banyak lembut daaa...? Tak kiralah! Janji hati Azhan terpujuk dan setuju dengan rancangan dia ini. Azhan terdiam lama. Bila Azhan senyap tidak membalas, tahulah Yaya apa yang dia katakan tadi memang benar.
“Chad tu sebenarnya tak ada peluang nak kenal kau lebih rapat. Kalau aku jadi lelaki, tentu aku dah pakat-pakat buat kau jadi bini. Inikan pula si Chad tu. Kau lebih baik dari aku. Kau lebih cantik dari aku. Kau lebih lembut dari aku. Kau lagi cute dari aku. Kau lebih pandai masak dan uruskan rumah dari aku...”
“Dah... dah... Tak payah nak jek aku tinggi-tinggi sangat,” pangkas Azhan.
“Aku bukan nak jek kau. Memang kau serba-serbi lebih baik dari aku. Kau lagi sepadan dengan Chad. Macam pinang dibelah dua. Aku dengan Chad, macam kena gelek steamroller adalah! Azhan, aku tahu kau dah lama simpan perasaan pada Chad. Walaupun jarang jumpa kau tetap simpan dia dalam hati kau. Kenapa nak sia-siakan perasaan kau tu?”
“Aku ni perempuan, Riya. Takkan aku nak mulakan dulu? Dia layan semua pekerja dengan baik, termasuklah aku. Takkan aku tiba-tiba nak cakap yang aku sukakan dia sedangkan dia tak tunjuk minat pada aku? Tambahan sekarang, dia sukakan kau. Aku? Memang tak ada harapanlah...”
“Kau tak cemburu Chad sukakan aku?” Yaya cuba menguji.
Azhan geleng kepada. “Nak cemburu apa? Dah bukan rezeki aku. Yang dia sukakan ni pun, bukan orang lain. Sahabat aku juga. Kekasih boleh di cari ganti Riya..., tapi persahabatan di bawa sampai ke mati.”
Hati Yaya tersentuh. Memang Azhan seorang gadis yang baik. “Azhan... kalau kita nak, kita kena usaha. Macam apa yang aku buat sekarang ni. Aku  masih sayangkan Ayin. Jadi untuk memastikan yang Ayin juga masih suka dan ingatkan aku, aku uji dia. Ujian tu satu usaha juga tau! Kalau kau nak tahu, Chad tu boleh jatuh cinta pada kau atau tak, kau kena usaha dulu. Usahanya adalah menjalankan rancangan. Kau pikat dulu hati mak dan bapak Chad. Hujung minggu ni, kita pergi rumah Puan Julita. Masa tu kau tunjukkan skill bakal menjadi menantu pilihan yang terhebat tu. Kalau mak dan bapaknya suka, aku pasti Chad juga suka. Chad tu jenis patuh kepada orang tua.”
Skill?” Azhan kerut kening
“Iya, skill memikat hati bakal mertua. Nak pikat hati bakal mertua kau tu senang saja. Kau masak sedap-sedap. Sekali dia orang rasa, teringin-ingin lepas tu. Aku bercakap ni melalui pengalaman aku. Macam mana, okey tak?”
“Malulah... Encik Kamil tu bos kita, tau? Pengarah syarikat lagi. Aku nak pikat hati owner PAC? Kerja gila tu!”
Yaya kerut dahi. “Aku suruh pikat hati Encik Kamil. Bukan owner PAC...”
“Yalah! Owner PAC tu Encik Kamil anak-beranaklah.”
“Apa!” Yaya sudah terlongo luas.
“Kau tak tahu ke?”
Gelengan kepala Yaya terayun laju.
“Apalah kau ni Riya? Kerja punya lama, lepas tu sebagai HR pula. Owner PAC pun kau tak tahu.” Azhan seperti tidak percaya.
“Betul aku tak tahu. Tak ada siapa yang cakap dekat aku.”
“Kak Fatimah, Encik Kamil, Puan Julita, Chad tak ada bagitau?”
Yaya tetap menggeleng kepala.
“Dia orang sekeluarga memang macam tu. Tak suka membanggakan diri. Encik Kamil pun tak suka orang kenal dia atau perkenalkan diri sebagai pemilik PAC. Itulah salah satu sebab kenapa aku suka dengan Chad. Keluarga dia tak serupa keluarga berada yang lain. Mereka tak sombong. Tak menunjuk-nunjuk,” puji Azhan tanpa henti.
“Patutlah aku senang-senang diterima bekerja di PAC,” tukas Yaya.
“Sebab tu aku simpan rahsia kau tu. Aku tak nak pekerja dalam syarikat buat cerita kau diterima bekerja kerana diambil sendiri oleh tuan punya PAC. PAC tu, Kak Farah yang tubuhkan. Encik Kamil bagi modal. Lama-kelamaan syarikat semakin maju dan sekarang ni dah buka satu lagi cawangan dekat JB.”
Sekarang Yaya tahulah siapa Encik Kamil sekeluarga sebenarnya. Dan kebenaran itu tidak akan mengubah hati dan pendiriannya tetapi mengukuhkan lagi alasan dia untuk tidak bersama Chad. Dia anak yatim lagi piatu. Manakan setara dikelilingi keluarga Chad. Walau Chad itu anak raja sekalipun, dia tak akan terima. Sebab dalam hatinya sudah tersemat lama dengan sebaris nama. Ayin!
“Sekarang, kau dah tahu siapa family Chad. Kau masih nak tolak lagi ke?”
Yaya tenung wajah Azhan di depannya tepat-tepat. “Dalam hati aku hanya ada Ayin. Tak kiralah siapa sekalipun Chad tu. Sekarang alasan aku lagi kukuh. Aku tahu Puan Julita mahukan yang terbaik untuk Chad, kerana Chad tu satu-satunya anak lelaki mereka. Chad bakal menjadi tunjang keluarga dan syarikat mereka. Jadi perempuan yang berdiri di sisi Chad tentulah seorang yang boleh mereka percayai. Hanya kau yang layak. Kau adalah orang yang boleh mereka sandarkan harapan untuk bahagiakan Chad. Aku yakin kau calon yang terbaik, sebab aku kenal sangat kau orang yang macam mana, jenis yang macam mana. Kau sahabat aku. Kau baik. Walaupun kau tahu Chad sukakan aku, kau langsung tak ambik hati pada aku. Tak pernah kau buat yang bukan-bukan pada aku sebab cemburu. Kau tak pernah marah aku. Jadi aku mahu pulangkan semula Chad dekat kau. Aku nak tengok sahabat aku ni bahagia. Ini saja caranya aku nak balas budi keluarga Chad, tanpa melibatkan hati dan perasaan aku. Aku nak pastikan, kalau aku tolak harapan keluarga Chad, mereka takkan kecewa. Kerana bakal yang menggantikan aku, tidak akan mengecewakan mereka juga.”
Lantas Azhan memeluk tubuh Yaya erat. “Terima kasih Riya, sebab kau percayakan aku.” Hati mula rasa sendu.
“Akukan sahabat baik kau,” ujar Yaya selepas Azhan meleraikan rangkulannya. Air mata di pipi Azhan disapu. Mereka berbalas senyum kemudiannya.

1 comment: