Bab 33
Wajah Cik Riya yang
samar-samar, Ayin pandang tidak berkelip.
Perempuan itu diperhatikan sewaktu kakinya melangkah keluar meninggalkan
bilik training. Hati Ayin terdetik. Cik
Riya tu memang sesuatu! Bingkas Ayin bangun meninggalkan kerusi dan pergi
mengambil buku manual ISO yang ditinggalkan oleh Cik Riya dia atas meja. Duduk
lama-lama dalam bilik ini seorang diri, buat dia rasa seram sejuk. Sudahlah
gelap. Terus dia turun ke tingkat dua.
“Encik Azrin, macam mana
dengan training tadi?” sapa Azhan
ramah.
Ayin senyum. Kagum dengan
sikap gadis itu. Walaupun mereka baru berkenalan tetapi perilakunya amat mesra.
“Ish! Tak boleh tahan. Mengantuk!”
Azhan ketawa. “Biasalah
tu. Bab kita diceramahkan, memang macam tu. Bila time majlis-majlis ilmu, setan memang suka menyelit. Lepas tu,
mulalah menghasut. Fuh... Fuh... Tidurlah
kau, tidurlah kau... Itu yang mata stim... saja tu!”
“Ha ha ha ha...” Ayin lepas tawa. Geli hati mendengar kata-kata
Azhan. “Macam-macamlah awak ni, Azhan.”
“Saja buat lawak... Saya
nak hilangkan rasa mengantuk Encik Azrin tu!”
“Saya masuk ofis dulu ya.”
Ayin mahu beredar. Buku manual ISO ni mesti dia khatamkan. Cepat dia khatam,
adalah alasan dia nak bertentang mata dengan Cik Riya tu.
“Kalau Encik Azrin rasa
mengantuk lagi, suruh saja Laila buatkan kopi,” ujar Azhan sebelum beredar ke
mejanya. Sebut saja Laila lantas Ayin teringat. Dia perlu bertanya kepada Azhan
tentang kuih bangkit tepung tu.
“Azhan! Sekejap!”
Derap kaki Azhan terhenti
sebelum berpaling. “Ada apa Encik Azrin?”
“Saya ada benda nak tanya
awak.”
“Apa dia tu Encik Azrin?”
“Awak tahu siapa yang
letak kotak hadiah atas meja saya sebelum saya masuk kerja pagi tadi? Saya
tanya Laila, dia kata tak tahu. Awak masuk kerja paling awal kan?”
Azhan ketap bibir atas
bawah. Ada dua nama terlintas di kepalanya saat ini. Hanya dua orang tu saja
yang berada di dalam bilik bos dia awal pagi tadi. Selepas itu tiada siapa lagi
yang masuk. Dia pasti sebab dari mejanya boleh terus nampak pintu bilik bos. Kak
Midah? Takkanlah! Dah taraf mak pada bos. Tak mungkin Kak Midah nak jadikan bos
anak ikan. Sepanjang yang dia kenal, Kak Midah baik orangnya. Riya punya kerja
ke? Memanggg... Sah-sah Riya punya kerja. Patutlah pagi ni, pelik sangat
perangai dia.
“Awak tahu tak Azhan?”
Ayin soal semula.
Azhan tersentak. “Tak!
Tak! Tak tahulah Encik Azrin. Mintak maaflah Encik Azrin, saya tak dapat tolong
Encik Azrin.”
“Itu yang saya pelik ni.
Siapa pula punya kerja?”
“Alah, nak pelik apa
pula, Encik Azrin? Biasalah tu. Mesti secret
admire Encik Azrin. Bos saya ni kan handsome?
Dalam ofis ni banyak bunga. Ada yang dah berkenanlah tu,” Azhan mula rasa tak
sedap. Cemas pun ada. Takut lelaki di hadapan dia ni dapat menghidu bahawa dia
tahu sesuatu.
“Hmm... Tak apalah! Lunch nanti saya belanja,” pelawa Ayin.
“Lunch saya keluar dengan Kak Fatimah dan...”
“Tak apa. Saya joinlah! Saya belanja Kak Fatimah sekali,”
pangkas Ayin.
“Orang kata rezeki jangan
ditolak, musuh jangan dicari. Bos nak belanja jangan kata tidak, lain kali ada can nak kena belanja lagi.” Azhan
berpantun empat kerat.
“Saya okey saja...” Mereka
berdua sama-sama ketawa selepas itu. “Tunggu saya dekat bawah nanti.”
“Okey bos!” balas Azhan.
Selepas itu Ayin
melangkah ke dalam pejabat, buku manual ISO yang berada di dalam genggaman,
diletakkan ke atas meja. Bersebelahan dengan bekas kuih bangkit tepung. Dia
duduk di kerusi dan kemudian merenung kedua-dua objek itu. Lama!
Peristiwa yang dialaminya
sepanjang pagi ini memang pelik. Pertama kuih bangkit ini meninggalkan persoalan
di fikirannya. Siapa dalam syarikat ini mengenali dia selain Chad? Takkan Chad?
Chad mana tahu kuih ni favourite dia
dan Chad juga tak pandai buat bangkit tepung yang rasanya sama seperti Nek Ngah
punya. Mustahil! Ketika Chad telefon semalam pun, Chad tak ada kata apa-apa
selain ucapan selamat bekerja.
Yang kedua, tuan empunya
buku manual ISO ini. Tingkah lakunya memang sesuatu. Dua jam dia berada di
dalam bilik training, seinci pun dia
tak dapat melihat dengan jelas wajah pemilik nama Cik Riya tu. Dan yang paling
pelik, sikap Cik Riya seperti sengaja nak mengenakan dia. Mujur juga Cik Riya
tunggu semua pekerja baharu keluar dulu, barulah ditujah dia dengan
soalan-soalan mengarut tu. Kalau tidak, malu dia.
Buku setebal satu inci
itu dicapai. Helaian diselak-selak. Manalah tahu, kot-kot ada tertulis apa-apa
pasal Cik Riya, atau terselit apa-apa barang kepunyaan Cik Riya. Selepas tiada
apa-apa yang menarik pada buku itu, Ayin letakkan semula di atas muka meja.
Lupakan dua benda ini buat sementara. Dia perlu berjumpa Encik Rasyid, Manager Marketing Department, merangkap
bosnya. Tadi mereka sudah berkenalan. Sekarang giliran untuk mendengar
penerangan Encik Rasyid tentang skop kerjanya dan kerja-kerja yang ditinggalkan
oleh Assistant Marketing Manager
sebelum ini yang perlu dia ambil alih.
******
Puas juga dia menyembunyikan diri. Menyusup ke sana, menyelinap
ke sini. Terjenguk-jenguk ke sana, terjengah-jengah ke sini. Bimbang
terserempak dengan Ayin. Kalau Ayin tak perasan dia, tak apalah tapi, macam
mana kalau Ayin kenal dia? Rosak rancangan nanti. Yaya tersenyum sendirian
mengenang kejadian pagi tadi.
Selepas Kak Fatimah bawa
semua pekerja baharu melawat seluruh bahagian syarikat, tergocoh-gocoh dia
menyediakan projector. Dia mahu bilik Training
tu bergelap sepanjang masa. Jadi Ayin tak ada can nak tengok muka dia. Selepas satu jam dia lihat Ayin mula tersengguk-sengguk
mengalahkan burung belatuk. Akhirnya, Ayin tertidur. Mujur tak sampai
berdengkur. Dia biarkan saja. Selepas training
tamat, sengaja dibiarkan lampu bilik malap. Ada agenda lain yang perlu
dilaksanakan. Selepas membenarkan semua pekerja bersurai, dia lihat Ayin pantas
bangun dari kerusi. Nak keluar? Jangan harap! Elok pula segar-bugarnya. Tadi
bukan main lagi macam orang tengah lalok.
Siaplah Ayin, dia nak test sekejap
lagi.
Terus dia berkata,
“kecuali Encik Azrin.” Ayin keras di kerusinya. Nak terbarai ketawa dia. Puas
juga dia menahan.
“Sebab Encik Azrin ada special training lagi lepas ni.” Kita tengok dia macam mana. Terror ke tak terror? Time training
tadi, dia bantai buat taik mata!
“Kenapa?”
Ha ha ha ha... Dalam hati mula gelak sakan bila dengar Ayin bertanya
seperti tidak puas hati. Bunyi macam nak marah pun ya juga. Rendah sangat takat
kesabaran si Ayin ni rupanya. Mula nak merungutlah tu! Tak adalah sejauh mana
Ayin berubah. Kalaulah boleh dia lihat air muka Ayin waktu itu, tentu tengah
merah menyala.
“Sebab Encik Azrin tidur masa saya bagi penerangan tadi.
Jadi Encik Azrin kena buat training
ni sekali lagi.” Dia tenung muka Ayin sambil tersenyum lebar. Nampak
sangat Ayin tengah mengelabah. Ayin
menafikan. Macamlah dia ni buta. Berpuluh kali dia lihat Ayin
tersengguk-sengguk tadi. Boleh dengar bunyi Ayin menguap, lagi tak nak mengaku
ke?
“Encik Azrin dengar, tapi bukan lihat. Mendengar dengan
mata tertutup? Dengar tu lain, lihat tu lain. Kalau dengar saja, tapi tak
melihat, alamatnya tak faham. Encik Azrin kena training balik bab ISO ni!” Ingatkan Ayin nak marah. Sudah bersedia
kalau Ayin tiba-tiba sembur dia. Alih-alih Ayin duduk semula di kerusinya. Boleh
tahan juga sabarnya. Tak apa dia nak test
lagi! Tayangan slide untuk bab ISO dimainkan semula tetapi Ayin tetap tak beri
sepenuh perhatian. Ayin termenung pula. Dia hentikan tayangan slide. Mata
menghadap Ayin. Nak provoke Ayin
lagi.
“Okey! Kalau Encik Azrin faham tentang ISO ni, cuba bagitau saya apa maknanya?” Dalam
samar-samar cahaya, dia renung wajah Ayin tepat-tepat. Ayin terkulat-kulat. Dia
mula nak tergelak bila Ayin
tergagap-gagap menjawab. Dia tujah lagi dengan soalan lain.
“Apa policy
syarikat kita?” Masih lagi tergagap-gagap. Aaaa...
hmmm... aaaa... hmmm saja yang keluar dari mulut Ayin. Dah sah-sahlah tu, tak
tahu. Itulah, orang bercakap dekat depan, dia buat taik mata dekat belakang. Dia sergah dengan satu lagi soalan.
“Apa motto syarikat kita?” Ayin senyap. Dia bagi lagi
soalan.
“Apa objective
syarikat kita?” Dia lihat Ayin garu kening. Kalaulah dia boleh ketawa saat ini,
memang dideraikan tawa dia sepuas-puasnya. Seronok menyakat Ayin. Bagus! Tinggi
juga tahap kesabaran Ayin. Walaupun puas dia mempermainkan lelaki itu, Ayin
masih lagi boleh bertahan. Pandai Ayin menjaga egonya. Tiba-tiba Ayin mohon
maaf.
“Maaflah Cik Riya. Saya mengaku, saya tak beri sepenuh
tumpuan dan perhatian tadi. Saya janji, lepas ni saya study balik apa yang Cik Riya telah terangkan.” Dari kesamaran cahaya
projector, dia dapat melihat betapa tenangnya Ayin mengakui kesilapannya. Tak
sampai hati pula dia nak mengenakan Ayin lagi. Bagus! Ayin dah lulus ujian
pertama. Kita tengok pula ujian ke dua nanti macam mana.
“Maaf awak diterima!” Dia lihat Ayin seperti terkedu.
Terus dia bangkit dari kerusi. Selepas projektor
dimatikan, keadaan bilik Training
menjadi semakin gelap. Kalau projektor masih terpasang, nanti lalu depan skrin
tu Ayin boleh nampak pula muka dia. Dia tinggalkan buku manual ISO dengan
tujuan untuk dipinjamkan kepada Ayin. Belum habis dia berkata, Ayin sudah
menyambutnya. Seperti tahu apa yang sedang dia fikirkan.
“Nanti saya nak pinjam buku manual ISO tu. Boleh?”
“Encik Azrin baca. Lepas tu pulangkan semula.” Tiba-tiba
terdetik sesuatu di dalam akal.
“Jangan hilang!” Amaran itu sengaja dikeluarkan. Kerana
dia tahu sesuatu di dalam akal itu akan berlaku tidak lama lagi. Selepas itu,
dia asyik tersenyum meleret saja, bila terkenangkan kejadian itu.
No comments:
Post a Comment