Total Pageviews

Monday, April 13, 2015

Benci / Cinta... Awak Budak Nakal - 35




Bab 35
Letak kuih bangkit dalam ofis Ayin, done! Hantar kuih bangkit rumah Mak Long, done! Ada satu lagi agenda yang masih belum dilaksanakan. Yaya garu kepala. Kemudian garu pula belakang telinga. Idea tak juga mari. Garu cuping telinga. Lepas itu garu kening. Ilham tak juga datang. Yaya berdecit. Tiada akal bagaimana hendak melunaskan rancangan dia ini. Dari tengah hari tadi sampai sekarang dia berfikir tapi masih buntu.
“Riya, akak balik dulu ya?” Kak Fatimah tercacak depan meja bersama beg tangan yang sudah tersandang di bahu. “Dah pukul lima, tak balik lagi ke?” soal Kak Fatimah.
Aaaa... Riya ada kerja nak buat kak. Balik lewat sikit,” beritahu Yaya. Pen mata bebola diketuk-ketuk ke muka meja. Janganlah Kak Fatimah menyoal apa kerja yang nak dibuat tu. Kerja ni tak ada bersangkut paut langsung dengan PAC. Tak semena-mena rancangan muncul di dalam kepala. Selepas Kak Fatimah menjauhi mejanya, segera Yaya menghubungi Azhan.
“Azhan, hari ni kita balik lewat sikit boleh tak?”
“Kau banyak kerja ke?”
“Adalah sikit. Boleh tak kita balik lewat hari ni?” soal Yaya semula.
“Okeylah! Aku pun ada kerja juga ni. Nak balik pukul berapa?”
“Tengok dululah. Nanti aku telefon kau.” Selepas perbualan ditamatkan, Yaya kembali termenung. Bagus juga balik lewat. Sebabnya, boleh mengelak dari bertembung dengan Ayin. Boleh letak dulu kotak kuih bangkit atas meja Ayin untuk esok. Tak perlulah paksa Azhan datang ke pejabat awal-awal pagi. Boleh jalankan misi mencuri buku manual ISO yang dipinjamkan kepada Ayin pagi tadi tapi rancangan ni, macam susah saja nak lakukan? Yaya mengeluh lagi. Skrin komputer di hadapannya direnung kosong. Jari diketuk-ketuk ke papan kekunci tanpa tahu apa yang hendak ditaip.
Seorang demi seorang rakan sepejabat di aras tu meninggalkan meja masing-masing. Encik Kamil pula hari ini balik awal sebab mahu berjumpa pelanggan dalam perjalanan pulang. Kini dia tinggal sendirian. Yaya toleh melihat hujung koridor menghala ke bilik Encik Kamil. Sebahagian dari lampu di aras itu sudah ditutup. Cuma baris lampu di mejanya sahaja yang masih terpasang. Suasananya sedikit suram. Seram pula duduk sorang-sorang. Dalam kepala terbayangkan sesuatu. Kalaulah ada makhluk berwajah ngeri muncul di situ, merangkak datang kepada dia macam mana? Mahu mati kejung dekat meja ni. Tanpa menunggu, Yaya terus capai beg sandangnya dari dalam laci. Berlari menuju ke pintu. Pintu ditolak kuat dan melangkah dua mata tangga sekali turun. Sekejap saja dia sudah tiba di tingkat dua dan terus mencari Azhan.
“Kata nak balik lambat? Kerja kau dah siap ke? Cepatnya?” tebak Azhan sambil mata menjeling kepada jam di pergelangan tangan. Baru sepuluh minit kot Yaya telefon. Takkan dah siap kerja dia?
“Tinggal aku sorang saja dekat atas. Seriaulah!”
“Biasalah awal bulan. Kau saja yang terlebih rajin.”
“Kau tu?” Yaya muncungkan mulut. Dia masih berdiri di hadapan meja Azhan.
“Aku memang ada kerja. Encik Razehan tinggalkan banyak kerja separuh jalan, sebab tu aku kena sudahkan. Nanti pening pula kepala bos nombor dua aku yang baru tu.”
Bila Azhan menyebut tentang Ayin terus dia rasa teruja. “Azhan! Bos baru kau tu macam mana, okey tak?”
“Gila tak okey? Begini ha!” Azhan tayang dua ibu jarinya tinggi. Yaya menjuih.
“Dia belanja kau makan tengah hari tadi, tu sebab kau kata dia bagus.”
“Kau jangan jealous! Siapa suruh kau tak keluar makan dengan aku tadi?”
“Aku ada hal...”
“Yalah tu?” Malas Azhan hendak bertanya lagi. Dia tahu Yaya jarang hendak bercerita tentang hal-hal peribadinya. Kalau Yaya kata ada hal, adalah halnya tu. Kalau ditanya pun, tentu jawapannya, senyap!
“Dah habis ke kerja kau?”
Yaya diam. Memang dia tak ada kerja. Kerjanya hanyalah mencari akal bagaimana dia nak melunaskan rancangannya.
“Kau nak balik? Kalau nak balik, jomlah! Kerja aku ni, besok pun boleh buat.”
Nak balik?! Eh, mana boleh! Rancangan belum berjalan lagi ni. “Tak! Aku ada kerja lagi ni.”
Azhan menilik tubuh Yaya. Roman macam orang dah nak balik, lagi kata ada kerja? “Macam dah nak balik saja? Kerja apa lagi yang tak siap?”  Dahi berkerut bila melihat Yaya seperti orang kalut.
Aaaa... Aku nak buat surat untuk Perkeso. Nak buat dekat sini sajalah.”
“Kau nak guna komputer?”
Yaya angguk laju.
“Tu, kau guna komputer si Yati. Dia pun dah balik.”
Yaya angguk lagi. Selepas itu, dia menuju ke meja Yati yang terletak tidak berapa jauh cari meja Azhan. Sebelum duduk, sempat juga mata Yaya menular ke seluruh ruang pejabat Marketing dan Sales Department ini. Ada lagi tiga orang pekerja yang masih melakukan kerja masing-masing. Yaya duduk di kerusi. Butang ‘ON” untuk menghidupkan komputer di tekan. Pendrive yang sentiasa tersangkut di leher bersama kad perakam waktunya merangkap tanda nama, dileraikan. Lalu dicucuh ke tempatnya. Diklik lagi beberapa butang ikon. Terpampang fail di skrin komputer tapi hanya direnung kejap.
Azhan dari jauh memerhati. “Wei! Kau buat kerja ke, termenung?”
Yaya mengurut dada bila disergah. Sudahlah dia tengah leka mencari jalan melaksanakan rancangannya. Kena sergah begitu, terus bantut otaknya hendak berfikir. “Kau ingat tulis surat untuk jabatan kerajaan ni, senang ke?” Yaya tayang muka geram.
Ceh! Tulis surat rasmi saja kot. Bukannya surat cinta. Nak mengarang ayat berbunga-bunga.”
“Lebih kurang sama saja susahnya...” Yaya tak mahu mengalah.
Sssshhhhh... Ada bunyi isyarat menyuruh mereka senyap datang dari arah Sales Department.
Sorry!” Azhan mengangkat tangan memohon maaf ke arah mereka. Terus dia menyambung kerja. Mata sempat mengerling beberapa kali kepada Yaya. Temannya itu masih memandang skrin tanpa melakukan apa-apa. Malas Azhan hendak menegur. Nanti kena sound lagi dengan budak Sales.
Yaya menatap skrin putih di hadapannya, sambil otak berhempas-pulas berfikir mencari jalan. Tiba-tiba... Ting! Mentol idea menyala. “Azhan! Kuih yang aku buat semalam ada sikit lagi. Makan sambil minum kopi O best juga. Kau nak tak? Aku buatkan kopi O untuk engkau ya.” Azhan belum berkata apa Yaya sudah bangun dan bergerak menuju ke pantri. Pandangan Azhan menemani langkah Yaya. Seketika matanya jatuh ke tangan Yaya yang sedang memegang sesuatu.
Kotak hadiah? Kuih semalam? Bukan ke kuih Yaya buat tu, kuih yang sama bos nombor duanya pelawa dia rasa ketika menghantar fail Encik Razehan petang tadi? Nanti dia nak rasa kuih Yaya tu. Kalau sama rasanya, bermakna Yaya yang beri tapi apa tujuannya? Yaya suka bos baru dia ke? Kotak hadiah di tangan Yaya tadi serupa coraknya dengan kotak hadiah yang bos dia tunjukkan. Masa bila pula Yaya beri? Waktu pagi dalam pejabat bersama Kak Midah tu ke? Aduh! Banyaknya persoalan. Berbelit-belit. Pening pula kepala. Banyak benda yang Yaya sembunyikan dari dia sejak kebelakangan ni. Dia nak korek semua tu malam ini. Dia nak rungkai semua perkara yang Yaya sorokan dari dia. Selama ni, dia pendam saja bila Yaya biarkan soalannya banyak tidak berjawab. Sedang leka Azhan berbahas sendiri, dia lihat Yaya terkocoh-kocoh keluar dari pantri dan terus menuju ke bilik bos nombor duanya. Pelik! Kenapa pula masuk bilik tu? Azhan bangun dari kerusi ingin ke sana. Mahu melihat apa yang Yaya lakukan di dalam pejabat itu. Langkahnya disusun panjang-panjang menuju ke sana.
“Azhan! Sekejap!”
Derap kaki Azhan terhenti. Dia berpaling ke arah suara itu. “Ada apa Dila?”
“Sekejap. Aku ada benda nak tanya kau,” ujar Dila. Salah seorang kerani Sales Department.
Azhan garu tepi kepala. “Sekejap lagi boleh tak? Aaaku... nak pergi toilet sekejap.”
“Okeylah! Lepas kau pergi toilet, datang jumpa aku ya?”
Azhan angkat tangan menunjuk isyarat okey. Dia berpaling meneruskan langkah.
“Eh, kau nak pergi mana Azhan?! Ini kopi O kau.” Yaya sudah berdiri di sisi meja Azhan bersama dua mug di tangan. Kotak hadiah sudah tiada di tangan Yaya.
“Kau dah keluar ke?” Jari telunjuk ditunding kepada Yaya.
“Yalah, aku dah keluar. Buat apa duduk lama-lama dalam pantri tu? Buat air saja kot.”
“Tadi kau kan masuk...” kata-kata Azhan mati apabila Dila memanggilnya.
“Azhan cepatlah. Kata nak pergi toilet. Aku ada benda urgent nak tanya ni.”
“Nak pergi toilet, pergilah cepat. Karang terkucil lagi susah,” ujar Yaya pula. Satu mug kopi O diletakkan di atas meja Azhan. Dia kembali ke meja Yati. Selepas mug untuknya diletakkan di atas meja, Yaya keluarkan satu bekas plastik. Menuju ke meja Azhan semula. Tutup bekas dibuka dan diletakkan di atas meja Azhan. Beberapa ketul kuih bangkit dikeluarkan dan diletak di atas penutup. Pantas Azhan mencapai seketul kuih bangkit di atas meja dan dimasukkan ke dalam mulutnya.
Hah, sama?!

3 comments: