Prolog
Yaya panggung kepala merenung bulan di dada langit. Dia seperti
pungguk sedang merindu. Wajah bulan yang bersinar terang direnung tanpa
berkelip. Ada harapan dipohon. Moga bulan bisa jatuh ke ribanya. Agar hilang
segala rindu dan lara. Yaya rindukan abah dan umi. Dia juga rindukan semua
insan yang pernah hadir di dalam hidupnya. Nek Ngah, Mak Ina, Syidan, Ayip, Pak
Long, Mak Long, Along. Dan yang paling dirindui, si budak nakal. Pemilik nama
‘Ayin’ itu.
Sembilan tahun sudah berlalu. Bermakna sembilan tahun
juga Yaya bermastautin di pendalaman Sungai Sipitang ini. Satu jangka masa yang
cukup lama. Namun ianya tidak mampu membuatkan Yaya lupa segala kenangan sewaktu
di Semenanjung dahulu. Tanah di mana tempat dia dilahirkan. Rindu yang meruntun
hati menerbitkan rasa pilu. Air mata Yaya mengalir lesu di sudut pipi. Menitis
perlahan-lahan. Kemudian semakin laju berjujuran. Bukanlah dia sedang menangisi
keperitan hidupnya ini. Bukan juga dia menyesali apa yang terjadi. Arwah abahnya
selalu berpesan.
“Jangan merungut. Jangan mengeluh. Jangan selalu menangisi
nasib, Yaya. Apatah lagi menyesali takdir yang menimpa. Itu bermakna kita tidak
reda. Sepertinya kita enggan menerima ketentuan Allah SWT.” Tetapi, sesekali
air mata ini tidak mampu ditahan. Bila kala perasaan menjeruk hati, ianya turun
tanpa diundang.
“Abah, Yaya rindukan abah. Yaya rindukan umi,” keluh Yaya
bersama sendunya. Anak mata kini memandang ke hadapan. Suramnya malam bagai
membayangkan perjalanan hidupnya. Sunyi dan sepi. Dia meraba tanpa arah. Terasa
masa depan semakin malap.Tambahan selepas Pak Ngahnya meninggal dunia pada dua
minggu yang lepas. Rasa kehilangan ini, sama seperti yang pernah dia alami pada
dua belas tahun dahulu. Saat di mana hidupnya hilang punca. Kala gelaran anak yatim
piatu tersandang di bahunya.
“Abah, umi... Yaya rindu...” Tangisan Yaya semakin
berlagu. Dalam hati terbesit satu angan. Alangkah indah hidup ini, sekiranya kedua
orang tuanya masih ada. Andai mereka masih bernyawa, jalan hidup dia pasti
bukan begini ceritanya. Beransur-ansur peristiwa yang berlaku ketika dia berumur
empat belas tahun berlegar di ruang minda. Serasa detik kehilangan abah dan umi
seperti baru semalam terjadi. Segalanya masih, kukuh, utuh dan segar di ingatannya.
Nak smbungan bab 19 n bab 20..
ReplyDelete