Bab 16
Pintu rumah ditolak kasar. Pantas kaki Mak Ngah melangkah
menuju ke dapur. Dia pasti Yaya tentu berada di sana.
“Yaya! Yaya!” Suaranya melengking kuat memanggil nama
gadis itu. Merata matanya melilau mencari Yaya. Namun Yaya tiada di situ.
“Yaya! Kau pekak ke Yaya? Tak dengar aku panggil!”
Memetir lagi suaranya. Derap terus disusun ke arah belakang rumah pula.
“Ya, mak ngah?” Wajah ayu itu muncul tiba-tiba di muka
pintu.
Pang! Terpaling muka Yaya ke tepi. Terasa perit kulit muka. Telapak
tangan ditekap ke pipinya. Bahang panas mula terasa. Butir air mata pula terbit
di hujung irisnya.
“Kenapa mak ngah?” suara Yaya bergetar. Perasaan takut
dan sedih berbaur.
“Kau tanya aku kenapa? Patutnya aku yang tanya kau.
Kenapa?!” Mata merah menyala mencerlung kepada Yaya penuh kebencian.
“Kenapa apa mak ngah?” Yaya beranikan diri untuk menyoal
kembali. Entah apalah silap dia kali ini?
“Ooo...
Buat-buat tanya? Pandai kau berlakon ya?” Dahi Yaya ditujah dengan telunjuk.
“Apa yang kau mengadu dekat Encik Kamil tadi hah?! Apa yang kau cakap?!”
“Mengadu apa mak ngah? Yaya tak ada cakap apa-apa pun
pada Encik Kamil.” Yaya tepis tuduhan Mak Ngah. Seingatnya, dia tak mengadu
apa-apa pun kepada Encik Kamil.
“Kau jangan nak tipu aku, Yaya! Kau ingat aku tak tahu,
kau buruk-burukkan aku pada Encik Kamil kan?!” Tubuh Yaya ditolak kuat. Hampir
terlentang tubuh kurus itu di atas tanah. Air mata Yaya merembes laju. Apa saja
yang Mak Ngah tak puas hati dengan dia?
“Sumpah mak ngah. Yaya tak pernah buat macam tu. Yaya tak
ada cakap apa-apa pun pada Encik Kamil tadi.” Suara Yaya tersekat-sekat.
“Lagi kau nak menipu ya?! Budak tak guna. Tak mengenang
budi. Selama ni aku bela kau. Keluarkan duit untuk makan dan pakai kau. Ini
yang kau balas pada aku?!” herdik Mak Ngah tinggi. Kewarasannya hilang. Tangan
Mak Ngah pantas mencapai penyapu lidi yang tersandar di dinding rumah. Tanpa
belas, tubuh Yaya dibeduk berulang kali. Terjerit gadis itu mengaduh kesakitan.
“Sejak kau datang sini, kau menyusahkan hidup aku.
Sekarang kau bercakap belakang aku pula. Kau buruk-burukkan aku!” Setinggi
mungkin dihayun penyapu itu.
“Ampun mak ngah. Sakit mak ngah. Jangan pukul Yaya. Yaya
mintak maaf” Rayuan itu tidak dihiraukan. Tangan Mak Ngah laju memukul penyapu
ke tubuh Yaya.
“Kau mengadu aku pukul kau, ya? Sekarang aku pukul kau
cukup-cukup. Biar kau jeran. Kalau kau berani nak mengadu lagi, aku
patah-patahkan tangan kau ni!”
Yaya bangkit lalu menyembah di hujung kaki Mak Ngah.
“Ampunkan Yaya, mak ngah. Yaya tak buat lagi.”
Mak Ngah campak penyapu lidi ke tanah. Turun naik, turun
naik dadanya kerana lelah menghambat Yaya sepenuh hati. Tubuh Yaya yang
bersimpuh di hadapannya di tendang kuat. Terasa berbalas sakit di hatinya ini.
Yaya mengaduh menahan senak di perut.
“Kau nak sangat ikut Encik Kamil balik Semenanjung, ya?
Pergilah! Pergi ikut dia. Aku pun tak ingin tengok muka kau dekat sini. Kau ada
pun menyusahkan aku. Kau pergi...!” jerit Mak Ngah kuat. Ditinggalkan Yaya yang
masih terjelepok di atas tanah. Di telinga Mak Ngah masih terngiang-ngiang
kata-kata Tuan Pengurusnya tadi.
“Saya dah banyak kali dengar cerita awak marah-marah dan
pukul, Yaya. Kenapa awak buat dia macam tu Rozana? Diakan anak yatim piatu?
Mana pergi sifat kemanusiaan awak tu?”
Encik Kamil nak kata dia ni zalim ke?! Sakit benar
hatinya dengan kata-kata itu. Kalau mahu diikut rasa hati, dibelasah
cukup-cukup tubuh Yaya tu. Biar terlunas perit di hati dia ini tapi, kalau mati
pula budak tu dia juga yang susah nanti.
Semenjak hari itu, semakin galak Mak Ngah memukul Yaya.
Pantang silap saja, walaupun sekecil hama, cepat Mak Ngah melenting. Setiap
kali marah tentu tangannya berjalan sekali. Apa saja yang tercapai itulah yang
digunakan oleh Mak Ngah memukul Yaya. Jadi, Yaya nekad. Hatinya sudah
dibulatkan. Setelah difikir semasak-masaknya, ditimbang sedalam-dalamnya, dia
putuskan pendalam Sungai Sipitang ini akan ditinggalkan. Dari hidup semakin
terseksa, lebih baik dia menjauhkan dirinya. Dua minggu sebelum Encik Kamil
berangkat pulang, Yaya bertemu lelaki itu.
“Yaya setuju ikut Encik Kamil balik Semenanjung.”
“Yaya jangan bimbang, saya akan uruskan semuanya nanti.”
Senyuman ikhlas dilemparkan kepada Encik Kamil. “Terima
kasih Encik Kamil,” ulang Yaya sekali lagi.
“Pasal wang belanja dan tambang kapal terbang, Yaya
jangan risau. Saya akan sediakan. Minggu depan kita berangkat. Isteri saya pun
setuju saya tolong Yaya balik ke Semenanjung semula. Dia pun kesian tengok
keadaan Yaya di sini.”
“Terima kasih Encik Kamil, dan sampaikan juga ucapan
terima kasih Yaya kepada Puan Julita.” Untuk yang kesekian kalinya ucapan itu
diluahkan.
“Lagi satu Yaya. Dah balik Semenanjung nanti apa
rancangan Yaya?” Encik Kamil bertanya. Alang-alang sudah menolong, biarlah sampai
hidup gadis itu terjamin.
“Entahlah Encik Kamil. Yaya tak tahu lagi. Rasanya Yaya
nak balik kampung keluarga angkat Yaya dulu. Dari situ baru Yaya fikirkan, apa
rancangan seterusnya.”
“Saya akan mula bekerja di sebuah syarikat di Kuala
Lumpur dua minggu lagi. Apa kata, saya bawak
Yaya bekerja di sana. Yaya mahu tak ? Tentang tempat tinggal, Yaya jangan
risau. Nanti saya suruh isteri saya tolong carikan.”
“Terima kasih Encik Kamil... terima kasih...” Lega sungguh
hati Yaya mendengarnya. Tahu sajalah, kelulusan dia setakat SPM. Tentu susah
mencari pekerjaan dengan pengalaman dan pendidikan dia yang terhad ini.
Yaya berdoa semoga dua minggu ini segera berlalu. Hatinya
gembira. Tempat yang banyak menyimpan duka ini akan ditinggalkan. Bukannya dia
tidak sayangkan arwah Pak Ngah tetapi di Semenanjung, tempat arwah umi dan
abahnya bersemadi. Sudah tentu dia memilih untuk berada di sana. Pulang untuk
berada dekat dengan arwah umi dan abahnya.
******
Yaya membuang pandang ke luar tingkap pesawat AirAsia. Di
bawah, laut membiru luas terbentang. Di atas, langit memutih sejauh mata
memandang.
Senyuman Yaya sedari tadi tidak habis-habis menyeringai
hingga nampak gusi. Sepertinya dia sedang bermimpi. Hendak dicubit pipi, takut
sakit pula nanti. Sebabnya dia yakin, ini bukanlah mimpi. Tapak kaki sudah
terasa gatal hendak memijak bumi Kampung Batu. Hati tidak sabar-sabar untuk
berkunjung ke pusara abah dan uminya. Wajah-wajah yang dia rindui juga sudah
melayang-layang di depan mata. Bagaimana agaknya keadaan Kampung Batu? Rumah
Nek Ngah dan Mak Ina, adakah secantik dulu? Nek Ngah, Mak Ina, Ayip, Shidan,
Mak Long, Pak Long dan Along, bagaimana? Budak nakal tu pula, rasanya mesti
bertambah handsome sekarang ni. Bila
teringatkan budak nakal itu, serta-merta terkenang kembali detik pertama mereka
bertemu. Secubit senyumannya tercalit di bibir.
“Kenapa Yaya?”
Yaya menoleh melihat Puan Julita. Encik Kamil di sebelah
isterinya juga turut memandang kepadanya.
“Tak sabar nak jejak kaki ke Semenanjung semula ke?”
Sebaris senyuman menyertai soalan Puan Julita itu. Yaya senyum seraya
mengangguk kepala.
“Tak lama lagi sampailah. Empat puluh lima minit saja
lagi,” ujar Encik Kamil pula.
Anak mata Yaya beralih ke wajah Encik Kamil. “Yaya rindu
nak ziarah kubur arwah umi dan abah. Sejak arwah Pak Ngah bawak Yaya tinggal di Sungai Sipitang, Yaya tak pernah balik ke
Kampung Batu. Dah sembilan tahun.”
“Macam mana arwah abah dan umi Yaya boleh merantau sampai
ke Semenanjung?” soal Puan Julita.
Yaya tunduk. Dia tahu sejarah hidup umi dan abahnya.
Kenapa dan bagaimana mereka boleh tercampak jauh ke bumi Kampung Batu. Cerita
itu pun dia tahu dari Pak Ngah.
“Yaya, saya mintak maaf kalau soalan saya ni menyinggung
perasaan Yaya.” Puan Julita paut tangan Yaya lalu diusap tangan gadis itu.
Yaya geleng. “Tak apa Puan Julita. Abah dan Pak Ngah sebenarnya
berasal dari Lundu, Sarawak. Keturunan Bidayuh Selakau. Selepas kampung mereka
ditimpa bencana tanah runtuh, abah dan Pak Ngah kehilangan semua kaum keluarga
mereka. Lalu mereka ikut kawan-kawan bekerja di Sabah. Kemudian berpindah ke
Sungai Sipitang bekerja dengan Sabah Forest. Di sanalah abah bertemu umi dan
jatuh cinta, tapi dihalang oleh keluarga umi kerana perbezaan agama. Kemudian abah
dan umi lari ke Semenanjung, berkahwin dan menetap di Kampung Batu.”
Lalu diceritakan sejarah hidupnya yang kehilangan orang
tua dan selepas itu dibela oleh keluarga angkatnya. Selepas tiga tahun tinggal
bersama keluarga angkat, Pak Ngah datang bersama amanat datuk dan neneknya
supaya mencari abah dan umi. Kerana orang tuanya sudah meninggal dunia, Pak
Ngah menuntut hak sebagai waris terdekat untuk menjaganya. Air mata yang
mengalir ketika bercerita diseka.
“Yaya, maafkan saya dan suami saya. Kami dah buat Yaya
rasa sedih.”
Yaya senyum nipis. Tangan Puan Julita yang masih berpaut
erat di tangannya, ditepuk perlahan berulang kali. “Yaya menangis bukan sebab
Yaya sedih. Yaya gembira kerana Puan Julita dan Encik Kamil lah, Yaya dapat
pulang semula ke Kampung Batu. Yaya dapat ziarah kubur arwah abah dan umi
selepas sekian lama. Yaya dapat jumpa semula keluarga angkat Yaya.”
“Tentu keluarga angkat Yaya tu baik kepada Yaya kan?
Sebab tulah Yaya nak jumpa mereka semula.”
“Mereka memang baik, Puan Julita.” Jujur dia menjawab.
Kembali wajah-wajah yang dirindui tergambar di ruang matanya.
No comments:
Post a Comment