Total Pageviews

Wednesday, March 11, 2015

Benci / Cinta... Awak Budak Nakal - 5




Bab 5
Setahun berlalu, Hari Raya Aidilfitri muncul kembali. Kali kedua Yaya berjumpa Ayin, perangainya tetap juga sama. Sedikit pun tidak berubah. Ayin masih lagi seorang budak yang banyak cekadak, banyak bunyi, banyak songeh, sangat kekwat, banyak keok, asam kedondong, asam kecut, tapai benyek, teramat kerek dan berperangai arek. Yang berbeza cuma wajah Ayin. Ada kelihatan tanda-tanda meningkat dewasa. Kumis tipis sudah menghiasi wajahnya. Reroma juga semakin lebat di ketingnya.
Ush! Sampai ke situ Yaya membelek budak Ayin tu? Gatai! Bulu dada dah tumbuh ke belum tak nak tengok Yaya oi?! Ayin tu dah tingkatan empat. Perubahan fizikal tu biasalah! Orang dah akil baligh...
Seperti tahun sebelumnya, masuk sahaja hari kedua beraya di kampung Ayin sudah mula bising mahu pulang ke KL. Betapa kecewanya hati Yaya. Belum puas memandang wajah ketat yang mahal senyuman itu, Ayin sudah tiada di depan mata. Seingat Yaya selama dia tinggal bersama Mak Ina, hanya Pak Long, Mak Long dan Along saja yang rajin melawat mereka. Ayin tidak pernah sekali pun mengikut. Memang Ayin takkan balik ke kampung selain dari hari raya. Boleh bah kampung ni kalau Ayin balik bukan masa hari raya.
Musykil dengan sikap Ayin, Yaya bertanya kepada Along. Ketika itu Along bercuti di rumah Nek Ngah sementara menunggu keputusan SPMnya diumumkan. Lama juga Along berada kampung. Setiap petang, selepas berjoging mengelilingi kampung mereka duduk berbual di bawah pokok jambu susu di belakang rumah Nek Ngah. Sambil-sambil menghilangkan lelah, Yaya ambil kesempatan bertanya kepada Along mengenai Ayin. Kalau nak tahu, kenalah buat muka tak malu.
“Along, kenapa Ayin tu tak nak ikut Along balik ke kampung ni?”
Aik! Apasal tiba-tiba Yaya tanya pasal Ayin ni?” Along tayang senyum perli. Yaya menggaru tepi pipi. Mencari jawapan sesuai untuk soalan Along. Tak mahu Along tersalah anggap pula. Tengok senyuman Along yang dua tiga macam tu pun sudah tahu, Along bakal mengusik dia apabila soalan tentang Ayin diutarakan nanti.
Emmm...Sebenarnya Yaya peliklah! Kenapa Ayin tu tak suka balik kampung?”
“Alahhh... Yaya bukannya tak tahu perangai Ayin tu! Dia lagi sanggup tinggal dekat KL dengan bibik, dari balik ke sini. Ayin tak berapa suka tinggal di kampung ni banyak sebabnya, Yaya. Katanya dia rimas, panas. Kampung ni kotor, banyak nyamuk. Macam-macam lagilah. Lagipun dekat kampung ni, Ayin tak bebas nak pergi ke sana ke mari macam dekat bandar tu. Kalau di KL, dia ramai kawan. Ayin boleh main di padang, pergi CC, lepak dekat mall. Ayin tu mana reti duduk diam. Balik kampung ni saja dia jadi pendek akal. Tak tahu nak buat apa. Mati kutu... Tu yang dia cepat boring duduk sini.
Masa hari raya tu pun, dia terpaksa ikut kita orang balik sini pasal dekat rumah bibik tak ada. Bibik pun nak juga bercuti, sambut hari raya dengan keluarga dia. KL tu, bila musim raya, lengangnya macam dilanggar geruda. Nanti lagi dia boring. Itu yang dia nak ikut. Kalau tak, jangan mimpilah!” jelas Along panjang lebar. Tanpa banyak soal Yaya percaya saja cakap Along.
“Ayin tu ada masalah apa sebenarnya, along?” Yaya tanya pula soalan lain. Sudah terlanjur bercerita mengenai Ayin, lebih baik dikorek habis-habisan. Inilah masanya. Along pun seperti tak kisah sahaja bercerita tentang Ayin.
“Apa maksud Yaya?” Along yang kurang faham menyoal semula.
“Maksud Yaya perangai dia tu. Memang perangai Ayin macam tu ke, along?”
“Maksud Yaya?” Yaya jeling Along. Ni saja-saja buat tak faham ke, ataupun memang betul-betul tak faham?
“Perangai kekwat dia tu la... Ada saja yang tak kena. Kuat merungut. Muka ketat dua puluh empat jam. Yaya ni, belum pernah sekali pun dia tegur tau! Buat dekkk... saja. Sombong yang amat,” adu Yaya tanpa belas kasihan. Along sengih lagi.
“Kompelin pasal Ayin rupanya... Tak puas hatilah ni, pasal Ayin tak pernah tegur Yaya?”
“Along ni... Yaya tanya jawab sajalah. Tak payahlah nak usik Yaya.” Yaya tarik muncung panjang. Along kalau dibiarkan, memang tak nak lepas peluang langsung mengusik dia.
“Yaya ni..., takkan tak faham-faham lagi? Orang tak suka, kalau dipaksa juga buat benda yang dia tak suka, perangainya mestilah macam Ayin tu. Ada saja yang tak kena. Pasal kenapa dia tak pernah tegur Yaya tu, along tak berani nak cakap apa sebab sebenarnya. Cuma along boleh teka saja. Along rasa dia mula dingin dengan perempuan lepas dia frustrated dulu.”
Frustrated?” cepat Yaya memintas kata-kata Along.
“Ya! Frustrated. Putus cinta dengan awek dia dulu.”
“Putus cinta?”
Along angguk laju. “Masa tu Ayin dalam tingkatan dua. First time dia jatuh cinta pada seorang budak perempuan yang baru pindah ke sekolah kami. Bila dia usha, budak perempuan tu layan. So, Ayin pun declare lah budak perempuan tu sebagai awek dia. Rupa-rupanya dalam senyap-senyap, budak perempuan tu buat hubungan lain. Bila Ayin tahu, mengamuklah Ayin. First time jatuh cinta, lepas tu dikecewakan pula. Mana dia tak frustrated. Sejak tu, along tengok dia tak rapat ataupun tegur mana-mana perempuan lagi. Anti perempuanlah agaknya tu.”
“Along tak pernah tanya Ayin?” Yaya bertanya sebaik sahaja usai Along bercerita.
“Ada... Along siap kena bambu dengan Ayin bila along tanya. Lepas tu taubat along tak nak tanya lagi dah!” Sekarang Yaya dapat jawapan kenapa Ayin buat tak tahu saja dengan dia. Anti perempuan rupanya. Ingatkan awek Ayin dulu tinggalkan dia sebab perangai Ayin yang tak berapa semenggah tu. Rupanya perangai dia jadi kekwat pasal budak perempuan tu.
Cinta, memang boleh buat orang menderita, desis Yaya.
Ketika waktu Along bercuti itulah, semakin hari Yaya semakin bertambah rapat dengan Along. Ke mana saja Along pergi dia pasti mahu Yaya ada sekali. Gadis itu sudah dianggap seperti adiknya. Sebab Along tahu, Yaya lebih sukakan siapa sebenarnya. Melihat kepada gerak-geri Yaya, dia yakin dalam diam-diam Yaya sukakan Ayin sebenarnya. Jadi Along tidak mahu merosakkan hubungan mereka jika dia pula jatuh hati kepada Yaya. Dia tidak mahu Yaya rasa serba salah. Tambahan Yaya sudah menganggapnya seperti abang sendiri.
Sebagai abang, Along selalu menyelamatkan Yaya apabila Yaya disakat oleh Shidan dan Ayip. Disebabkan Yaya bukan jenis orang yang cepat marah, maka galaklah Shidan dan Ayip mengusik . Mereka tahu Yaya tak akan melenting. Yaya pula tidak pernah ambil hati. Dia anggap itu sebagai gurauan antara mereka adik-beradik. Bila Along ada saja mereka selalu duk buat hal. Hari-hari biasa, perangai Shidan dan Ayip tu okey saja... Mungkin jealous kot, bila tengok kakak mereka rapat dengan orang lain.
******
Hari Raya tahun berikutnya muncul lagi. Tahun ketiga Yaya bersama keluarga Mak Ina, tugas Yaya sama juga seperti hari raya yang lepas-lepas. Nek Ngah suruh Yaya buat macam-macam kerja, semata-mata mahu menyambut kepulangan Ayin beraya di kampung. Bersih berkilat bilik Ayin dan Along Yaya kerjakan. Segenap ceruk disental. Secalit habuk pun susah nak jumpa. Siap letak air freshener lagi. Ambi Pur you! Ini bukan Nek Ngah lagi yang mengelabah Ayin nak balik tapi Yaya yang terlebih excited tunggu Ayin pulang.
Dalam hati, sudah lama terbit kudup rindu buat Ayin. Muka asam kedondong, asam kecut dan tapai benyek Ayin yang paling Yaya tunggu-tunggu sebenarnya. Kadang-kadang, apabila teringatkan muka berkerut seribu tu, rasa cute pula. Hmm..., nampaknya memang dah sah-sahlah Yaya ni angaukan si Ayin tu.
Hari Raya tahun ini, menjadi peristiwa yang tidak boleh dilupakan. Rahsia Yaya sukakan Ayin bukan lagi satu rahsia. Dia terkantoi dengan Along ketika leka menghendap Ayin di tingkap rumah Nek Ngah. Kerana rindukan Ayin, Yaya kerap ke rumah Nek Ngah mengintai Ayin. Hendak berjumpa depan-depan Yaya rasa segan. Jalan penyelesaian paling mudah, sekodeng Ayinlah! Ayin pula bila Yaya ada, bukannya nak pandang Yaya. Dibuatnya Yaya seperti tidak wujud saja. Biarpun lama Yaya tercongok depan batang hidung dia. Terkadang Yaya rasa dah jadi halimunan pula. Nak tenung dan renung muka Ayin lagu mana?
Sedang ralit Yaya memerhati Ayin yang tengah leka bermain PSP sambil menjalar di depan TV seraya mulut mengunyah kuih bangkit tepung tak berhenti-henti, tiba-tiba bahunya ditepuk.
“Hai! Yaya!”
“Allah! Kus semangattt... Apa ni along?! Terperanjatlah Yaya.” Dada diurut. Jantung rasa rerpelanting jauh. Nasib Along, kalau Syidan atau Ayip buat macam ni, tentu sudah dikuti-kuti.
“Yaya buat apa ni? Menghendap ya?”
Gluppp...
“Eh! Mana ada. Tak adalah... Yaya nak menghendap siapa pula? Yaya cari Nek Ngahlah. Nek Ngah ada along? Along ada nampak Nek Ngah tak? Mana Nek Ngah, along?” Bertubi-tubi soalan dihemburkan kepada Along kerana mahu menutupi rasa malunya ini.
“Nek Ngah?” Dahi Along berkerut. Along menjengah ke dalam rumah. “Ooo... Cari Nek Ngah kononnn... Rupanya tengah buat kerja lain. Yaya menghendap ya?” sakat Along lagi.
Eeee... mana ada...? Along ni, pandai saja buat cerita tau! Yaya cari Nek Ngahlah. Bukannya menghendap Ayin.” Alamak! Macam mana boleh terkantoi dengan Along pula ni?
“Ada ke along cakap Yaya menghendap Ayin? Along sebut nama Ayin pun tak!” pangkas Along. “Sudahlah Yaya... Jangan nak berdolak-dalik. Along bukannya buta tau! Lagipun, ini bukan kali pertama along nampak Yaya buat kerja macam ni.” Along menyeringai. Hah! Bukan kali pertama? Alahai..., malunya... Wajah Yaya semerah biji saga. Rupanya selama ni Along perasan Yaya buat kerja tak semenggah ni. Mesti Along sangka Yaya anak dara entah apa. Muka tak malu mengendap anak bujang orang!
“Mana ada along... Yaya tak sukalah dengan Ayin tu... Buat apa nak menghendap dia?” auta Yaya. Muka semakin membara.
“Along tahu Yaya... Dari air muka, dari cara, along tahu Yaya sukakan Ayin kan? Jangan nak tipu along, Yaya.” Semacam saja Along ukir senyuman. Senyum nak mengusik Yayalah tu! Apa lagi! Yaya rasa seperti nak tercekik air liur sendiri saja. Terror betul Along buat telahan. Dah macam ahli nujum. Kulit muka tebal dek rasa malu. Kalau boleh menyorok dalam lubang, lama dah duduk menonggeng sumbat kepala dalam lubang tu. Yaya garu belakang telinga.  Mata melilau ke sana ke mari, mencari alasan untuk cover diri sendiri. Nak tipu lagi ke? Nak berdalih lagi? Sedangkan dah terang-terang dia duk sekodeng Ayin tu. Along dah nampak, nak sorok macam mana?
“Along janji tau, jangan bagitau Ayin. Jangan cakap dengan siapa-siapa pun. Yaya tak nak kawan along kalau along pecahkan rahsia Yaya ni.” Yaya mengugut. Jari telunjuk lurus ditunding ke muka Along. Dia tidak mahu Pak Long, Mak Long, Nek Ngah dan Mak Ina tahu pasal ni. Mana nak letak muka kalau mereka tahu? Nanti Nek Ngah kata, hingus masih meleleh dah gatal cari laki. Tak mahulah!
 “Rahsia apa? Rahsia Yaya sekodeng Ayin, atau rahsia Yaya suka Ayin?” Along mengusik lagi. Sengaja mahu memanaskan keadaan.
“Along niii... Bencilah Yaya!”
“Okey... Okey... Along tak bagitau siapa-siapa.” Along senyum lagi. Kali ini senyumnya menyenget. Boleh percaya ke dengan along ni? tukas hati Yaya.
“Ini rahsia kita berdua tau! Janji...” Yaya angkat jari kelingking ke arah Along.
“Along janjilah!” Along simpulkan jari kelingkingnya pada jari Yaya pula. Sebagai tanda termertainya sebuah perjanjian rahsia antara mereka. Kali ini senyum Along semakin menyenget. Buatkan hati Yaya bertambah libang-libu. Memang sah tak boleh percaya dengan along ni!

No comments:

Post a Comment