Bab 17
Keluar saja dari balai ketibaan, Encik Kamil terus
mendapatkan Yaya sebuah teksi.
“Yaya, ini alamat dan nombor telefon rumah saya di KL. Jangan lupa, hujung bulan ni Yaya
datang rumah saya,” ujar Encik Kamil. Secebis kertas dihulurkan kepada Yaya.
Kertas berpindah tangan. Sekali imbas Yaya membaca alamat yang tertulis di atas
kertas itu.
“Ya, Yaya. Nanti saya tolong carikan rumah sewa.
Kawan-kawan anak saya pun ramai lagi yang belum berkahwin. Nanti saya
tanya-tanya dekat dia orang, ada tak bilik kosong. Kalau susah-susah sangat
Yaya tinggal saja dengan kami. Lagi senang,” celah Puan Julita pula.
“Eh! Tak apalah Puan Julita. Buat susah-susah saja.
Lagipun Yaya segan. Anak menantu Puan Julita kan tinggal di sana.” Seingat
Yaya, dari cerita arwah Pak Ngah dahulu, Puan Julita dan Encik Kamil ada
sepasang anak. Yang sulung anak perempuan, sudah berkeluarga. Menetap di Kuala
Lumpur, di rumah lama Puan Julita dan Encik Kamil. Anak lelakinya pula tinggal
di UK.
“Kalau tak ada bilik kosong macam mana?” tanya Puan
Julita lagi.
“Insya-Allah ada. Kalau tak ada pun Yaya akan cari sampai
jumpa. Jauh sikit dari tempat kerja pun tak apa.”
“Yaya jangan risau. Bila saya dah bekerja nanti, saya
tanya staff-staff di syarikat tu,
kalau-kalau ada yang nak cari penyewa,” kata Encik Kamil pula. Yaya angguk
tanda setuju.
“Yaya bertolak dulu ya, Encik Kamil, Puan Julita.” Tangan
dihulurkan kepada Puan Julita untuk berjabat.
“Hati-hati dalam perjalanan tu. Kirim salam dekat
keluarga angkat Yaya,” tutur Puan Julita seraya menyambut tangan Yaya.
“Dah! Masuk dalam teksi. Cepat bertolak cepat sampai.
Nah, ini dari saya dan isteri saya.” Encik Kamil menghulurkan sehelai sampul
surat kepada Yaya. Yaya tidak menyambutnya. Mata hanya memandang kepada sampul
di tangan Encik Kamil.
“Apa ni, Encik Kamil?” Dari sampul surat anak mata Yaya
beralih pula ke wajah Encik Kamil. Dia tertanya-tanya untuk apa sampul surat itu?
Apa isi kandungannya? Takkan surat tawaran dari syarikat tempat Encik Kamil
bakal bekerja. Encik Kamil mula kerja pun belum lagi. Puan Julita mengambil
sampul surat di tangan suaminya lalu tangan Yaya ditarik dan sampul tersebut diletakkan
atas telapak tangan gadis itu.
“Ini untuk Yaya. Ikhlas dari kami.” Puan Julita kemudian menolak jari-jemari Yaya supaya
sampul surat itu digenggam oleh Yaya.
“Apa ni, Puan Julita?”
“Duit belanja untuk Yaya,” balas Puan Julita.
Cepat Yaya menolak tangan Puan Julita dan meletakkan semula
sampul surat pada tangan wanita itu. “Tak
mengapalah, Puan Julita. Sudahlah perbelanjaan balik ke sini Encik Kamil yang
tanggung. Tambang teksi pun Encik Kamil bayarkan.” Yaya serba salah. Sudah
banyak Encik Kamil dan Puan Julita menabur budi kepadanya. Takkan mahu terima
lagi? Segan pula dia.
“Yaya, ini ikhlas dari kami. Mungkin sekarang Yaya tak
perlukan tapi bila Yaya dah mula bekerja nanti, macam mana? Belanja hari-hari
pun gunakan duit juga. Ambik saja
Yaya. Ikhlas dari kami.” Sampul itu Puan Julita selitkan semula di tapak tangan
Yaya.
“Ambik Yaya.
Anggap saja kami ni seperti keluarga Yaya juga. Apa salahnya saya membantu
keluarga sendiri. Ataupun mungkin Yaya tak mahu anggap kami ni, sebahagian dari
keluarga Yaya?” tukas Encik Kamil pula. Dalam terpaksa Yaya angguk juga. Demi
menjaga hati dan air muka pasangan suami isteri itu, dia terima pemberian ini.
Lagipun ini rezeki. Allah SWT turunkan rezeki dalam pelbagai bentuk dan cara.
Nek Ngah pernah berpesan dahulu, “rezeki jangan ditolak.
Setiap pagi selepas solat subuh, kita
selalu berdoa supaya Allah SWT murahkan rezeki kita tapi bila diberi rezeki,
jangan kita menolaknya pula. Nanti murka Allah SWT, kerana tak tahu bersyukur
dengan rezeki yang diberikan olehNya.” Dan sampai sekarang, pesanan itu masih
dia ingat.
“Terima kasih Encik Kamil, Puan Julita,” ucap Yaya jujur.
Wajah keduanya direnung sayu. Bertuah dia berjumpa dengan insan semulia dan
sebaik Encik Kamil dan Puan Julita ini.
“Sudahlah Yaya. Pertolongan kami ni pun tak seberapa.
Jangan lupa, bila Yaya dah bersedia nak bekerja nanti, telefon kami.” Puan
Julita memberi ingatan. Tubuh Yaya ditolak perlahan supaya gadis itu melangkah
memasuki perut teksi. Yaya akur. Saat teksi mula bergerak Yaya jengahkan muka
keluar dari tingkap dan melambaikan kepada Encik Kamil dan Puan Julita. Jatuh
juga mutiara matanya. Bila kelibat mereka hilang dari pandangan, Yaya sandarkan
tubuhnya pada kerusi. Titisan jernih di sudut mata diseka. Yaya lemparkan
pandangan keluar tingkap. Fikiran dia masih terbayangkan segala kebaikan Encik
Kamil dan Puan Julita. Kalau ada daya dia suatu hari nanti, pasti akan dibalas
segala kebaikan pasangan suami isteri itu.
Yaya melihat sampul surat pemberian Encik Kamil dan Puan
Julita digenggaman. Perlahan sampul surat itu dibuka. Isinya ditarik keluar. Beberapa
keping not lima puluh ringgit tersisip di situ. Berdasarkan ketebalan susunan
wang, rasa nilainya hampir mencecah seribu ringgit atau mungkin lebih. Yaya
mengeluh perlahan. Sampai nyawa terpisah dari badan pun, dia takkan lupa segala
bantuan Encik Kamil dan Puan Julita ini. Kemudian isi sampul surat ditolak
masuk semula. Sampul dan cebisan kertas tertulis alamat dan nombor telefon
Encik Kamil diselit ke dalam poket begnya. Selepas itu kembali pandangan dilontar
keluar tingkap. Wajah-wajah yang dirindui berlayar semula di depan mata. Paling
dirindui, wajah nakal itu.
“Ayin...,” seru Yaya perlahan. Kenangan kembali menerjah
di ingatan.
“Anak! Kita hampir sampai hentian rehat dan rawat Nilai.
Pakcik singgah sekejap boleh tak? Pakcik nak buang air kecik dan solat sekali.”
Yaya tersentak. Dia tersedar dari lamunannya yang
panjang. Yaya melihat jam di pergelangan tangan. Sudah pukul satu empat puluh
petang.
“Kalau anak nak teruskan perjalanan pun, tak apa. Pakcik
boleh solat di perhentian bas Seremban saja.” Pakcik pemandu teksi masih
berkira-kira untuk memenuhi kehendaknya.
“Eh! Tak apa pakcik. Tak baik kita melengah-lengahkan
solat ni. Kita berhenti sajalah dekat hentian Nilai tu. Lepas tu terus makan
tengah hari sekali.”
“Baiklah,” balas pemandu teksi separuh usia itu.
Usai solat zuhur, Yaya menuju ke deretan kedai yang
menjual pelbagai makanan. Dia membeli makanan tengah harinya di sebuah gerai
menjual makanan kampung. Tekak terasa rindu hendak menjamah makanan tradisi
Negeri Sembilan. Gulai lemak cili api daging salai, sambal tumis petai dan ikan
keli berlada. Selepas memilih juadah Yaya mencari tempat yang selesa untuk
menjamu seleranya. Mata melihat ke hujung deretan meja di situ. Duduk di sana
sajalah! Orang pun tak ramai sangat dekat situ, putus Yaya. Segera kaki melangkah
ke sana. Saat melalui sebuah meja, dia tiba-tiba disapa.
“Sinar Suria?”
Langkah Yaya mati di situ. Kepala menoleh ke meja
sebelah. Meja itu diduduki sepasang suami isteri dan sepasang anak yang masih
kecil.
“Ya saya?” Yaya amati wajah cantik wanita yang menegurnya.
Dia kenal ke?
“Betul ke awak Sinar Suria?” Wanita itu menyoal inginkan
lebih kepastian. Takut tersalah orang pula. Manalah tahu pelanduk tujuh serupa.
“Ya, saya Sinar Suria.” Dahi Yaya mula berkerut
berlapis-lapis. Selepas menilik wajah wanita itu, anak mata Yaya jatuh pula ke
raut lelaki di hadapannya. Kalau yang perempuan ini dia tak kenal, mungkin yang
lelaki itu dia perasan siapa tetapi selepas ditilik, tak juga dia kenal. Siapa
agaknya ya?
“Yaya! Ini akulah!” Wanita itu berdiri dan terus memeluk
tubuh Yaya. Yaya keras di situ. Puas dia menjauhkan pinggan nasinya dari
tersentuh wanita tersebut. Nanti ada juga yang termandi nasi berlaukkan gulai
lemak cili api. Mahunya menyenggau satu
badan karang! Kalau begini
mesralah wanita ini kepada dia, bermakna wanita ini mengenali dia. Puas Yaya
mengerah otak cuba mengingati siapakah gerangannya.
“Ini akulah Yaya! Kau tak ingat ke?” Rangkulan
dileraikan. Yaya bertambah keliru. Itulah! Selama ini asyik ingatkan Nek Ngah,
Mak Ina, Shidan, Ayip, Mak Long, Pak Long, Along dan Ayin saja. Orang lain yang
pernah terlibat dalam hidup dia, tak pernah langsung difikirkan.
“Maafkan saya ya. Mungkin saya tak perasan sangat. Siapa
ya?” Lemah lembut Yaya menyoal. Takut juga wanita itu terasa hati. Beria-ia
wanita itu mengenali dia. Tetapi dia?
“Itulah kau! Lama sangat tak balik kampung. Sampai BFF
sendiri pun tak kenal dah!” usik wanita itu. Yaya senyum menyenget. Malu besar
pula rasanya.
“Akulah, Alin!”
“Alin?” Yaya paksa lagi otaknya untuk berfikir. Alin BFF
dia? Sedikit demi sedikit ingatan itu kembali.
“Ya! Alin!” Wanita itu mengiakan.
Bayangan remaja perempuan berbadan sedikit gebu, rambut
beralun separas bahu, mata yang hampir sepet dan bermuka bulat semakin jelas di
minda Yaya. Dibandingkan wajah itu dengan iras wanita di hadapan dia ini. “Alin?
Noradzlin Nazri?”
“Yalah! Aku, Alin! Kenal pun? Ingatkan tak kenal lagi?”
“Ya Allah! Mintak maaflah... Aku tak perasan kau tadi.
Kau dah jauh sangat berubah. Makin cantik. Itu yang aku tak kenal tadi tu,”
suara Yaya girang. Dah buat salah, tak kenal BFF sendiri, kenalah jek kuat
sikit. Macam manalah boleh tak kenal sahabat baik sendiri? Sedangkan masa
tinggal di Kampung Batu dahulu, Alinlah yang banyak membantu dalam soal
pelajaran. Mahupun dari segi sokongan dan semangat kala dia dirundung
kesedihan.
Alin senyum mendengar ujaran Yaya itu. “Yalah tu makin
cantik? Makin gebu adalah!” Tawa Alin kecil. Yaya pula tersengih.
Alin pelawa Yaya makan bersamanya. Mereka berbual panjang
selepas itu. Ketika mengetahui Yaya ingin pulang ke kampung, dia yang dalam
perjalanan pulang ke kampung yang sama segera mempelawa Yaya menaiki kereta
bersama keluarganya. Yaya setuju selepas suami Alin turut mengajaknya.
“Boleh temankan Alin ni berbual. Kalau tidak dia bantai
membuta sampailah ke kampung nanti. Sudahnya saya yang mengantuk,” usik suami
Alin.
Yaya senyum membalas. Bagus suami Alin ni. Baik dan
peramah. Untunglah sahabatnya ada suami begini. Bakal suami dia nanti bagaimana
pula agaknya?
Siapa? Ayin? Baik dan peramah? Nakal adalah!
No comments:
Post a Comment