Total Pageviews

Thursday, March 19, 2015

Benci / Cinta... Awak Budak Nakal - 14




Bab 14
“Betul ke Ayin tu sukakan Yaya, along?” Soalan itu diajukan sebaik sahaja punggung mereka berlabuh di atas pangkin bawah pokok jambu susu. Yaya menghadapkan tubuhnya kepada Along. Mata Along ditentang tepat-tepat. “Cuba along bagitau Yaya terus terang. Betul ke Ayin tu sukakan Yaya macam yang along cakapkan dulu?”
Along angkat kening, petanda dia terkejut dengan soalan itu. “Tadi kata ada benda nak tanya along?”
“Inilah benda yang Yaya nak tanya. Betul ke Ayin tu sukakan Yaya?”
“Ingatkan nak tanya apa tadi. Bunyi macam nak tanya benda yang serius saja. Rupanya pasal Ayin,” gumam Along pula.
“Memang benda ni serius!” Yaya dah rasa geram. Along seperti buat endah tak endah. Along tahu tak, soalan itu amat mustahak untuk dia tahu apa jawapannya? “Betul ke along?!” Yaya paksa lagi.
“Betul...” jawab Along sepatah. Penuh yakin.
“Tak tipu?”
“Buat apa pula along nak tipu?”
“Kalau betul, kenapa dia selalu saja sakitkan hati Yaya?”
Along diam dengan kepala tertunduk merenung tanah. Lama juga Along mencari jawapan. Takkanlah Along tak tahu? Ayin tukan adik dia?
“Kerana cara tu saja dia boleh rapat dengan Yaya,” balas Along selepas beberapa detik berlalu. Aduh! Ni yang tak faham ni.
“Apa along cakap ni? Yaya tak fahamlah? Sakitkan hati Yaya kerana nak rapat dengan Yaya? Macam pelik sangat bunyinya,” sanggah Yaya. Along senyap lagi. Susah sangat agaknya mencari jawapan. Rasanya jawab soalan SPM dulu pun tidak selembab ini.
“Kalau tak, Yaya malu-malu bila dengan Ayin. Tengok sekarang! Yaya dah berani tenung muka Ayin. Berani berlawan cakap dengan dia. Tak macam dulu. Nak tengok Ayin pun menyorok-nyorok. Dulu kalau Ayin tanya, angguk geleng saja.”
“Apa songsang sangat cara Ayin tu, along? Ada ke nak rapat dengan Yaya, selalu pedajalkan Yaya?”
“Itulah Ayin, Yaya... Dia lain dari orang lain,” Terang Along.
Heh! Fikiran Along pun serupa dengan dia. Ayin tu lain dari orang lain.Hmm, interesting juga macam ni kan? Yaya diam. Di benak terlintas, ada betulnya juga kata-kata Along tu. Ayin ni memang pelik. Lain dari orang lain. Memikat tak serupa orang nak mengurat! Nama panggilan untuk dia pun mesti lain dari orang lain.
 “Yaya pun perasankan, Ayin tak macam dulu? Sekarang ni, Ayin dah pandai ketawa. Dah tahu tersenyum. Dah pandai buat lawak. Tak merengus lagi. Along tak pernah tengok dia macam tu sebelum ni. Ayin tu serius. Bercakap straightforward! Setidak-tidaknya Yaya berjaya ubah perangai dia.”
“Along ingat Ayin selalu menyakat Yaya tu, dia tengah buat lawak ke?” Yaya jeling Along tajam. Along ni, agak-agaklah nak buat statement pun. Tak merasa kena pedajal dek Ayin, bolehlah Along cakap macam tu!
“Bukannya along tak perhati apa yang Ayin buat pada Yaya. Nak tergelak along tengok perangai dia tu, tau! Macam budak-budak pun ada. Dulu lepas breakup dengan Adilia, dia nakal juga. Tapi nakal dia kali ni, lain macam pula. Yang lagi along tak boleh tahan, bila tengok muka Yaya. Muka kontrol marah tu.” Along ketawa perlahan.
Along nampak?! Selama ni Along tahu apa yang Ayin buat? Kali ini Yaya tenung Along tajam-tajam. Along kata sayangkan Yaya macam adik dia tapi kenapa bila Ayin selalu cari pasal, Along tak pernah datang selamatkan dia?
“Along nampak? Tapi apasal along tak tolong Yaya?” Yaya luahkan rasa tidak puas hatinya.
“Along kesiankan Ayin...” Dengan Ayin Along kasihan. Dengan orang yang selalu Ayin pedajal ni, Along tak kesian ke? Ini yang Yaya rasa macam nak merajuk saja. Along seperti dapat menelah apa yang Yaya rasa ketika itu.
“Yaya... Yaya kena faham. Along kesian dengan Ayin tu, bukan sebab dia adik along. Dan bukan sebab along tak sayangkan Yaya. Along tak sampai hati nak merosakkan kegembiraan Ayin. Kebahagiaan Ayin. Along rasa Yaya pun macam tu jugakan? Sebab tu along tak pernah nampak Yaya marahkan Ayin,” ujar Along. Yaya angguk perlahan. Memang dia tak sampai hati nak marahkan Ayin, sebab tak mahu merosakkan senyuman dan ketawa Ayin. Lagipun, diakan sayangkan Ayin.
“Along harap Yaya sabar sajalah melayan perangai Ayin tu. Along percaya, satu hari nanti Ayin mesti berubah. Mana kita tahu, lepas ni Ayin boleh jadi romantik gila pula.”
Yaya tersenyum. Ayin jadi romantik? Macam tak boleh terima saja nanti, kalau Ayin tiba-tiba jadi romantik. Sebab dia dah terbiasa dengan perangai nakal Ayin tu. Di dalam hati Yaya, terbesit juga satu doa semoga Ayin berubah. Nak Ayin berubah? Dia tahu apa yang perlu dia buat. Sedekahkan pahala Al-fatihah banyak-banyak kepada Ayin, supaya hati Ayin jadi lembut.
Selepas perjumpaan dengan Along di bawah pokok jambu susu, Yaya cuba memahami sikap Ayin. Menyelami perasaannya. Cuba faham tingkah laku Ayin. Yaya tahu kenapa Ayin tak mahu ikut Pak Long dan Mak Long balik ke KL. Yaya juga tahu kenapa Ayin sanggup tinggal dekat kampung ni, walaupun dia tak suka. Semua itu disebabkan Yaya. Hanya kerana Yaya. Sejak itu, apa pun yang Ayin lakukan, dia tak pernah lagi marah. Walaupun marah dalam hati. Kalau dengan menyakitkan hati dia ni, boleh buat Ayin rasa bahagia, Ayin nak senyum dan ketawa, biarlah... Dia sanggup terima apa saja. Mungkin Ayin tak seperti budak lelaki lain, yang tahu bagaimana nak interpretationkan perasaaan kepada seorang perempuan. Cara Ayin menafsirkan perasaannya berbeza. Memang dia seorang yang sangat istimewa.
Kini, Yaya tertunggu-tunggu pula. Ingin tahu, apa lagi idea kreatif Ayin nak mengacau dia. Usikan Ayin sudah dianggap seperti gurauan mesra pula. Ayin lastik dia dengan buah kundang busuk, dia ibaratkan Ayin sedang berkata, “Ayin sukakan Sinar.” Ayin ikat tali kedua-dua belah kasut dia, ketika duduk di pangkin bawah pokok jambu susu selepas joging bersama Along, hingga dia jatuh tersembam ke tanah bila nak berjalan, dia anggap Ayin sedang berbicara, “Ayin sayangkan Sinar.” Dan, bila Ayin masukkan dua ekor lipas ke dalam bajunya, dia bayangkan Ayin sedang meluahkan kata-kata ini, “Ayin rindukan Sinar.”
Kerana Ayin jugalah, Yaya minta Nek Ngah ajar buat kuih bangkit tepung kegemaran Ayin. Walaupun ketika itu, sekali lagi Ayin melakukan khianat kepadanya. Dalam diam-diam Ayin besarkan api dapur gas oven Butterfly, sampai rentung kuih bangkit tepung. Asap berkepul satu dapur. Nek Ngah punya berleter, seperti ada tiga empat mulut. Bising betul celoteh Nek Ngah. Puas juga Yaya pujuk Nek Ngah. Maklum sajalah, kuih yang sedang mereka buat, kan kuih feberet cucu kesayangan dia. Kerana Ayin, Yaya sanggup tadah telinga mendengar Nek Ngah menceceh. Cepat Yaya minta maaf, supaya Neh Ngah sangka kuih bangkit tu rentung disebabkan oleh kecuaian dia. Bukannya angkara Ayin. Kalau nak kata Ayin yang buat pun, belum tentu Nek Ngah percaya. Ketika itu Yaya boleh berangan lagi. Konon-kononnya Ayin hendak beritahu, “Sinar... Ayin cintakan kau...” Gilakan?! Itulah panahannya, bila hati dah suka.
Pejam celik, pejam celik,  sedar tak sedar hampir sebulan Yaya melayan karenah Ayin tu. Tempoh sebulan rasa seperti sekelip mata saja. Sekejap benar. Pantas betul masa berlalu.  Bila Pak Long datang menjemput Ayin, hati Yaya diterjah perasaan sedih. Waktu Ayin bertolak pulang, itulah saat yang paling sayu selepas ketiadaan abah dan uminya. Pastinya selepas ini dia akan merindui Ayin. Merindui segala-galanya tentang Ayin.
Waktu Ayin melambaikan tangannya kepada Yaya, Yaya dapat rasa seperti adau yang tidak kena. Seperti ini adalah kali terakhir dia berjumpa Ayin. Entahlah... Bila agaknya mereka akan berjumpa lagi?
Dan semenjak Ayin pulang, hari-hari yang ditempuhi tidak lagi ceria. Yaya rasa sunyi tanpa usikan Ayin. Tidak bermakna hari-harinya bila tidak ditemani senyuman dan gelak tawa Ayin. Tidak lengkap hidupnya tanpa kehadiran Ayin. Berhari-hari juga matanya terbayang-bayang kelibat Ayin. Di rumah Nek Ngah, rumah Mak Ina, tengah bendang, di hujung tali air, di tepi sungai, dalam kebun getah, di tepi perkuburan. Oh! Sudah gila bayangkah dia?

No comments:

Post a Comment