Bab 11
Keesokan harinya Ayin atur rancangan baru. Terbongkok-bongkok
Ayin menyusup ke rumah Mak Ina. Dia menghendap di balik tingkap dapur. Dari balik
tingkap Ayin intai sebelah mata ke dalam rumah. Dia melihat Yaya berdiri hampir
pada tingkap di sebelah sana. Tengah memasak sesuatu di para dapur.
“Cantikkk... Dia tengah masak.” Ayin menyeringai. Dia
merayap pula ke tingkap sana. Badan melekap ke dinding seperti cicak. Memang
ada gaya jadi cicakman! Ayin
mengintai lagi ke dalam rumah.
“Cantikkk... Mak Su Ina tak ada.” Semakin lebar senyuman
Ayin. Di dalam kepala sudah tersusun rancangan. Ketika Yaya menuju ke peti
sejuk mengambil sesuatu, cepat-cepat Ayin capai segenggam garam dari dalam
bekas tembikar di atas rak sebelah para dapur. Mata melihat kepada Yaya
seketika. Gadis itu masih terbongkok-bongkok di peti sejuk.
“Line clear...,”
bisik Ayin. Garam di dalam genggaman dicampak ke dalam periuk. “Tak cukup ni.
Segenggam lagilah!” Diambil lagi garam itu. Kali ini lebih banyak dari tadi, lalu
dibubuh ke dalam periuk gulai. Sempat juga Ayin menghidu wap masakan yang
sedang mendidih. Ah! Ignore sajalah
bau lauk dia ni. Sedap makdap! Yang
penting aku mesti selesaikan mission
dajalkan dia dulu, bisik hati hitam Ayin.
“Biar aku bagi sedap lagi lauk kau ni, Sinar. He... he... he...” kata Ayin kemudiannya,
diakhiri dengan tawa nakal. Bila Ayin melihat Yaya seperti sudah selesai
urusannya di peti sejuk, segera dia bersembunyi di balik tingkap seperti tadi.
Ayin menjengah lagi. Gadis itu kini berdiri di sisi meja sambil menyiang sayur.
Mak Sunya muncul dari ruang depan menghampiri para dapur. Dan Ayin terus berpura-pura
seperti dia baru saja singgah di tubir tingkap itu.
“Assalamualaikum mak su. Sedap bau. Mak su masak apa ni?”
The bestlah kau punya acting, Ayin.
“Bukan mak su yang masak, Yin. Yaya yang masak,” balas
Mak Ina sambil melangkah mendekati para dapur sambil berkata lagi, “Yaya dah
bubuh garam?”.
“Dah, mak Ina. Mak Ina rasalah. Cukup ke tidak garamnya,”
jawab Yaya. Ayin di bibir tingkap mengorak senyum semakin lebar. Tidak boleh dibayangkan
riak muka Mak Sunya sekejap lagi apabila merasa gulai yang sudah dia modified tu. Mak Ina capai senduk di
tepi periuk. Dicedok sedikit kuah gulai lalu ditiup beberapa kali. Kemudian kuah
diletakkan ke atas telapak tangan. Ayin perhati perbuatan Mak Sunya dengan
penuh rasa teruja. Satu, dua, tiga, jilat... Ummm yummy... Hendak terburai tawa Ayin melihat wajah Mak Sunya.
“Mak oi ai!
Kamu bubuh ke kamu curah garam dalam periuk ni Yaya? Dah pahit masin rasa gulai
kamu ni!” Pejam celik pejam celik mata Mak Ina menahan rasa pahit masin di
tekaknya. Mak Ina terus berlari ke sinki di sebelah dapur. Pili air dibuka dan
segera berkumur-kumur. Berulang kali Mak Ina berkumur-kumur.
“Masin? Mana ada mak Ina. Yaya cuma bubuh satu camca teh
saja tadi.” Yaya jadi kelabu sekejap. Ayin di tepi tingkap melihat ada riak
keliru di wajah Yaya. Kalaulah dia ada six
sense, tentu boleh nampak satu tanda soal baik... punya besar atas kepala
Yaya tu.
“Cuba kamu rasa!” perintah Mak Ina. Yaya hampiri para
dapur. Dia ambil sudu dari rak pinggan berdekatan. Dicedok sedikit kuah gulai
cendawan kukur, lalu ditiup perlahan dan disudu ke dalam mulutnya. Ayin memandang
dengan senyuman sumbing di bibirnya. Masuk sahaja sudu ke dalam mulut, terus
hendak terkeluar anak mata Yaya. Ayin apa lagi, menekup mulut menahan ketawa
dari terburai.
“Eeee...
masinnya...” Yaya kumam mulut. Muka berkerut lebih hebat dari Mak Ina tadi.
Seperti dah kena darah tinggi on the spot!
Yaya mengetap bibir menahan marah dan geram. Melihat Ayin tayang senyum kambing
gurun tu dia tahu, gulai yang terlebih masin ni mesti Ayin punya angkara.
Ya Allah! Kau tokoklah kesabaran dalam hati aku ni untuk
menghadap perangai budak sorang ni, doa Yaya. Mata masih lagi mencerlung tajam
ke wajah Ayin. Melihat muka Yaya seperti gunung berapi hendak meletus, terus
Ayin beredar. Kalau dia tunggu lebih lama lagi, mesti dia boleh nampak asap
meledak keluar dari hidung dan telinga Yaya. Silap hari bulan, api pun boleh
keluar dari mulut Yaya. Orang tengah marah kan? Baik chow dulu, sebelum aku kena simbah dengan gulai panas tu, desis
Ayin. Senyum kepuasan jelas terpamer di wajah Ayin atas kejayaan misi dia hari
ini. Langsung tiada rasa bersalah.
Yes! Mission accomplish! Ayin hadiah senyuman nakal kepada Yaya. Yaya tak tahu
nak buat apa. Agak-agak kalau dia bagitau
Mak Ina, ini semua Ayin punya kerja, Mak Ina percaya tak? Akhirnya kelibat Ayin
hanya ditenung hingga hilang. Kerana Ayin, tengah hari itu dua kali Yaya
terpaksa menggulai. Habis tu macam mana? Takkan nak makan ikan masin bulu ayam
dengan sayur sawi goreng saja? Nasib juga cendawan kukur yang Along kutip
kelmarin masih ada bakinya. Boleh juga dia memasak sekali lagi.
Tengah hari, ketika mereka semua di meja makan, puas Yaya
menyabarkan hatinya. Naik keras pipi kerana dipaksa senyum lebar di hadapan Nek
Ngah, Pak Long, Mak Long dan Along. Nak marah Ayin pun tak guna. Buang karen
saja. Benda dah jadi. Bila Mak Ina ceritakan tentang kejadian terlebih garam tu
kepada semua, Yaya senyum sahaja. Takkan nak cerita perkara sebenar? Siapa yang
percaya nanti? Lagipun dia tak ada bukti. Kalau ada, boleh juga dia membela
diri. Untuk menutup cerita, ini sahaja alasan yang mampu Yaya beri. “Yaya
terlupa berapa sudu Yaya bubuh garam...”
“Terlupa apa bendanya Yaya? Dah macam lori garam terbalik
dalam periuk tu!” sanggah Mak Ina.
“Habis tu, gulai yang ni?” tanya Nek Ngah.
“Kenalah dia masak balik...,” balas Mak Ina. Yaya senyum nipis
sajalah! Sempat juga ditentang wajah Ayin dengan renungan tajam. Ayin balas
dengan senyum memikat pula.
Esoknya, Ayin masih tak puas hati. Memang Yaya dah berani
tentang mata dia, namun masih berat mulut hendak bercakap dengannya. Macam mana
marah sekalipun, paling tinggi Yaya tenung dia saja. Nak bebelkan dia? Jangan
harap! Bagi Ayin dapat tengok muka Yaya, tak dapat dengar suara Yaya mana
cukup. Dia mahu Yaya melayan dia sepertimana Yaya mesra kepada Along.
So next mission mesti dilancarkan. Kali ini kucing kesayangan Yaya menjadi
mangsa. Kasihan Tompok. Tak pasal-pasal kucing yang tak bersalah tu menjadi
sasaran. Ketika itu Yaya sedang sibuk mengemas ruang tamu. Tiba-tiba Ayin
memanggilnya dari bawah rumah.
“Sinar! Turun kejap.” Sayup-sayup kedengaran suara Ayin. Yaya
bergerak ke tepi tingkap mencari kelibat Ayin.
“Sinar! Meh lah
sini sekejap!” Kepala Ayin terpacul dari bawah rumah Mak Ina.
“Tak naklah! Yaya tengah menyapu ni.” Yaya takut hendak turun.
Bimbang Ayin kenakan dia lagi. Dalam hati masih ada rasa was-was. Sudahlah dua
hari lepas Ayin asyik dajalkan dia saja. Lagipun si Ayin ni, bukan boleh
percaya sangat.
“Meh lah...
Sekejap saja. Sinar nak tengok tak? Dekat bawah rumah ni ada show. Kucing tengah buat acrobatic la... Cepatlah turun Sinar.”
Tangan Ayin menggamit beberapa kali. Yaya kerut kening. Otak mengulangi semula
kata-kata Ayin tadi. Dekat bawah rumah ada show
kucing tengah buat acrobatic, detak
Yaya. Tiba-tiba hati rasa tak berapa nak sedap. Terus Yaya terbayangkan Tompok,
kucing peliharaannya.
Apalah yang Ayin dah buat kepada Tompok tu? Otak Yaya
mendesah kerisauan. Cepat dia berlari ke anjung dan turun ke bawah rumah.
Kerana kolong itu sedikit rendah, Yaya terpaksa menundukkan kepalanya. Ketika
itu dia melihat Ayin sedang mencangkung, ketawa berdekah-dekah sambil
menekan-nekan perutnya.
Gelak sampai perut dia cramp la tu! Entah apa yang lawak sangat? Aku tengok Tompok tu elok
saja tengah duduk. Apasal Ayin ketawa
macam nak pecah perut? Yaya kalih pandangan kepada Tompok semula. Eh! Kenapa
Tompok duduk macam tu hah? desis Yaya. Memang Tompok tengah duduk, tapi... cara
Tompok duduk nampak ganjil. Duduk sambil keempat-empat kakinya menyeret buntut ke
tanah. Seperti mahu membuang sesuatu pada buntutnya tu. Segera Yaya mendapatkan
Tompok. Dia angkat Tompok.
“Eeee... Kenapa
bau minyak cap Kapak kuat sangat dekat butut Tompok ni?” Yaya soal diri
sendiri. Selepas itu pandangannya beralih kepada Ayin yang masih belum berhenti
ketawa. Seketika anak mata Yaya jatuh pula ke genggaman tangan Ayin. Minyak cap
Kapak?! Ini tentu Ayin dajalkan Tompok. Yaya tak tahu nak cakap apa lagi dah!
Terus dia meninggalkan Ayin yang dah macam orang kena sawan gelak tu. Yaya
kendong Tompok naik ke atas rumah.
Kasihan Tompok. Tak pasal-pasal jadi mangsa. Nampaknya hari ni, Tompok jadi
kucing bandar. Kena mandi, kena syampu, kena
air blow. Tengah terkocoh-kocoh berjalan , tiba-tiba Yaya terasa sakit pada
tapak kaki. Ada sesuatu mencucuk di tumitnya.
“Aduh!” Yaya lihat sandal yang tersarung di kaki. Hah! Baru
perasan, sandal kesayangannya dah kena kerat di bahagian tumit. Ni mesti Ayin
punya kerja. Tak ada orang lain dah! Yaya paling muka mencerlung kepada Ayin.
Ketawa Ayin sudah berhenti. Kini diganti pula dengan senyum senget seraya
mengenyitkan mata. Yaya mengetap bibir menahan geram. Boleh lagi mamat ni tersenyum dengan muka tak
bersalah dia tu? Miong budak ni! gumam
Yaya.
Yaya tinggalkan Ayin di kolong selepas melemparkan
jelingan berbisa buat Ayin. Kalau Ayin tak tahu apa makna jelingan itu, tak
tahulah nak cakap apa lagi. Yaya bawa Tompok ke bilik air dan terus mandikan
Tompok. Tahu sajalah kalau mandikan kucing ni macam mana. Lebih-lebih lagi jika
kucing tu tak biasa dimandikan. Punya seksa nak bersihkan Tompok, sampai lencun
satu badan Yaya.
Usai membersihkan Tompok, Yaya keringkan bulunya menggunakan
hair dryer. Lagi satu hal nak
memegang Tompok. Puas juga Yaya menenangkan Tompok kerana Tompok takut bunyi hair dryer. Waktu ini, dah bertingkek-tingkek baran dia kepada Ayin.
Rasa dia nak letak pula minyak cap Kapak tu pada buntut Ayin. Biar dia rasa
seksa macam mana Tompok rasa sekarang ni. Eh! Boleh ke letak dekat buntut Ayin?
Kuang... Kuang... Kuang...
Selesai hal Tompok, sekarang ni Yaya hal pula. Dah basah
kuyup kenalah dia mandi juga. Syampu penuh di muka dan kepala kerana Tompok
mengelupur sewaktu disabunkan. Moga-moga sejuk air kolah tu boleh sejukan juga hatinya
yang tengah mengelegak ni. Selesai mandi, Yaya capai tuala yang tergantung di
dinding dan terus mengelap muka. Tiba-tiba... Apasal muka rasa lain macam ni? Sejuk berangin pula? tebak Yaya. Perlahan-lahan
mata Yaya terasa pedih kemudiannya. Hidung tengit dengan bau itu.
“Macam kenal saja bau ni? Macam baru lepas bau saja, bau
ni... Macam bau... Hah! Bau minyak cap Kapak!” Terus Yaya teringatkan minyak
cap Kapak yang berada dalam genggaman Ayin tadi. Ini mesti Ayin bubuh minyak
angin dekat tuala dia. Ingatkan Tompok saja yang kena dajal. Rupa-rupanya tuan
Tompok pun kena juga.
‘Ayinnnnnn...’ Jeritan tu bergema dalam hati Yaya. Kalaulah
dia boleh zahirkan kemarahannya secara terang-terangan, kan bagus. Masalahnya dia
tak boleh. Tak terkeluar suara nak marahkan Ayin. Inilah susahnya kalau hati
sudah suka plus cinta.
No comments:
Post a Comment