Total Pageviews

Friday, March 13, 2015

Benci / Cinta... Awak Budak Nakal - 8




Bab 8
Kecur air liur Along melihat longgokkan mangga muda yang sudah siap dihiris nipis di dalam besen plastik di hadapan Yaya. Dicapai sehiris mangga muda itu lalu disumbat ke dalam mulutnya. Pejam celik mata Along menahan masam yang menyilukan.
Ush! Masamnya. Yaya nak buat apa dengan mangga muda ni?”
“Dah namanya mangga muda, along. Tentulah masam...”
“Nak buat apa ni?” soal Along sekali lagi.
“Jeruk.”
“Buat jeruk, tapi apasal bubuh garam? Tak masin ke nanti?” Along telan air liur. Dia melihat tangan Yaya ligat menggaulkan garam ke dalam besen.
“Mula-mula memang kena bubuh garam untuk buang air mangga. Biarkan dalam satu jam, lepas tu cuci bersih. Baru letak gula. Kenapa along cari Yaya?”
“Hari panas sangatlah. Teman along mandi dekat tali air, jom?!” Patutlah dah bersidai tuala dekat leher Along. Siap dengan singlet dan seluar bermuda lagi. Rupanya ada rancangan nak pergi berendam dalam tali air di hujung bendang.
“Sekejap, Yaya basuh tangan dulu. Along tunggu sini, okey?” Yaya mencapai dulang di sisi lalu besen ditutup. Kemudian dia hilang ke dalam rumah. Beberapa saat selepas itu Yaya muncul di muka pintu. Badannya terus menjadi kaku. Susuk tubuh di belakang Along dipandang tidak berkelip. Sejak semalam Yaya cuba tidak terserempak dengan budak lelaki itu.Tidak sanggup berhadapan dengannya. Sekarang, dah ada depan mata macam mana? Nak lari ke? Nak menyorok dalam rumah ke? Yaya berkira-kira mahu melakukan apa.
“Dah?” sepatah Along bertanya. Yaya masih statik, tidak bergerak. “Keras macam patung apasal? Jomlah cepat! ” gesa Along lagi.
“Jom pergi mana?! Aku nak ikut, long.”
Terlompat Along apabila Ayin menyergahnya dari belakang. Pantas Along berpaling. “Buat orang terperanjat sajalah!” Patutlah Yaya panik semacam. Ayin ada dekat sini rupanya, getus Along. “Kau nak ikut aku pergi mana?” soal Along kemudiannya.
“Ikut mana yang kau nak pergilah.”
“Aku nak pergi mandi tali airlah!”
“Aku nak ikut.”
Along dan Yaya berbalas pandangan. Hati masing-masing mula timbul pertanyaan. Biar betul Ayin nak ikut pergi mandi tali air? Budak ni wire otak dia ada short ke apa? Tiba-tiba hilang akal pula, nak mengekor orang ke sana, detak Along dan Yaya serupa.
“Kau kan geli mandi air saki-baki kerbau berkubang tu?” Along hemburkan soalan berbentuk sindiran. Bukankah itu yang pernah Ayin katakan dahulu?
 “Kau juga yang cakap, tali air tu bukan tengah bendang. Kalau tengah bendang baru tempat kerbau berkubang. Ke kau yang dah tak kenal mana satu tali air, mana satu tempat kerbau berkubang?” Ayin membalas sinikal.
“Kau kan tak suka mandi tali air?” sanggah Along.
“Aku tak kira, aku nak ikut juga!” bantah Ayin pula.
“Nanti kulit kau yang sensitif tu berkudis!” Along momokkan Ayin. Along tahu Ayin sengaja mencari jalan dan alasan untuk berada dekat dengan Yaya. Bukan dia cemburu, cuma Along tidak mahu Yaya dikecewakan oleh Ayin satu hari nanti.  Manalah tahu, Ayin jadikan Yaya sebagai tempat melunaskan rasa tidak puas hatinya kepada perempuan selama ini. Orang yang anti perempuan, tiba-tiba nak berbaik dengan perempuan, apa niat dia? Tentulah nak balas dendam, kan?!
“Long! Kau dengar tak apa aku cakap tadi? Kau faham tak? Aku kata, aku tak kira. Aku nak ikut juga!” Ayin berkeras juga. Yaya yang berdiri di hadapan Along dan Ayin tidak bersuara apa-apa. Anak tekak terasa hilang ke dalam perut. Tidak boleh nak bersuara. Detak jantung jadi laju mendengar Ayin bertegas mahu ke tali air. Nak pandang muka Ayin pun Yaya tak sanggup, inikan pula hendak bersama Ayin. Mahu tidak bernafas dia nanti. Boleh kejung dia.
“Along, Emmm... Yaya rasa tak jadi temankan alonglah! Ayin dah ada temankan Along. Along pergi dengan Ayin saja, ya? Lagipun jeruk Yaya ni tak siap lagi,” tutur Yaya tersekat-sekat.
“Mana boleh?! Yaya kena ikut sekali.” Ayin melangkah dua tapak menghampiri Yaya. Tanpa disangka, Ayin capai tangan Yaya. Lengan Yaya digenggam kemas dan erat. Lalu ditarik gadis itu untuk melangkah bersamanya. Yaya terkasima. Tanpa sedar, kakinya melangkah menuruti rengkuhan tangan Ayin. Along pula terkebil-kebil memandang tidak percaya. Ayin berpaling selepas dia melangkah beberapa tapak.
“Along! Kau tunggu apa lagi tu? Cepatlah! Kata nak pergi.” Sekarang, tidak tahu siapa yang sebenarnya beria-ia hendak mandi di tali air tu. Along ataupun Ayin? Padahal itu rancangan Along tapi Ayin pula yang terlebih teruja, apa cerita? Memang otak budak Ayin ni dah mereng agaknya? detak Along. Kaki diturutkan jua mengekori derap langkah Ayin.
Bila tiba di tali air, hati Along membengkak. Dia sahaja yang berendam di dalam tali air. Ayin? Huh! Tengah duk usha Yayalah, apa lagi... Tadi beria-ia dia nak mandi. Rupa-rupanya cuma nak ambil kesempatan berdating dengan Yaya. Berbuku betul perasaan Along ketika itu. Di tepi tali air, Yaya hampir tidak boleh bernafas. Ayin berjarak hanya seinci dari dia. Hinggakan helaan nafas Ayin boleh terdengar di telinganya. Sempat Yaya berdoa, janganlah Ayin boleh mendengar detak jantung dia yang tengah laju mengepam darah ni pula. Kaki Yaya yang terendam di dalam tali air, terasa sejuk sampai ke perdu hati. Sudah kecut rasanya hati dia sekarang ini. Takut? Iya... Malu? Itu pun ya juga.
******
Ayin bangkit lalu bersandar pada dinding. Tangannya mencapai suis lampu tidur di atas meja sisi di tepi katil. Lampu yang baru dipadamkan oleh Along sebentar tadi dinyalakan semula.
“Along! Bangunlah!” Ayin goyang tubuh Along yang berbaring membelakangkan dia di sebelahnya.
“Apa dia? Aku nak tidurlah! Nyamuk ke? Kan dah pasang ubat nyamuk? Toto ni dah enam lapis kau bentang. Takkan tak cukup tebal? Jangan kacaulah. Aku nak tidur ni.”
 Ish! Bangunlah! Aku ada benda nak tanya kau ni.” Selimut yang menutupi tubuh Along direntap kasar. Along digoyang lagi tetapi kali ini lebih kuat.
“Besok saja kau tanya, tak boleh ke?” Along mendengus kuat selepas itu. Ditelentangkan tubuhnya dengan mata mencerlung tajam kepada Ayin. Rasa tidak puas hati terhadap Ayin petang tadi masih berbaki. “Kau kalau tak boleh tidur, boleh tak jangan buat aku tak tidur sama?”
“Macam mana aku nak tidur kalau otak aku ni asyik ingatkan dia?”
“Dia siapa?” Dahi Along berkerut. Bukanlah pasal nyamuk dan toto rupanya.
“Yaya! Sejak bila Yaya tu tinggal dengan Mak Su Ina, long?” Memang soalan ini ingin ditanyakan kepada Along sejak semalam tetapi dia simpan. Sebab otak sibuk berfikir bagaimana hendak menghampiri Yaya. Akhirnya Ayin buat kesimpulan, kalau hendak mendekati Yaya, dia perlu bersama Along. Di mana ada Along, di situ juga ada Yaya. Kerana itulah dia sanggup meredah semak untuk ke tali air petang tadi semata-mata mahu dekat dengan Yaya. Seumur hidup mana pernah dia buat benda tu. Habis calar-balar kaki dicarik duri pohon sembilu. Ayin tak kisah. Asalkan dia ada di sisi Yaya.
 “Along! Kau dengar tak apa yang aku tanya ni?” Ditenung tepat-tepat wajah Along.
“Kau ni Yin, baru keluar dari gua mana?” Kerut di dahi Along semakin berlapis. Kenapa nama Yaya pula yang disebut tengah-tengah malam begini? Agaknya memang betullah Ayin tak pernah hiraukan kewujudan Yaya selama ini. Tiga tahun kot, Yaya tinggal bersama Mak Su Ina. Takkan Ayin tak pernah perasan? desis Along.
“Aku tanya tu jawab sajalah, long. Apasal nak perli aku keluar dari gua mana pula?”
“Yalah! Yaya tu dah tiga tahun tinggal dengan Mak Su Ina. Takkan selama ni kau tak pernah perasan?” balas Along bersama perasaan tidak puas hati. Ayin tersengih sumbing. Pelik juga. Macam manalah dia tak pernah perasan budak perempuan yang secantik Yaya tu selama ini?
“Ada pakai magic ke dia tu, boleh halimunan? Sampai aku tak pernah nampak dia selama ni,” gumam Ayin. Yang lagi hairan, kenapa terlihat sahaja wajah Yaya, hatinya terus jadi cair? Bukan ke selama ini hatinya sudah beku terhadap perempuan?
Apasal kau tiba-tiba berminat pula dengan Yaya tu? Bukan ke selama ini, kau tu anti perempuan? Sejak kau clash dengan Adilia, habis semua perempuan kau boikot. Aku warning kau, Yin... Jangan pasal dendam kau dengan Adilia, Yaya pula jadi mangsa...”
“Apa yang kau merepek ni, long? Bila masa pula aku cakap nak jadikan Yaya tu tempat aku nak balas dendam?”
“Yalah! Tiba-tiba saja kau tu berminat dengan Yaya. Pelik juga aku. Selama ni kau tak pernah pandang pun dia.”
Ayin terdiam. Memang selama ini dia tidak pernah sedar pun kehadiran Yaya. Malahan dia tak pernah tahu tentang Yaya. Ataupun sebenarnya dia tidak pernah ambil peduli. Setelah agak lama Ayin senyap, barulah dia membuka mulut membalas kenyataan Along sebentar tadi.
“Aku mengaku, long. Mungkin sebab aku frustrated dengan Adilia dulu, aku tak pandang perempuan lain. Aku tak mahu ada perempuan dalam hati aku. Tapi itu cerita lama. Cerita aku dengan Adilia dah tiga tahun berlalu. Aku nak lupakan dia.”
“Habis tu Yaya ni kau nak jadikan apa? Tempat untuk kau lupakan Adilia? Kau kata nak ngorat dia tu, betul-betul ke, main-main?” Dari berbaring, kini Along sudah bersila di hadapan Ayin. Ini, kalau Ayin kata saja nak main-mainkan Yaya, memang panjang tangan dia mencepuk muka Ayin. Biar hiruk satu rumah Nek Ngah ni kerana mereka bertumbuk. Along tidak peduli. Asalkan Yaya dilindungi. Yaya tukan adik dia. Huh! Ayin ni pun adik dia juga. Adik kandung pula tu. Habis macam mana?
“Apa pula main-main, long? Aku cakap yang betullah!” Ayin senyap seketika. Cuba mentafsir dan memahami perasaan sendiri. “Aku tak tahu kenapa aku terpandang saja muka dia, hati aku rasa semacam. Hati aku terus berkata, dia tak sama dengan budak perempuan lain yang pernah aku kenal. Tak sama dengan Adilia.”
“Tapi kenapa baru sekarang kau nak rasa macam tu?”
“Eh! Ini soal hati, long. Manalah aku tahu kenapa baru sekarang aku nampak Yaya tu. Hati aku ni, tiba-tiba saja suka pada dia.” Memang dia tidak tahu kenapa baru sekarang mata hatinya terbuka. Dan orang yang telah membuka mata hati dia ini adalah Yaya. “Aku rasa Yaya tu ada somethinglah, long. Something yang boleh buat aku suka dekat dia, pada pandangan pertama.”
Along buat muka hendak termuntah sebaik sahaja Ayin menyudahkan kata-katanya. “Naik loya tekak aku dengar cakap kau ni, Yin. Kau nak cakap Yaya tu cinta pandang pertama kaulah?! Dengan Adilia dulu pun, kau macam tu juga. Sudahlah! Aku nak tidur. Malas aku nak layan jiwang karat kau tengah-tengah malam buta ni!”
“Janganlah tidur dulu, long! Banyak lagi pasal Yaya aku nak tanya kau.”
Apasal kau tak tanya Yaya sendiri masa kau dating dengan dia tepi tali air petang tadi?” Along bersuara dalam nada perli dan tidak puas hati. Dia kembali berbaring mengereng membelakangkan Ayin.
“Dah..., aku dah tanya. Dia jawab dengan angguk dan geleng saja. Mana aku nak faham.”
“Besok-besok ada masa lagi... Nanti kau tanyalah sendiri. Aku nak tidur.”
“Sekejaplah, long.”
Along senyap. Batal peluk ditekapkan ke telinga sebagai isyarat dia tidak mahu lagi mendengar sebarang pertanyaan dari Ayin. Ayin mendengus geram. Ke Along pun sebenarnya suka dengan Yaya? Sebab tu Along malas nak layan bila dia tanya pasal Yaya. Tiba-tiba Ayin rasa cemburu. Cemburu kepada abang sendiri. Cemburu kerana seorang perempuan. Seorang perempuan yang dia baru sedar kehadirannya sejak sekian lama. Memang gadis itu ada sesuatu. Sesuatu yang mampu menggetarkan hatinya yang telah lama membeku. Dan dia, Azrin Hisham, takkan sesekali mengalah. Walaupun kepada Along, abang kandungnya sendiri. Kirim salamlah!

No comments:

Post a Comment