Bab 18
Hampir dua jam perjalanan, akhirnya mereka sampai ke
Kampung Batu. Jefri, suami Alin menyusur ke tepi jalan menghentikan keretanya
di hadapan rumah Nek Ngah. Anak sulung Alin yang terlelap di pangkuan,
perlahan-lahan Yaya angkat dan baringkan di kerusi.
“Kau jangan lupa, bila kau dah pergi KL nanti datang
rumah aku,” tutur Alin saat kaki Yaya melangkah keluar dari kereta.
“Insya-Allah. Terima kasih sebab tumpangkan aku. Hantar
sampai depan rumah lagi. Buat susah kau dan Jefri saja. Kalau turunkan aku
dekat luar tadi, tak payahlah kau orang susah-susah nak patah balik.”
“Bukan jauh sangat pun Yaya,” pangkas Jefri. “Kalau
rasa-rasa sesat dekat KL nanti, cari saja rumah kami. Simpan alamat rumah kami
tu baik-baik,” tambah Jefri lagi.
Yaya senyum membalas. “Terima kasih, ya.” Yaya hulurkan
tangan kepada Alin melalui tingkap kereta. Selepas Alin dan Jefri beredar, Yaya
berpaling melihat ke arah rumah Nek Ngah. Perlahan kakinya diatur menghampiri
rumah tersebut. Kini, dia berdiri betul-betul di tengah halaman. Alhamdulillah,
akhirnya hajat untuk menjejakkan semula kaki di kampung ini terlaksana juga. Yaya
amati sekeliling kawasan rumah Nek Ngah. Saat anak matanya melewati laman
belakang, dia melihat seorang wanita sedang terbongkok-bongkok menyapu timbunan
dedaun kering. Perlahan-lahan wanita itu didekati. Kehadirannya di situ masih
tidak disedari.
“Assalamualaikum...” Yaya menyapanya perlahan.
Wanita itu panggung kepalanya. Kemudian dia menegakkan
tubuhnya pula. Mata merenung wajah Yaya tepat-tepat. Kelopak mata
terkebil-kebil selepas itu. Berusaha mengenali gadis di hadapan dia ketika ini.
Wanita itu adalah Mak Ina. Walaupun uban putih sudah menghiasi sebahagian kepalanya,
dan kedut usia memenuhi wajahnya, raut Mak Ina tidak jauh berubah. Tanpa
menunggu ucap salamnya dibalas, Yaya terus meraih tangan Mak Ina. Dahinya singgah
pada tangan Mak Ina. Lantas mencium jejari Mak Ina.
“Apa khabar, mak Ina?”
Mak Ina terkedu. Lama dia merenung selepas Yaya
menegakkan kembali badannya. Tidak semena-mena, bergenangan air mata Mak Ina di
penjuru mata. Perlahan air mata itu menitis ke pipi.
“Ya Allah... Yaya... Kau dah balik Yaya... Syukur Ya
Allah...” Terus tubuh Yaya dipeluk erat. Tangisan kegembiraan berlagu di bahu
Yaya. Beberapa detik selepas itu Mak Ina mencium pula pipi Yaya bertalu-talu.
“Shidan! Ayip! Kakak kamu dah balik...” jerit Mak Ina ke
arah rumahnya. “Shidan, Ayip! Cepat !”
“Apa dia mak?” sahut seorang lelaki muda dari anjung
rumah Mak Ina. Di sisinya berdiri pula seorang lagi lelaki muda. Yaya berpaling
melihat. Pasti itu Shidan dan Ayip. Kacak! Sudah dewasa rupanya mereka berdua
tu. Jarak umur antara Yaya dan mereka berdua pun bukannya jauh sangat. Mereka
cuma muda lima enam tahun saja dari Yaya.
“Kak Yaya dah balik!” ulang Mak Ina sekali lagi kepada
Shidan dan Ayip yang masih tegak berdiri di anjung rumah. Air mata yang
mengalir di pipi, disapu dengan hujung lengan baju Kedah.
“Mari masuk, Yaya.” Lantas Mak Ina menarik tangan Yaya.
Berjalan menuju ke arah rumahnya. Shidan dan Ayip masih lagi terpaku di anjung.
Barangkali tidak percaya bahawa gadis yang beriringan dengan ibu mereka itu
adalah kakak mereka yang telah sekian lama pergi. Tiba-tiba Yaya menghentikan
langkah kaki. Mak Ina berpaling.
“Kenapa Yaya?”
“Yaya nak jumpa Nek Ngah, mak Ina?”
Mak Ina melepaskan keluhan. Mata tertunduk bersama riak
sedih terpamer di wajah.
“Kenapa mak Ina?” Soalan itu diajukan bersama hati yang
mula berdebar kencang.
******
Yaya duduk melangut di pangkin bawah pohon jambu susu. Perasaan
pilu dan hibanya berbaur bersama rasa terkilan. Nampaknya dia terlewat bertemu
Nek Ngah. Rupanya sudah lapan tahun Nek Ngah menghadap Ilahi. Rasa rindu pada
Nek Ngah belum terungkai biarpun dia baru sebentar tadi menziarahi pusara arwah
Nek Ngah. Manakan mungkin rindunya terubat kalau hanya batu nisan kaku yang
ditatap. Tidak ketinggalan, dia ziarahi juga pusara arwah umi dan abah.
“Neh Ngah...” Nama itu diucap dalam sendu. Selepas
kehilangan orang tuanya, kini dia kehilangan seorang lagi insan yang paling dia
sayang. Yaya berpaling saat telinganya menangkap bunyi ranting patah.“Shidan.
Ayip,” sapanya kepada ke dua lelaki itu.
“Kita orang nak pergi pekan. Akak nak pesan apa-apa tak?”
soal Ayip.
“Pergi pekan? Buat apa?” Kelopak mata yang basah sekilas
disapu bersih.
“Mak nak buat kenduri kesyukuran dan kenduri arwah malam
ni. Kita orang nak pergi beli barang, sekali pergi jemput orang-orang surau.
Akak nak kirim apa-apa tak?” tanya Shidan pula.
Yaya geleng kepala. “Tak apalah. Rasanya tak ada apa yang
akak nak kirim,” balas Yaya dengan wajah muram. Hati Shidan terusik melihat
wajah murung Yaya itu. Dilabuhkan punggungnya di sebelah Yaya.
“Akak..., janganlah bersedih macam ni,” pujuk Shidan.
“Akak sedih pasal Nek Ngah ke?” celah Ayip kemudiannya.
Dia berdiri hampir di sisi Yaya. Shidan beralih pandang ke arah Ayip. Budak
sorang ni, kot nak bertanya pun, agak-agaklah! Sah-sah kak Yaya sedih kerana
Nek Ngah, lagi nak tanya ke? Bertambah sedihlah dia nanti, getus Shidan. Dia
berpaling semula kepada Yaya yang tunduk merenung tanah.
“Dah sampai ajalnya, kak. Redalah dia pergi. Selama akak
pergi, Nek Ngah sentiasa rindukan akak. Sampaikan dalam saat-saat akhirnya, dia
masih lagi sebut nama akak. Nek Ngah pesan pada emak, rumah tu dia nak
hadiahkan kepada akak,” ujar Syidan memujuk.
Menitis air mata Yaya kala itu. “Akak rindukan Nek
Ngah...”
“Sudahlah kak! Janganlah sedih lagi. Yang penting akak
dah balik ke sini semula,” pujuk Ayip pula selepas itu. Yaya goyangkan kepala
perlahan. Air mata diseka.
“Pergilah. Nanti lambat pula. Akak okey. Tak ada
apa-apa.” Yaya paksa bibirnya mengukir senyuman.
Selepas Shidan dan Ayip beredar, Yaya masih lagi termenung
di situ. Pandangan matanya dibuang ke arah rumah Nek Ngah. Walaupun Nek Ngah
telah lama meninggal dunia, keadaan rumah Nek Ngah masih seperti dahulu. Cantik
dan bersih. Tidak serupa rumah yang sudah lama ditinggalkan. Tentu Mak Ina
rajin menjaganya. Barangkali juga Mak Ina selalu tinggal di situ. Sebabnya Nek
Ngah pernah berkata, rumah yang ditinggalkan akan cepat nampak usang bila
hilang seri. Penyerinya adalah penghuni rumah itu sendiri. Kalau rumah tidak
dihuni, maka hilanglah serinya. Tanpa dipaksa air mata Yaya mengalir kembali.
“Yaya...” Sayup-sayup dia mendengar namanya dipanggil.
Yaya kalih melihat Mak Ina di pintu dapur rumah sebelah. Dari jauh Mak Ina
menggamit tangan memanggilnya. Yaya tinggalkan pangkin lalu mengatur derap ke
arah rumah Mak Ina.
“Mak Ina nak telefon Mak Long dan Pak Long kamu,”
beritahu Mak Ina sebaik sahaja langkah Yaya mati di hadapannya. Ketika itu Mak
Ina dapat melihat ada warna sedih terlukis di wajah Yaya.
“Kenapa Yaya?”
“Yaya teringatkan Nek Ngah,” jawab Yaya tanpa
berselindung.
Mak Ina usap bahu Yaya seraya tersenyum nipis petanda dia
memujuk Yaya. “Sabarlah Yaya.” Itu saja yang mampu dikatakan. Dia mengerti
perasaan Yaya kala ini. Tentunya Yaya kecewa kerana tidak sempat bertemu Nek
Ngah.
“Tadi Shidan dan Ayip kata, mak Ina nak buat kenduri
malam ni?” Cepat Yaya mengubah tajuk. Dia tidak mahu memanjangkan sedihnya.
“Sebab tulah mak Ina nak telefon Mak Long dan Pak Long.
Suruh dia orang balik malam ni. Tapi mak Ina tak nak bagitau dia orang, yang Yaya dah balik.”
“Kenapa mak Ina tak nak cakap yang Yaya dah balik?”
“Mak Ina nak supraiskan
Pak Long dan Mak Long kamu.”
Yaya ketawa. Hilang sedikit rasa sedih pilu dia sebentar
tadi. Pandai pula Mak Ina ni speaking
London.
“Surprise mak
Ina?”
“Haah, Suprais!
Mesti terkejut Pak Long dan Mak Long kamu.” Mak Ina ketawa kemudiannya.
Berusaha untuk menceriakan hati Yaya.
Memang betul apa yang Mak
Ina kata. Melopong mulut Pak Long dan Mak Long terkejut melihat Yaya berdiri di
hadapan mereka. Menjadi betul rancangan surprise
Mak Ina. Mak Long cubit-cubit pipi Yaya. Tidak percaya di hadapan dia ini
adalah Yaya.
“Betul ke ini Yaya?” Kini
kedua belah bahu Yaya pula diramas-ramas.
“Betullah ini Yaya, kak
long... Baru sampai petang tadi,” cantas Mak Ina.
“Betul ke Yaya?” tanya
Mak Long lagi. Kedua telapak tangan Mak Long melekap di pipi Yaya. Habis
segenap inci wajah gadis itu diteliti.
Yaya senyum dan angguk
kepala. “Apa khabar mak long?” Diambil kedua belah tangan Mak Long di pipinya
lalu disalami dan dikucupi dengan penuh hormat.
“Yaya...” Tubuh kurus
Yaya terus ditarik ke dalam pelukan. Seperti Mak Ina petang tadi, Mak Long juga
menangis di bahu Yaya. Memang hari ini bahunya tempat orang merembeskan air
mata. Air mata dia? Tahan sahajalah. Kerana dia tidak mahu menambahkan lagi kesedihan
mereka.
“Yaya sihat?” soalan itu
diajukan oleh Pak Long sewaktu Yaya menyalaminya.
“Alhamdulillah, sihat pak
long.”
“Syukurlah kita dah
berkumpul semula,” ujar Pak Long selepas itu. Air muka Pak Long kelihatan duka
bercampur suka.
“Jomlah kita masuk.
Kenduri dah nak setat,” celah Mak Ina
seraya menarik tangan Mak Long dan Yaya.
No comments:
Post a Comment