Total Pageviews

Wednesday, March 25, 2015

Benci / Cinta... Awak Budak Nakal - 20





Bab 20
Ayin bersandar pada dinding sambil berdiri di bibir tingkap. Anak mata merenung keluar jendela. Kedua belah tangan dipelukan ke tubuh. Tidak putus penglihatannya memandang tepat ke arah Spinnaker Tower yang boleh dilihat dengan jelas dari tingkap apartmennya ini. Bukan saja dari jendela ini, malahan Spinnaker Tower boleh dilihat sejauh dari Isle of Wight dan Manhood Paninsula. Menara setinggi lima ratus enam puluh kaki itu merupakan mercu tanda Portsmouth Harbour. Mungkinkah dia akan merindui menara berbentuk layar kapal sedang berkembang ditiup angin itu, setelah dia pulang ke Malaysia nanti?
“Dah muktamad ke keputusan kau ni Ayin?” soal Chad yang duduk di birai katil.
Ayin angguk. “Dah lama sangat aku berada di sini Chad,” keluh Ayin berat. Mata masih lagi tidak beralih dari memandang Spinnaker Tower. Sembilan tahun, adalah satu masa yang terlalu lama. Kini dia nekad. Dia ingin pulang ke Malaysia. Bagaimana hebat sekalipun hidupnya sekarang, bumi yang sedang dipijak ini bukan tanah air tempat tumpah darahnya. Dahulu kedatangannya ke sini adalah semata-mata dengan niat untuk menimba ilmu di University Of Portsmouth. Selepas mendapat MPhil dalam Economics & Finance, dia sambung PhD dalam jurusan yang sama. Itu sahaja sudah mengambil masa selama lima tahun. Kemudian dia ambil BA(Hons) dalam Graphic Design pula. Entah macam mana dia boleh tersangkut dalam Graphic Design dia pun tak tahulah! Yang dia tahu, dia tiba-tiba jatuh minat dalam bidang kreatif. Bidang yang membolehkan dia merasa bebas. Bebas berkarya. Bebas mencipta tanpa had halangan. Bebas bereksplotasi. Dah namanya pun kreatifkan? Keseluruhannya, dia mengambil masa selama lapan tahun untuk belajar sahaja. Baru setahun yang lepas dia betul-betul bekerja. Tiga tahun sebelum itu dia bekerja sambil belajar. Dan kini, tiba-tiba hatinya terlalu ingin pulang ke Malaysia.
“Apa yang buatkan kau merubah fikiran? Aku ingatkan kau nak ikut aku balik bercuti saja?” tanya Chad lagi. Ayin cuma mengangkat bahu. Terasa berat untuk berkongsi cerita alasan kenapa dia mahu pulang ke Malaysia.
“Takkan pasal Adilia kau nak lari balik Malaysia?” tebak Chad. Rasanya, perempuan itu ada kena-mengena dengan keputusan mendadak Ayin ini. Sudah acap kali Ayin meluahkan perasaan tidak senangnya dengan sikap Adilia. Dia tak tahu kenapa Ayin tidak suka kepada Adilia. Dia pernah bertanya tapi Ayin tidak pernah menjawab. Hendak dipaksa, tidak sampai hati pula bila Ayin tunjuk riak tidak gemar apabila diaju soalan tentang Adilia. Sudahnya dia biarkan saja. Dia tahu, lambat-laun Ayin akan beritahu juga.
Bila sahaja nama Adilia disebut oleh Chad, pantas Ayin berpaling kepadanya. “Memang sebab dia aku nak balik Malaysia buat selama-lamanya,” balas Ayin hambar. Teringatkan Adilia buatkan hati Ayin jadi sakit. Luka lama yang tinggal parut, berdarah semula. Dan kerana Adilia juga, dia kembali mengingati nama itu. Nama seorang gadis yang telah menyembuhkan luka hatinya yang dirobek oleh Adilia dahulu.
Setelah sekian lama Adilia berkubur di dalam lipatan sejarah, entah bagaimana gadis itu tiba-tiba pacul di hadapannya sebulan yang lepas. Dan semenjak itu juga, Adilia selalu muncul dalam hidupnya. Hampir saban hari dia terpaksa berhadapan dengan Adilia yang menjadi eksekutif di syarikat pengiklanan tempat dia bekerja. Lebih memeningkan Ayin, gadis itu meminta mereka mengulangi kisah cinta monyet di zaman persekolahan dahulu. Kenapalah di UK ni dia boleh berjumpa Adilia? Malaysia dengan UK bukannya dekat. Kenapa Adilia ke sini, tidak pula dia tahu dan dia tidak pernah menyoal Adilia.
Sebulan hidupnya sentiasa dihimpit Adilia. Semakin hari dia jadi semakin rimas. Rasa perit dikhianati oleh Adilia, masih terasa dalam hati. Untuk mengulangi kisah mereka, takkan! Dia dah tui kan ludah, takkan nak jilat balik? Lagipun sejarah sudah membuktikan, Adilia bukanlah orang yang setia dan tak boleh dipercayai. Mungkin juga Adilia sudah berubah tetapi dia tidak mahu ambil risiko. Tambahan perasaannya kepada Yaya masih kuat. Makanya dengan kehadiran Adilia itu, secara tidak langsung telah membakar perasaannya semula. Membangkitkan rasa rindunya. Kini semangat untuk menjejaki Yaya kembali.
“Aku tahu kau tak sukakan Adilia tu, tapi takkan sampai nak berhenti kerja dan balik Malaysia?”
“Kau tak tahu sejarah aku dan Adilia tu, Chad...”
Chad kerut dahi. Ini sesuatu yang menarik! “Sejarah? Dia tu awek kau dulu ke?” Chad cuba meneka. Hati tiba-tiba teruja. Sudah berminggu-minggu dia mencari sebab-musabab kenapa Ayin menolak mentah-mentah minah cun tu.
Ayin renung wajah Chad yang kelihatan teruja. Dia angguk tapi kali ini diselang dengan keluhan. Perlahan dia aturkan kakinya mendekati Chad di birai katil.
“Dia tu awek aku masa sekolah dulu,” tutur Ayin sebaik sahaja punggungnya sudah dilabuhkan di sebelah Chad.
“Awek masa sekolah saja kot. Yang nak lari sampai ke Malaysia tu kenapa?” Chad pelik. Awek masa sekolah sampai dijadikan seteru? Tak logik sangat bunyinya.
“Sebab dia dah ada di sini,” pantas Ayin membalas.
“Apa sebenarnya terjadi antara kau dan Adilia?” Chad kerut dahi tanda keliru. Tentu ada sesuatu. Kalau tidak, Ayin takkan ambil keputusan sedrastik ini. Kerana Adilia, Ayin sanggup melepaskan kerjayanya yang sedang berada di puncak sekarang.
Ayin tarik nafas panjang-panjang. Kemudian dia hembus keluar perlahan-lahan. “Dia pernah kecewakan aku dulu. Dia curang!” suara Ayin hambar.
Chad geleng kepala tidak percaya. Sentimental juga kawan dia ni rupanya. “Itu zaman sekolah... Zaman cinta monyet. Dah lama pun berlalu. Takkan kau marah lagi dekat dia? Mana tahu dia nak tebus kesalahan dia tu. Sekarang ni dia dah berubah ke?”
“Memang cerita tu, cerita lama tapi perit tu masih ada, Chad. Aku jeran. Cukuplah sekali. Dulu masa aku frustrated dengan Adilia, nyaris aku hancurkan hidup aku sendiri. Aku jadi nakal. Selalu timbulkan masalah dekat sekolah, dekat rumah. Sampai mama dan papa aku pun pening kepala dengan perangai aku. Bertahun juga aku nak recover diri aku balik. Aku jadi baik semula pun, disebabkan oleh seorang budak perempuan ni,” cerita Ayin.
“Budak perempuan?!” cantas Chad. Dia seperti terkejut.
“Sinar.”
“Sinar?!” Chad ulang sebut nama itu. Dua kali dia terkejut. Ayin dengan budak perempuan? Biar benar?!
“Hmm... Dialah yag telah mengubah aku. Mengubati luka di hati aku. Dia juga yang buat aku lupakan Adilia. Sekarang bila Adilia muncul, aku teringatkan Sinar semula. Sebab itu aku ambil keputusan pulang ke Malaysia. Aku nak cari Sinar.”
“Peninglah kepala aku dengan cerita kau ni.” Chad garu atas kepala. Ayin mendengus seraya merebahkan badan ke atas tilam. Kedua-dua belah tapak tangan disilangkan di bawah kepala. Matanya tertancap pada siling apartmen. Tidak berkerdip memandang ke situ.
“Masa tu aku di form two. Satu hari, waktu assembly, HM perkenalkan seorang budak perempuan yang baru pindah ke sekolah kami. Bila aku tengok dia, aku terus suka. Hari tu juga aku jumpa dan ajak dia jadi couple aku.”
“Gila siot! Memang gilalah kau ni, Yin. First day jumpa terus ajak couple.”
“Aku memang macam tu. Kalau aku suka, terus aku cakap saja. Tak ada nak tunggu-tunggu, nak simpan-simpan. Tambahan dia cantik. Dan dialah orang pertama yang mengajar aku cinta monyet.”
“Lepas tu apa jadi.” Chad menyoal lebih lanjut. Beria sungguh dia ingin tahu.
“Dia terima. Dan kami jadi couple lepas tu. Lama juga hubungan kami berjalan. Masa tu aku rasa, akulah orang yang paling bahagia tapi di belakang aku dia jalinkan hubungan dengan orang lain. Dan bila aku tahu, aku jadi kecewa sangat.”
“Budak perempuan tu Adilia?”
Ayin senyap tidak membalas.
“Memang kecewa cinta pertama tu boleh buat kita jadi teruk. Aku pun pernah rasa macam tu juga dulu.”
“Tapi aku rasa kau tak jadi seteruk aku. Aku kecewa dengan Adilia sampai aku berubah jadi orang lain. Aku nakal. Selalu timbulkan masalah. Aku jadi perengus. Pemarah. Stone heart. Bencikan perempuan dan macam-macam perangai lagilah aku buat.”
“Jadi..., Sinar nilah yang dah cure luka kau?”
Ayin senyap.
“Betullah tu!” tukas Chad. “Macam mana kau boleh jumpa Sinar tu?”
“Dia tu anak angkat Mak Su aku. First time aku perasaan dia masa aku balik kampung cuti sekolah akhir tahun form four.” Secubit senyuman terukir di bibir Ayin, saat Yaya melintas di hati dan fikirannya. Maka tersingkaplah kenangan dia memikat Yaya yang tak serupa orang lain tu.
“Kau pernah bagitau kau cintakan dia?” soal Chad selepas mendengar cerita Ayin.
“Aku kalau suka aku cakap aku suka. Tapi cinta tu, aku takkan cakap. Aku lelaki. Ego aku tinggi.”
Pirahhh! Cakap sajalah kau dah cintakan dia sebenarnya.”
“Mana kau tahu?”
“Yin, kalau kau tak cinta, kau takkan ingatkan dia sampai sekarang. Selama dekat Portsmouth ni, kau tak pernah menjalinkan hubungan dengan mana-mana perempuan. Dan kalau tak kerana cinta, kau takkan tolak Adilia tu macam tu saja. Dia tu cantik dan hot kot!”
Ayin tarik tangannya dari bawah kepala dan mencapai bantal kecil di atas katil lalu dipukul ke dada Chad.
“Sakit la woi!”
“Sakit lagi hati aku ni!”
Mereka ketawa serentak selepas itu.
“Seminggu sebelum habis cuti sekolah, papa datang jemput aku dan abang aku. Itulah kali terakhir aku jumpa Sinar,” cerita Ayin kemudiannya, selepas ketawa mereka berhenti.
“Dia pergi mana pula?”
“Bapa saudara dia datang ambik dia dan bawak dia tinggal di Sabah.”
“Dia tak pernah contact kau?”
Ayin geleng.
Family kau?”
Geleng lagi.
“Mak Su kau?”
Nope!”
“Kau tak pernah contact dia?”
“Bapa saudara dia tak ada tinggalkan address.”
“Sebab tu ke setiap kali balik bercuti ke Malaysia, kau ke Sabah?”
“Aku pergi cari dia.”
“Gila! Sabah tu bukan kecik kau nak pergi cari dia.”
“Aku tahu. Cuma itu saja cara yang aku nampak. Kalau ada jodoh, aku pasti, satu hari nanti aku mesti jumpa dia.”
Chad geleng kepala. Memang sentimental tahap gaban sahabat dia ni! “Kau tak takut kalau-kalau kau jumpa dia nanti, dia dah kahwin?”
Glup!
Dah kahwin!

6 comments: