Bab 2
Masa begitu pantas berlalu. Pejam celik, pejam celik,
kini sudah empat bulan umi dan abah Yaya meninggal dunia. Bermakna sudah empat
bulan juga Yaya menjadi sebahagian dari keluarga Mak Ina. Dan sekarang, hampir
sebulan Yaya menjalani ibadah berpuasa bersama Mak Ina dan Nek Ngah tanpa abah
dan umi. Sedih rasa di hati bukan kepalang tetapi Yaya enggan meratapinya kerana
dia sudah reda menerima ketentuan dan ujian ini. Namun begitu, tidak pernah sedetik
pun dia melupakan arwah abah dan umi. Saban waktu dititipkan doa buat keduanya.
Moga tenang roh mereka di sana. Bukankah dia mahu menjadi anak yang soleh? Anak
yang selalu mendoakan ibu dan bapanya?
Lusa, Hari Raya Puasa bakal tiba. Juga raya pertama yang disambut
tanpa umi dan abah. Tak rasa sayu? Hiba? Sedih? Usah dicerita... Bagai tidak
terkata menanggungnya, tapi Yaya tabahkan jua. Dia tidak mahu Mak Ina terasa
hati apabila melihat dia berduka. Bimbang Mak Ina menyangka dia tidak hidup
bahagia bersama Mak Ina. Wanita itu sudah terlalu banyak berkorban untuk dia.
Wajar dia menjaga hatinya.
Sekurang-kurangnya Yaya masih menyambut Hari Raya bersama-sama
orang yang mengambil berat tentang diri dia. Mak Ina, Shidan, Ayip dan juga Nek
Ngah adalah insan-insan yang menyayangi dia. Tentu beraya dengan mereka tiada
cacat celanya. Meriahnya pasti terasa, walaupun perasaan bahagia itu tidak setara
tika beraya dengan umi dan abahnya. Amatlah tidak adil sekiranya dia
membandingkannya, kerana situasi dan keadaan sekarang jauh berbeza.
Nek Ngah, nenek saudara Mak Ina tinggal di rumah pusaka
sebelah rumah Mak Ina. Kasihan Nek Ngah, dia tinggal sendirian. Suaminya sudah
lama meninggal dunia. Sepanjang usia perkahwinannya, Nek Ngah tidak dikurniakan
anak. Kepada Mak Inalah, anak kakaknya, Nek Ngah menumpang kasih. Nek Ngah juga
tidak ada adik-beradik lain. Jadi, selama Yaya tinggal di sini, dialah yang
selalu membantu Mak Ina menjaga sakit pening Nek Ngah. Menemani tidur malam Nek
Ngah. Kadang-kadang, sekiranya ada kelapangan, Yaya sediakan juga makan dan
minum Nek Ngah.
Tengah hari itu, selepas pulang dari sekolah, Yaya ringan
tangan menolong Nek Ngah memasak juadah untuk berbuka puasa. Mak Ina pula sibuk
membakar kuih di rumahnya. Sudah berbalang-balang dan bermacam jenis kuih raya
Mak Ina. Dari yang berbentuk bulat, lonjong hingga bersegi. Pelbagai perisa dan
warna. Dari yang moden sampai ke tradisional, semuanya ada. Rupanya masih tidak
cukup-cukup juga. Bila teringatkan Mak Ina, Yaya tersenyum sendiri.
Beria-ia betul Mak Ina menyambut lebaran pada tahun ini.
Jahit langsir baharu. Sarung kusyen berganti. Beli karpet. Pagar, dinding dan siling
rumah juga sudah bertukar warna. Selama seminggu setiap petang Yaya, Shidan dan
Ayip bertungkus-lumus mengecat rumah. Hidung pun sudah naik pedih menghidu bau
cat. Semuanya gara-gara melayan kerenah Mak Ina yang terlalu teruja hendak
menyambut hari raya. Agaknya Mak Ina tidak mahu Yaya merasa ada kekurangan
menyambut hari raya tanpa abah dan uminya.
Hari ini, mereka berbuka puasa di rumah Nek Ngah. Sedang
sibuk Yaya mengacau gulai siput sedut, Nek Ngah terpacul di pintu dapur. Dia
baru balik dari meranduk semak di belakang rumah. Mengutip pucuk muda kangkung
liar di dalam tali air di tepi bendang.
“Yaya, nanti kangkung ni goreng dengan belacan ya.” Nek
Ngah menghampiri gadis itu di para dapur. Lalu diunjukkan secekak sayur
kangkung kepada Yaya.
“Nanti Yaya gorengkan untuk nek ngah. Special punya. Makan pun sampai menjilat
jari,” kata Yaya bersulam tawa kecil. Sayur itu disambut, kemudiannya
diletakkan ke dalam sinki di tepi para dapur.
“Ya..., nek ngah tahu Yaya memang pandai masak,” usik Nek
Ngah pula. “Nek ngah masuk solat zohor dulu.” Nek Ngah kemudiannya beredar
menuju ke biliknya di ruang hadapan rumah. Baru beberapa tapak Nek Ngah
berjalan,dia berpaling kepada Yaya.
“Yaya... Nanti tolong nek ngah kemaskan bilik yang dekat
depan tu, ya. Lusa dah nak raya. Besok Pak Long dan Mak Long kamu tentu balik.”
“Ya, nek ngah. Nanti lepas masak ni, Yaya kemaskan.”
“Paling penting bilik tepi tangga tu. Itu bilik Along dan
Ayin, anak Pak Long dan Mak Long kamu.”
“Anak Pak Long dan Mak Long yang mana nek ngah?” Yaya
kerut dahi. Cuba mengingati sambil tangan sibuk mengacau gulai siput sedut. Api
dapur kayu dileraikan sedikit supaya tidak terlalu marak. Nanti gulai pecah
minyak.
“Kamu tak kenal ke?”
“Tak, nek ngah. Yaya belum pernah jumpa dia orang lagi.
Hari tu, masa mula-mula Yaya tinggal dengan Mak Ina pun, Yaya cuma jumpa Pak
Long dengan Mak Long saja. Anak dia orang tak balik masa tu. Anak Pak Long dan
Mak Long tu ada berapa orang nek ngah?”
“Pak Long dan Mak Long kamu tu ada dua orang anak lelaki
saja, Yaya. Along dan Ayin. Hmm..., memang agaknya keturunan nek ngah ni tak
ramai adik-beradik. Nek ngah dua beradik. Si Ina pun dua beradik. Anak Ina pun
dua. Anak Yah pun dua juga,” keluh Nek Ngah. Yaya hanya senyum. Yaya ingat lagi,
hari itu dia baru dua hari tinggal bersama Mak Ina. Abang ipar dan kakak Mak
Ina balik untuk berjumpa dan berkenalan dengan dia, selepas Mak Ina beritahu
mereka yang Mak Ina mengambil dia menjadi anak angkatnya. Pak Long dan Mak Long
masa tu balik berdua sahaja. Dua orang anak lelakinya tidak ikut serta.
“Kalau Yaya tak kenal lagi, tak apa. Besok dia orang
balik, Yaya kenallah dengan Along dan Ayin tu,” sambung Nek Ngah kemudiannya. Yaya
angguk kepala. Matanya kembali kepada periuk berisi gulai siput sedut yang
sedang dikacau.
“Nanti Yaya jangan lupa bersihkan betul-betul bilik tu.”
“Kenapa nek ngah?”
soal Yaya selepas dia mengalihkan periuk gulai ke tepi. Matanya jatuh
semula kepada Nek Ngah. Pelik permintaan Nek Ngah tu. Selama ini, tak pernah
pula Nek Ngah kompelin kerja rumah yang dia lakukan tidak sempurna.
“Along tu nek ngah tak kisah sangat. Si Ayin tu yang nek
ngah risaukan. Dia bukan boleh tidur kalau bilik tu berhabuk. Badan
gatal-gatal, kata dia. Bila badan merah-merah, mulalah dia bising. Lagi teruk,
bila dia terbersin. Sampai sepuluh kali... Lepas tu, mulalah! Hidung dia
berair,” cerita Nek Ngah panjang lebar tentang Ayin. Yaya pandang muka Nek Ngah
tepat-tepat. Saat ini hatinya berkata-kata. Budak yang nama Ayin tu mesti budak
yang banyak cekadak. Habuk sikit, dah
nak gatal-gatal satu badan. Mengalahkan kulit orang perempuan sensitifnya.
“Petang nanti, masa Yaya pergi beli kuih untuk berbuka,
Yaya singgah rumah Mak Senah sekejap. Ambik
toto yang nek ngah kirimkan dekat
dia. Nek ngah mintak tolong Mak Senah belikan toto baru minggu lepas.” Nek Ngah menambah katanya lagi.
“Toto?! Buat
apa dengan toto baru tu nek ngah?
Dalam bilik nek ngah kan banyak toto?
Yaya nampak berbeg-beg atas almari tu. Elok lagi. Masih cantik!” Yaya masih
memandang wajah Nek Ngah. Benaknya penuh dengan tanda tanya. Nek Ngah ni nak
buka kedai jual toto ke apa? Dah
dekat sedozen toto atas almari tu.
Kalaulah setiap kali budak tu balik Nek Ngah beli toto baru, rasanya Nek Ngah boleh bukak yard sale tak lama
lagi, bebel hati Yaya.
“Itu toto lama.
Dah berbau hapak. Ayin tak nak tidur atas toto
lama tu. Atas tilam kekabu tu pun, dia tak nak tidur. Banyak pijat katanya.
Habis bintat-bintat nanti badan dia. Tulang belakang dia tu, sakit-sakit kalau
tidur atas tilam kekabu tu. Keras sangat kata Ayin,” celoteh Nek Ngah berjeda. Banyak
bunyi betul budak tu. Memang sah budak nama Ayin ni banyak songeh.
“Kamu jangan lupa beli ubat nyamuk sekali, Yaya. Ayin
kata rumah nek ngah ni banyak nyamuk. Dia cakap boleh kering darah dia kena
hisap dek nyamuk-nyamuk tu.”
“Spray Ridsect
sajalah, nek ngah!” cadang Yaya seraya menuju ke sinki sebelah para dapur.
Kangkung yang dikutip oleh Nek Ngah tadi dicuci.
“Tak tahan... Nanti tengah-tengah malam bila nyamuk
datang balik, terpekik terlolong Ayin panggil nek ngah suruh halaukan nyamuk.”
“Susah-susah sangat pasang saja kelambu, nek ngah.” Kalau
cadangan yang ini pun ada juga alasan Nek Ngah beri, memang sahih budak tu
jenis kekwat.
“Nek ngah dah buat dulu dah... Lemas pula kata dia. Ayin
kata, rasa macam kena kurung. Kadang-kadang naik pening juga kepala nek ngah ni
melayan ragam si Ayin tu.” Hah! Ada juga alasannya?
“Kalau macam tu, yalah nek ngah. Balik dari rumak Mak
Senah nanti, Yaya singgah kedai Pak Hamid beli ubat nyamuk. Berapa kotak nek
ngah nak? Cap ikan ke, cap gajah?” Geram pula hati Yaya bila fikir pasal budak
banyak cekadak, banyak bunyi plus banyak songeh dan sangat kekwat
tu. Kasihan sungguh Nek Ngah terpaksa melayan kerenah budak yang entah apa-apa tu.
“Yaya perli ke apa ni?” Nek Ngah senyum. Riak tidak gemar
di wajah Yaya dapat dibacanya.
“Eh! Taklah nek ngah. Yaya tanya saja. Manalah tahu...,
kot-kot budak tu alah pula dengan apa-apa ubat nyamuk. Karang Yaya tersalah
beli, pengsan pula dia terhidu asap ubat nyamuk tu.”
“Budak bandar, biasalah macam tu Yaya.” Nek Ngah tertawa
kecil apabila melihat muka Yaya seperti tidak puas hati ketika dia bercerita
tentang Ayin.
“Nek ngah yang rajin melayan perangai dia. Tu yang dia
manja, mengada-ada sangat tu. Habuk sikit tak boleh. Panas sikit tak boleh. Ada
nyamuk tak boleh,” bebel Yaya pula.
“Nek ngah bukan apa... Hari rayalah si Ayin tu baru nak
balik kampung. Kalau saja-saja nak balik, atau selain dari raya, jangan harap
dia nak jejak kampung ni. Tu sebab sesekali dia balik ni, nek ngah ikutkan saja
peel dia tu. Kalau tidak... dia
merajuk. Langsung tak nak balik lagi susah! Nek ngah ni, cucu dahlah tak
ramai.”
“Yalah, nek ngah. Kita ikutkan sajalah ragam dia,” putus
Yaya. Malas mahu menyambung kisah budak yang banyak cekadak, banyak bunyi plus
banyak songeh dan sangat kekwat tu.
Nek Ngah berpatah semula ingin ke biliknya di ruang
depan. Seperti tadi, baru beberapa langkah saja Nek Ngah bergerak, dia kembali
menoleh kepada Yaya. Yaya mengerut dahi. Tertangguh lagi kerja menyiang sayur
kangkung. Tentu ada lagi yang Nek Ngah nak cakapkan pasal budak Ayin tu.
“Bila kamu bersihkan bilik tu, bersihkan sekali kipas
angin, ya Yaya. Bilah kipas tu dah penuh dengan habuk. Kalau bersih, barulah laju
sikit berpusingnya. Kalau angin kipas tu tak kuat, Ayin bising nanti. Panas
kata dia. Ketiak berairlah, badan berpeluhlah.” Masa ni Yaya tengok, ke kiri ke
kanan kepala Nek Ngah bergoyang ketika bercakap. Yaya angkat kening. Kan dah
agak dah... Ada lagi benda yang Nek Ngah nak cakapkan pasal budak Ayin tu.
Budak Ayin ni memang banyak keok betul lah... Rasa tak sabar-sabar pula Yaya
nak kenal dan tengok, macam mana roman orang agaknya budak yang bernama Ayin
tu. Seorang budak yang banyak cekadak, banyak
bunyi plus banyak songeh, dan sangat kekwat. Tambah lagi satu pangkat, banyak keok! Bagus sangat ke dia
tu, sampaikan Nek Ngah mengelabah macam ni sekali bila dia nak balik ke sini?
getus Yaya. Kalaulah ditulis atas kertas apa yang Nek Ngah suruh Yaya buat
tadi, semata-mata demi budak Ayin tu nak balik, mesti berkajang-kajang
panjangnya.
“Kenapa nek ngah risau sangat pasal Ayin tu? Nek ngah
takut, anak Pak Long tu tak selesa tinggal di rumah ni ke?” Yaya cuba meneka.
“Si Ayin tu memang macam tu, Yaya. Orang dah biasa
tinggal di bandar dari kecik sampai ke besar. Mana nak suai tinggal dekat
kampung. Nek ngah bukannya apa..., nek ngah cuma kesiankan dia. Masa raya ni
saja dia nak balik. Kalau tidak..., bayang dia pun susah nak jejak kampung ni.”
Budak bandar memang macam tu. Mengada-ada lebih! Gerutu
Yaya. Tiba-tiba Yaya rasa tidak sabar hendak menunggu hari esok. Dia nak kenal
sangat dengan budak yang bernama Ayin tu. Budak banyak cekadak, banyak bunyi, banyak songeh,
sangat kekwat dan banyak keok. Hmm... belum jumpa, malahan belum kenal pun
lagi, sudah banyak gelaran-gelaran terindah yang Yaya cipta khas untuk si Ayin
tu.
No comments:
Post a Comment