Bab 10
Petang itu ketika Nek Ngah meminta Yaya mengutip pucuk
manis dan cendawan kukur di dalam kebun getah, Ayin orang pertama yang
menyahut. Sukarela menjadi pengiring Yaya. Nek Ngah pelik. Hairan melihat perangai
ganjil Ayin dua tiga hari ni. Sudah seperti budak kampung betul! Mak Long dan
Pak Long senyap tidak bertanya. Mereka suka Ayin sudah berubah sikap.
Setidak-tidaknya, telinga mereka tidak lagi bingar dengan suara Ayin, bising
memaksa mereka pulang ke KL.
“Sinar, Ayin nak tanya sesuatu boleh tak?”
Erkk! Yaya terkedu. Kenapa lain benar bunyi panggilan Ayin
tu? Kali pertama Ayin memanggil dia dengan nama Sinar, rasa bergetar tali
jantung. Ayin menghampiri Yaya. Pertanyaan Ayin tadi seolah-olah tidak sampai
ke telinganya.
“Sinar...,” suara
Ayin semakin lembut memanggil. Nyamuk yang berlegar di keliling badan dan atas
kepala tidak hiraukan. Along mengutip cendawan kukur di hujung batang pokok
getah mati menjeling kepada mereka.
“Jangan panggil
Yaya, Sinar. Rasa kekoklah. Tak pernah orang panggil Yaya dengan nama tu.
Selalunya orang panggil Suria saja. Yang rapat panggil Yaya.” Yaya berkata
lembut. Dia memang jarang bercakap dengan Ayin. Boleh dikira sebelah jari
berapa kali dia bersuara kepada Ayin. Lebih kerap mengangguk atau geleng saja.
“Oh! Patutlah Along panggil Yaya. Maknanya Along tu orang
yang paling rapatlah dengan awak?” Sesekali
bila dengar suara Yaya ni, boleh pengsan dia. Merdu kalah buluh perindu. “Kalau
macam tu saya panggil awak Sinar. Orang tak pernah panggil, saya panggil. Sebab
panggilan tu hanya untuk orang istimewa macam saya saja. Dan ingat! Hanya saya
yang boleh panggil awak macam tu tau! Ayin nak panggil Sinar sebab Ayin sukakan
Yaya.”
Alamak! Ayin mengaku sukakan dia? Macam tak percaya saja.
Selepas itu kepala Yaya semakin rendah. Wajahnya tunduk ke tanah. Segan dan
malu kepada Ayin datang bertalu-talu.
Hari ini, masuk empat hari Ayin melayan Yaya dengan baik. Tidak
seperti waktu mula-mula Yaya kenal dia dulu. Masa tu Ayin banyak cekadak,
banyak bunyi, banyak songeh, sangat kekwat, banyak keok, asam kedondong,
asam kecut, tapai benyek, teramat kerek
dan berperangai arek. Bicara Ayin
sekarang ni pun lembut saja. Tergoda Yaya dibuatnya. Cuma yang belum kelihatan,
ketawa dan senyum Ayin. Dari mula kenal sampai sekarang, memang Yaya tak pernah
nampak dua perkara ni ada pada Ayin. Ke Ayin tu memang ada penyakit tak boleh
senyum dan ketawa?
******
Melihat Yaya sentiasa bersama Along, Ayin berbulu biji
mata. Berkepit macam belangkas ke sana ke mari. Kalau Ayin ibarat
bayang-bayang, Yaya ibarat jantung Along. Along tu seperti tidak boleh hidup
kalau tak ada Yaya. Sikit-sikit Yaya. Apa-apa hal, semuanya Yaya. Setiap masa,
nama Yaya saja yang disebutnya. Yaya itulah, Yaya inilah. Mana tak tension tahap gaban si Ayin ni.
“Kau jangan nak potong jalan aku pula, long. Yaya tu aku
dah cop dulu okey!” rungut Ayin sambil mata merenung tajam kepada Along dan
Yaya. Manalah Ayin tidak sakit hati. Yaya kalau bersama Along, mukanya manis
bukan main. Senyum memanjang. Mulut ramah bercakap. Bila Ayin ada terus dia
senyap. Sepatah haram tidak berbunyi. Hairan bin musykil betul Ayin. Kenapa
Yaya lebih suka Along? Apa sebab Yaya lebih melayan Along dari dia?
“Along tu bukannya handsome
sangat pun.” Ayin merungut seraya mata mengira langkah Along dan Yaya
menghampiri rumah Nek Ngah.
Sebenarnya Yaya selesa bersama Along kerana tutur bicara
Along. Along pandai berkata-kata. Tidak seperti Ayin, bercakap direct saja. Straight to the point. Tak ada nak berbasa-basi. Tak ada filter. Dia jenis orang yang straightforward. Kalau suka, dia terus
cakap suka. Kalau tak suka, dia cakap tak suka. Tengoklah hari tu, selamba blue hippo saja dia beritahu Along nak
mengurat Yaya.
“Ooo..., kau tak layan aku ya Sinar? Tak apa... Cara
halus tak jalan, aku buat cara kasar. Cara baik tak dapat, aku buat cara jahat.”
Hati Ayin semakin sakit apabila gelak tawa Along dan Yaya singgah di
telinganya. Jika beginilah gayanya, dia perlu melakukan sesuatu. Kalau tidak,
Yaya tak akan pandang dia. Ayin mula merancang sesuatu. Rancangan dari seorang
budak nakal seperti dia. Dulu dia bertindak nakal kepada perempuan kerana
hendak membalas rasa kecewanya kepada Adilia, tetapi sekarang dia menjadi budak
nakal kerana mahu memikat Yaya. Apa punya planlah
kan? Orang kalau nak memikat dengan mengambil hati. Bukannya nak menyakitkan
hati. Terbalik pula budak Ayin ni.
“Nanti kau tahulah apa yang akan aku buat pada kau. He... he... he...” Seperti sudah tumbuh
tanduk saja di dahi Ayin. Buat Yin, jangan tak buat. Buat sampai dia sukakan
kau, tak boleh lupakan kau. Dark side
Ayin mula mencucuk jarum menghasut.
“Yaya, along pergi mandi dulu. Lepas tu baru kita minum
petang sama-sama, ya?”
“Okey! Yaya pun nak mandi juga. Nanti Yaya datang rumah
Nek Ngah balik.”
Ayin dengar saja perbualan Along dan Yaya itu. Bila Yaya
beredar, anak matanya mengekori gerak Yaya menuju ke arah rumah Mak Ina. Along
memanjat tangga, dan berhenti seketika di sisi Ayin.
“Kau baru bangun tidur ke, Yin?” sapa Along.
Ayin menjeling. “Kenapa kau pergi joging dengan Yaya tak
ajak aku sekali?”
“Dah kau membuta. Macam mana aku nak ajak?”
“Tak boleh kejutkan aku?” soal Ayin tidak puas hati.
Memang Along dengki dengan aku, bisik hati Ayin. Tanpa menunggu Along menjawab
soalannya, Ayin menuruni tangga dan terus mengejar Yaya. Along hanya memandang
sambil mengeleng kepala. Bila sahaja Ayin hampir kepada Yaya, Ayin menarik
lengan Yaya memaksa gadis itu berhenti dari melangkah. Yaya berpaling saat
terasa ada tangan yang berpaut di lengannya.
“Sinar! Ayin nak jumpa Sinar dekat pangkin belakang rumah
Nek Ngah.”
Yaya pana seketika. “Aaapa Ayin cakap tadi?”
“Ayin nak jumpa Sinar dekat pangkin belakang rumah Nek
Ngah,” ulang Ayin sekali lagi.
“Bila?”
“Sekaranglah!”
“Sekarang?”
“Ya! Sekarang! Sinar pergi dulu. Sekejap lagi Ayin
datang. Ayin nak ambik sesuatu dekat
rumah Nek Ngah,” kata Ayin. Kemudiannya meninggalkan Yaya yang masih
termangu-mangu.
Hati Yaya tertanya-tanya, kenapa Ayin hendak berjumpa di
sana? “Takkan dia nak dating dengan
aku kot” bisik Yaya. Selepas itu bibirnya terus menguntum senyum manis. Hati
disapa rasa bahagia. “Ayin nak dating
dengan aku!” jerit Yaya perlahan sambil menepuk tangan dan terlompat kecil.
Yaya melihat sekeliling. Bimbang kalau-kalau ada yang terlihat dia tengah
tergedik-gedik begitu. Selepas itu kaki Yaya laju melangkah. Rasa tidak sabar
hendak berjumpa Ayin. Bila tiba di pangkin bawah pokok jambu susu, Yaya
menunggu bersama hati yang berdebar berselang teruja. Macam ni agaknya rasa
orang berdating yek? Yaya ingin menyanyi-nyanyi kecil bagi menghilang gemuruh di
dada. Lagu apa ya? Entah! Tengah berdebar begini, tak ada lirik lagu yang dia
ingat. Taram sajalah! Sudahnya lagu
enjit-enjit semut yang didendangkan. Saat telinga Yaya mencerap bunyi derap
kaki, dia tahu itu adalah Ayin. Debar semakin kuat memalu. Degup jantung
kedengaran di telinga sendiri. Nafas dilepaskan laju membuang udara yang menyesakkan
dada. Tiba-tiba...
Zappp!
Yaya menoleh. Ayin berdiri di situ sambil tersenyum
menggoda. Di tangan kanannya ada sebilah gunting. Di tangan kiri pula memegang
juraian rambut. Pantas tangan Yaya meraba belakang kepala. Ikatan ekor kudanya
sudah pendek!
“Apa ni Yin? Kenapa buat Yaya macam ni? Yaya ada sakitkan
hati Ayin ke, sampai Ayin buat Yaya macam ni?” Puas Yaya menahan hiba. Namun sendu
muncul juga. Rasa hendak meraung saja. Mata merah seraya pandangan melekat pada
rambut di tangan Ayin. Ayin tidak ambil kisah. Dia senyum melihat Yaya hampir
mahu menangis.
“Okey apa rambut Sinar pendek macam ni? Lagi cun. Nampak
seksi.” Ayin mengangkat bulu keningnya berkali-kali gaya Ziana Zain.
“Lama Yaya simpan rambut ni tau...,” suara Yaya berlagu.
Air mata yang bergenangan dipelupuk tertumpah sedikit. Ayin ketawa. Tanpa
membalas kata-kata Yaya, dia berlalu dengan wajah selamba. Langsung tiada rasa
bersalah. Yaya menyoroti langkah Ayin bersama rasa yang serba tidak kena. Tidak
tahu apa yang patut dirasa sekarang. Marah ke? Sedih ke? Suka ke? Kecewa ke?
Tidak tahu di mana silapnya, tak semena-mena sikap Ayin
berpusing tiga ratus enam puluh darjah. Sangat berbeza dari semalam dan
hari-hari sebelumnya. Tutur katanya pun tidak selembut dulu. Yang keluar dari
mulut Ayin tadi, semuanya menyakitkan hati. Perbuatan dia apatah lagi. Kenapa
Ayin jadi begitu? detak Yaya. Yang jelas benda yang tidak pernah dia lihat
dulu, sekarang ni Yaya boleh nampak. Senyum dan ketawa Ayin. Itulah yang buat
Yaya hairan. Dia hilang layanan dan bicara lembut Ayin, tetapi dapat senyuman
dan ketawa Ayin. Pelik kan? Yaya meraba sekali lagi ikatan ekor kuda yang sudah
kontot.
“Ayin... Ayin...,” keluh Yaya.
Petang itu, sewaktu Yaya muncul di rumah Nek Ngah, semua
orang bertanya kenapa rambut Yaya pendek.
“Kenapa Yaya potong rambut?” soal Mak Long.
“Kenapa Yaya pendekkan rambut Yaya ni?” tanya Pak Long
pula.
“Dah elok-elok rambut cantik panjang mengurai, buat apa
potong?” tebak Nek Ngah. Sebelum Mak Ina dan Along juga bertanyakan soalan yang
sama, lebih baik dia menjawab.
“Saja tukar fesyen. Dah muak asyik rambut panjang. Nak
jaga pun susah. Kalau rambut pendek tak banyak guna syampu. Jimat!” Dengan
yakin Yaya membalas. Puas dia berlakon. Berharap benar agar mereka tidak
mengetahui apa sebenarnya yang telah berlaku. Sempat juga mata Yaya mencerlung
kepada Ayin. Ayin memandang tidak berkelip.
Tadi macam nak menangis bila aku gunting rambut kau.
Sekarang ni kau boleh buat muka selamba pula. Tak berkesan ke, apa yang aku
buat pada kau tadi? Tak apa... Aku ada banyak lagi rancangan lain, bisik Ayin
sambil mengorak senyuman manis kepada Yaya. Renungan tajam Yaya seperti
jelingan manja pula kepada dia. Ayin rasa seperti tidak sabar untuk menunggu
hari esok.
Dan Yaya semakin hairan kerana senyuman Ayin bertambah
manis di matanya. Eeee... sakitnya
hati!
No comments:
Post a Comment