Total Pageviews

Saturday, March 14, 2015

Benci / Cinta... Awak Budak Nakal - 9




Bab 9
Selepas malam itu, Ayin sentiasa mencari peluang untuk bersama Yaya. Walau ke mana sekalipun Along pergi, Ayin ikut. Dia diibaratkan bayang-bayang yang tak boleh berpisah dari Along. Along pula tunjuk rasa tidak senang. Tak gemar Ayin asyik mengekor dia saja. Ayin perasan sikap Along itu, tapi kerana Yaya, demi Yaya, dia buat tidak tahu saja.
“Yaya, jom teman nek ngah melukah ikan sembilang.” Nek Ngah pacul di pintu dapur rumah Mak Ina pagi itu. “Yaya nak pergi tak? Kalau nak pergi bawak baldi sekali. Manalah tahu banyak pula kita dapat ikan nanti.”
“Nak! Nek ngah tunggu ya? Yaya pergi tukar pakai seluar sekejap.” Selepas menyalin kain batik kepada seluar, Yaya dan Nek Ngah menuju ke bendang terbiar di belakang rumah.
Mereka terserempak dengan Along ketika melintasi belakang rumah. Along ingin mengikut. Nek Ngah lagi suka. Along boleh membantunya menimba air. Lagi cepat kerja selesai. Yaya lega melihat Ayin tiada bersama Along. Kalau tidak tu, Ayin mengekor buntut Along saja. Namun rasa lega tidak bertandang lama. Satu jam selepas itu, Ayin tiba-tiba muncul di tengah sawah. Along melopong. Yaya apatah lagi. Mana tidaknya, Ayin muncul siap memakai kasut but warna kuning. Entah manalah dia kebas but Phua Chu Kang tu agaknya? Kalaulah but tu warna merah, memang sah-sahlah Ayin kena sondol dengan kerbau. Nek Ngah pun meledak ketawanya. Geli hati melihat Ayin.
“Dah nampak macam apek jual ikan dekat pasar,” sakat Nek Ngah. Ayin muncungkan mulut. Yaya pula mengulum bibir sembunyikan senyum. Along tumpang sekaki ketawakan Ayin. Dalam pada itu, terselit juga rasa kagum Along kepada Ayin. Bersungguh Ayin berusaha untuk sentiasa ada bersama Yaya. Sanggup meredah selut dan lumpur demi kerana Yaya. Cayalah Ayin!
“Bukan ke kamu ikut ayah kamu ke pekan tadi, Yin?” soal Nek Ngah selepas tawanya sedikit reda.
“Dah balik dah...,” jawab Ayin sambil kaki melangkah berhati-hati menghampiri Yaya. Geli melihat lumpur yang berwarna kekelabuan itu.
“Sekejapnya?” celah Along pula. Rasa-rasanya dia tahu, but yang dipakai oleh Ayin itu tentu baru beli di pekan tadi.
“Aku nak balik cepat. Nak tengok Nek Ngah tangkap ikan,” terang Ayin. Ekelehhh... Nak tengok Nek Ngah tangkap ikan konon... Padahal nak menempel dengan Yaya.
“Mana kamu ambik kasut kuning menyala ni, Yin?” Senyum Nek Ngah masih melekat di bibirnya saat mata singgah lagi kepada but yang tersarung di kaki Ayin. Lebar senyumnya hingga menayangkan gigi merah kesan mengunyah sireh.
“Beli dekat pekan tadi. Ayin beli ni pasal nak ikut nek ngah ke sawah. Pagi tadi kan nek ngah cakap nak pergi tangkap ikan. Sebab tu Yin ikut papa pergi pekan beli kasut but ni.” Bagus betul Ayin cover line, tak nak Nek Ngah tahu apa yang dia buat ini semuanya semata-mata kerana Yaya.
“Kalau tak biasa turun ke sawah, tak payahlah ikut... Duduk dekat rumah saja, sudahlah! Ni tidak, siap beli kasut lagi. Buat apa?”
“Yaya! Meh! Ayin tolong pegangkan baldi tu. Kesian... Yaya. Nampak macam tak larat dah.” Soalan Nek Ngah tidak disambut. Kepala panjang melihat isi di dalam baldi. Ayin berkerut dahi seketika. Ikan apa ni? Macam ular saja? getus Ayin. Tengak bulu romanya melihat ikan itu meliuk lentok di dalam baldi, tetapi kerana mahu menunjuk lagak macho, diberanikan juga dirinya. Baldi di tangan Yaya lalu diambil. Gadis itu tidak membantah. Diberikan saja .Lebih-lebih lagi baldi itu semakin bertambah beratnya setiap kali Nek Ngah letak ikan yang baru ditangkap dari dalam lukah.
Sebaik sahaja baldi berada di tangan Ayin, ikan sembilang tersebut tiba-tiba menggelupur kuat. Ayin terperanjat. Tidak sengaja baldi terlepas dari tangannya. Lebih memeranjatkan Ayin ikan sembilang melompat-lompat keluar dari baldi yang separuh tenggelam dalam kubang. Bergumpal sesama sendiri di hujung kakinya. Dia sememangnya sedia takut bertambah gerun. Pantas Ayin kebelakang mahu menjauhkan dirinya dari ikan-ikan itu. Kerana tergesa-gesa, dia tersilap langkah. Tubuh sukar diimbang ketika memijak lumpur yang lembik. Akhirnya, Ayin jatuh terduduk di dalam kubang. Bergelumang bersama-sama ikan-ikan sembilang.
Yang mampu Ayin lakukan ketika itu hanyalah, “Nek ngah... tolong... Ular ni nak gigit Ayinnnn...” jerit Ayin kuat seperti diserang histeria. Nek Ngah dan Along ketawa bagai hendak pecah perut. Memang tipikal budak bandarlah Ayin ni. Ikan sembilang dengan ular pun tak kenal. Puas Yaya menahan. Mulut ditekup dengan telapak tangan agar tidak meletus ketawanya. Kalaulah yang di hadapan dia ini Along, memang diburaikan saja gelaknya tanpa belas kasihan, tapi ini Ayin. Buah hati pengarang jantung dia. Tak sampai hati nak gelakkan Ayin separuh gila.
“Hah! Kan dah jadi kerbau kepala hitam,” sakat Nek Ngah. “Itulah pasal... Kalau tak biasa, lain kali duduk rumah saja. Siapa nak tangkap ikan sembilang ni balik, Yin oi?!” senda Nek Ngah lagi.
“Nek ngah... Along... Tolonglah...” Usikan Nek Ngah tidak diendahkan. Rasa geli dan takutnya sudah sampai ke tahap maksima. Boleh terkencing terberak di dalam seluar melihat ikan-ikan sembilang seperti mahu membaham kakinya. Dan ketawa Nek Ngah serta Along berselang-seli semula.
Along ingatkan peristiwa Ayin bergelumang di dalam kubang kerbau itu, akan mematikan semangat Ayin untuk terus memikat Yaya. Nampaknya tidak. Semakin gigih pula Ayin berusaha. Tengah harinya, Yaya tiba-tiba teringin hendak makan buah sentul dan tempunek. Selepas usai solat zohor, Yaya mengajak Along ke kawasan perkuburan di hujung kampung. Di tepi kawasan perkuburan itu memang terdapat banyak pokok sentul dan tempunek yang sedang berbuah lebat.
Ayin dengar sahaja rancangan itu, terus bersuara nak ikut serta. Along terkedu, Yaya pula termangu-mangu. Seperti tidak percaya. Tak jeran ke? Pagi tadi dah berlumuran selut, sekarang ni nak meredah belukar pula? Sanggup ke Ayin berdepan dengan serangan nyamuk-nyamuk gajah yang banyak di kawasan kubur penuh semak tu? Tak takut ke darah dia kering dihisap nyamuk? Bukakah itu yang selalu Ayin rungutkan bila nyamuk menghurung dia? Darah kering! Memang tak logik betul si Ayin ni. Darah boleh kering dihisap nyamuk. Apa hilang akal ke dia?!
“Yin, tempat tu banyak nyamuklah! Kau tak takut ke nyamuk hisap darah kau sampai kering nanti?” Along utarakan soalan berbentuk peringatan tetapi menjurus kepada sindiran.
“Aku peduli apa. Nyamuk saja pun. Takkan kering darah aku dihisap nyamuk. Berpain-pain darah dalam badan aku ni, long. Tak ada mananya boleh kering. Betul tak?!” Ketika soalan itu diajukan, Ayin mengangkat kepala kepada Yaya. Tanda soalan itu untuk Yaya jawab. Yaya hanya angguk perlahan. Entah apa tujuan dia mengangguk. Mengiakan kenyataan Ayin yang darah dia tak akan kering dihisap nyamuk, ataupun setuju Ayin menyertai mereka menjolok buah sentul dan tempunek.
Tidak sampai lima minit selepas itu, Ayin sudah siap berpakaian lengkap. Yaya terlongo. Along melopong. Kalau beginilah gayanya, memang gerenti nyamuk tak boleh nak gigit. Gila ke apa Ayin ni? Dah serupa orang nak pergi main ski. Ini mesti pakai sweater dua tiga lapis, seluar tiga empat helai, detak Yaya.
Baru suku perjalanan ke kawasan perkuburan, peluh sudah mencurah-curah terbit di dahi Ayin. Ayin tidak peduli. Yaya kerling Along. Selepas itu mereka berbalas senyuman nipis sesama sendiri. Tentunya mereka geli hati melihat keadaan Ayin ketika ini. Panaslah tu! Padan muka! Yang pergi pakai tebal-tebal tengah-tengah hari buta ni buat apa? Agaknya memang betullah apa yang Along katakan kelmarin. Ayin tengah usha Yaya. Tu pasal sanggup buat apa saja. Perkara yang tak suka buat dulu pun, kerana Yaya, Ayin sanggup. Bangga pula rasa hati Yaya. Senyuman meleret di bibir. Kini Yaya benar-benar pasti, Ayin memang betul-betul sukakan dia.
Yaya bagaimana? Tentulah Yaya sukakan Ayin juga tetapi dia tidak mahu zahirkan. Diakan perempuan. Kenalah jaga tatasusila ala-ala perempuan Melayu terakhir gitu! Sebab itulah setiap kali Ayin beramah mesra dengannya, Yaya buat-buat malu. Malu-malu kucing. Malu tapi mahu. Along macam mana? Along akhirnya mengalah. Dia yakin, Ayin bukannya hendak persendakan perasaan Yaya. Melihat kesungguhan Ayin melakukan semua perkara yang tidak pernah Ayin buat sebelum ini, Along pasti Ayin sukakan Yaya. Terbukti Yaya bukanlah tempat Ayin melepaskan rasa kecewanya kepada perempuan dahulu.
Esoknya bila Along, Yaya, Shidan dan Ayip ke sungai, Ayin mengekor juga. Along tidak membantah mahupun melarang. Kalau Ayin nak ikut, ikutlah. Orang tengah ada taman dalam hati, apa pun sanggup buat. Meredah gunung berapi, merentas ke hujung dunia, ataupun terjun ke lautan sejuk pun tak ada hal! Seperti biasa, bukannya Ayin mandi pun. Tengok saja air sungai yang seperti teh kurang susu tu, Ayin dah tergeliat kegelian. Inikan pula hendak berterjun tiruk seperti Shidan dan Ayip. Mahunya berkarat kulit dia nanti. Kalau tak mandi apa yang Ayin buat? Mestilah tengah bekerja keras menambat hati Yaya.
“Nama penuh Yaya, Sinar Suria kan?” Ayin berkata lembut. Yaya berpaling sekejap kepada Ayin bersama riak muka keliru. Dah tahu lagi nak tanya ke? getus Yaya.
“Bukan nama Yaya saja Ayin tahu tau! Cerita pasal Yaya, semua Ayin dah siasat dah.” Muka Ayin terpamer raut bangga. Kalau dengan cara ini dapat memikat hati Yaya, berbaloi rasanya bersengkang mata duduk berborak dengan mama, papa dan Nek Ngah sampai ke awal pagi malam tadi. Sekali lagi Yaya toleh kepada Ayin dengan muka tercengang. Apa yang peliknya? Bukan susah sangat pun nak jadi PI. Tentulah Ayin dah tanya Along. Soal siasat Nek Ngah, Mak Ina, Mak Long dan Pak Long. Boleh juga Ayin tahu semua pasal dia dari Shidan dan Ayip. 
“Sinar Suria... Sedap nama tu,” puji Ayin spontan. Dia mengerling kepada Yaya yang mukanya mula kemerahan. “Walaupun nama tu agak kekampungan, tapi bagi Ayin nama tu amat indah. Seindah wajah pemiliknya.” Nasiblah Ayin puji nama Yaya tu indah. Lepas tu kata Yaya cantik pula. Kalau tidak, hendak saja Yaya tolak Ayin masuk sungai bila Ayin kata nama dia kekampungan. Nama tu umi dan abah yang bagi tau!
“Rupanya Yaya ni, anak angkat Mak Su Ina. Umi Yaya kawan baik dengan Mak Su  Ina dulu. Selepas umi dan abah Yaya meninggal dalam kemalangan jalan raya, Mak Su ambil Yaya jadi anak angkat dia tiga tahun lepas kan? Yaya sebatang kara. Tidak ada adik-beradik, mahupun saudara-mara. Sebelum umi Yaya meninggal, dia amanahkan Mak Su menjaga Yaya. Sedih cerita Yaya ni. Ayin tumpang simpati.” Ayin jeling Yaya dengan ekor mata. Ada warna gelap pada wajah gadis di sebelahnya ini.
“Nah! Sapu tangan.” Dihulurkan sapu tangan yang sudah disediakan dari awal. Yaya senyum tawar kepada Ayin sementara tangannya menyambut huluran sapu tangan itu.
“Ayin mintak maaf kalau Ayin dah buat Yaya sedih. Yaya jangan sedih lagi ya? Ayin akan sentiasa ada di sisi Yaya,” pujuk Ayin kemudiannya. Dalam hati mula bernyanyi gembira. Helahnya untuk kelihatan gentleman di mata Yaya nampaknya menjadi. Huh! Keji juga si Ayin ni. Sanggup buat Yaya bersedih, hanya kerana nak dapat kredit dari Yaya. Kan?

No comments:

Post a Comment