Bab 3
Petang itu, Pak Long dan Mak Long sekeluarga tiba sebelum
waktu berbuka puasa. Riang betul Nek Ngah menyambut ketibaan mereka. Yaya cuma
memerhati dari jauh sahaja. Dia berselindung di balik pintu dapur yang terkuak,
mencuri pandang ke tengah laman. Ini bukannya kali pertama Yaya berjumpa Pak
Long dan Mak Long. Entah kenapa, dia terasa segan pula. Mungkin kerana belum
berapa mesra. Dengan anak lelaki mereka yang dua orang tu, apatah lagi. Yaya
tak kenal langsung. Memang patutlah dia rasa malu. Sembunyi-sembunyi Yaya
jenguk kepala ke halaman. Mengalahkan angsa lehernya panjang menjengah. Teruja
sangat mahu tahu, macam mana agaknya rupa anak-anak Pak Long dan Mak Long tu.
“Di depan sekali tu, mesti Along. Yang di belakang confirm si Ayin. Muka masam. Tak macam
budak yang di depan tu! Happy saja.
Nek Ngahkan kata, yang si Ayin tak suka balik kampung. Kalau begitulah rupa
dia, memang betullah dia tak suka,” teka Yaya. Tentu tekaannya tepat, kerana
dari jauh ini pun sudah boleh melihat mulut budak muka masam seperti buah kedondong
tu asyik mengomel saja. Terkumat-kamit. Tak berhenti-henti merungut. Kena paksa
balik kampung kot, itu yang tak puas hati sangat tu. Yaya memerhati sehingga
kelibat Nek Ngah, Pak Long dan Mak Long serta anak-anaknya naik ke atas rumah.
“Yaya! Mari ke depan sekejap. Salam Pak Long dan Mak Long
ni !” Tiba-tiba Yaya terdengar suara Nek Ngah memanggil dari ruang tamu. Rasa
malu dan segan yang bertandang, buatkan hatinya berat untuk menayang muka di
depan.
“Yaya... !” Terdengar suara Nek Ngah memanggil sekali
lagi. Yaya senyap tidak menjawab. Masih berkira-kira sama ada mahu ke ruang
tamu atau bersembunyi saja di dapur.
“Yaya!” Suara Nek Ngah lebih kuat dari tadi. Mahu tidak mahu,
Yaya terpaksa juga ke sana. Nanti dikata orang tidak beradap pula.
Perlahan-lahan Yaya melangkah. Lantai rumah dipijak dengan penuh berhati-hati
hingga tidak mengeluarkan bunyi. Sopan kakinya menyusun derap. Lagak kalah
gadis Melayu terakhir. Kala Yaya berdiri di hadapan Pak Long dan Mak Long, sepuluh
jari segera dihulurkan untuk bersalaman.
“Mak long... Pak long...” sapa Yaya perlahan.
“Yaya sihat?” Mak Long sambut tangan gadis itu.
“Sihat mak long.” Dahinya singgah ke tangan Mak Long.
Kemudian Yaya bergerak pula mendekati Pak Long. Penuh santun dia menghulurkan jabatnya.
“Macam mana tinggal dengan Mak Ina?” soal Pak Long pula.
“Alhamdulillah pak long. Mak Ina baik. Dia sayangkan
Yaya. Sama macam Nek Ngah. Nek Ngah pun sayangkan Yaya. Kan, Nek ngah?”
Pandangan dilontarkan kepada wanita tua yang duduk di sisi Mak Long. Senyuman
diukir bagi menutupi rasa gemuruhnya. Nek Ngah hanya ketawa mendengar gurauan
Yaya itu.
“Baguslah kalau macam tu,” tambah Pak Long lagi.
Ekor mata Yaya sempat juga melekat pada wajah budak yang
masam seperti buah kedondong tu. Riaknya tetap sama seperti mula-mula tiba di
rumah ini tadi. Cuma kali ni, mukanya sudah serupa asam kecut. Berkerut seribu.
Banyak sangat merungut, tu pasallah jadi macam tu! Baru Yaya bercadang ingin
beredar ke dapur, Mak Long telah memanggilnya.
“Yaya! Nak pergi mana?” tanya Mak Long. Hairan agaknya apabila
melihat Yaya seperti mahu melarikan diri pula.
“Yaya nak pergi buat air untuk mak long dan pak long.”
“Buat air apa bendanya, Yaya? Kan kita tengah puasa?”
usik Pak Long. Yaya menyeringai sebelum tertunduk malu. Macam mana dia boleh tak ingat pula yang
mereka sedang berpuasa? Kalau baru sehari berpuasa tu, ada ampunnya juga dia terlupa.
Ini dah nak raya! Nampak sangat dia sedang tak keruan. Apa sebabnya tak tahulah.
“Meh! Mari
sini. Duduk sebelah mak long ni.” Mak Long menepuk kusyen kerusi rotan di
sebelahnya. Yaya akur tidak membantah. Dia dapat merasakan, salah seorang anak
Mak Long sedang ralit memerhati kepadanya. Kepala berat hendak dipanggung.
Wajahnya menunduk hingga dagu menyentuh ke dada. Perlahan punggung dilabuhkan di
sebelah Mak Long. Anak mata hanya dilekapkan ke wajah wanita itu. Tidak berani
hendak berpaling melihat kepada dua orang budak lelaki di hadapannya ini.
“Yaya..., ni anak mak long yang sulung. Nama dia Kamal
Ikram. Yaya panggil saja, Along.” Mak Long memperkenalkan salah seorang
daripada anaknya. Yaya angkat kepala untuk melihat seketika.
“Hai...” Along menyapa sambil tersenyum lebar. Yaya hanya
anggukkan kepala. Nak senyum pun terasa ketat muka. Otot di wajah sedang mengeras
agaknya. Bukan dia sombong, cuma rasa segan dan malunya kepada dua remaja lelaki
itu datang bertimpa-timpa.
“Yang ini anak mak long yang bongsu, Azrin Hisham. Yaya
panggil Ayin saja.” Mak Long menunding jari kepada anaknya yang berwajah masam
seperti tertelan sebotol cuka tu. Budak muka asam kecut tu langsung tidak
mengangkat muka. Buat tak tahu saja? Eeee... kereknya budak ni...
“Along... Ayin... Ini Sinar Suria. Anak angkat Mak Su
Ina.” Mak Long memperkenalkan Yaya kepada mereka berdua pula. Cuma Along saja
yang melemparkan senyuman ramah. Budak yang nama Ayin tu? Dia buat muka toya saja! Buat don’t know... Seolah-olah tak ada orang di sekelilingnya. Sibuk
bermain Sony PSP. Kata-kata Mak Long langsung tak diendahkan. Melihat kelakuan
Ayin begitu rias wajah Yaya terus berubah. Buruk sangat ke muka dia ni? Sampai
si kerek tu tak memandang walau
sebelah mata.
“Yaya jangan ambik
hati dengan perangai adik along ni. Dia ni memang macam ni. Kurang mesra alam
sikit,” ulas Along tiba-tiba. Barangkali dapat membaca riak kurang senang yang terpamer
di wajah Yaya. Ayin yang duduk di sebelah Along, menjeling sekilas. Tidak puas
hati apabila Along mengatanya depan-depan. Itupun sekejap saja. Perhatiannya
kemudian kembali semula kepada Sony PSP di tangan. Malas agaknya hendak
bergaduh dengan Along. Ke memang dia ni spesies orang tak cukup perasaan?
Tengoklah! Buak dek saja. Along
mengata dia pun, bukan reti dia nak marah.
“Haah! Yaya. Jangan ambik
hati dengan perangai Ayin tu. Dia tu memang tak berapa mesra dengan orang yang
baru dia kenal. Nanti lama-lama, dia okeylah tu...” celah Mak Long pula. Cuba
menjaga hati Yaya. Mata Mak Long sempat merenung Ayin dengan pandangan kurang
puas hati. Kalaulah Ayin tu dekat, memang dah menjalar sepit ketam. Tak suka
sangat balik kampung pun, janganlah tunjuk perangai! regus Mak Long dalam hati.
Yaya tidak membalas. Nak kata apa lagi, senyum sajalah.
Dalam hati mula berkata-kata, kalau beginilah peel si Ayin ni, tak hingin
aku nak berkawan dengan dia! Budak bandar yang sombong! Azrin Hisham a.k.a Ayin, masih lagi buat muka selamba.
Gamaknya seperti kata-kata Mak Long masuk telinga kanan berlumba-lumba keluar
telinga kiri. Langsung dia tidak ambil peduli. Jari tetap laju menekan
punat-punat PSP. Entah apa penyakit budak banyak cekadak, banyak bunyi, banyak songeh,
sangat kekwat, banyak keok, asam
kedondong, asam kecut dan teramat kerek
ni agaknya? Memanggg... tak mesra alam betul!
Waktu maghrib tiba. Semua orang berbuka puasa di rumah
Nek Ngah. Termasuklah Mak Ina dan anak-anaknya. Yaya ambil keputusan untuk
berbuka di rumah Mak Ina saja. Diambil sedikit lauk-pauk dan dibawa balik ke
rumah Mak Ina. Sebabnya Yaya malas nak berhadapan dengan budak banyak cekadak, banyak bunyi, banyak songeh, sangat kekwat, banyak keok, asam kedondong, asam kecut dan teramat kerek tu. Entah kenapa, dan tak tahu apa
sebabnya, tiba-tiba Yaya rasa Ayin tu seperti dah jadi musuh dia pula. Musuh
dalam diam. Alasan Yaya kepada Mak Ina dan Nek Ngah mudah saja. Sakit perut!
Nasiblah mereka semua percaya dan tidak banyak bertanya.
“Dah baik sakit perut tu, Yaya?”
Terlepas sudu dari tangan Yaya. Jatuh berdenting ke dalam
sinki.
“Oh! Mak long. Yaya ingatkan siapa tadi. Terperanjat
Yaya.” Yaya usap dada kelegaan. Sedang asyik mengumpat Ayin dalam hati,
tiba-tiba disergah begitu mahu tak terpelanting sekejap semangatnya.
“Dah okey mak long,” balas Yaya sopan.
“Ya ke Yaya sakit perut ni? Mak long tengok okey saja.
Tak ada apa-apa pun.” Mak Long serkap jarang. Hati kuat mengatakan sakit perut
itu sekadar alasan.
“Emmm... Arrr...” Takkan nak tipu lagi? Tadi dah
kurang pahala puasa gara-gara menipu kerana tidak mahu menghadap muka Ayin.
Sekarang ni nak tipu lagi ke? Kurang lagi ke pahala walaupun sudah berpuka puasa?
Mak Long faham. Kalau dah senyap tu, betullah sakit perut tu sekadar alasan
Yaya sahaja.
“Yaya kecik hati dengan Ayin ke?”
Pantas Yaya menafikannya. “Eh! Tak adalah mak long. Nak
kecik hati pasal apa pula, mak long?” soal Yaya semula. Kerja mencuci
perkakas-perkakas peninggalan Mak Ina membakar kuih petang tadi diteruskan.
Esok dah nak raya pun, Mak Ina ni masih sibuk buat kuih raya. Sempat pula Yaya
mengomel.
“Habis tu, kenapa Yaya buka puasa di sini?” Niat sebenar
Mak Long datang rumah Mak Ina ni sekadar hendak menjenguk Yaya. Bimbang sakit
perut Yaya melarat tetapi apabila melihat keadaan Yaya sihat walafiat, Mak Long
rasa ada sesuatu yang tidak kena. Yaya membasuh tangannya dan melangkah
menghampiri Mak Long yang mengambil tempat di kerusi meja makan.
“Mak long jangan risaukan pasal Yaya. Tak ada sebab Yaya
nak kecik hati dengan Ayin tu. Yaya cuma segan dengan Along dan Ayin saja.
Malulah Yaya mak long, dengan anak bujang-anak bujang mak long tu.” Yaya
beralasan. Minta-minta alasan ini kedengaran logik di telinga Mak Long. Mak
Long senyum lega. Sebenarnya dia bimbang Yaya terasa hati dengan layanan dingin
Ayin petang tadi.
Ayin perangainya memang jauh berbeza dengan Along. Ayin keras
kepala. Jenis budak yang degil, nakal dan juga lasak. Bawah sikit saja dari
budak yang hyperactive. Kalau dia
kata tak nak, maka tak naklah jawapannya. Janganlah hendak dipaksa-paksa. Perangai
Ayin bukan macam Along. Along baiknya yang amat! Mengalahkan malaikat. Kalau
Mak Long dan Pak Long kata A, jadi A lah dia. Kalau B, jadi B juga. Macam
sesumpah. Hijau keliling maka hijaulah warna kulitnya. Kot disuruh tukar warna
coklat pun, dia bertukar juga. Kadang-kadang, Mak Long bandingkan juga Ayin
dengan Along. Kenapa Ayin tak boleh jadi anak yang baik macam Along? Walaupun
umur Ayin dan Along jaraknya cuma muda dua tahun, tetapi perangai mereka memang
jauh berbeza. Ibarat langit dan bumi. Bagai Utara dan Selatan. Ataupun boleh
juga dikatakan sejauh syurga dan neraka. Syurganya Alonglah... Tak kan Ayin
pula kan?
“Mak long pun tak tahu kenapa sikap Ayin macam tu, Yaya.
Mungkin sebab dia anak yang bongsu kot. Tu yang terlampau manja sangat, sampai
dah naik lemak. Tambahan Along dan Ayin tu cuma dua beradik saja. Itu yang skil
human relation ship Ayin agak kurang.
Di sekolah pun Ayin macam tu juga, Yaya. Entah beberapa kali dah Pak Long kena
menghadap cikgu disiplin sekolah dia tu. Perangai memang tak berapa semenggah.
Pernah Ayin kena gantung sekolah sampai dua minggu kerana bergaduh. Berbirat
juga punggung dan keting kena belasah dek Pak Long tapi perangai tetap tak
berubah. Macam tu juga!” bebel Mak Long panjang menceritakan perihal perangai
Ayin. Yaya senyum nipis.
“Mak long harap Yaya bersabar ya dengan perangai Ayin tu.
Dia tu memang tak suka balik kampung. Bila dipaksa balik kampung, jadi macam
tulah perangainya,” ujar Mak Long mengakhiri kata-katanya.
“Yaya okeylah, mak long,” balas Yaya berusaha menyedapkan
hati Mak Long.
“Kalau okey, jom kita pergi rumah Nek Ngah. Malam ni mak
long nak masak ketupat dan rendang. Pak Long pula nak tolong Nek Ngah kacau
dodol. Yaya tolong, ya?” Mak Long bangkit meninggalkan kerusi.
“Tentulah Yaya nak tolong, mak long!”
“Yaya tak penat ke? Sudahlah siang tadi tolong Nek Ngah
kemas rumah, pasang langsir semua. Rumah Mak Ina ni pun, Yaya kemaskan juga
ke?” Mata Mak Long meliar dari dapur hingga ke ruang depan. Memang sudah cantik
tersusun rapi. Berhias indah dengan langsir baharu dan gubahan bunga di setiap
sudut.
Yaya angguk perlahan. “Tak apa mak long. Tak penat mana
pun.”
“Kalau macam tu jom! Cepat mula, cepat siap masak.” Lantas
Mak Long menarik tangan Yaya menuju ke pintu dapur.
No comments:
Post a Comment