Bab 23
Hampir pukul satu petang
Yaya tiba di hadapan rumah Mak Long dan Pak Long. Gembira sungguh Mak Long, Pak
Long, Along dan isterinya, Kak Dina menerima ketibaan Yaya. Sempat juga Mak
Long menyatakan rasa ralatnya kerana Yaya menolak untuk dijemput oleh Pak Long.
Kata Yaya, dia tidak mahu menyusahkan Pak Long. Biarlah dia belajar berdikari.
Kemudahan pengangkutan awam banyak disediakan. Bas ada, teksi juga ada.
Terasa canggung pula
menjejakkan kaki buat pertama kali di rumah ini. Bukannya Yaya segan atau malu,
cuma berada di rumah ini seperti berada hampir dengan Ayin. Terasa Ayin sedang memerhatikannya.
Walaupun pada hakikat mereka berjauhan beribu batu jaraknya. Sepanjang
perjalanan ke mari tadi, lelah Yaya melayan debar di dada. Padahal dia sekadar
singgah melawat Mak Long dan Pak Long saja tapi degup jantung bergetar macam
nak jumpa Ayin pula. Heh! Kemaruknya
kau Yaya!
Kelmarin ketika Yaya
menghubungi Encik Kamil, dia mahu Yaya segera ke Kuala Lumpur untuk menguruskan
soal rumah sewa. Menurut Encik Kamil Yaya akan terus mula bekerja selepas
ditemu duga. Untuk ke tempat kerja, Yaya boleh menumpang rakan serumah yang sepejabat
dengannya. Hati Yaya tersentuh. Encik Kamil dan Puan Julita bersungguh-sungguh
membantunya. Entah bila dia dapat membalas segala jasa-jasa mereka suami isteri.
Mak Ina pula lega bila tahu Encik Kamil dan Puan Julita telah mengatur
semuanya. Tak adalah dia risau. Keselamatan Yaya terjamin. Tempat tinggal ada.
Kerja pun tetap. Tambahan kakak sulung dan abang iparnya juga tinggal di Kuala
Lumpur. Boleh mereka tolong tengok-tengokkan Yaya. Kalau mereka berdua sibuk,
Along dan Dina pun boleh diharapkan juga.
Masuk sahaja ke dalam
rumah, Mak Long heret Yaya ke ruang makan. Di atas meja sudah terhidang
pelbagai jenis lauk. Sambil makan mereka berbual. Macam-macam yang ditanya oleh
Pak Long dan Mak Long tentang kerja dan rumah sewa Yaya. Nampaknya Pak Long dan
Mak Long juga seperti Mak Ina. Risau tentang Yaya. Along dan Kak Dina juga
begitu.
“Mak long dan pak long
jangan risau. Yaya dah lama kenal Encik Kamil dan Puan Julita tu. Sejak Yaya
tinggal di Sipitang lagi. Mereka berdua tu baik.”
“Kami ni bukannya apa,
Yaya. Cuma risaukan Yaya saja. Hidup di Kuala Lumpur ni tak sama di kampung,”
celah Pak Long. Wajah Yaya Pak Long tenung tepat. Yaya faham, kebimbangan
mereka itu tanda dia disayangi oleh mereka semua.
“Kalau tidak, besok mak
long dan pak long temankan Yaya pergi rumah Encik Kamil. Boleh juga mak long
dan pak long berkenalan dengan Encik Kamil dan Puan Julita tu,” cadang Yaya.
Harapnya selepas bersua dan bertentang mata dengan Encik Kamil dan isteri,
kebimbangan Mak Long dan Pak Long akan susut. Pantas Mak Long dan Pak Long
setuju. Inilah peluang untuk berkenalan dengan orang yang bertanggungjawab
membawa Yaya pulang ke pangkuan mereka. Boleh juga mereka ucap terima kasih
nanti.
“Besok lepas jumpa Encik
Kamil tu Yaya bawak sekali mak long
dan pak long pergi tengok rumah sewa,” ujar Mak Long. Yaya angguk. Tak berani
membantah.
“Ayin bila nak balik
mama?” Tiba-tiba Along tukar tajuk perbualan. Kornea mata Yaya membesar bila
terdengar nama Ayin disebut. Bagus juga Along tukar subjek. Nak tanya segan.
Kalau tiba-tiba dia buka cerita tentang Ayin, nanti tak kena pula.
“Entahlah... Kalau ikut
perancangan Ayin, lagi sebulan setengahlah. Katanya, nanti dia bagitau bila dah confirm flight,” terang Mak Long.
“Habis tu, majlis budak
dua orang ni bila mama dan papa nak langsungkan?” Muncung Along panjang
mengarah kepada Yaya. Bila sudah masuk bab hubungan Yaya dan Ayin, anak mata Yaya
kembali mengecil. Malu bertandang. Dia tunduk merenung nasi di dalam pinggan. Pandangan
melekat ke cincin permata yang tersarung di jari manisnya. Seperti bermimpi
yang dia kini sudah menjadi tunangan Ayin. Tak pernah dia terfikir pun.
“Kita tunggu Ayin balik
dululah. Kalau Ayin nak cepat, kita langsungkan cepat. Kalau Ayin nak lambat,
lambatlah jawabnya. Kalau digesa-gesa, takut Ayin tak bersedia pula. Bolehkan
macam tu Yaya?”
Semua mata tertumpu
kepada Yaya. Menanti jawapan dari bibir nan seulas itu. Glup! Air liur yang ditelan terasa kesat dan tersekat di rengkung. Yaya
panggung kepala sedikit dan mengangguk kecil kepada Pak Long. Wajah kembali
dihadapkan ke pinggan. Tangan perlahan-lahan menyuap nasi ke dalam mulut.
“Dulu selalu dengar
abang, papa dan mama cerita pasal Yaya. Tak sangka akhirnya Dina berjumpa juga
dengan Yaya,” ucap Kak Dina pula. Mata Kak Dina beralih kepada suami di
sisinya. “Patutlah Ayin tak pernah lupakan Yaya. Yaya ni cantik orangnya. Tak
sia-sia juga Ayin tu tunggu Yaya selama ni, kan bang?”
Yaya angkat semula kepala
dan sengih membalas. Rasa tak tertelan pula nasi yang dikemam di dalam mulutnya
ini. Dari tadi hingga sekarang, tidak putus-putus Kak Dina memujinya. Ayulah,
jelitalah, lemah lembutlah, baiklah. Kalau lubang hidung dia ni flexible, boleh kembang, boleh kuncup,
tentu sudah kembang dan kuncup berkali-kali.
“Sementara tu bolehlah
kita buat persiapan sikit-sikit dulu. Manalah tahu, tiba-tiba Ayin balik nanti
terus dia nak kahwin pula. Tak ke haru?” getus Mak Long. “Nanti Yaya tolong mak
long, ya?”
Yaya angguk membalas.
Dalam hati terbesit pertanyaan. Betul ke dia dan Ayin hendak berkahwin? Jarak
dan masa telah memisahkan mereka. Macam mana kalau Ayin dah berubah? Ayin dah
ada makwe? Memang mereka kata Ayin menunggunya selama ini tapi manalah tahu, di
luar pengetahuan keluarga Ayin ada marka pula. Kelak nanti dia yang menggigit
jari. Dia mesti lakukan sesuatu. Tidak salah rasanya kalau dia ingin menguji
untuk mendapatkan kepastian dan kebenaran.
“Yaya nak mintak tolong
mak long, pak long, along dan kak Dina boleh tak?”
“Tolong apa dia Yaya?”
soal Mak Long.
“Yaya nak mintak tolong,
bila Ayin balik nanti jangan bagitau
Ayin dulu tentang Yaya. Juga tentang ini!” Yaya angkat tangan kanan,
menunjukkan jari manis yang tersarung cincin emas putih bertahta berlian.
“Kenapa?” Kak Dina
bertanya sepatah.
“Yaya ada plan lain.”
“Plan lain?” Kali ini Pak Long pula yang menyoal.
“Yaya ada plan lain. Yang lagi surprise untuk Ayin.”
“Yaya dan Ayin ni
macam-macamlah! Ada saja cerita kamu berdua nikan?” pangkas Pak Long.
“Mestilah... Ayin dan
Yaya nikan special, papa? Dia dua
orang ni, lain dari orang lain.” Along mengusik.
“Yalah... yalah... Kita
orang tak bagitau Ayin..” Mak Long
bersetuju mewakili semua yang berada di situ.
******
Esoknya Mak Long dan Pak
Long bersama Yaya ke rumah Encik Kamil. Selepas mengenali Encik Kamil, Puan
Julita serta anak perempuannya, Farah Adiba serta suami, Mak Long dan Pak Long puas
hati. Melihat keluarga Encik Kamil mesra dan juga baik kepada Yaya, Pak Long
dan Mak Long rasa yakin untuk melepaskan Yaya bekerja bersama Encik Kamil dan
tinggal di rumah sewa yang telah dicari oleh Puan Julita. Tambahan Puan Julita
meyakinkan Pak Long dan Mak Long, bahawa bakal teman serumah Yaya baik-baik
belaka.
Selepas minum petang, mereka
sama-sama bertolak menghantar Yaya ke rumah sewanya. Tiba di rumah sewa itu,
kedatangan mereka disambut oleh tiga rakan serumah Yaya. Mak Long yang tidak
kenal dan tidak pernah berjumpa mereka mula bertanyakan pelbagai soalan. Dari
segi keselamatan, peraturan dan kemudahan apartment hingga ke soal
undang-undang di dalam rumah semua diselidik. Bila sudah dijelaskan tidak sewenang-wenangnya
pelawat dibenarkan datang ke rumah ini selain dari ahli keluarga, barulah riak
wajah Mak Long kelihatan lega.
Sebelum pulang, Mak Long tingggalkan
nombor telefon untuk dihubungi sekiranya ada apa-apa kes kecemasan. Naik tebal
muka Yaya pada rakan serumahnya dengan sikap Mak Long dan Pak Long yang terlalu
protective tu. Dia tidak menyalahkan
Mak Long dan Pak Long. Mereka berdua sekadar ingin memastikan keselamatannya.
Malam tadi pun entah berapa kali Mak Long memujuk dia membatalkan niat tinggal
di rumah sewa ini. Puas Yaya menangkis kehendak Mak Long, akhirnya Mak Long
akur.
Selepas Mak Long, Pak
Long, Encik Kamil dan Puan Julita beredar, Azhan teman sebiliknya, membantu dia
mengangkat beg dan barang-barang ke dalam bilik.
“Mintak maaf ya, Azhan.
Mak Long dan Pak Long saya tadi soal awak macam-macam.”
“Tak ada hal lah!
Biasalah tu. Orang tua memang macam tu. Mereka bukan tak percaya pada kita, cuma
nak berhati-hati saja. Mak dan ayah aku pun macam tu juga masa mula-mula
tinggal sini dulu. Sekarang pun sama. Sebulan atau dua bulan sekali mesti
datang tidur dekat rumah ni. Saja nak tengok aku macam mana,” cerita Azhan
sambil tangan sibuk menggantung baju Yaya ke dalam almari walaupun sudah
dilarang oleh Yaya.
“Mak, ayah kau ada lagi,”
tanya Azhan kemudiannya.
Yaya yang sedang menyusun
seluar dan baju kecik ke dalam laci almari berhenti melakukannya. “Umi dan abah
saya dah lama meninggal dunia. Masa tu umur saya baru tiga belas tahun.
Meninggal kerana kemalangan.”
“Maafkan aku.”
“Mak Long dan Pak Long
tu, keluarga angkat saya. Lepas umi dan abah meninggal, adik Mak Long yang jaga
saya,” cerita Yaya lebih lanjut. Sewajarnya dia menceritakan semuanya tentang
dia kepada Azhan. Merekakan rakan serumah? Malahan nanti bakal menjadi rakan
sekerja pula. Sementelah sudah berkongsi bilik dan katil. Selepas itu Yaya menceritakan
tentang hidupnya sepanjang ketiadaan umi dan abahnya kepada Azhan. Juga kisah
dia dibawa oleh Pak Ngah ke pendalaman Sipitang. Azhan mendengar dengan penuh
kusyuk. Kagum dengan ketabahan Yaya dan keterbukaan Yaya menceritakan semua
sejarah silamnya kepada dia yang baru dikenali tidak sampai beberapa jam ini.
Dari situ dia membuat kesimpulan bahawa Yaya seorang yang jujur adn ikhlas.
“Maaf, aku dah buat kau
terpaksa bercerita tentang keluarga kau,” pohon Azhan sekali lagi.
“Tak apa. Saya cerita ni,
bukannya nak mintak simpati awak. Saya sekadar mahu berkongsi, dan mahu awak
tahu tentang saya. Kitakan tinggal sebilik. Lusa awak jadi rakan sepejabat saya
pula. Jadi saya rasa, memang wajar awak tahu semua tentang saya,” balas Yaya
sopan.
Azhan senyum dan angguk.
Cepat la balik ayin oii..hahaha!best!
ReplyDeleteMekasih banyak2 Shazreena Sapian.. muahsss
DeleteAyin kena blk cpt,saya dh x sbr ni...
ReplyDeleteAyin tu....lambat lagi ke blk nya....x sabar nak tahu suprise apa yaya nak buat ni ....
ReplyDeletewah...xsabar tuk next bab
ReplyDeleteCamana agaknya bila ayin balik nanti?
ReplyDelete