Total Pageviews

Wednesday, March 18, 2015

Benci / Cinta... Awak Budak Nakal - 13




Bab 13
Acap kali Yaya berkira-kira sendiri. Betul ke Ayin sukakan dia? Kalau Ayin suka, kenapa selalu menyakitkan hati dia? Kenapa Ayin gemar menyusahkan dia? Contohnya hari tu, dia baru saja habis menyidai kain. Tiba-tiba Ayin datang sengaja tumbangkan ampaian beroda tu. Habis berpasir semua kain baju. Terpaksa dia bilas semula. Yaya pandang Ayin sambil mengetap bibir tanda marah tapi Ayin balas dengan senyum manis. Tak ke sakit hati dibuatnya. Sekarang, dia dah tak tahan dengan perangai Ayin. Dia mahu penjelasan dari Along. Ayin tukan adik Along. Tentu Along tahu kenapa perangai Ayin macam tu.
Jika diberi pilihan, Ayin mana yang lebih dia suka, Ayin dahulu atau Ayin yang sekarang, confirm dia pilih Ayin yang sekarang. Sebab Ayin yang sekarang sedar kewujudan dia. Selalu senyum kepada dia. Sentiasa menempel dekat dengan dia. Ayin sekarang suka kepada dia tapi pelik, kenapa cara Ayin menzahirkan rasa suka dia tu dengan cara yang berbeza? Tak serupa orang lain! Nak tahu jawapannya kena tanya Along.
Esoknya... Jam baru pukul lapan pagi, segala kerja rumah sudah diselesaikan. Mak Ina pun pelik. Tidak pernah sepanjang dia membela Yaya, Yaya buat macam ni. Garu kepala Mak Ina memikirkannya. Semenjak dua menjak ni, Yaya selalu kena buat kerja dua kali. Memasak dua kali. Membasuh baju dua kali. Sebelum Ayin bangun tidur dan pedajalkan dia lagi, lebih baik semua kerja-kerja tu dibuat dulu. Lepas ni Yaya mahu terperuk saja dalam bilik. Golek-gelantang, bersenang-lenang. Sebabnya, di dalam bilik itu saja Yaya rasa aman dari Ayin. Takkan Ayin berani nak mencari dia sampai ke dalam bilik pula kan?
Dari pagi sampai ke tengah hari Yaya memerap dalam bilik. Ayin datang mencari pun, dia buat tidak peduli. Bila Mak Ina tanya, dia beri alasan badan tak berapa sihat. Along pula sejak dua tiga hari ni susah sangat nak nampak batang hidungnya dekat rumah Mak Ina ni. Melainkan jika Yaya ke rumah Nek Ngah. Kalau ke rumah Nek Ngah selalu, selalu pula jumpa Ayin. Huh! Susah betul hidup sekarang ni. Dah macam orang pelarian. Terpaksa lari-lari dari Ayin.
Petang itu, usai solat zuhurnya, Yaya pergi ke rumah Nek Ngah. Dia pasti budak nakal tu dah membungkang. Oi membungkang?! Yaya... Kasarnya bahasa! Sampai rumah Nek Ngah, Yaya menjengulkan kepala dari pintu dapur mencari kelibat Along. Dia lihat Along sedang membantu Nek Ngah.
“Assalamualaikum nek ngah, along!” sapa Yaya dari muka pintu.
“Hah Yaya! Satu hari nek ngah tak nampak muka kamu. Kamu pergi mana?”
“Ada rumah Mak Ina, nek ngah. Yaya tak pergi mana pun.”
“Masuklah! Yang duk menupang pintu tu buat apa? Belum nak roboh pintu rumah nek ngah ni, Yaya.” Nek Ngah, kalau sesekali buat loyar buruk dia, boleh tahan juga ni! Yaya tinjau ke ruang hadapan mencari kelibat Ayin.
“Ayin tengah tidur,” beritahu Along. Dia tahu siapa yang Yaya cari. Yaya hembus nafas lega. Betul seperti yang dia sangka. Budak nakal tu tengah tidur waktu begini. Barulah senang hati Yaya nak melangkah masuk ke dalam rumah Nek Ngah.
“Along tengah buat apa?” soal Yaya sambil menghampiri Nek Ngah dan Along.
“Dah kamu tak datang tolong, terpaksalah Along jadi pembantu nek ngah hari ni,” ujar Nek Ngah. Tangan Nek Ngah kembali sibuk mengumpil kuih bangkit tepung di atas tudung periuknya.
Pantas Yaya menepuk dahi. Terlupa betul yang dia dah berjanji hendak membantu Nek Ngah. Stok kuih feberet Ayin dah habis, kata Nek Ngah semalam. Jadi Nek Ngah minta dia membantunya hari ni. Entah macam mana, terlupa pula. Ini gara-gara tak mahu bertembung dengan Ayinlah ni.
“Mintak maaf, nek ngah. Yaya tak ingat langsung.”
“Itulah! Asyik terperap dalam bilik saja,” gumam Along. Matanya hanya menjeling sekilas kepada Yaya. Seperti orang tengah marah saja Along ni?
“Kenapa along tak panggil Yaya?”
“Along dah pergi rumah Mak Su pagi tadi. Mak Su kata Yaya hari ni bad mood. Entah apa angin, berkurung dalam bilik tak keluar-keluar.”
“Yaya mintak maaflah nek ngah, along. Yaya tak sihat tadi.” Along buat tak tahu saja. Hanya Nek Ngah yang memberi respon.
“Dah kamu tak sihat, nak buat macam mana. Untunglah Along hari ni ringan tangan pula nak tolong nek ngah.”
“Nak buat macam mana nek ngah. Ayin kalau tak dapat kuih bangkit nek ngah ni, mengalahkan orang gian dadah mengamuknya. Dari along tengok dia mengamuk tak tentu pasal, baik along tolong nek ngah,” terang Along pula. Tangan sibuk menyusun kuih bangkit tepung yang sudah sejuk ke dalam tin.
“Ni Yaya dah sihat ke?” Nek ngah perhati wajah Yaya.
“Sudah nek ngah.”
“Kalau macam tu, meh tolong sambung kerja nek ngah ni. Nek ngah nak pergi solat zuhur. Nek ngah belum zuhur lagi ni.” Nek Ngah hulur sudip besi kepada Yaya. Huluran disambut sambil mata melihat wajah Along. Riak Along masih sama seperti tadi. Marah! Selepas Nek Ngah beredar, Yaya kembali memandang Along.
“Kenapa along macam marah saja dengan Yaya?”
“Tak adalah! Mana ada along marah?”
“Habis tu muka macam tu kenapa?” Yaya dengar Along melepaskan nafas panjang selepas itu. “Kenapa dua tiga hari ni, along tak cari Yaya?” soal Yaya lagi.
Tangan Along berhenti memasukkan kuih bangkit tepung ke dalam tin. Dia tenung wajah Yaya. “Yaya tu! Kenapa dua tiga hari ni, tak datang cari along?” Ini yang lemah ni. Orang tanya dia, dia tanya orang balik. Dah tu, tanya soalan yang sama pula. Mana aci macam ni. Kita yang tanya dia dulu, detak Yaya.
“Yaya tak datang cari along, ada sebab...”
“Sebab apa?” tangkas Along menyoal semula. Mata masih tepat merenung Yaya.
“Takkan along tak faham?”
“Mana along faham? Yaya mana ada bagitau along apa-apa supaya along faham?” bidas Along semula. Yaya garu belakang telinga. Along ni merajuk dengan dia ke, apa?
“Takkan along tak faham, yang Yaya malas nak ke sini selalu sebab Ayin?”
Along angkat bahu. Apa maksud Along dengan angkat bahu tu? Yaya kerut dahi seraya menggaru belakang telinga. Betul-betul tak faham ragam Along sekarang ni. Janganlah Along buat peel pula. Perangai Ayin pun dah tak terlayan.
“Yaya... tak... cari... along... sebab... Ayin... ada... Yaya... malas... nak... jumpa... Ayin... Ayin... kalau... jumpa... Yaya... tentu... dia... pedajalkan... Yaya...” jelas Yaya satu persatu dengan ayat seketul-seketul keluar dari mulutnya.
“Dah! Tak payahlah cakap macam tu. Macam along ni tak faham pula.”
“Dah along kata tadi along tak faham. Yaya tak cakap apa-apa bagi along faham. Tu yang Yaya cakap sepatah-sepatah supaya along faham,” perli Yaya semula. “Along tu, kenapa dua tiga hari ni, tak datang rumah Mak Ina cari Yaya.” Yaya ulang soalan tadi.
“Along bagi can dekat Ayin. Ayin kan selalu cari Yaya? Jadi along bagi peluang dia rapat dengan Yaya. Kalau dia tak rapat dengan Yaya, macam mana dia nak mengurat Yaya?”
Yaya rasa seperti nak ketuk saja kepala Along dengan sudip di tangannya. Tahu tak, Along buat macam tu seperti bagi peluang kepada Ayin menyakat, mengusik dan mendajal dia? Namun ayat terakhir ‘kalau dia tak rapat dengan Yaya, macam mana dia nak mengurat Yaya’ buatkan dia tak jadi nak marah Along. Apa maksud Along?
“Ayin tu, tak suka along selalu ada dengan Yaya. Dia marah,” tambah Along lagi.
“Bila dia cakap macam tu dekat along?”
“Dia tak adalah cakap direct tapi along faham-faham sendirilah. Selalu nampak muka dia masam bila along bersama Yaya. Dia jealous tengok kita berdua rapat.”
Ini pelik. Ayin cemburu sebab Along rapat dengan dia? Kalau cemburu, maknanya memang betullah Ayin sukakan dia, tapi yang Ayin cemburukan ni, Along. Takkan dengan abang sendiri pun nak jealous kot.
“Along! Yaya nak jumpa along.”
“Bukan ke Yaya tengah jumpa along sekarang ni?”
“Yaya ada benda nak tanya...”
“Tak boleh tanya sekarang?”
“Tak... Nanti Nek Ngah, Mak Long, Pak Long dengar...”
“Papa dan mama tak ada rumah. Nek Ngah kan tengah sembahyang?”
“Alah... Tak naklah! Kita jumpa tempat lain.” Yaya mula menceber. Apa susah sangatAlong ni? Kalau tidak tu, Along selalu ajak melepak.
“Bila?” tanya Along lama selepas itu.
“Sekaranglah.”
“Kuih Nek Ngah ni?”
“Habiskan simpan dululah semuanya. Lepas tu kita pergi duduk dekat pangkin pokok jambu susu,” cadang Yaya dan dia cepat-cepat mengumpil kuih bangkit tepung di atas tudung periuk yang terakhir.
Huh! Jumpa dekat pangkin bawah pokok jambu susu saja. Ingatkan ada tempat istimewa lain, detak hati Along.

No comments:

Post a Comment