Total Pageviews

Friday, March 20, 2015

Benci / Cinta... Awak Budak Nakal - 15




Bab 15
Tanpa dia sangka, gerak hatinya yang kurang enak ketika kali terakhir melihat raut Ayin, adalah satu petanda bahawa dia benar-benar tidak akan bertemu Ayin lagi. Kemunculan Pak Ngah di rumah Mak Ina sembilan tahun dahulu telah merubah segala-galanya.
“Oi, aku suruh kau kemas dapurlah!” Tangan Mak Ngah merentap rambut Yaya. Kepala gadis itu dilagakan ke dinding. Yaya mengaduh saat kepalanya cecah ke situ. Hilang semua kenangan di Semenanjung sebentar tadi.
“Sedap pula dia duduk berangan dekat sini. Pinggan mangkuk yang bersepah di dapur tu, siapa nak kemaskan? Hantu?!”
“Sekejap lagi Yaya kemaskan, boleh tak mak ngah?” Air mata yang sememangnya sedia mengalir, makin berderaian. Cepat dikesat dengan hujung lengan baju. Tepi dahi yang terasa berdenyut diusap.
“Sekejap bila? Dah bersemut nanti baru nak basuh?! Apasal kau ni pemalas sangat hah?! Semua kerja nak bersuruh. Tak reti nak buat sendiri ke?”
“Yaya penat mak ngah,” adu Yaya. Wajah Mak Ngah dipandang sayu. Bukan dia tidak tahu, Mak Ngah sengaja tak benarkan kaum ibu yang datang ketika kenduri arwah tadi membantu dia mengemas pinggan mangkuk dan periuk belanga yang telah digunakan. Sudahlah semua lauk-pauk dia masakkan. Usai kenduri pun Mak Ngah mahu dia uruskan juga ke? Tidak kasihankah Mak Ngah kepada dia? Sepanjang hari bertungkus lumus seorang diri di dapur.
Mujur juga Encik Kamil pengurus di tempat Mak Ngah bekerja, menawarkan diri untuk membantu membelikan bahan masakan. Kalau tidak, terpaksalah Yaya mudik ke hulu sungai menaiki bot penambang untuk ke pasar berhampiran. Kalau tidak, jawabnya hari ini dia tinggal nyawa-nyawa ikan kerana kepenatan.
“Aku tak nak dengar kau penat ke, apa ke. Yang aku tahu kau pergi kemas dapur tu sekarang juga!” Mak Ngah menempik lagi. Tubuh Yaya ditolak kuat. Hampir gadis itu tersembam ke tanah. Mujur juga tangan cepat menopang ke dinding. Selepas itu Mak Ngah tarik rambut Yaya. Memaksa gadis itu untuk berdiri.
“Mak ngah... sakit mak ngah...” Rayuan Yaya tidak diendahkan. Mak Ngah tolak tubuh Yaya ke dalam rumah.
“Masuk sekarang! Aku nak kau kemas dapur tu. Sapu bersih-bersih. Lepas tu basuh lantai. Jangan tahu nak berehat saja.” Mak Ngah tunjal kepala Yaya dengan telunjuknya. Terdorong tubuh gadis itu ke hadapan. “Besok pagi, kalau aku tengok lantai tu melekit, masih berminyak lagi, aku suruh kau jilat sampai bersih. Kau dengar tak?”
Yaya berpaling kepada Mak Ngah dan mengangguk lesu. Riak bengis Mak Ngah dipandang sayu. Air mata yang tidak segan menitis, diseka cepat-cepat.
“Faham?”
Yaya angguk lagi. Tidak kuasa membantah. Kelak, tubuh dia juga yang habis diratah. Mak Ngah kalau sudah naik hantu, nanti ada juga tulang dia yang patah. Selepas Mak Ngah menghilang ke ruang depan, Yaya atur langkahnya menuju ke belakang dapur. Pinggan mangkuk, periuk belanga yang berlonggok-longgok menanti untuk dicuci. Yaya tarik bangku kecil. Dia duduk di situ. Kemudian dia ambil bekas berisi air sabun dan tangan mula mencuci sambil fikiran kembali terkenangkan abah dan uminya.
“Abah, umi, Yaya janji, Yaya akan balik semula ke Kampung Batu. Yaya nak ziarah kubur abah dan umi. Abah dan umi tunggu Yaya, ya?” Dia berbicara sendiri.
******
Lemah Yaya melangkah keluar dari pejabat pengurusan pusat pengumpulan balak syarikat Sabah Forest Industries. Dia baru saja menghantar bekal makan tengah hari untuk Mak Ngah. Penat menguruskan kenduri arwah Pak Ngah malam tadi masih berbaki. Terasa amat tidak bermaya sekarang ini.
“Yaya! Dari mana ni?” sapa Encik Kamil seraya tersenyum.
“Yaya pergi jumpa Mak Ngah, Encik Kamil,” jawab Yaya sambil membalas senyuman lelaki itu. Senyuman yang Yaya rasa manis tetapi tidak kepada Encik Kamil. Kesedihan di wajah Yaya jelas terlihat di mata lelaki itu.
“Dahi tu kenapa?” Encik Kamil menundingkan jari ke dahi Yaya. Spontan tangan Yaya meraba. Dia pun sebenarnya terlupa kesan bincut itu masih wujud di situ.
“Oh! Ini? Yaya terhantuk dekat dinding malam tadi, Encik Kamil.” Yaya mengorak senyuman lagi bagi menutupi rasa canggungnya.
Encik Kamil menggeleng kepala tidak percaya. “Jangan tipu saya, Yaya.”
Yaya diam tidak membalas. Hendak digeleng serba salah. Hendak diangguk rasa bersalah. Lebih baik diam saja. Biarlah Encik Kamil membuat andaiannya sendiri.
“Mak Ngah buat lagi?” soal Encik Kamil. Yaya tetap membisu. Pelik juga bila Encik Kamil boleh meneka begitu. Apakah Encik Kamil tahu tentang dia dan Mak Ngah? Encik Kamil sebenarnya tahu apa yang telah berlaku. Bukan sekali dua kakitangannya menyampaikan cerita tentang Rozana, iaitu Mak Ngah Yaya. Malahan bertambah kerap sejak bapa saudara gadis itu meninggal dunia. Sekarang ini, sudah ada kesan lebam pula. Itu membuktikan cerita-cerita yang sampai ke telinganya bukan direka-reka.
“Pak Ngah Yaya dah tak ada. Apa rancangan Yaya lepas ni? Yaya nak terus tinggal di sini ke?” Entah kenapa soalan itu yang timbul. Kalau tidak di sini, di mana lagi gadis itu hendak bermastautin? Mungkin kerana hubungan yang tidak baik antara Yaya dan Mak Ngahnya, buatkan Encik Kamil mengandaikan yang Yaya tidak mahu tinggal di sini lagi. Encik Kamil perhati wajah ayu itu. Jelas benar ada rasa yang terbeban di hati gadis itu.
Yaya tunduk merenung tanah. “Yaya tak tahu, Encik Kamil. Yaya dah tak ada sesiapa. Cuma ada Mak Ngah saja. Mana Yaya nak pergi lagi?” balas Yaya. Sepertinya sebuah keluhan sahaja.
“Tapi Mak Ngah Yaya tak pernah layan Yaya dengan baik.”
Yaya dongak memandang lelaki di hadapan dia ini. Kemudian kepalanya dijatuhkan semula. Takkan dia hendak mengiakan kata-kata Encik Kamil itu? Buruk-buruk pun, Mak Ngah tu waris dia. Walaupun Mak Ngah tidak ada pertalian darah dengan dia, tetapi Mak Ngah tetap ibu saudaranya. Encik Kamil mengeluh. Memang dia kasihankan nasib gadis ini tetapi apa yang boleh dia lakukan? Kalau hendak dibiarkan saja, dia rasa bersalah pula kepada Badli. Badli kawan rapatnya semenjak dia bekerja di sini. Apakah dia sanggup menutup sebelah mata bila anak saudara Badli ini menderita hidupnya?
“Yaya ikut saya balik Semenanjung, nak tak?” Tiba-tiba muncul idea itu.
Yaya melihat Encik Kamil tidak berkelip. Rasa seperti tersalah dengar pula. “Apa Encik Kamil?”
“Yaya ikut saya balik Semenanjung. Kontrak saya sebagai pengurus syarikat ni, nak tamat lagi dua bulan. Saya dan isteri nak balik ke Semenanjung semula. Yaya ikut kami ya?”
Bulat mata Yaya saat Encik Kamil menyatakan pelawaan itu buat kali kedua. Dalam rasa tidak percaya, bersinar juga pandangannya. Seperti baru mendengar khabar gembira. Cuma seketika, selepas itu renungan Yaya kembali pudar tidak bercahaya.
“Tapi, macam mana dengan Mak Ngah?” laju Yaya bertanya. Benci-benci pun kepada Mak Ngah, terbesit juga rasa bimbang kepada isteri arwah bapa saudaranya itu. Bagaimana nanti hidup Mak Ngah kalau dia tak ada? Siapa yang nak menyediakan keperluan Murni dan Mahali? Mereka berdua masih bersekolah lagi. Mana biasa nak menguruskan diri sendiri. Sedangkan selama ini, dia yang menjaga hal ehwal dua kanak-kanak itu. Makan, pakai, kerja sekolah. Malahan menghantar mereka ke jeti penambang pun dia juga.
“Yaya..., kenapa nak ambik kisah pasal orang yang tak pernah ambik peduli tentang Yaya? Pandailah Mak Ngah Yaya tu jaga diri dan anak-anak dia. Murni dan Mahali pun dah besar. Sampai bila Yaya nak tinggal di pendalaman ni? Yaya tak pernah terfikir ke nak keluar dari sini? Yaya tak fikir tentang masa depan Yaya?” Bertalu-talu Encik Kamil menerjah Yaya dengan soalan yang sukar dijawab. Yaya senyap. Tidak tahu hendak berfikir dan berkata apa.
“Kalau Yaya ikut saya, Yaya boleh hidup berdikari. Bekerja menyara diri sendiri. Mana tahu, hidup Yaya lebih cerah di luar sana. Mungkin masa depan Yaya lebih baik dari hidup di sini,” pancing Encik Kamil.
“Tapi macam mana, Encik Kamil? Yaya tak pernah hidup sendiri. Yaya dah biasa tinggal dekat sini. Yaya sekolah pun setakat SPM saja. Kerja apa yang boleh Yaya dapat dengan kelulusan Yaya ni?” Yaya beralasan. Bukan dia tidak teruja dengan tawaran Encik Kamil itu, cuma dia bimbangkan penerimaan Mak Ngah. Entah diizinkan ke entah tidak? Tambahan Encik Kamil ini bukan sesiapa kepada dia. Segan dan bimbang pula hendak menerima begitu sahaja pelawaan Encik Kamil itu. Ditolak pun sayang juga. Mungkin inilah satu-satunya peluang yang dia ada untuk keluar dari pendalaman Sungai Sipitang ini.
Mengingatkan soal kelulusannya, Yaya rasa terkilan kerana gagal melanjutkan pelajaran. Untuk sampai ke tingkatan lima ni pun, puas dia merayu kepada Pak Ngah gara-gara Pak Ngah termakan kata-kata isterinya. Mak Ngah kata, membazir masa dan buang duit saja. Lebih baik Yaya tinggal di rumah menjaga Murni dan Mahali serta membantu menguruskan rumah tangga. Mujur Pak Ngah tidak termakan bulat-bulat cakap Mak Ngah tu. Lepas juga dia belajar hingga selesai SPM. Kini, boleh ke dia hidup dengan hanya bersandarkan kepada sijil SPM dia itu?
“Itu Yaya jangan risau. Kita akan fikirkan kemudian. Apa yang penting sekarang, Yaya fikir dulu sama ada hendak ikut saya ataupun tidak.”
“Encik Kamil bagi Yaya masa untuk berfikir dulu.” Mungkin ini jawapan yang terbaik buat sementara waktu ini. Dia perlu berfikir semasak-masaknya sebelum buat keputusan. Semuanya perlu dipertimbangkan. Tentang Mak Ngah, Murni, Mahali. Juga kewajarannya menerima pelawaan Encik Kamil ini. Dan bagaimana pula tanggapan Puan Julita nanti. Setujukah dia dengan rancangan Encik Kamil itu?
“Baiklah. Yaya fikir dulu. Nanti saya bincang dengan isteri saya.” Sepertinya Encik Kamil dapat membaca fikiran Yaya. Yaya angguk selepas itu.
“Yaya balik dululah, Encik Kamil. Banyak lagi kerja rumah yang Yaya belum buat,” pinta gadis itu penuh sopan.
“Yalah. Jangan lupa, fikirkan pasal perkara yang saya cakapkan ni. Bagitau saya cepat-cepat ya?”
Yaya goyang kepala. “Terima kasih, Encik Kamil.” Dan dia berlalu meninggalkan lelaki itu.

No comments:

Post a Comment