Total Pageviews

Thursday, March 12, 2015

Benci / Cinta... Awak Budak Nakal - 6




Bab 6
Belum sempat rindu yang terpendam diubat, Ayin nak balik KL tak menyempat-nyempat. Seperti biasa, dia enggan tinggal lama. Musim raya berlalu. Yaya mula menunggu. Menanti dengan harapan moga Aidilfitri segera menjengah lagi. Ingin bertemu si jantung hati. Rupa-rupanya tidak. Cuti sekolah pada hujung tahun itu, Ayin tiba-tiba pacul. Terkejut Yaya. Kata Nek Ngah hanya Mak Long, Pak Long dan Along saja yang balik. Alih-alih Ayin pun ada. Tak sangka! Alamatnya dilanda ributlah kampung ni hari ini.
Tidak tentu arah Nek Ngah apabila melihat Ayin tercongok di depan mata. Yaya pula kelam-kabut di dalam rumah. Lintang-pukang pergi mengemas bilik di tepi tangga. Naik berpeluh ketiak. Selesai bilik dikemas, baru Yaya benarkan Along dan Ayin memasuki bilik itu. Sepanjang kaki melangkah menghampiri bilik, Ayin tidak habis-habis merungut. Melihat kerut di wajah Ayin, Yaya menggeleng beberapa kali. Muka kelat betul! Selepas Along dan Ayin hilang ke dalam bilik, Yaya beredar ke dapur. Sekarang masa untuk membantu Nek Ngah memasak pula. Malam ini pasti lauk-pauk penuh semeja.
Baru beberapa tapak Yaya melangkah, telinganya terdengar suara Ayin berkicau riuh dari dalam bilik. Derapnya terus mati. Kaki berpatah semula ke bilik itu. Entah kenapa dia rasa nak pasang telinga pula. Mahu mendengar apa yang dibebelkan oleh Ayin. Perlahan Yaya memijak lantai rumah lalu cuping telinga dilekapkan pada dinding bilik. Sambil itu, anak mata ligat ke sana ke mari. Bimbang perbuatannya disedari. Terutama sekali Nek Ngah. Nanti, tak pasal-pasal kena sekolah dengan Nek Ngah. Mujur juga Mak Long dan Pak Long ke rumah Mak Ina.
Ayin mendengus kuat. Beg baju yang cuma sebesar beg sekolah, dicampakkan ke atas katil kayu stail bangsawan. Katil gred antik itu diamati dengan jelik. Sudahlah lama dan buruk, duduk pun berkeriot-keriot bunyinya. Ayin jatuhkan pula anak mata kepada tilam kekabu yang terhampar di atas katil. Geli-geleman dia. Dahlah berbau hapak, pijat pun banyak. Tentu bintat-bintat badan tidur atas tilam ni. Badan sudah biasa dengan Vono 10 inci. Jika tidur atas tilam kekabu ni boleh patah sepuluh tulang belakang. Mujur juga setiap kali dia balik, Nek Ngah sediakan toto baharu. Selalunya empat lima lapis toto dibentang atas lantai. Baru terasa gebu dan empuk sikit bila baring. Ayin henyak punggungnya di atas tilam kekabu. Belum sempat punggungnya panas di situ, dia berdiri semula. Terlupa! Diakan geli-geleman dengan tilam kekabu hapak tu. Lantas Ayin duduk pada kerusi di tepi dinding.
Fed up betullah macam ni!” Ayat itu sudah lebih enam belas kali Ayin luahkan. Dari rumah tadi, di dalam kereta, hinggalah dah sampai rumah Nek Ngah ni, itu saja yang disebut-sebutnya.
“Dahlah tu... Tak payah nak marah-marah lagi. Dah sampai kampung pun. Seronok apa balik kampung. Nanti kita boleh pergi mandi sungai. Ataupun, kita pergi mandi dekat tali air tepi sawah tu. Mesti best!” Niat Along cuma mahu memujuk. Ayin jongket kening dan kerut dahi.  Dia pandang Along yang sedang menukar baju dengan muka tidak puas hati. Mulalah along nak bagi idea bodoh dia tu! rungut Ayin.  
“Pengotorlah kau ni long! Nak mandi tali air? Entah tempat kerbau berkubang, kau pula nak mandi dekat situ.” Sebut ni saja pun sudah meremang segala bulu romanya apabila membayangkan bermandi-manda di tempat kerbau berendam tu. Yakkksss...
“Hei! Kau kenal ke kerbau tu macam mana rupanya, Yin?” perli Along. Wajah Ayin yang kelat bertambah tegang digiat oleh Along. Ingat dia ni bebal sangat ke? Tak kenal mana satu kerbau, mana satu lembu. Eh! Kerbau tu ada lebih kurang rupa macam kuda ke? getus otak Ayin. Tipikal budak bandar! Ini ayam dengan itik pun belum tentu si Ayin ni dapat bezakan. Kan? Along paling muka menentang wajah Ayin yang sudah memuncungkan mulut ala-ala itik serati.
“Mana kau tahu tali air  tu kotor, Yin? Kau bukan pernah ke sana pun. Airnya bersih macam air paip. Lagipun tali air tu mengalir sampai ke sungai sana. Bukannya bertakung macam tengah bendang. Kalau tengah bendang tu, barulah tempat kerbau berkubang. Itu pun tak tahu? Itulah..., lain kali bawak-bawaklah berjalan-jalan sikit. Dahlah balik sekali-sekala. Tengok sekarang? Kampung sendiri pun tak tahu,” leter Along panjang. Ayin mencebik tidak setuju dengan kenyataan yang dibuat oleh Along. Sakit hati pun ya juga. Sedari tadi Along asyik duk perli dia. Dia ni taklah bodoh sangat sampaikan hal kampung sendiri pun tak tahu.
“Bibiklah ni, tiba-tiba pula nak cuti. Tak pasal-pasal aku kena ikut kau balik kampung. Entah betul entah tidak saudara dia sakit. Kalau tak, aku tak ingin balik sini.” rungutan Ayin masih belum susut. Kini disalahkan pula bibik yang tak tahu apa-apa tu.
“Tak apa... Bibik kata dia nak cuti tiga empat hari saja kan? Dia dah balik rumah besok, aku suruh papa hantar aku balik KL semula,” sambung Ayin lagi.
“Suka hati kaulah, Yin...” balas Along. Malas hendak melayan perangai Ayin lagi. Kalau Ayin nak balik KL, baliklah. Dia nak tinggal lama sikit dekat kampung ni sebelum memulakan pengajiannya di UM tak lama lagi.
“Yaya!”
“Oi mak kau!” Yaya terperanjat apabila satu tepukan singgah di belakangnya. Cepat Yaya berpaling.
 “Eh! Nek ngah?”
“Kamu buat apa ni Yaya? Duk menghendap siapa dekat sini?”
“Menghendap? Mana ada nek ngah? Ni, Yaya tengah check dinding ni. Tadi Yaya nampak macam ada kepinding saja. Takut masuk bilik Ayin. Susah nanti!” Tergagap-gagap Yaya berkata. Aduh! Tengah buat projek haram ni pula Nek Ngah nampak.
“Yang kamu pergi belek dinding tu buat apa? Pergi cepat ambik spray. Spray saja biar mati. Kalau lepas masuk bilik Ayin nanti, tak tidur malam jawabnya nek ngah,” gesa Nek Ngah pula. Ralit betul dia. Tak habis-habis bimbangkan pasal Ayin.
“Ya! Ya! Nek ngah. Yaya pergi ambik sekarang.” Segera Yaya beredar dari situ. Ketika dia menuju ke dapur, telinganya menangkap suara Along bertanyakan sesuatu kepada Nek Ngah. Tentu Along hendak tahu kenapa kecoh sangat di luar biliknya sebentar tadi. Yaya hembus nafas lega. Nasib baik tak terserempak dengan Along. Buatnya Along nampak dia tengah mencuri dengar, buat malu saja.
Petang itu, enggan membiarkan dirinya diselubungi persoalan, Yaya ambil kesempatan bertanya kepada Along ketika mereka duduk di pangkin bawah pokok jambu belakang rumah Nek Ngah.
“Apa mimpi Ayin balik kampung hari ni, along?” Sengaja menyoal walaupun dia sudah tahu sebabnya. Takut Along syak dia mencuri dengar tadi.
Aikk... Apasal tanya? Bunyi macam orang tak suka saja?”
“Bukan tak suka. Yaya tanya saja. Tiba-tiba Ayin nak ikut balik sini. Pelik juga.”
“Terpaksa... Bibik tak ada rumah. Tiba-tiba bibik mintak cuti nak ziarah saudara sakit. Itu yang Ayin kena ikut balik sekali. Kan mama dan papa nak balik lama sikit kali ni? Kalau Ayin tinggal, mati kebulurlah jawabnya dia.” Along ketawa mengekek selepas itu. Tentunya dia sedang membayangkan keadaan Ayin tinggal seorang diri di rumah.
“Yaya kesian tengok Nek Ngah. Biasanya dia dah prepare sebelum Ayin balik. Habis satu rumah ni dia kemas bila dengar Ayin nak balik. Alih-alih Ayin dah sampai. Tak bagi tahu nak balik. Mengelabah Nek Ngah.”
“Alah..., kesiankan Nek Ngah ke atau Yaya yang suka bila Ayin balik?” Along mula menyakat.
“Apa along ni... Malulah Yaya...” Yaya senyum penuh makna.
“Buat-buat malu pula. Kata sajalah Yaya suka tengok Ayin balik...,” giat Along lagi. Yaya tidak membalas apa-apa. Muka dah merah padam. Takut dibalas makin kuat pula Along mengusiknya nanti.
“Kali ni along nak tengok, dia boleh tahan ke tak tinggal lama-lama dekat kampung ni.”
Apasal along cakap macam tu?”
“Ingat papa saja nak hantar dia balik KL lepas bibik habis cuti ke? Kirim salamlah! Papa balik KL hantar dia, lepas tu nak balik kampung semula. Mesti papa tak nak punya.”
“Kita tengok, berapa hari dia boleh tahan kan along kan?” tambah Yaya pula.
“Mari kita betting nak?”
Betting? Nak betting apa benda?” soal Yaya kembali, tidak faham maksud Along.
“Kita betting berapa lama Ayin boleh tahan duduk dekat kampung ni.” Yaya tersengih. Amboi! Along... tak ada belas kasihan mengutuk adik sendiri.
“Okey. Kita betting!”
“Along teka, paling lama Ayin boleh tahan dua hari saja,” kata Along. Penilaian dibuat berdasarkan sikap Ayin sebelum ini. Masuk hari ke dua saja, dah menyalak-nyalak nak balik KL semula.
“Yaya teka lebih dari apa yang along teka.”
Apasal pula? Cuba bagi pencerahan sikit.”
Yaya angkat bahu. “Entah! Yaya tak ada alasan. Cuma dapat rasa saja.”
“Ikut instinct lah ni?” Yaya angguk laju. Along mencebik.
Instinct sangatlah tu...”
Siapa sangka instinct Yaya tepat! Along pun macam tak percaya saja. Akhirnya Along mengaku kalah. Mujur juga tak bertaruh duit. Kalau tidak, poket Yayalah yang tebal. Hari ini masuk hari ke lima Ayin berada di kampung. Itu menunjukkan sudah ada kemajuan. Sebelum ni Ayin hanya bertahan selama dua hari saja. Dah masuk lima hari ni, kira terror jugalah Ayin tu.
Terror apa ke bendanya? Muka tertangkup sepanjang hari dan setiap hari. Ayin mengeluh, merungut, membebel dan perbuatan-perbuatan yang sewaktu dengannya, tak henti-henti. Mak Long kata biarkan saja Ayin tu. Ayin tu nak kena diajar. Takut nanti bila dah besar, lupa asal usul. Kampung sendiri pun tak kenal. Lantak dialah nak menceceh dari pagi sampai ke malam pun! Penat nanti tahulah dia diam. Senang betul Mak Long meladeni perangai Ayin. Nek Ngah pula yang pening kepala bila Ayin duk bising tepi telinga dia. Kasihan Nek Ngah. Silap hari bulan boleh stress Nek Ngah.
Lima hari ni, Ayin asyik terperap saja dalam rumah Nek Ngah. Pelik betul. Yaya tertanya-tanya juga, Ayin tu tak rasa pening kepala ke? Tengok TV, main games. Main games, tengok TV. Tak boring ke dia? Cubalah bawa diri tu keluar pergi jalan-jalan tengok keadaan kampung. Hendak bermain dengan Shidan dan Ayip jangan haraplah. Sementelah Shidan dan Ayip tu masih kanak-kanak. Memang dia tak nak join lah! Pergi mandi sungai ke, mandi tali air ke, panjat pokok kundang ke, jangan mimpi Ayin nak buat macam tu. Langsung tak nak enjoy duduk di kampung ni. Muka moyok macam baru lepas kena paksa makan julap. Entah apa masalah. Agaknya ada penyakit jiwa kacau kot.

No comments:

Post a Comment