Bab 19
Malam itu usai majlis kenduri,
mereka duduk berbual di ruang tamu. Macam-macam Mak Ina tanya. Bertubi-tubi Pak
Long dan Mak Long aju soalan. Kisah hidup Yaya selama sembilan tahun ini
menjadi tajuk utama. Sempat juga Mak Long mengusik sama ada Yaya sudah
berkahwin ataupun belum. Tersipu-sipu Yaya mahu menjawab. Masakan tidak?
Sedangkan Alin BFF dia tu pun, sudah beranak dua. Ketika di Sipitang dulu ada
juga seorang dua lelaki bujang datang bertanya tetapi belum sempat dia menolak,
Mak Ngah yang dulu-dulu tak setuju. Kata Mak Ngah umur Yaya masih mentah. Yaya
lega. Tak perlu pening kepala cari alasan.
Perihal Ayin juga tidak
ketinggalan dibualkan. Mujur Mak Long buka cerita kerana sedari siang tadi Yaya
ingin bertanya tentang si Nakal tu. Bila tahu Mak Long dan Pak Long hendak
balik, dia meneka tentu Ayin turut serta tetapi kecewa. Mak Long dan Pak Long hanya
balik berdua. Mahu bertanya segan pula.
“Sejak kamu tak ada, Ayin
berubah terus. Perangai dia tak macam dulu lagi dah. Mak long pun tak tahu
kenapa. Tapi, Along ada juga cerita tentang kamu dan Ayin dulu.”
Yaya tersenyum kepada Mak
Long. Cerita tentang dia dan Ayin? Apa agaknya yang Along ceritakan?
“Sebab kamu Ayin berubah.
Dia jadi baik. Tak kuat merungut. Di sekolah pun perangai dia elok saja. Keputusan
SPM pun bagus. Straight 12 A’s,” Pak
Long menokok.
“Bukan sebab Yaya Ayin
berubah, mak long, pak long... Ayin berubah kerana diri dia sendiri.” Dalam
hati, sempat juga Yaya berdoa. Alhamdulillah. Berkat surah Al-fatihah yang dia
selalu sedekahkan kepada Ayin akhirnya Ayin berubah juga.
“Along sekarang macam
mana mak long?” Yaya buat-buat tanya tentang Along. Padahal hati terkinja-kinja
hendak tahu pasal Ayin. Coverlah
sikit kan...
“Along dah kahwin. Dekat
setahun pun. Sekarang ni isteri dia tengah mengandung. Mabuk. Itu yang dia tak
dapat balik sekali ni. Nak ditinggalkan sorang-sorang dekat rumah, Along tak
sampai hati pula. Kalaulah dia tahu Yaya dah balik, macam mana gaya sekalipun dia
tentu nak ikut juga. Nanti Yaya datang rumah mak long ya?! Boleh Yaya kenal
dengan isteri Along si Dina tu.”
Yaya telan air liur. Hati
sudah rasa dua tiga macam. Tidak berapa nak sedap. Kalau Along tak dapat balik
pasal isteri dia tengah sarat mengandung, Ayin pula macam mana? Apasal dia tak balik? Ke Ayin tak dapat
balik sebab isteri dia pun mengandung juga? Eh! Ayin dah kahwin ke? Yaya
bertambah tidak keruan. Tiba-tiba sedih dan kecewa meruntun dalam hati. Seperti
baru putus cinta pula.
“Insya-Allah mak long.
Lagipun dua minggu lagi Yaya nak pergi KL. Yaya dah dapat kerja dekat sana.”
“Hah, bagus sangatlah tu.
Nanti Yaya tinggal rumah pak long sajalah? Lagi senang,” Pak Long mencelah.
Gluppp... Yaya telan air liur sekali lagi. Sanggup ke dia jumpa
Ayin yang dah jadi milik orang tu? Boleh ke dia hadap muka Ayin dengan hati
libang-libu ni? Betah ke dia melihat Ayin hidup bahagia bersama orang lain?
Sedangkan selama ini dia berangankan yang indah-indah tentang mereka.
Membayangkan hidup bersama Ayin! Hakikatnya Ayin... Parah betul sakit di hati
bila kecewa bercinta. Cinta? Cinta ke dia kepada Ayin? Yaya tiada jawapan. Yang
dia tahu, memang selama ini dia rindukan Ayin. Sentiasa ingatkan Ayin. Apakah
itu petanda dia cintakan Ayin?
“Tak apalah pak long.
Terima kasih. Yaya dah ada tempat tinggal. Bos baru Yaya tolong carikan.”
“Kamu tak sudi ke nak
tinggal dengan mak long, Yaya?”
Yaya lihat wajah Mak Long
sedikit muram. “Eh! Tak adalah mak long. Bukan Yaya tak sudi, cuma... Yaya tak
sampai hati nak hampakan Puan Julita, isteri bos baru Yaya tu. Bersusah-payah
dia carikan rumah untuk Yaya tinggal, yang hampir dengan tempat kerja. Supaya
senang Yaya pergi dan balik kerja katanya. Lagipun sewanya murah.” Yaya cuba memberi
alasan agar Mak Long tidak berkecil hati. Walaupun kebenarannya, rumah sewa itu
belum pun ada bayang lagi. Baru saja hendak dicari oleh Puan Julita. Dia rasa
berdosa pula terpaksa menipu Mak Long.
“Lagi pun Yaya segan
dengan Along dan Ayin nanti. Dia orang semuakan dah kahwin?” Yaya menambah
lagi.
“Siapa yang dah kahwin?”
soal Mak Long dan Pak Long serentak.
“Along dan Ayin...”
Mak Long dan Pak Long
terus ketawa. Yaya melihat mereka dengan tanda tanya penuh di muka.
“Pak long dan mak long
saja yang tinggal dekat rumah tu, Yaya. Along tinggal rumah dia sendiri sejak
dia kahwin ni. Ayin pula tak ada,” kata Pak Long.
“Ayin tak ada pak long?”
Yaya mula rasa cuak bila Pak Long kata Ayin tak ada. Perkataan ‘tak ada’ tukan
ayat fobia selepas abah dan uminya meninggal. Cepat saja fikiran membayangkan
perkara yang bukan-bukan. Yaya tidak mahu kehilangan Ayin. Dia lebih sanggup
melihat Ayin hidup bahagia bersama orang lain dari menerima hakikat yang Ayin
tiada lagi di dunia ini. Ke Ayin tinggal rumah sendiri lepas kahwin? Sama
seperti Along.
“Amboi... Yaya! Sebut
saja nama Ayin terus merah muka.” Mak Ina mengusik. Yaya senyum sumbing.
Kalaulah Mak Ina tahu apa yang menghambat perasaannya kala ini, tentu Mak Ina
tak akan mengusik dia begitu.
“Ayin sekarang ada di UK.
Memang dah jodoh kamu dengan dia agaknya. Insya-Allah, lagi dua bulan dia
balik.”
Kata-kata Mak Long itu
meredakan gelora di hati Yaya. Ayin masih ada rupanya. Dan Ayin juga belum
kahwin. Eh! Cup, cup ,cup. Apa Mak Long
kata tadi? Memang jodoh dia dengan Ayin? Apa maksud Mak Long? Ke Along dah
cerita pada Mak Long pasal Ayin sukakan aku dulu? Tidak semena-mena wajah Yaya
bertukar kemerahan. Segan!
“Betullah kak long!
Memang kuat jodoh dia orang berdua ni, kan? Yaya balik sini, si Ayin tu pun dah
nak balik juga.” Mak Ina menggiatkan lagi kata-kata Mak Long itu.
“Sepatutnya Ayin tu dah
lama balik ke Malaysia ni, Yaya. Entah kenapa dia tak nak balik-balik. Dekat
sana, sambil dia bekerja, dia belajar. Lepas satu, satu dia ambik. Masterlah! PhDlah! Habis satu
kos, ambik pula kos yang lain. Puas
kami pujuk dia supaya balik tapi dia tak mahu. Entah apa mimpi, tiba-tiba
minggu lepas dia kata nak balik Malaysia. Dah rindu sangat dengan Malaysia,
katanya. Agaknya dia boleh hidu kamu nak balik tak?” tambah Pak Long
menghangatkan lagi cerita tentang Ayin.
Kulit muka Yaya yang kemerahan tadi kini
hampir mahu terbakar. Panas berbahang rasa mukanya ketika ini. Malu! Nampaknya
kisah dia dan Ayin dahulu, semua orang sudah tahu. Perasaan di dalam hati dia
ini, rasanya sudah tidak boleh disembunyikan lagi.
“Bang, apa kata sebelum
Ayin balik ni, kita buat sesuatu untuk surprisekan
dia. Tadi Ina surprisekan kita,
sekarang kita buat plan surprisekan
Ayin pula. Okey tak?” Mak Long utarakan cadangan kepada Pak Long. Wajah Mak
Long cerah dan ceria campur teruja. Yaya angkat kening. Kerutkan dahi. Plan apa pula yang Mak Long nak buat ni?
Mak Long dekatkan bibirnya ke telinga Pak Long. Terkumat-kamit mulutnya
berbisik. Puas Yaya melebarkan cuping telinga, tetapi haram! Sepatah pun tidak
dapat dengar.
“Boleh ke macam tu?” Pak
Long bersuara, selepas Mak Long menjauhi telinganya.
“Apa tak bolehnya pula?!”
balas Mak Long.
“Dia nak ke?” kata Pak
Long.
“Mama confirm budak dua orang ni mesti setuju
punya,” tukas Mak Long.
“Okeylah! Abang ikut
saja. Bagus juga cadangan mama tukan?” Pak Long bersetuju. Entah apa yang
dicadangkan oleh Mak Long. Dan entah apa yang Pak Long setuju.
“Besok kita pergi
belilah?” Mak Long pandang Pak Long tepat-tepat.
“Boleh juga. Lagi cepat,
lagi bagus.” Pak Long pandang pula Mak Long tak berkelip. Apalah yang dibincangkan
agaknya? Yaya pandang muka Mak Long dan Pak Long. Hairan! Pelik! Kemudian Yaya
beralih pula melihat Mak Ina. Mak Ina tersenyum simpul memandangnya. Melihat
reaksi Mak Ina ketika ini, rasa hairan dan pelik Yaya semakin menjadi-jadi. Mak
Ina macam tahu-tahu saja. Kenapa dia pula tak boleh nak faham?
“Nanti mama telefon
Along, bagitau dia. Mesti Along pun
setuju dengan rancangan mama ni.” Mak Long berkata kepada Pak Long lagi.
Selepas itu Mak Long beralih kepada Yaya. “Besok Yaya ikut mak long dan pak
long pergi pekan sekejap ya? Mak long nak belikan sesuatu untuk Yaya.” Air muka
Mak Long ceria sekali.
******
Sudah hampir setengah jam Yaya terbaring di atas katil.
Kalih ke kanan tidak selesa. Kalih ke kiri pun sama juga. Terlentang tidak kena. Tertangkup pun serupa
juga. Akhirnya, mata Yaya tajam merenung siling bilik yang sudah sembilan tahun
ditinggalkan ini. Seketika Yaya tebarkan pandangannya ke segenap pelusuk bilik.
Dalam samar cahaya lampu tidur, dia perhati keadaan biliknya. Susun atur
perabot dan barang-barang lain masih sama. Tiada sedikit pun yang dialih atau
diubah oleh Mak Ina. Mak Ina kata, bilik ini selalu dibersihkan. Kerana Mak Ina
tahu, satu hari nanti Yaya pasti pulang juga.
Jam dinding di ruang tamu kedengaran berdenting sebanyak
tiga kali. Sudah pukul tiga pagi, tapi mata masih segar bugar. Sepicing pun tak
mahu terkatup. Bagaimana mata mahu berlabuh sekiranya otak ligat berfikir?
Fikir tentang Ayin, fikir tentang perkara yang disebutkan oleh Mak Long tadi. Entah
apa yang Mak Long hendak belikan untuk dia? Apalah agaknya rancangan Mak Long?
Rancangan untuk surprise kan Ayin...
“Ayin... Ayin...” seru Yaya perlahan. Selepas sembilan
tahun berlalu, apakah dia sudah cukup bersedia untuk berhadapan dengan Ayin? Apakah
Ayin masih ingatkan dia, seperti mana dia masih mengingati Ayin? Adakah
perasaan Ayin masih sama seperti dulu? Lantas kenangan bertaut kembali.
Jam dinding di luar bilik berbunyi lagi. Berdenting enam
kali. Rupanya sepanjang malam dia tak tidur terkenangkan Ayin. Bingkas dia
bangun mencapai tuala. Selepas mandi dan solat nanti dia mahu menyediakan
sarapan. Sudah terlalu lama dia tidak menghidangkan masakan hasil dari air
tangannya buat mereka. Ketika ini terasa seperti dia kembali ke masa sembilan
tahun dahulu. Jiwa dan hati rasa tenang. Setenang pagi Kampung Batu.
Dah jatuh cinta plk dgn cite ni..x sabar nk baca next part..:)
ReplyDeletebtol³..setiap ari tunggu entry seterusnya.. :)
ReplyDeleteBestnye cite nie...
ReplyDeletexsabar nk tahu mcmn reaksi ayin nnt....😄😄😄😄
ReplyDelete