Total Pageviews

Thursday, March 12, 2015

Benci / Cinta... Awak Budak Nakal - 7




Bab 7
Kedua belah tangan menggaru kepala yang tidak gatal. Memang kepala tak gatal, tetapi otak dia yang berserabut. Lima hari terperuk dalam rumah Nek Ngah, sampai dah naik bengap. Rumah Nek Ngah ni, bila matahari tegak meninggi panasnya Ya Rabbi. Berdenting-denting bunyi atap zink. Bila dah panas berbahang, mana tahan duduk dalam rumah. Boleh jadi ikan kering dia nanti. Ayin keluar ke anjung rumah. Duduk bertinggung di kepala tangga.
“Mana aku nak pergi ni?” Kepala digaru lagi. Boring @ bosan dah hampir capai tahap gaban. Nak tengok televisyen, asyik-asyik TV1, TV2, TV3, TV8, TV9, Al-Hijrah. Begitu banyak siarannya, tetap Ayin tak puas hati. HBO, CINEMAX, FOX dan rangkaian hiburan lain tak ada. Mana best! Nek Ngah kan tak pasang Astro. Nak main games, terasa dah jelak. Hujung dua ibu jari pun dah naik lebam menekan punat PSP saja. Dari beranda, Ayin tebarkan pandangan melihat sekeliling kawasan rumah Nek Ngah.
“Mana Along ni?” Dari kiri laman hingga ke kanan diperhati. Tiada sesiapa.
“Dari pagi tadi aku tak nampak-nampak batang hidung Along ni. Dalam semak manalah Along merayap agaknya?” bebel Ayin lagi. Anak mata dialihkan ke tepi jalan. Manalah tahu kot-kot Along baru balik dari merayau ke.
“Huh! Pergi mana-mana tak pernah nak ajak aku join sekali,” rungut Ayin. Along ajak pun, belum tentu dia nak ikut sekali, kan?
Kalau begini gayanya Ayin kebosanan tahap petala ke tujuh, sekejap lagi tentu meroyan tinggal sorang-sorang. Mak Long dan Pak Long dah pergi ke pekan temankan Nek Ngah. Kata Nek Ngah hendak beli barang buat kuih bangkit tepung special untuk Ayin. Mahu ambil hati Ayin. Sebelum ribut taufan perangai Ayin melanda, lebih baik cool down kan dia. Sogok Ayin dengan kuih  favourite dia tu. Nek Ngah tahu Ayin sukakan kuih bangkit tepung hasil air tangannya. Dan Nek Ngah saja orang yang paling rajin melayan perangai Ayin yang entah apa-apa tu. Ayin nak mandi pagi, Nek Ngah siapkan air panas. Sampai panjang muncung meniup api dapur kayu. Sanggup belikan toto baharu, kerana Ayin tak suka tidur atas tilam kekabu yang dah naik kelabu warnanya tu.
Ishhh... Boringnya...” Kepala digaru kasar untuk yang kesekian kali. Mati akal betul dibuatnya. Di laman depan bayang Along tak ada, dia mahu mencari di belakang rumah Nek Ngah pula. Ayin bergerak ke hujung beranda. Kepada dijengahkan ke belakang rumah. Nun di atas pangkin bawah pokok jambu susu, Ayin melihat dua susuk tubuh sedang duduk di situ. Besar kecil besar kecil matanya mengamati, cuba untuk mengenali dua manusia itu.
“Mesti Along! Dengan siapa pula Along tu hah? Lelaki ke, perempuan?” Rasa ingin tahu tiba-tiba membuak. Ayin melangkah turun dari beranda. Segera selipar disarungkan dan terus menuju ke sana. Laju kaki melangkah. Jarak semakin hampir. 100 meter... 90 meter... 80 meter... 70 meter...
“Ooo, budak perempuan rupanya. Tapi siapa? Tak pernah pun aku nampak ada budak perempuan dekat sini. Anak Mak Su Ina ke? Takkan lah?! Anak Mak Su Ina dua orang saja. Shidan dan Ayip. Mana ada anak perempuan.” Derap terus disusun. Hayunan kaki semakin pantas. 60 meter... 50 meter... 40 meter... Bila sudah dekat, tiba-tiba gadis di sebelah Along palingkan muka memandang kepada dia. Gadis itu terbeliak kala anak mata singgah di wajahnya. Belum sempat Ayin membuka mulut untuk menyapa, gadis itu terus berlari meninggalkan Along dan dia. Sekelip mata hilang ke dalam rumah Mak Ina.
“Eh! Apasal budak perempuan tu lari bila nampak aku, long?” Ayin garu belakang kepala. Kemudian tangannya meraba di muka pula. “Ada yang tak kena dengan muka handsome aku ni ke?”
Selepas itu tangan beralih pula ke atas kepala. “Kepala aku ni, mana ada tumbuh tanduk? Yang dia lari macam tak cukup tanah tu apasal, long?” Mata Along terkebil-kebil. Dia pun terkejut melihat Yaya tiba-tiba saja lari berdesup ke dalam rumah Mak Ina. Tengah syok berborak sakan, alih-alih Yaya hilang.
“Siapa tadi tu, long? Tak pernah nampak pun budak perempuan tadi.” Cantik juga budak tadi ya, sempat pula Ayin memuji dalam hati. Spontan Ayin membandingkan kecantikan Yaya dengan rakan-rakan perempuannya. Yaya memang cantik... Cantik orang kampung. Natural beauty. Bukan seperti gadis bandar. Cantik sebab muka disolek setebal 3 inci.
“Cantik budak tu, long. Bukan macam budak-budak perempuan kelas aku. Pergi sekolah pun muka bertepek dengan compact powder dan blusher.”
“Bila masa pula kau terpacul dekat sini?” tanya Along. Bunyinya seperti orang tak puas hati. Soalan-soalan Ayin yang berderet-deret tadi dibiarkan berlalu tidak berjawab. Tiba-tiba rasa angin pula kepada Ayin yang muncul entah dari mana. Tak pernah seumur hidup kaki Ayin jejak sampai ke belakang rumah Nek Ngah ini. Paling pelik, boleh perasan pula kehadiran Yaya. Selama ini mana ada. Biar Yaya terlanggar batang hidung dia sekalipun, tak akan Ayin sedar kewujudan Yaya.
Aiik..., kau marah aku kacau daun ke? Aku peduli apa...” balas Ayin tanpa ada rasa bersalah. “Jawab la..., siapa budak tadi tu, long?”
“Yang kau nak tahu ni kenapa?” Wajah Along berubah warna.Seperti udang baru dibakar. Muka juga ketat. Kurang senang dengan soalan Ayin yang berbau sesuatu itu.
“Aku nak ngorat dialah, long. Lawa betul budak tu!”
Erkkk... Muka Along terus berkerut seribu. Dia tersalah dengar ke?
“Kau kata apa tadi, Yin?”
“Aku nak ngorat dialah! Kau apasal? Dah pekak pula ke?”
Memang betul dia tak salah dengar. Biar betul Ayin ni. Kan Ayin anti perempuan. Dulu cerita pasal perempuan pun dah kena marah. Alih-alih hari ni, Ayin sendiri yang bukak mulut. Apa kes? Sejak bila pula Ayin sain MOU perdamaian tak mahu lagi berperang dingin dengan perempuan? Ke Ayin buang tabiat, ceceh hati Along kurang selesa. Yang hendak dingorat tu, Yaya. Haruslah dia rasa tak sedap hati. Mana tahu Ayin saja nak main-main. Sudahlah Yaya sukakan Ayin bagai nak rak. Jika Ayin persendakan hati Yaya, tak ke kasihan dengan Yaya nanti.
“Kau kenapa, Yin? Tiba-tiba saja ni?” Terlepas juga soalan tak puas hati itu. Rasa marah pun ya juga. Ayin garu kepala lagi. Dia sendiri pun tidak perasan dan tidak sedar apa yang telah dia tuturkan. Tak sempat hendak berfikir sebelum bercakap. Yang dia tahu, dia dah terjatuh. Bukan terjatuh cinta, tetapi terjatuh suka. Sebab dia baru suka dengan budak perempuan tadi. Jatuh cinta? Belum lagilah... Dia sekarang ni susah nak jatuh cinta sejak dikecewakan oleh Adilia dahulu. Dan kenapa dia tiba-tiba jatuh suka kepada budak perempuan tadi, jawapannya dia tak tahu.
******
Bagai hendak luruh jantung Yaya kala melihat Ayin berdiri hampir dengannya. Kalau berdiri dekat saja tak mengapalah, tapi bila Ayin melihat dia dengan mata terbeliak, mahunya tak seriau. Dah serupa perogol bersiri geram nampak mangsa. Kalut dia dibuatnya. Sepanjang tiga tahun Yaya kenal Ayin, tak pernah sekali pun Ayin pandang dia. Alih-alih bila dah pandang, sampai nak terjojol biji mata. Apa ke hal? Itu yang buatkan Yaya susun seribu langkah. Berkecaput melarikan diri. Takut ada, cuak ada, malu ada, segan ada. Senang cerita, semua perasaan adalah! Dalam rumah Mak Ina, Yaya menyorok di sebalik langsir tingkap dapur sambil mengintai ke arah pokok jambu susu. Ayin masih di sana sedang bercakap dengan Along.
“Apa! Dia ingat aku ni hantu ke? Pandang orang sampai macam tu sekali. Tak berkelip-kelip. Bukannya dia tak pernah nampak aku ni. Dah banyak kali pun jumpa. Dia saja yang buat muka toya,” cemuh Yaya sendirian.
Puk! Bahu Yaya ditepuk kuat dari belakang.
“Oi mak kau!” Cepat dia berpaling. “Aduh..., Mak Ina! Terperanjat Yaya.” Dada yang kembang kuncup, kembang kuncup diusap-usap.
“Anak dara menghendap siapa?” Mak Ina cekak tangan ke pinggang.
“Tak ada siapa-siapa mak Ina,” jawab Yaya sambil tersenyum sumbing. Mak Ina panjangkan leher ke luar rumah melalui tingkap itu.
“Along dengan Ayin saja. Mana ada orang lain? Tak ada yang pelik pun?” Mak Ina kerutkan dahi.
“Yalah! Ayin dengan Along saja. Mana ada orang lain,” ulang Yaya pula. Cuma kali ini nama Ayin yang disebut dahulu. Mak Ina geleng kepala. Pelik melihat telatah Yaya.
“Dah! Jom masak. Hari dah tengah hari,” kata Mak Ina lagi. Kakinya terus melangkah ke dapur. Yaya mengekori Mak Ina tanpa banyak soal. Sambil melepasi pintu dapur, Yaya panjangkan ekor matanya menjeling ke arah pokok jambu susu. Tika itu Along tinggalkan Ayin di situ dan datang menghampiri rumah Mak Ina. Selang seminit, Along muncul di pintu dapur. Deras dia melangkah masuk lalu mengambil tempat di sisi Yaya di meja makan sambil tangan mencapai sebatang sayur kangkung di atas meja.
Meh! Along tolong.”
“Tak apalah, along. Ni kerja orang perempuan.” Yaya cuba melarang. Melihat raut wajah Along, Yaya tahu ada yang tidak kena. Seperti orang tengah risau saja. Apa yang Along risaukan agaknya? tebak Yaya.
“Biarkan, Yaya. Orang nak belajar-belajar buat kerja dapur. Besok-besok bila dah kahwin, boleh tolong bini di dapur.” Tiba-tiba Mak Ina bersuara. Along sekadar tersenyum. Perkara yang ingin disampaikan ini lebih penting dari membalas usikan Mak Ina itu.
“Kenapa Yaya tiba-tiba lari tadi?” suara Along menyoal sehabis perlahan. Sebenarnya lebih kepada berbisik. Sesekali anak mata Along mengerling kepada Mak Ina. Tidak mahu Mak Ina mendengar perbualan mereka.
“Ayin tulah! Pandang orang macam nak telan!” suara Yaya kuat.
Shhh...” Along letakkan jari telunjuk pada hujung bibir. Matanya memberi isyarat ke arah Mak Ina tetapi sudah terlambat. Mak Ina memandang ke arah mereka sambil menggelengkan kepala.
“Apa sajalah kau orang berdua ni?” soal Mak Ina.
“Tak ada apa-apa,” jawab Along dan Yaya serentak sambil menggelengkan kepala masing-masing. Buat-buat sibuk meneruskan kerja menyiang pucuk kangkung paya itu.
“Sebelum ni, Yaya selalu kompelin Ayin tak pandang Yaya, kan? Hari ni dia datang dekat, apasal Yaya lari pula?” Along menyoal Yaya sekali lagi.
“Mana Yaya tak lari, along? Pandang Yaya macam tak pernah nampak perempuan. Takutlah Yaya.”
“Takut ke suka?” Dah lain macam saja bunyi cakap Along ni. Yaya kerling Along tanda tidak senang dengan kata-kata Along itu.
“Mestilah Yaya takut. Tak pernah-pernah dia pandang Yaya. Hari ni bolehkan dia nampak pula Yaya. Lepas tu, pandang macam perogol bersiri.” Yaya membela diri. Along ni marah ke apa? desis hati Yaya. Riak air muka Along memang nampak lain di matanya.
“Yaya tahu dia cakap apa dengan along tadi?”
Yaya jongket bahu. “Entah!”
“Ayin kata dia nak ngorat Yaya.”
Gluppp... Yaya tertelan air liur bersama mata yang hampir terbeliak. Biar betik!
“Along saja nak main-mainkan Yaya,” sanggah Yaya. Tangan sudah tidak berapa nak betul mendengar kata-kata Along. Batang kangkung dicapai dan dipatah-patahkan lalu dicampak ke dalam besen plastik.
“Yaya! Siapa nak makan akar kangkung tu?” tengur Mak Ina yang kebetulan lalu di meja itu untuk ke peti sejuk mengambil sesuatu. Baru Yaya perasan kesilapannya. Bibir menyeringai kepada Mak Ina sambil tangan mengambil semula batang kangkung tadi.
“Baru along cakap macam tu, Yaya dah tak betul buat kerja,” perli Along pula. Yaya hadiahkan jelingan tajam kepada Along.
“Yaya tak sengajalah!”
“Yalah tu...?”
Yaya buat muka selamba. Tidak mahu berbalas mulut dengan Along. Kelak dia juga yang dijadikan bahan. Namun dalam hati... ‘Alamak! Betul ke Ayin sukakan aku? Macam tengah bermimpi pula. Eeee... tak sangka.’ Hati bersorak-sorai. Kalau tidak mengenangkan dia ini seorang perempuan yang bersopan santun, sudah lama dia terlompat-lompat. Sudah bertepuk dua belah tangan, mana tak seronok rasanya. Yaya suka Ayin, Ayin suka Yaya. Yaya, Ayin. Ayin, Yaya... Indahnya dunia ini...
Mulalah tu Yaya berangankan yang bukan-bukan.

No comments:

Post a Comment