Total Pageviews

Tuesday, March 17, 2015

Benci / Cinta... Awak Budak Nakal - 12




Bab 12
Penat dia menjeling sampai naik juling biji mata kepada Ayin semalam. Rupanya Ayin tak faham. Memang tak faham ataupun Ayin buat-buat tak faham hah? Selepas Ayin dajalkan Tompok dan Yaya, hari ini lain pula kisahnya. Pelik pula Yaya. Mana datangnya semua idea nakal Ayin tu? Pagi itu selepas sarapan, sementara menunggu Mak Ina, Nek Ngah, Pak Long dan Mak Long balik dari pasar, Yaya menyapu halaman rumah Nek Ngah. Selepas melonggokkan daun-daun kering di tempat pembakaran, Yaya nyalakan api. Beberapa ketika kemudian api mula marak. Sedang leka Yaya memerun dia terdengar satu suara...
Neno... neno... neno... Ke tepi, ke tepi. Sampah terbakar... panggil... bomba... Bomba... datang berlumba... lumba.... Neno... neno... neno... Tepi Sinar... Ni fireman paling handsome dalam dunia datang nak padamkan api ni...” Ayin berlari-lari sambil menyanyi lagu budak tadika seraya tangan menarik garden hose Nek Ngah. Selamba tenuk saja dia sembur air paip pada sampah yang tengah bakar. Buat lagak sebiji abang bomba memadamkan api. Sepatutnya, Ayin siram sekali muka Yaya yang dah merah tu. Geramnya kepada Ayin bukan kepalang. Rasa macam nak kunyah-kunyah saja Ayin tu. Serius, bengang tahap ultraman dah ni!
Boleh ke Yaya? Nak marah pun kau tak sampai hati. Inikan pula nak kunyah-kunyah Ayin. Ayin masa tu tengah buat apa? Senyumlah, apa lagi. Yaya tenung Ayin seperti hendak ditelan hidup-hidup. Pun Ayin buat dek... saja. Memang tak makan saman punya budak! Tak ada mananya dia nak takut dengan renungan Yaya tu.
Hari-hari ada saja benda yang Ayin buat untuk menyakat Yaya. Kalau orang normal yang hati tulus ikhlas bersih lagi suci murni, memang tak terjangkau dek akal nak buat benda-benda mengarut seperti Ayin. Pening kepala Yaya melayannya. Lepas satu, satu Ayin buat dajal. Tak putus-putus!
Hari itu, Mak Ina suruh Yaya pergi kedai. Mula-mula Yaya fikir mahu ajak Along berjalan kaki ke kedai tapi bila teringatkan Ayin, dia berfikir sepuluh kali hendak ke rumah Nek Ngah. Bila ajak Along, dah tentu Ayin nak mengekor. Yaya kalau boleh tak nak jumpa Ayin. Walaupun kadang-kadang hati memberontak nak jumpa Ayin, bila terkenang perangai nakal Ayin, mantul terus keinginannya.
Akhirnya Yaya buat keputusan pergi ke kedai Pak Hamid dengan menunggang basikal. Dia ambil basikal di bawah rumah. Ketika menaikkan tupangnya, Yaya perasan tayar basikal sudah pancit. Lebih menghairankan dua-dua tayar sekali pancit. Macam mana boleh jadi macam ni? Kalau salah satu yang pancit, logik juga. Yaya memeriksa tayar basikal tersebut. Hah! Itu dia kau... Sejengkal paku payung tercacak dekat tayar. Sepantas kilat, hanya satu nama yang terlintas di kepala. Ayinnn! Masa tu Ayin dekat mana ? Elok saja dia berdiri di belakang Yaya sambil buat senyum kambing.
“Sinar nak ke kedai kan?”
Hati dah geram, mana boleh nak menjawab soalan Ayin tu. Yaya ketap gigi menahan rasa. Kalaulah Shidan atau Ayip yang buat perangai macam ni, dah lama berbirat kena kuti.
“Sinar nak ke kedai kan?” Ayin ulang tanya bila Yaya tidak membalas.
“Tak jadi!” jawab Yaya dalam nada keras. Geramnya kepada Ayin tidak surut-surut. Macam manalah dia boleh terjatuh suka dengan budak nakal yang selalu menyakitkan hati ni? Agaknya dia dah buta hati kot.
Apasal pula?” Ayin bertanya tidak puas hati.
“Dah Ayin buat basikal Yaya macam ni!” Yaya jeling wajah Ayin yang masih tersenyum kambing. Tak adalah pula Ayin menyanggah tuduhannya itu. Maknanya, paku payung yang tercacak pada tayar basikal ini, memang betullah Ayin punya kerja.
Dengan senyuman manis di bibir Ayin berkata, “Tak naik basikal pun tak apalah. Yaya boleh pergi kedai jalan kaki. Ayin temankan ya?” Lembut suara Ayin menggoda. Boleh luruh sekeping-sekeping hati Yaya mendengarnya. Itupun kalau Yaya tak tengah marahlah. Hati sedang menggerutu, bukannya nak luruh berkeping-keping, rasa berbuku-buku adalah!
“Yaya! Cepatlah pergi kedai tu. Tunggu apa lagi? Mak Ina nak gula merah tu cepat. Dah nak buat kuih ni.” Kedengaran suara Mak Ina dari arah dapur menggesa. Yaya merengus. Kalaulah tidak mengenangkan Mak Ina, memang malas dia hendak pergi ke kedai Pak Hamid tu. Bukan malas sebab kena jalan kaki tapi malas kerana Ayin nak mengekor. Sakit jiwa menghadap perangai Ayin ni. Hai... Yaya... Sabarlah kau dengan perangai budak sorang ni, Yaya pujuk hati sendiri.
“Jomlah cepat! Nanti lambat Mak Su bising.” Ayin tarik tangan Yaya. Dengan kaki melangkah longlai Yaya turuti derap Ayin.
Sepanjang perjalanan ke kedai Pak Hamid, muka Ayin langsung tidak dipandang. Angin satu badan. Tak pasal-pasal lepas ni dia kena sorong basikal tu ke kedai Faruqi untuk dibaiki. Basikal tu hadiah dari Mak Ina. Sekarang Ayin dan dajalkan basikal kesayangan dia.Ikut rasa hati, hendak saja diadukan perangai nakal Ayin kepada Mak Long dan Pak Long. Biar Mak Long dan Pak Long tarbiahkan si Ayin ni, tapi rasa kasihan. Manalah tahu Pak Long naik hantu. Berbirat pula badan Ayin kena bedal. Tak sanggup tengok Ayin dibelasah. Lebih tak sanggup kalau lepas tu Ayin tak suka dia lagi. Ayin tak pandang muka dia macam dulu. Ayin tak mahu bercakap atau senyum kepada dia. Ayin buat perangai banyak cekadak, banyak bunyi, banyak songeh, sangat kekwat, banyak keok, asam kedondong, asam kecut, tapai benyek, teramat kerek dan arek dulu.
Tak naklah Ayin jadi macam dulu! detak Yaya. Daripada Ayin benci dia, biarlah dia saja yang marah Ayin. Marah-marah dia pun, dia sayangkan Ayin tapi kalau Ayin marah kepada dia, nanti Ayin terus membenci dan tak sukakan dia. Seperti Ayin tak suka dan bencikan Adilia. Yaya tak mahu jadi macam tu. Tahan sajalah menghadap perangai Ayin ni, putus Yaya akhirnya. Langkah terus disusun di sisi Ayin.
“Sesekali kita jalan berdua-duaan macam ni, bestkan Sinar?” Ayin bersuara memecahkan kesunyian antara mereka. Best apa bendanya? Dia ingat kedai Pak Hamid tu sepelaung saja ke? Kejap lagi mesti merungut kaki dia dah penat berjalan, desis Yaya.
“Sinar kena layan Ayin juga. Ni tidak, sikit-sikit cari Along. Apa-apa hal semua Along. Ayinkan ada? Ayin ni bukan tunggul tau! Sakit hati Ayin ni,” luah Ayin.  Buat apa nak cari Ayin, kalau Ayin selalu menyakitkan hati Yaya? detak Yaya lagi.
“Ayin jealous tengok Sinar asyik berkepit dengan Along. Kalau Sinar tak layan Ayin lagi lepas ni, Ayin akan terus usik Sinar.” Ayin pandang Yaya. Ini peringatan ke atau amaran? Ataupun sebenarnya satu ugutan? tukas Yaya. Malas nak dengar Ayin terus merungut, Yaya balas kata-kata Ayin.
“Yaya mintak maaf!” Untuk apa dia minta maaf, Yaya pun tak tahu. Sepatutnya Ayin yang menuturkan kata-kata itu. Ayin yang banyak menyakitkan hati dia. Ayin yang selalu dajal kan dia. Ayin yang nakal. Bukan dia tapi, tidak mengapalah. Untung-untung tersentuh hati Ayin dengan permohonan maaf dia ini. Dan selepas ni, Ayin tak mahu lagi mengusik dia. Ayin nak layan dia dengan baik, seperti Along. Kemudian mereka boleh berkawan. Dan lepas berkawan boleh bercinta. Bercinta? Ush! Jauhnya kau berangan Yaya. Ha... ha... ha...
Terlintas di fikiran Yaya ingin melihat bagaimanakah reaksi Ayin selepas dia mengucapkan kata kemaafan itu. Dari ekor matanya dia mencuri pandang kepada Ayin. Yaya lihat Ayin tersenyum lebar koyak sampai ke telinga. Dia tak tahu ke, yang Yaya ni dah sakit hati tahap jurus ke tujuh? Ayin boleh buat senyum lebar? Dia senyum sebab Yaya minta maaf ke, tapi kenapa nampak sinis sangat senyuman dia tu? Eeee... tensionnya... jerit hati Yaya.
Tak ada mananya hati Ayin nak tersentuh dengan permohonan maaf Yaya siang tadi. Tak terkesan langsung pun di hati Ayin. Agaknya tak lelap mata dia kalau tak menyakat Yaya. Malamnya sekali lagi Ayin buat onar. Ketika itu waktu maghrib. Ayin menghala ke rumah Mak Ina atas arahan Nek Ngah, supaya mengajak Mak Ina makan malam di rumah Nek Ngah selepas solat maghrib. Tiba-tiba terbit idea di otak Ayin untuk mengusik Yaya lagi. Berjengket-jengket, Ayin menyusup ke bawah rumah Mak Ina dan bersembunyi betul-betul di bawah bilik Yaya. Tika Ayin mendengar lantai bilik Yaya berderap dipijak seseorang, terus sahaja dia mengilai.
“Yayaaa..., Yayaaa..., Heee... heee... hee... heee... Yayaaa...” Apa yang Ayin dengar selepas itu, adalah suara Yaya menjerit seperti orang sawan memanggil Mak Sunya. Puas Ayin menahan ketawa. Selang beberapa saat, Ayin melangkah keluar dari kolong dan naik ke atas rumah. Ayin control muka. Tak nak nanti Mak Sunya tahu kerana dia Yaya memekik seperti orang histeria tadi. Naik sahaja ke atas rumah, Ayin lihat Yaya menangis di atas riba Mak Sunya.
“Kenapa mak su?” soal Ayin dengan muka cemas. Konon-kononlah kan...
“Entah! Yaya ni, katanya dengar suara pontianak mengilai,” ujar Mak Ina. Ayin lihat wajah Mak Ina turut pucat. Agaknya Mak Ina pun takut juga.
“Betul mak Ina, Yaya dengar suara pontianak tu mengilai. Yaya takut ni mak Ina.” Suara Yaya bergetar, berselang tangisan yang berlagu. Mukanya masih di peha Mak Ina.
“Sejak lahir sampai sekarang, dari kecik sampai besar, tak pernah pun mak Ina dengar ada pontianak dalam kampung ni.”
“Alah... mak su, zaman moden ni mana ada hantu. Entah apa yang Yaya dengar agaknya. Kalau betul pun, macam mana pontinak tu tahu nama Yaya? Boleh panggil nama Yaya pula? Yayaaa..., Yayaaa..., Heee... heee... heee... heee... Yayaaa... ”
Bila dengar saja kata-kata Ayin itu, terus Yaya angkat muka. Kenapa suara Ayin tu, sebiji suara yang dia dengar tadi? Macam mana Ayin tahu, benda tu panggil nama dia? Yaya rasa curiga. Saat matanya merenung tajam kepada Ayin, Ayin tersenyum penuh bermakna. Dan Ayin tahu, Yaya faham akan makna senyuman dia itu. Ini tak lain, tak bukan, tentu Ayin punya kerja. Yaya mengetap gigi menahan marah bercampur geram. Selepas mengesat air matanya, dia bangun dan meninggalkan Ayin serta Mak Ina dengan langkah kaki yang sengaja dihentak kuat ke lantai. Mak Ina hairan. Tadi bukan main ligat Yaya menggugu, tiba-tiba macam orang naik hantu, kenapa? Mata Mak Ina berulang-alik antara wajah masam Yaya dan riak gembira Ayin. Bertambah tidak faham Mak Ina.
“Kenapa Ayin?” Mak Ina aju soalan kepada Ayin bersama kerut di dahi.
“Siapa? Yaya? Entah!” balas Ayin . “Mak su, Nek Ngah ajak makan malam,” beritahu Ayin kemudiannya.
Mak Ina angguk kepala dan memanggil Yaya di dalam biliknya. “Yaya! Panggil Shidan dengan Ayip pergi makan rumah Nek Ngah.”
“Mak Ina sajalah pergi dengan Shidan dan Ayip. Yaya tak nak pergi. Yaya tak lapar,” sahut Yaya dari dalam biliknya. Ada nada marah di situ.
“Apa kena dengan Yaya tu?” Mak Ina hadap wajah Ayin semula.
“Entah!” jawab Ayin sepatah dengan muka selamba seperti tidak tahu apa-apa. Lantas dia turun dari rumah Mak Ina dan terus menuju ke rumah Nek Ngah dengan senyuman yang masih melekat di bibirnya.

No comments:

Post a Comment