Bab 24
Dengan lafaz Bismillah,
Yaya melangkah keluar dari rumah membuntuti langkah Azhan.
“Cepat Yaya! Nanti kalau
lambat, jammed!” gesa Azhan saat dia
berpaling mencari Yaya di belakangnya. Tampak jelas perasaan gentar pada wajah
Yaya. “Kau kenapa, Yaya?”
“Aku takutlah.” Kata
ganti diri bertukar saya kepada aku bila mereka makin serasi.
“Nak takut apa?”
“Ini first time aku kerja. Tak ada pengalaman. Takut kalau-kalau aku tak
boleh buat.”
“Kau jangan risaulah. Aku
kan ada? Lagipun Encik Kamil pun ada.”
“Itu yang buat aku lagi
takut. Nanti pekerja lain ingat, aku dapat kerja ni pasal Encik Kamil tolong
aku. Walaupun pada hakikatnya memang Encik Kamil yang tolong pun.”
“Kau ni fikir banyak
sangatlah! Memang syarikat sekarang ni nak pakai ramai pekerja. Lagipun, Encik
Kamil tetap suruh HR interview kau, tak
adalah nampak sangat. Jangan risaulah! Hanya aku dan HR saja yang tahu pasal
ni. Kalau ada yang tahu pun, pandai-pandailah aku tolong cover kau.” Mereka melangkah masuk ke dalam perut kereta.
“Aku ni lulusan SPM saja,
Azhan. Layak ke aku?”
“Kalau dah rezeki kau,
apa nak kira Master ke, PhD ke, SPM ke? Kau ingat semua yang ada kelulusan tu
boleh buat kerja ke? Belajar saja tinggi, kadang-kadang tak pandai juga buat
kerja. Sudahlah! Jangan risau sangat,” pujuk Azhan. Bahu Yaya diusap perlahan.
Dia kemudian mula menggerakkan keretanya keluar dari basement apartmen. Setengah jam kemudian, Yaya dan Azhan tiba di
bangunan Putra Advertisement Centre. Yaya mendongak melihat bangunan PAC
setinggi lima tingkat itu. Terasa detak jantung bergerak pantas.
Azhan lantas membawa Yaya
berjumpa ketua bahagian Human Resources
di tingkat empat, iaitu Kak Fatimah. Kak Fatimah sambut kehadiran Yaya dengan
baik. Selesai sesi temu duga Yaya dibawa melawat setiap department. Mula-mula aras
empat ini di mana Account, HR Department
dan juga pejabat Encik Kamil ditempatkan tetapi Encik Kamil tiada di biliknya
kerana bertemu pelanggang di luar pejabat. Aras satu lobby dan showroom. Di sini
Yaya berkenalan dengan Yard penyambut tetamu syarikat. Selepas itu, Kak Fatimah
usung pula dia ke tingkat dua bertemu semua pekerja Marketing dan Sales
Department. Sempat Yaya menyapa Azhan yang berkerja di bahagian Marketing. Di aras tiga Yaya
diperkenalkan kepada semua production
team. Ada juga suara-suara nakal pekerja lelaki mengusik Yaya.
“Tingkat paling atas, tingkat lima tu ada bilik meeting dan juga training room. Kalau ada meeting
atau apa-apa aktiviti lain, baru ada orang dekat tingkat atas tu,” terang Kak
Fatimah ketika mereka melangkah semula ke pejabat Kak Fatimah. Di hadapan pejabatnya
terdapat sebuah meja kosong.
“Yaya duduk sini ya.”
Yaya melihat wajah Kak
Fatimah.
“Ini meja Yaya,” beritahu
Kak Fatimah ketika dia menyedari ada garis kebingungan di dahi Yaya.
“Yaya duduk dekat sini
ke, kak?”
Kak Fatimah senyum seraya
menganggukkan kepala.
“Yaya nak buat kerja
apa?” tanya Yaya polos. Nampak cantik pula tempat kerjanya. Macam orang yang
berpangkat besar-besar. Tidak seperti tempat kerja pekerja lain yang
ditempatkan di bahagian yang berpetak-petak.
“Yaya jadi assistant akak.”
Yaya telan air liur. Assistant Kak Fatimah? Boleh ke dia?
Pengalaman pun tak ada. Tiba-tiba sahaja diangkat menjadi pembantu Kak Fatimah
yang berpangkat HR Executive tu!
“Yaya takut ke?”
Tanpa berkira-kira cepat
Yaya mengangguk. Lurus benar dia. Langsung tidak tahu nak menyangkal.
“Yaya jangan takut.”
Itu juga perkataan yang
diucapkan oleh Azhan tadi. Jangan takut! Heh! Tak tahu ke usus dia dah
bersimpul mati dalam perut ni kerana ketakutan.
“Akak percaya Yaya boleh
buat. Kalau tak, takkan Encik Kamil berani rekomen Yaya. Lagipun akak kan ada?
Apa-apa yang Yaya tak faham nanti, tanya saja akak. Lepas ni akak akan arrange untuk hantar Yaya pergi buat
beberapa short-term course supaya
Yaya lebih jelas dengan kerja dan tanggungjawab Yaya,” jelas Kak Fatimah. Yaya
senyum membalas. Dalam hati tersisip rasa syukur yang menggunung kehadrat yang
Esa, kerana telah mempermudahkan segala urusannya.
“Akak masuk pejabat nak ambik fail. Sekejap lagi akak keluar.
Nanti akak briefing Yaya apa yang
patut Yaya buat dan Yaya belajar dulu. Sementara tu, Yaya kemaskanlah meja ni.
Meja ni dah lama sangat tak ada tuan. Berhabuk sikit,” ujar Kak Fatimah lagi.
Dia kemudian menolak pintu pejabatnya dan hilang ke dalam bilik yang berdinding
cermin itu.
Dua minggu berlalu. Kini
Yaya semakin selesa dan cekap melakukan kerja-kerjanya. Kak Fatimah pun puas
hati dengan prestasi Yaya. Yaya mudah diajar dan cepat belajar. Dengan sekali
latihan sahaja, Yaya mahir menggunakan software
payroll. Dia seorang yang berdikari dan suka belajar serta mahu melakukan
sesuatu tanpa perlu disuruh. Kerja-kerja HR yang tertunggak banyak diselesaikan
oleh Yaya. Kak Fatimah mengambil keputusan untuk menghantar Yaya menghadiri
kursus supaya Yaya faham dan berpengetahuan mengenai Akta Kerja 1955 yang perlu
dipatuhi dalam pentadbiran gaji.
Minggu hadapan Yaya akan menghadiri
kursus tersebut selama tiga hari di Submit Hotel, Subang Jaya. Sebelum itu dia mahu
melawat Puan Julita. Ingin mengucapkan terima kasih secara peribadi sebagai penghargaan
atas pertolongan Puan Julita dan suaminya. Di pejabat seboleh mungkin Yaya membataskan
pergaulannya dengan Encik Kamil supaya tiada suara sumbang mengumpat dia
mengipas Encik Kamil.
Pagi Sabtu, Yaya pacul di
hadapan rumah Encik Kamil. Sengaja tidak memberitahu Puan Julita dan Encik
Kamil tentang kedatangannya. Azhan menawarkan diri untuk menghantar Yaya tapi dia
menolak kerana tidak mahu menyusahkan Azhan. Tak nak kacau daun temu janji Azhan
dan kawan sekampungnya pagi ini.
“Ya Allah... Yaya. Kenapa
datang tak bagitau saya ni...?” Tubuh
Yaya dirangkul mesra oleh Puan Julita.
“Sengaja Yaya tak mahu bagitau. Yaya takut nanti menyusahkan
Puan Julita pula.”
“Apa sangatlah yang
susahnya Yaya?”
“Nanti kalau Yaya bagitau nak datang, tentu Puan Julita
buat macam-macam untuk Yaya,” balas Yaya mesra. Bibirnya tidak lekang
menghadiahkan senyuman buat Puan Julita.
“Kalau Yaya tak bagitau awal-awal, saya keluar, kan dah
susah. Ini, nasib baik saya malas nak ikut suami saya breakfast di golf club. Dah, jom masuk!” Puan Julita
menarik tangan Yaya menuju ke pintu. Ketika Yaya memasuki rumah sempat juga
matanya meliar mencari kelibat Kak Farah dan keluarganya. Rumah itu Yaya rasa
terlalu sunyi.
“Yaya cari siapa?”
“Kak Farah dan
keluarganya mana, Puan Julita?”
“Kak Farah sekeluarga dah
lama pindah ke Johor. Dia dan suaminya buka syarikat di Johor Baharu. Cawangan
baru... Hari tu dia balik sekejap saja.”
Yaya terkedu. Cawangan
baru? Maknanya Kak Farah dan Abang Rizal ada syarikat induk yang lain ke? Di
mana pula ia beroperasi? Tidak pernah pula dia tahu mereka suami isteri ada
syarikat sendiri. Ingatkan makan gaji seperti dia. Dia pun tidak pernah
bertanya kepada Encik Kamil. Puan Julita juga tidak pernah cerita apa-apa
kepada dia.
Melihat kepada kediaman
Encik Kamil ini, memang keluarganya dari golongan orang berada. Kalau tak
berniaga setakat makan gaji saja, rasanya tidak mampu Kak Farah dan suami beli
rumah banglow sebesar ini tapi, bukan ke rumah ini rumah Encik Kamil? Pedulilah
Yaya. Yang kaya mereka. Kau ni dah dikira bernasib baik Encik Kamil tolong
dapatkan kau kerja yang bagus tu, getus Yaya.
“Yaya dah breakfast?”
“Minum sudah, makan
belum,” jawab Yaya ringkas dan tulus.
“Jom kita breakfast. Saya baru nak suruh bibik
gorengkan nasi.”
“Biar Yaya tolong
gorengkanlah, Puan Julita.”
“Eh! Jangan susah-susah.
Takkan tetamu yang datang kena masak pula?”
“Tak apa... Yaya memang
suka memasak ni. Inilah peluang Puan Julita nak merasa masakan Yaya,” seloroh
Yaya bersahaja. Kakinya pantas bergerak menuju ke dapur. Gayanya seperti orang
yang sudah biasa di rumah ini. Dia langsung tidak kekok. Puan Julita tidak
berdaya menghalang bila Yaya sudah jauh meninggalkannya. Dari kejauhan, dia
tersenyum senang memandang Yaya. Tiba-tiba hatinya dicuit. Terlintas di
fikirannya tentang sesuatu. Dan apabila berangankan tentang itu, semakin
melebar senyumnya.
Di dapur Kak Atie
pembantu rumah Puan Julita bising menegah Yaya dari memasak. Tidak manis tetamu
pula yang kena buat kerja, katanya. Namun Yaya berkeras juga.
“Biarlah bibik. Dah dia
beria-ia nak masak. Nak juga saya merasa masakan Yaya ni. Sedap ke tidak? Kalau
sedap, bolehlah saya kenalkan dia pada Chad. Untung-untung Chad berubah hati
nak balik Malaysia,” kata Puan Julita di belakang Yaya.
Cepat Yaya kalih melihat
Puan Julita. Lidahnya bagai tersengkang di rengkung. Chad? Siapa pula Chad tu?
Nak kenalkan aku dengan Chad? Ni bergurau ke, main-main ke, ataupun serius?
detak Yaya. Hati mula bergendang sumbang. Rasa tidak enak.
“Anak lelaki saya nak
pulang bercuti tak lama lagi. Biasanya saya buat jamuan makan sempena
kepulangan dia. Nanti Yaya datang ya, masa saya buat jamuan makan tu?” jemput Puan
Julita. Ada tujuan yang tersirat di sebalik ajakannya itu.
“Chad tu anak lelaki Puan
Julita yang tinggal di luar negara tu ke?” Perasaan semakin berlagu pincang. Puan
Julita senyum mengiakan.
“Dah lama dia dekat sana.
Mula-mula belajar. Lepas tu terus kerja dekat sana. Puas saya pujuk suruh dia
balik. Katanya dia nak menimba ilmu dan pengalaman dulu. Saya ni bukan apa
Yaya, takut dia berkenan perempuan rambut bulu jagung dekat UK tu saja.” Puan
Julita merenung redup anak mata Yaya. “Saya nak kenalkan Yaya pada Chad.”
Erk! Yaya tertelan air liur. Muka mula berbahang. Tangan
terasa kekok mengupas bawang. Dia dapat merasakan ada makna terselindung di
dalam kata-kata Puan Julita itu.
“Dah lama berbual, lupa
pula saya nak bertanya, kenapa Yaya datang hari ni?”
“Oh! Yaya datang nak melawat
Puan Julita. Yaya nak ucapkan terima kasih pada Puan Julita dan Encik Kamil
kerana dah banyak membantu Yaya,” bicara Yaya seraya berusaha menutupi canggung
di hati.
“Berapa kali nak ucap
terima kasih? Hari tu pun Yaya dah kata kan?”
“Yaya patut ucapkan
terima kasih sekali lagi. Tak terbalas rasanya budi Puan Julita dan Encik Kamil
kepada Yaya.”
“Hmm... Kalau Yaya nak
balas budi kami, boleh.”
Buntang mata Yaya
mendengarnya. “Macam mana?” lekas dia bertanya. Kalaulah boleh dibalas budi
mereka itu, tak adalah dia rasa serba salah sangat setiap kali bertentang mata
dengan Puan Julita dan Encik Kamil.
“Yaya datang jamuan anak
saya tu nanti dan berkenalan dengan Chad.”
Yaya terkedu. Kak Atie
senyum. Pandai sungguh majikannya memainkan peranan.
“Boleh Yaya?”
Yaya angguk dan
meneruskan kerja mengupas kulit bawang merah. Hati dan perasaan semakin tidak
berapa nak sedap. Entah kenapa, kini dia rasa seperti sudah terjerat. Kaki dan
tangannya sudah terikat. Terikat dengan kebaikan, budi dan jasa Puan Julita dan
Encik Kamil kepadanya selama ini. Di dalam otak sudah tergambar cara yang perlu
dia bayar segala bantuan Puan Julita dan Encik Kamil itu.
Minta-minta janganlah
menjadi kenyataan apa yang terlintas di benaknya sekarang ini. Jika itu
benar-benar berlaku, bagaimana dia mahu menolak? Dengan segala kebaikan Puan
Julita dan Encik Kamil, dia pasti tidak mampu mengelak. Kelak nanti mana hendak
dia letakkan hatinya ini? Bukankah semuanya sudah menjadi milik Ayin?
Selepas ke rumah Puan
Julita, Yaya pergi melawat Mak Long dan Pak Long pula. Sudah dua minggu dia
tidak bertemu Mak Long dan Pak Long. Mak Long pula hampir saban hari
menghubunginya.Tambahan hati dia sedang bergelojak waktu ini. Harapnya hati ini
dapat ditenangkan bila berada di rumah Mak Long. Kerana berada di rumah Mak
Long, seperti berada dekat dengan Ayin.
“Pak long rasa mulai
sekarang, Yaya kena panggil pak long dan mak long ni, papa dan mama.”
“Hari tu Yayakan dah setuju. Belajar-belajarlah
dari sekarang,” celah Mak Long.
“Bo... bo.. boleh, mak
long.” Tergagap-gagap Yaya menjawab.
“Mama,” cantas Mak Long
membetulkan panggilan Yaya kepada dia.
“Boleh mama,” ulang Yaya
selepas dia senyap seketika.
“Macam tu kan sedap
bunyinya. Cuba panggil papa pula.” Pak Long menggiat.
“Baik papa.”
Mak Long dan Pak Long
ketawa gembira selepas itu. Sedangkan hati Yaya tika ini semakin berantakan.
Andai tiba waktunya nanti, yang mana harus dia jaga hatinya. Mak Long dan Pak
Long atau Puan Julita dan Encik Kamil. Walaupun niat Puan Julita itu belum
terluah secara zahir, tetapi batinnya Yaya sudah dapat meneka. Aduh! Sakit
kepala dia.
“Mama ingat nak tukar
nama Yayalah! Kalau Ayin ada panggilan special
untuk Yaya, mama pun nak panggil Yaya dengan nama special juga.”
Yaya alih pandangan
kepada Mak Long. “Ayin ada nama special
untuk Yaya?” Yaya jadi kelabu sekejap.
“Bukan ke Ayin panggil
Yaya, Sinar? Orang lain panggil Yaya, dia sorang saja panggil Sinar. Kalau
macam tu mama pun nak panggil Yaya nama lain,” tambah Mak Long lagi. Baru Yaya
teringat. Dulu memang Ayin panggil dia Sinar.
“Betul juga tu mama.
Nanti bila Ayin balik, tak adalah kita ni asyik tersasul saja sebut nama Yaya.
Nanti lama-lama dia tahu pula pasal Yaya. Yayakan nak kita sorokan pasal dia.
Nanti tergendala pula rancangan Yaya tu,” tokok Pak Long bersetuju dengan
cadangan Mak Long.
Yaya melihat keduanya
dengan pandangan pelik. Nampaknya sekarang ni Pak Long dan Mak Long pula yang
terlebih excited nak surprisekan Ayin.
“Kita nak panggil apa,
hah mama?”
Mak Long menopang dagu
sambil berfikir.
“Apa kata mama dan papa
panggil Riya. Okey?” cadang Yaya. Nama itu adalah panggilan rakan sepejabatnya
kepada dia. Itu semua Azhan punya kerjalah. Katanya panggilan Yaya tu, terlalu
kekampungan. Dah duduk KL kena ada nama moden sikit. Kalau Fatimah jadi Fatty.
Kalau Katijah jadi Kath. Kalau Salimah jadi Sally. Jadi, kalau Yaya jadi Riya.
Nak tergelak juga Yaya pada mulanya tapi lama-kelamaan sudah jadi biasa.
“Papa setuju! Macam mana
mama?” Pak Long teruja.
“Mama pun setuju!”
“Eh! Hari tu Riya kata
ada rancangan nak surprisekan Ayin?
Rancangan apa tu?” tanya Pak Long. Biarpun baru sekejap tadi mereka memutuskan
nama panggilan baharu untuk Yaya, Pak Long langsung tidak kekok menggunakannya.
Memang dia sudah mengatur
rancangan untuk menguji Ayin. Sekarang adakah patut dia meneruskan rancangan
itu? Kalaulah jawapan yang dia cari dari rancangan itu nanti seperti yang dia
mahukan, tidakkah dia akan tersekat di dalam dua pilihan? Mana satu yang harus
dia pilih nanti? Kehendak hati yang harus dipenuhi ataupun budi dan jasa yang
perlu dia balas? Ish! Memang susah
nak jawab! Kalau ikut logik, apa yang susah sangat nak pilih. Diakan dah jadi
tunang Ayin. Jadi dia mesti bersama Ayin, tak kira apapun rancangan Puan Julita
tu. Berikir memang mudah, hendak melaksanakannya amat payah.
“Riya nak teruskan ke
rancangan nak surprise kan Ayin tu?” tanya
Mak Long pula.
Yaya tidak tahu hendak
jawab apa.
Best!Yaya kena tegas kan da jadi tunang ayin.
ReplyDeleteHaah..jgn nak serba salah sgt..tunjuk je cincin tu..ckp dah ada tunang pun..ermmmmm :)
ReplyDeleteYaya kan dah bertunang ngan ayin. Xyah lah nak fikir ke lain pulak. Ni yg nak marah ni hehe
ReplyDelete