Bab 1
Selepas tamat waktu persekolahan, tanpa berlengah Yaya
terus pulang. Seperti selalu, setibanya dia di rumah abah dan umi masih belum
kembali dari kebun. Kebun getah milik orang kampung tempat orang tuanya
mengambil upah menoreh terletak jauh di kaki bukit di hujung kampung.
Kebiasaannya, hampir pukul tiga petang baru mereka sampai ke rumah. Yaya tidak
risau mereka pulang lewat kerana dia tahu banyak kebuh getah orang kampung yang
harus abah dan uminya kerjakan.
Yaya, anak tunggal Puan Zulaikha dan Encik Badrul.
Walaupun sering merasa kesunyian tinggal sendirian di rumah, namun dia tidak
pernah merungut. Mengeluh jauh sekali. Dia tahu, abah dan uminya mencari rezeki
untuk mereka bertiga. Keluarga mereka bukannya dari golongan orang yang berada.
Hidup mereka sekadar cukup dengan apa yang ada. Rumah tempat mereka berteduh
ini pun, ihsan dari Nek Ngah. Rumah arwah kakak Nek Ngah yang sudah lama
meninggal dunia. Umi Yaya kata, Nek Ngah izinkan abah dan umi menumpang di
rumah ini, semenjak hari pertama abah dan umi menjejakkan kaki di Kampung Batu.
Kalau bukan kerana Nek Ngah, entah ke mana abah dan umi berkelana.
Usai menyalin pakaian uniformnya, pantas Yaya menuju ke
dapur. Penat kerana berjalan kaki selama hampir satu jam ketika pulang dari
sekolah tadi, ditolak ke tepi. Kesusahan hidup yang dialami oleh mereka selama
ini, buatkan Yaya pandai berdikari. Tanpa
perlu diarah, dia sudah betah melakukan kerja-kerja rumah. Niat Yaya cuma satu,
mahu membantu umi dan abah. Seharian orang tuanya itu membanting tulang bekerja
di kebun getah, tentu mereka keletihan. Cukuplah abah dan umi berpenatan
mencari rezeki, manakala hal-hal di rumah ini biar dia saja yang uruskan.
Selesai semua kerja-kerja rumah, Yaya menanti kepulangan
abah dan uminya di muka pintu. Dia duduk di situ sambil merenung ke tebing
jalan. Entah kenapa, saat ini ada sesuatu yang terdetik di hatinya. Perasaan tidak
berapa tenang. Dada pula terasa panas dan berbahang. Berdebar tanpa sebab. Agak
lama Yaya menunggu. Abah dan umi tidak juga pulang-pulang. Setiap kali ada
bunyi enjin motosikal melalui hadapan rumah, panjang leher Yaya menjengah ke
sana tetapi dia hampa. Yang ditunggu-tunggu tidak muncul-muncul juga. Yaya
beralih melihat jam di dinding. Waktu sudah melewati setengah jam dari pukul
tiga petang. Tidak pernah abah dan uminya pulang selewat ini.
“Mungkin kerja abah dan umi belum habis kot...” Yaya cuba
menyedapkan hati sendiri. Perasaan serba tidak kena tadi dicampak jauh-jauh.
Dia tidak mahu fikir yang bukan-bukan. Enggan menyangka yang buruk-buruk.
Semoga abah dan umi selamat saja, doa Yaya.
Cuaca panas terik tadi kini bertukar redup. Matahari malu
berselindung di balik awan. Angin juga semakin galak bertiup. Terasa udara
sejuk menyapa di kulitnya. Mulut Yaya pula sudah berapa kali menguap. Kelopak
mata bertambah berat. Semakin sukar untuk diangkat. Pandangan turut menjadi
kabur. Kerdip matanya bergerak perlahan. Sekali. Dua kali. Tiga kali. Empat
kali. Dan akhirnya Yaya terlelap di muka pintu itu.
Ketika di dalam lenanya, Yaya bermimpi. Abah dan umi
datang menghampirinya. Pakaian mereka amat pelik sekali. Serba-serbi berwarna
putih. Abah dan umi tersenyum. Mula-mula mereka mendekat. Kemudian
perlahan-lahan mereka bergerak jauh, dan semakin menjauh sambil melambai tangan
kepadanya. Selepas itu abah dan umi terus lenyap. Yaya cuba mencari tetapi
tidak berjumpa. Melilau matanya ke sana ke mari, namun mereka berdua tidak kelihatan
di mana-mana. Dalam Yaya mencari-cari, dia terdengar namanya dipanggil
berkali-kali. Sayup-sayup. Lama-kelamaan semakin terang di pendengarannya.
Tubuh turut terasa digoncang.
“Yaya... Yaya... Bangun Yaya.” Jelas di telinga suara itu
memanggil namanya. Mungkinkah itu umi?
“Yaya... Bangun Yaya.” Tubuhnya digoncang lagi. Lebih
kuat dari tadi. Perlahan-lahan Yaya membuka kelopak mata.
“Umi?” Nama itu meluncur dari mulut Yaya. Saat pandangan
Yaya jatuh ke wajah itu, dia terus kaku. Kenapa dia? Mana umi?
“Mak cik Ina?” Mata Yaya berlegar ke ruang rumah. Wajah
yang ingin dia lihat tiada di situ. Yaya beralih pula melihat ke halaman rumah.
Mencari motosikal dan kelibat abahnya. Juga tiada. Dia kembali merenung wajah
wanita itu. Mengapa lain benar rautnya kali ini? Tidak seperti biasa. Hati Yaya
tertanya-tanya. Dia menolak badan untuk bangun. Kemudian duduk bersimpuh di
hadapan wanita itu. Dalam keadaan pisat, Yaya cuba untuk bertanya. Baru sahaja
dia ingin bersuara, tubuhnya terus dipeluk erat. Wanita itu menangis di bahunya.
Hebat sungguh sendu Mak Cik Ina. Entah apa punca hingga begini teruk tangis
wanita ini? Gadis itu bertambah pelik.
“Kenapa mak cik Ina?” Yaya meleraikan pelukan Mak Cik Ina.
Wajah sayu itu ditenung tepat. Awan mendung sarat benar di rautnya. Kenapa?
“Umi dan abah kamu dah tak ada, Yaya...” Suara Mak Cik
Ina tenggelam timbul di dalam esakannya. Bahu Yaya dipaut kuat.
“Hah, Tak ada?! Tak ada pergi mana pula mak cik Ina?” Yaya
kaget. Cuba memahami maksud kata-kata itu. Hati yang rawan semakin tidak
keruan.
“Dah tak ada Yaya, dah tak ada! Abah dan umi kamu dah tak
ada!” Kata-kata itu diulang berkali-kali. Yaya semakin keliru. Dia kembali
dihambat rasa itu. Rasa tidak sedap.
“Tak ada? Tak ada pergi mana mak cik Ina? Abah dan umi
kan pergi menoreh? Sekejap lagi baliklah tu.” Yaya masih berusaha untuk
memahami maksud kata-kata ‘tak ada’ yang disebut oleh Mak Cik Ina.
“Yaya pun dah siap masak, mak cik Ina. Tunggu umi dan abah
balik saja. Nanti bolehlah mak cik Ina makan dengan kita orang sekali, ya?” Di
dalam kepala kekal mentafsir gelagat wanita itu. Kenapa dia begini? Debar di
dada Yaya semakin kuat memalu. Otak mula membayangkan yang tidak-tidak tetapi
hati keras menafikan.
“Umi dan abah kamu dah tak ada! Kena langgar lori masa
balik dari menoreh tadi Yaya...” Dan tubuh Yaya terus dipeluk lagi. Wanita itu
menangis semahunya. Kini mengertilah Yaya akan makna kata-kata ‘tak ada’ itu. Segala
rasa yang menebak fikiran dia sedari tadi rupanya benar belaka. Naluri yang
menjentik hatinya menjadi nyata. Mimpi? Mimpi abah dan umi melambai kepada dia?
Itu sebenarnya adalah ucapan selamat tinggal dari mereka berdua. Yaya kelu.
Kaku. Dua saat selepas itu tubuhnya terus longlai di situ.
Apabila Yaya sedar dari pengsan, jenazah abah dan umi
sudah terbaring di tengah ruang rumah. Tika itu, tidak mampu dia gambarkan
bagaimana perasaannya. Luluh segala rasa. Kaki tidak terdaya untuk berdiri.
Apatah lagi untuk berjalan. Yaya bangkit lalu mengengsot menghampiri jenazah kedua
orang tuaya.
“Abah... Umi... Apa ni, buat Yaya macam ni? Janganlah
main-main abah..., umi. Bangunlah...” Air mata Yaya mula mencurah-curah. Tubuh
abah digoyang. Badan umi digoncang, tetapi mereka senyap. Tetap terbujur kaku
di situ. Yaya singkap kain nipis yang menutupi wajah abah dan umi.
“Bukalah mata ni abah..., umi.” Suara Yaya parau. Pipi
abah dan umi diusap-usap. Air mata semakin laju berjuraian. Suara bacaan surah
Yasin dari orang-orang kampung yang datang menziarah, berkumandang seisi rumah tidak
ambil pusing. Terus juga dia mahu mengejutkan abah dan uminya.
“Abah bangunlah... Umi..., bukalah mata ni.” Yaya goyang
lagi tubuh abah dan umi. Mungkinkah dia sedang bermimpi? Yaya menampar muka
sendiri. Berharap agar segera tersedar sekiranya ini adalah mimpi semata-mata.
Sakit. Pipi terasa perit. Dia tak bermimpi! Melihat kenyataan yang ada di
hadapan dia ketika ini, detik itu juga Yaya terus meraung sekuat hati. Hilang
segala perasaan malunya. Nampaknya kini dia tinggal sebatang kara. Anak yatim
lagi piatu. Semua mata yang berada di sekeliling, memandang Yaya penuh sayu.
Bersimpati atas nasib gadis itu.
“Sudahlah Yaya... Tak baik buat macam ni. Menangis
meraung macam ni... Berdosa Yaya... Abah dan umi dah tak ada, kamu kena reda.
Kena terima. Yaya sayang abah dan umi kan?” pujuk Mak Cik Ina. Dia masih lagi
setia di sisi Yaya sedari tadi. Pujukan itu langsung tidak berbekas di hati
Yaya. Gadis itu terus meraung sekuat hati. Tubuh abah dan umi yang sudah sejuk
dipeluk erat. Langsung tidak mahu melepaskan.
“Sudahlah Yaya.... Mari basuh muka. Ambil air sembahyang.
Kita sama-sama baca surah Yasin untuk abah dan umi kamu, ya?” pujuk Mak Cik Ina
lagi. Tubuh Yaya diangkat. Dibawa berdiri lalu dipapah menuju ke bilik air.
Yaya akur. Tiada daya untuk membantah. Seluruh perasaannya kini berkecai.
Hatinya berderai. Jiwanya hancur. Segalanya telah lebur.
Ketika melalui tingkap rumah, Yaya memandang ke bawah.
Dia melihat beberapa orang lelaki sedang sibuk menyiapkan papan penutup liang
lahat dan tempat untuk memandikan jenazah. Saat itu kaki Yaya terus lumpuh, terduduk
di tepi jendela. Tidak berdaya untuk melangkah. Anak mata memandang sayu ke
bawah rumah. Tidak percaya kepada apa yang sedang terjadi. Seperti mata dia
sedang menipu. Menipu melihat apa yang dia nampak sekarang ini. Yaya menangis
lagi sambil memeluk tiang jendela.
“Yaya.... Janganlah macam ni. Tak baik sayang.... Yaya
kena reda. Ini ujian tuhan kepada Yaya....” Mak Cik Ina bersuara ingin memujuk.
Lembut tapak tangannya mengurut belakang tubuh Yaya. Namun itu tidak mampu
meredakan tangisan Yaya.
“Yaya dah jadi anak yatim sekarang mak cik Ina... Yaya
dah tak ada siapa-siapa... Yaya dah tak ada abah. Yaya dah tak ada umi. Selama
ni, Yaya tak pernah merungut walau apapun kesusahan yang Yaya hadapi, tapi
kenapa kali ini Allah uji Yaya dengan ujian yang seberat ini, mak cik Ina? Yaya
tak berdaya. Yaya tak kuat.”
“Istighafar Yaya... Jangan cakap macam tu. Tak baik! Mak
cik Ina kan ada? Dah..., jangan macam ni. Sekejap lagi nak mandikan jenazah.
Yaya boleh tolong mandikan jenazah umi. Lepas maghrib ni kita selesaikan urusan
pengkebumian.”
Yaya melihat wajah Mak Cik Ina. Matanya masih lagi
bengkak dan merah. Tentu dia juga turut bersedih. Bukankah Mak Cik Ina juga
berkawan rapat dengan uminya? Yaya gelengkan kepala. Masih enggan menerima
kenyataan.
“Kalau Yaya buat macam ni, seksa roh abah dan umi. Yaya tak
sayangkan abah dan umi ke?” soal wanita itu. Yaya angguk sekali. Amat perlahan.
Wanita itu kembali memaut tubuh Yaya. Membantu Yaya berdiri dan dipapah semula
untuk dibawa ke bilik air. Yaya mengikut tanpa membantah. Dalam longlai langkahnya,
Yaya berusaha menguatkan semangat. Demi abah dan umi dia perlu tabah. Yaya anak
yang soleh kan abah, umi? Yaya akan sentiasa doakan abah dan umi. Semoga abah
dan umi tenang di sana, rintihnya.
Malam itu, selepas maghrib, jenazah umi dan abah Yaya
selamat dikebumikan. Kenduri arwah juga selesai diadakan selepas itu. Kelihatan
beberapa orang kampung masih belum pulang. Mereka membantu mengemas ruang depan
rumah dan juga dapur. Yaya pula duduk termenung di tengah tangga. Air mata
mengalir tidak berhenti. Malam yang gelap itu, direnung kosong. Sekosong hidup
dia sekarang ini.
“Macam mana Yaya nak hidup lepas ni abah, umi? Yaya
sebatang kara. Kepada siapa Yaya nak mengadu? Yaya dah tak ada tempat nak
bermanja, menumpang kasih. Abah..., umi...” Saat itu ada suara menyapa di muka
pintu.
“Yaya... Mak cik Ina ada benda nak cakap dengan Yaya ni.”
Yaya alih pandangan kepada Mak Cik Ina. Wanita itu mengambil tempat di sisinya.
“Apa dia Mak cik Ina?” suara Yaya tidak bermaya. Tubir
mata dikesat dengan hujung lengan baju kurung. Kemudian tangan Yaya diraih oleh
Mak Cik Ina lalu digenggam erat.
“Mak cik Ina sempat jumpa umi kamu sebelum dia meninggal.
Dia ada tinggalkan amanat pada mak cik Ina.” Yaya tatap sayu raut wanita itu.
Menunggu bicara selanjutnya. Amanat apakah yang telah ditinggalkan oleh umi? detak
Yaya.
“Sebelum umi kamu meninggal, dia ada cakap dengan mak cik
Ina. Dia sayangkan kamu. Dia mahu kamu hidup dengan baik, walaupun selepas umi
dan abah kamu dah tak ada.” Yaya tunduk merenung tanah. Air mata mengalir laju
semula. Sedaya upaya Yaya menahan hibanya.
“Umi mahu mak cik Ina jaga dan pelihara kamu. Mak cik Ina
pun dah janji dengan umi kamu, akan jaga kamu macam anak sendiri. Lepas ni kamu
tinggal dengan mak cik Ina, ya?” Yaya angkat muka. Sesaat wajah wanita itu
ditatap. Kemudian dilabuhkan mukanya ke bahu wanita itu lalu tubuhnya Yaya
peluk kuat. Tersentuh hatinya mendengar kesanggupan Mak Cik Ina mahu menjadi
tempat untuk dia berpaut. Malam yang terasa gelap, kini Yaya rasa ada sedikit
sinarnya.
Dan mulai malam itu, maka bermulalah gelaran ‘Mak Ina’
buat wanita tersebut. Wanita yang sudi menjadi tempat Yaya menumpang kasih.
Tempat mengadu untung nasibnya.
nak lagi dear....
ReplyDelete