Bab 25
Syarikat MAS menyediakan
penerbangan dengan kekerapan tujuh kali seminggu dari KL ke Heathrow, dan tentu
sebaliknya juga. Kalau dia hendak pulang ke Malaysia selalu, boleh saja. Alasan
tiada flight memang tak boleh
digunakan. Yang menjadi alasan cuma masa dan ongkosnya. Lainlah kalau dia anak millionaire atau billionaire. Saban minggu boleh terbang balik ke Malaysia. Atau
mungkin terbang ke serata dunia juga.
Selama Ayin bekerja
sambil belajar di Portsmouth, kebanyakkan wang gajiannya disimpan dan membayar
yuran pengajian. Jarang dia membelanjakan gajinya untuk perkara-perkara yang
tidak berfaedah. Tidak pernah dia
berjoli atau berfoya-foya. Sesekali sahaja dia pergi bercuti. Itu pun dengan budget yang amat ciput. Sudah ada di bumi asing, kalau tidak pergi mengembara
melihat keindahan alam, budaya dan ragam manusia memang satu kerugian. Jika hendak
mengalami percutian yang mewah sedikit, pergi makan angin bersama Chad.
Serba-serbi ditanggung oleh Chad. Nak shopping
saja guna duit sendiri. Maklumlah, Chad
anak businessman.
Sepanjang enam tahun
bersahabat dan tinggal serumah dengan Chad, dia tak pernah memaksa Chad bercerita
tentang keluarga dan jenis perniagaan keluarganya. Lagipun Chad bukan seorang
yang sombong, berlagak, bangga dengan kekayaan keluarga. Jadi Ayin tak mahu busybody. Yang penting Chad baik kepada
dia dan rakan-rakan mereka. Di Portsmouth, Chad pun seperti dia juga. Bekerja
mencari nafkah sendiri tanpa mengharap bantuan keluarga sambil menyambung
pelajarannya. Boleh dikatakan Chad sekepala dengan dia. Sebab itulah dia selesa
bersahabat dengan Chad.
Dari corong pembesar
suara, kedengaran pengumuman memaklumkan bahawa pesawat MH19 telah selamat
mendarat. Selepas berada di dalam perut kapal terbang selama hampir tiga belas
jam dan menempuh jarak penerbangan sejauh empat ribu seratus empat puluh
kilometer, akhirnya mereka berdua selamat tiba di KLIA. Selepas mengambil
bagasi, mereka menuju ke pintu keluar di mana deretan teksi beratur menunggu
penumpang. Kalau destinasi mereka searah tentu mereka boleh berkongsi teksi.
“Okey Chad! Aku chow dulu ya?” ujar Ayin sambil
menghulurkan dua buah bagasi yang diheretnya kepada seorang pemandu limosin.
“Confirm ke kau tak mahu terus fly
ke Sabah?” Chad juga menghulurkan bagasinya kepada seorang pemandu limosin yang
lain. Dia pelik, Ayin membatalkan niatnya untuk ke Sabah. Tidak seperti sebelum
ini. Ayin akan ke Sabah sebelum pulang rumah. Soalan Chad Ayin balas dengan anggukkan
saja.
“Kenapa?” soal Chad.
Ayin angkat bahu. “Aku
tak tahu, kenapa kali ni hati aku rasa berat nak ke sana. Mungkin sebab
kepulangan aku kali ini untuk selamanya. Lepas ni aku ada banyak masa nak pergi
mencari dia. Lagipun aku rindu nak jumpa mama dan papa aku.”
“Dah sembilan tahun kau
tak jumpa dia tu, kau tak rindu?”
Ayin terkedu. Apa nak
jawab ya? “Kau sendiri tahu apa jawapannya kan?” Hujung-hujung, soalan dibalas
soalan. Chad angguk tanda faham. Bagi Ayin pula, dia hanya sekadar menjawab
soalan Chad. Sebenarnya hati rasa tidak sedap disebabkan oleh kata-kata Chad.
“Kau tak takut kalau-kalau kau jumpa dia nanti, dia dah
kahwin?” Pertanyaan yang pernah diajukan oleh Chad ini sentiasa berputar dalam
otaknya. Bila memikirkan hal itu, Ayin jadi kecut. Takut untuk menerimaan
kenyataan andai itu benar-benar terjadi. Sanggupkah dia melupakan Yaya?
Bolehkah dia memadamkan perasaan yang sekian lama bertapak di dalam hati?
Tegakah dia melepaskan Yaya pergi? Mampukah dia melihat Yaya hidup bahagia
bersama orang lain? Ayin telan air liur. Dia tidak sanggup. Dia tidak berani.
Dan dia tidak bersedia untuk menghadapi itu semua. Sebab itulah dia membatalkan
niatnya.
“Memandangkan kau tak jadi pergi Sabah, kau ikutlah aku
balik rumah aku dulu. Parents kau tak
tahu kau balik hari ni kan?”
“Tak apalah. Lain kali saja. Aku nak terus balik. Nak surprisekan mama dan papa aku.” Pelawaan
Chad tolak dengan sopan. Chad tepuk bahu Ayin tanda setuju.
******
Kala Yaya sibuk
menyiapkan borang ringkasan kursus yang dihadirinya semalam, telefon di atas
meja berdering berkali-kali. Yaya jeling sekejap telefon itu.
“Time-time orang sibuk macam ni, ada saja gangguan,” rungut Yaya
sendirian.
“Riya! Kenapa tak angkat
telefon tu?” Muka Kak Fatimah tersembul di pintu pejabatnya. Dia melangkah
keluar dari bilik itu. Datang menghampiri meja Yaya. Fail tebal di tangan
diletakkan ke dalam salah sebuah tray di tepi meja Yaya.
Telefon hitam di hadapan
Yaya masih lagi berbunyi nyaring.
“Riya! Angkatlah telefon
tu! Nampak tu! Line dua tu
berkelip-kelip. Tentu ada incoming call,”
arah Kak Fatimah dengan mata yang sengaja dibesarkan. Yaya sengih.
“Riya nak angkatlah ni
kak Fatimah. Ni ha, tunggu habis tulis last
word ni!” Pen mata bebola warna hitam di jarinya dilepaskan. Lekas tangan
Yaya menyambar ganggang telefon lalu dilekapkan ke telinga.
“Helo.”
“Riya! Lambatnya kau
angkat phone,” suara Yard di hujung
talian.
“Sorrylah sayang... Aku tengah buat report tadi. Jangan marah ha? Lunch
nanti aku belanja kau makan?” pujuk Yaya dengan suara lembut. Kak Fatimah
senyum nipis melihat telatah Yaya. Sambil menggeleng kepala, dia beredar dari
meja Yaya menuju ke arah pejabat Encik Kamil.
“Aku bukan marah! Aku
cuma nasihat!”
Kalaulah dia ada di
hadapan Yard waktu ini, tentu dia boleh lihat Yard buat muka masam kucam. Mana
tidaknya, sepanjang hari berpuluh-puluh incoming
call Yard kena layan. Penat macam mana baiklah, suara kena sentiasa merdu
menjawab panggilan. Itu belum termasuk panggilan dari klien-klien yang kepala hangin marah tak tentu pasal. Nak sambut
pelanggan yang datang ke pejabat lagi. Huh! Penat juga jadi penyambut tetamu cum receptionist ni!
“Ada incoming
call line dua. Jangan lupa janji kau belanja aku makan tengah hari ni!”
suara Yard merdu.
“Dengar saja nak belanja
makan, suara terus lembut. Yalah! Nanti tengah hari aku datang cari kau. Terima
kasih, Okey bye...” balas Yaya. Suara
Yard hilang selepas itu. Lampu warna merah yang berkelip-kelip pada butang
nombor dua ditekan sekali.
“Helo.”
“Assalamualaikum...
Yaya?”
“Waalaikumussalam. Puan
Julita apa khabar?” Dia kenal pemilik suara mesra itu.
“Alhamdulillah sihat.
Yaya macam mana? Sihat? Lama tak datang jumpa saya?”
“Emmm..., Yaya sihat. Yaya mintak maaf Puan Julita. Sejak
kebelakangan ni, Yaya sibuk sikit. Banyak kursus Yaya kena pergi.” Ini bukan
alasan, tetapi memang hakikat. Dalam sebulan ini, banyak betul kursus yang Kak
Fatimah suruh dia sertai.
“Tak apa. Saya tahu.
Suami saya ada bagitau Yaya apa-apa
tak?” soal Puan Julita. Nada suaranya berubah. Kedengaran amat teruja di
telinga Yaya.
“Tak! Bagitau
apa pun, Puan Julita?”
“Yaya ingat lagi pasal
jamuan makan yang saya cakapkan dulu?”
Tiba-tiba rengkungnya
terasa kontang dengan air liur.
“Jamuan makan?” Pantas Yaya
teringatkan jemputan Puan Julita sebulan yang lepas.
“Alah... Jamuan makan
sempena anak lelaki saya yang di UK tu balik bercuti.”
Di kerah otaknya untuk mengingati
nama lelaki itu. Siapa hah nama mamat
tu?! Digaru kepalanya cuba mengingati. Khat? Kad? Cha... Hah ingat dah!
“Chad?”
“Yalah Chad! Siapa lagi?
Chad dah balik. Dalam perjalanan balik rumahlah ni...”
Kali ini puas Yaya
mengumpulkan air liurnya untuk ditelan tetapi tiada! Tekak makin perit. Nak
kata berpuasa, tidak pula. Hajat Puan Julita untuk memperkenalkan dia pada anak
lelakinya dulu berlegar dalam kepala. Dan sekonyong-konyong itu juga rasa tak
sedap kembali bertamu di dalam hati.
“Yaya datang tau? Saya
buat jamuan tu malam ni. Alah... kita-kita saja. Tak ada orang lain. Kak Farah,
Abang Rizal dan anak-anak dia pun balik. Petang nanti sampailah tu. Jangan lupa
datang, ya Yaya?”
“Emmm...
Insya-Allah, Puan Julita.”
“Bunyi macam tak nak
datang saja?” Nada suara Puan Julita bertukar kendur.
“Takkk... Bukan macam
tu... Yaya tengah banyak kerja. Yaya takut, Yaya terpaksa balik lewat. Nanti
tak sempat nak pergi rumah Puan Julita.” Yaya serba salah.
“Kerja tu sampai
bila-bila pun tak habis Yaya... Besok kan boleh sambung lagi? Kalau tidak, Yaya
ikut sekali suami saya balik kerja nanti.”
“Hah? Eh! Tak apalah...
Puan Julita. Yaya pergi sendirilah nanti. Yaya nak balik rumah dulu. Takkanlah
badan masam-masam nak pergi rumah Puan Julita.”
“Baiklah! Jangan lupa!
Yaya mesti datang,” tegas Puan Julita bersuara. Nak buat macam mana? Puan
Julita, bini bos. Lagi pun Yaya dah banyak termakan budi Puan Julita dan Encik
Kamil. Mahu tak mahu terpaksa akur.
“Baiklah. Sebelum
maghrib, Yaya sampai. Yaya mintak maaf tak dapat tolong Puan Julita memasak.
Nak singgah mana-mana, nak beli apa-apa pun tak sempat rasanya.”
“Tak apa... Janji Yaya
datang. Itu dah cukup dah...”
“Yalah!” suara dia
perlahan. Sudah putus asa untuk mengelak. Selepas berbalas ucap salam,
perbualan mereka berdua tamat. Yaya termenung. Terbantut kerja menulis
ringkasan kursus tadi. Dia pandang jam dinding di atas pintu masuk bilik Kak
Fatimah. Pukul sebelas setengah pagi. Lagi enam jam sebelum tiba waktu balik hati
dah rasa gabra, seram, gelisah, takut dan kecut. Belum pergi lagi, jantung dah melompat-lompat.
Laju betul berdegup. Agaknya, macam manalah rupa mamat tu? Kalau betul Puan Julita nak kenenkan dia dengan mamat tu, lagu mana? Nak buat macam
mana? Ayin? Bertambah seriau dia.
Sedang ralit Yaya melayan
pelbagai rasa dalam hatinya, telefon hitam di atas meja kembali berbunyi.
Lambat-lambat dia mencapai ganggang telefon. Berbelah bahagi. Mahu jawab atau
biarkan saja panggilan itu. Takut Puan Julita lagi. Mungkin Puan Julita telefon
mahu beritahu jamuan makan dibatalkan! Cepat-cepat dia mengangkat ganggang.
“Helo.”
“Apasal hari ni ramai orang cari kau?” terjah Yard.
“Bini bos call aku lagi ke?”
“Bukan... Orang lain. Line satu. Jangan lupa tengah hari.”
“Aku tak lupa. Terima
kasih!” lemau suara Yaya membalas. Untunglah Yard tengah hari ni. Rezeki
dialah! Sah-sah Yard sapu sekali makan tengah hari dia, bila dia tak ada selera
nak makan. Mana nak selera, panggilan yang dijawab sebentar lagi bukan
panggilan dari Puan Julita membatalkan jamuan makan malam nanti.
“Helo.”
“Riya!”
Terus tercampak semangat
Yaya apabila koklea disergah dengan frekuansi suara sekuat itu. “Mmmama...
Kkkenapa ni?” tergagap dia dibuatnya.
“Baru sekejap tadi Ayin
telefon! Dia dah sampai KLIA. Sekarang dalam teksi. On the way nak balik rumah!”
“Hah, apa?! Ayin dah
balik?” Jantung yang memang sedia laju berdegup, semakin memecut. Boleh kena heart attack macam ni. Kasihan dia...
Tak pasal-pasal mati muda!
“Iya... Ayin dah balik!
Baru... sekejap tadi dia telefon.”
“Sssemalam mama kata,
Ayin tak confirm lagi bila flight dia?” Yaya gugup.
“Itulah... Mama pun
terperanjat ni ha! Tiba-tiba saja Ayin bagitau
dah sampai... Riya nak datang rumah mama tak? Jumpa Ayin.”
Sekarang otak Yaya mula
berhempas-pulas berfikir. Jumpa Ayin? Chad? Makan malam rumah Puan Julita?
Rancangan nak surprisekan Ayin macam
mana? Cincin berlian di jari manis ditenung lama. Nanti perlu ke dia pulangkan
cincin ini semula kepada Mak Long? Arggghhh!
Dalam dilema betul dia sekarang.
“Riya? Macam mana? Nak
datang jumpa Ayin ke, atau Riya masih nak sorokkan pasal Riya dan pertunangan
kau orang berdua ni?”
Bagus juga kalau minta
Mak Long sembunyikan dulu pasal pertunangan mereka. Boleh dia cari jalan
penyelesaian andai betul Puan Julita ingin memadankan dia dengan anak lelakinya
tu. Mungkin juga Puan Julita sekadar mahu dia berkenalan dengan Chad tanpa ada niat
lain. Jadi misi menguji Ayin boleh diteruskan.
“Emmm... Riya rasa nak surprisekan
Ayinlah mama,” jawab Yaya teragak-agak. “Mama dan papa buat macam biasa. Macam
tak ada apa-apa. Nanti Riya bagitau
apa plan Riya,” sambung Yaya
kemudiannya.
“Ikut suka Riyalah. Mama
ikut saja,” balas Mak Long pula.
“Nanti mama ingatkan papa
dan Along tau. Riya takut mereka tak sengaja terpecah lubang.”
“Itu Riya jangan risau.
Ditanggung beres. Cuma Riya kena bagitau
mama cepat-cepat, apa plan Riya.
Boleh mama ambik part sekali. Mama
nak tengok muka Ayin bila dia jumpa Riya nanti.” Mak Long ketawa di hujung
katanya.
Yaya? Nak ketawa pun tak
boleh. Jiwa tengah kacau, hidup bakal haru-biru lepas ni, mana boleh ketawa. Selepas
ganggang diletakkan, Yaya kembali termenung. Apalah malang nasib hari ni? Dua
masalah sekali datang bertimpa-timpa. Mata jatuh kepada cincin berlian di jari
manis. Macam mana kalau Ayin tak nak kahwin dengan dia? Macam mana kalau Ayin sebenarnya
dah ada buah hati dan tak sukakan dia lagi?
Aduhhh! Kenapalah hidup
dia sekarang ni penuh dengan prasangka negatif? Memandai saja buat telahan Puan
Julita ingin jodohkan dia dan Chad. Padahal Puan Julita tak cakap apa pun! Dia
cepat menyangka Ayin ada buah hati. Bukan ke Along dan Kak Dina kata Ayin
menunggu dia selama ini? Kenapa nak buruk sangka dengan Ayin?
Yaya mengeluh berat.