“Dasar perigi ni, bukan tanah tau! Itu batu. Mata air
perigi ni keluar dari celah batu, sebab tu orang panggil perigi batu. Tu yang airnya
sejuk lain macam. Kalau tengah panas terik, atau time bulan puasa mandi air perigi ni... fuh! Ini macam.” Shidan menaikkan ibu jarinya kepada Ayin.
Ayin mula teruja. “Abang nak mandilah.”
“Jangan buat kerja gila Yin,” lekas Yaya menegah.
“Kenapa pula?”
“Nak mandi pakai apa? Seluar pendek dengan t-shirt ni?
Habis tu, balik dengan baju basah kuyup? Ni kita belum pergi kutip pucuk manis
lagi tau!” Bukannya dia marah. Cuma risaukan Ayin. Baru basuh kaki pun dah
mengeletar, nikan pula nak mandi. Lepas tu nak berlenjun sampai balik? Memang
keraslah jawabnya Ayin. Lagipun baru pukul sepuluh pagi. Matahari belum terik.
Kabus pun masih ada. Sejuk terasa hingga ke tulang. Nak mandi?!
“Tak boleh ke?” Ayin buat muka terkilan.
“Tak boleh!” jawab Yaya dan Shidan serentak. Shidan
ketawa. Yaya geleng kepala. Memang Ayin masih lagi tipikal budak bandar,
walaupun sudah besar panjang begini.
Selepas keluar dari bilik air perigi batu, mereka
memanjat anak tangga menaiki tebing untuk ke lorong kecil menuju ke kebun
getah. Ketika itu Ayin terlihat pokok kundang yang merendang di tepi dinding
bilik air berbuah dengan lebatnya.
“Hui yooo...
Banyaknya buah anggur...”
Terus Shidan dan Yaya ketawa terbahak-bahak. Ayin jeling
keduanya. Dia tahu kenapa mereka mentertawakan dia. Bukannya dia tak kenal
pokok anggur tu macam mana rupanya. Sengaja nak buat lawak saja.
“Anggur Malaysialah!” Terus Ayin orak langkah laju menuju
ke pokok kundang yang tumbuh menyenget di tepi tebing. Tanpa mengendahkan Shidan
dan Yaya yang masih ketawa, Ayin hampiri pokok itu. Kaki memijak celah rekahan
batang. Badan dilonjakkan sepenuh tenaga. Tangan pula mencapai dahan yang
paling hampir. Dia mula memanjat. Segugus buah kundang yang menguning dipetik.
Dikupil sebiji dan ditolak masuk ke dalam mulut. Tus! Kulit buah kundang pecah di dalam mulut.
“Mak oi! Masamnya!” Ayin ketap gigi. Kelopak mata
terkatup rapat. Kedut di hujung mata bersambung dengan kerut di hujung dahi, akibat
menahan masam yang terlalu menyilukan gusi. Ketawa Yaya dan Shidan semakin
berdekah-dekah. Geli hati melihat riak wajah Ayin. Hilang muka handsome Ayin. Ni, ambil gambar lepas tu
tunjuk balik dekat dia, bagus ni! Ayin ludahkan buah kudang di dalam mulutnya.
Hujung lidah dikesat ke lengan baju berkali-kali namun mulut masih terasa
masam.
“Hakk tui!” Air
liurnya dibuang. Baki buah kundang di tangan turut dilemparkan. Dengan muka
masam semasam buah kundang, Ayin turun dari pokok.
“Itulah..., tak nak tanya orang dulu. Main sebat saja.
Masamkan? Boleh nampak Mekah,” giat Shidan. Yaya pula mengetap gigi menahan
tawa melihat air muka Ayin yang kelat.