Ketika Dhia menyelak kertas-kertas di atas meja, tiba-tiba
seekor lipas merayap keluar dari celah timbunan.
“Lipas!” jerit Ameal kuat. Bergema suaranya satu pejabat.
Sepantas kilat tangan Dhia menepis lipas itu ke tepi menggunakan beberapa
keping kertas yang berada di tangannya.
“Tolong lipas!” teriak Ameal semakin kuat.
Apa kena mamat
ni terpekik terlolong? Lipas saja kut... Dhia perpaling melihat. Rupanya lipas
tadi terbang dan hinggap di badan Ameal. Sebaik sahaja dia sedar keadaan muka
Ameal pucat lesi tidak berdarah, spontan ketawa Dhia meletus.
“Hahaha...”
“Melati! Tolong saya...”
Dhia tidak peduli. Ketawanya terbahak-bahak hingga keluar
air mata. Perut mula terasa kejang.
“Harapkan badan saja besar, penakut Ya Rabbi! Menjerit macam perempuan. Tak boleh blah la Encik Ameal ni. Hahaha...”
Dhia melihat sambil ketawa tidak berhenti.
“Melati... Janganlah pandang saja. Tolonglah saya...,”
rayu Ameal mendayu. Bulu romanya sudah tegak berdiri kerana kegelian.
“Aduh! Sakit perut saya. Lawak betul Encik Ameal ni.”
Dhia tertawa lagi. Tangan menekan-nekan perutnya yang terasa keras.
“Melati tolong la...” Muka Ameal seperti hendak menangis.
Matanya tidak lepas memandang lipas yang merayap naik ke bahunya. Dhia yang
ketawa bagai hendak pecah perut langsung tidak dihiraukan. Tak ada masa nak
ambil hati apabila ketakutan menguasai diri.
“Melati... tolonglah...” Ameal merayu panjang.
Melihat wajah Ameal yang ketakutan seperti terlihat
hantu, timbul rasa belas di hati Dhia. Tak sanggup pula biarkan Ameal dalam
keadaan begitu. Dia pun bukanlah kejam sangat nak mendera lelaki ini walaupun
Ameal baru saja memarahinya tadi. Kalau dia nak balas dendam, boleh saja. Karang
mati keras pula mamat ni! Perlahan
Dhia bangun menghampiri Ameal. Ketawanya masih lagi bersisa.
“Melati... Tolonglah saya buang lipas ni cepat. Saya
gelilah...” Kedengaran suara Ameal bergetar.
“Ya..., saya tolong buangkan. Pusing belakang,” arah
Dhia. Ameal akur. Tangan dipanjangkan ke bahu Ameal. Kenapa tinggi sangat ni?
“Hah! Dah berdiri atas sofa rupanya. Hahaha...,” sekali lagi ketawa Dhia meletus kuat.
“Lawak... Memang lawak gila. Bolehkan berdiri atas sofa,
takut lipas punya pasal! Bila masa Encik Ameal panjat sofa ni? Lipas saja kut,
bukannya ular. Tak mati punya la... Encik tak nak lari berdiri atas meja pulak ke?” Ketawa Dhia semakin kuat.
“Melati... Tolonglah buang cepat...,” pinta Ameal tidak
menghiraukan gadis itu yang sedang mentertawakannya tidak henti-henti.
“Okey..., saya buang. Kesian... Encik Ameal. Kalau encik
pengsan nanti saya jugak yang susah.
Tak larat saya nak angkat badan encik ni,” kata Dhia dengan suara yang
tersekat-sekat menahan rasa geli di hati. Aduhhh... Cramp perut!
“Turunlah dari sofa ni dulu! Tinggi sangat. Macam mana
saya nak buang lipas tu?”
Ameal teragak-agak melangkah turun. Bimbang sekiranya
lipas itu bergerak naik ke mukanya pula. Boleh terkencing dalam seluar dibuatnya.
Selepas Ameal berdiri di hadapannya, Dhia memusingkan badan lelaki itu supaya
membelakangkannya. Makhluk perosak itu tidak bergerak. Masih berada di belakang
bahu Ameal. Perlahan Dhia mendekatkan tangannya. Memegang sesungut dan menarik
lipas itu dari kemeja Ameal. Lipas itu kemudiannya diletakkan di atas lantai.
Sepantas kilat dia memukul serangga itu menggunakan kertas di tangan. Lipas itu
tidak bergerak lagi. Sudah penyek!
“Padan muka. Mati kau aku kerjakan. Berani kau menyakat bos
aku ya? Dengan bos aku bolehlah kau buat main. Dengan aku kau jangan cari
pasal, sebab aku tak takut dekat kau,” sinis Dhia berkata. Bangkai lipas
diambil dan dibuang ke dalam tong sampah. Ameal diam memerhati. Tangan
mengusap-ngusap lengan dan belakang tengkuknya berkali-kali. Bulu roma masih
tegak kerana kegelian.
Dhia kembali menghampiri Ameal. Senyuman belum lekang di
bibirnya. “Saya dah buang dah... Encik Ameal nak takut apa lagi?”
“Saya bukan takutlah! Saya geli saja,” bela Ameal. Bila
keadaan sudah reda, barulah timbul rasa malu kepada gadis itu. Bagai hendak
gila Dhia ketawakan dia. Ish! Buat
malu betullah!
“Samalah tu Encik Ameal. Geli ke, takut ke. Nak malu apa?
Mengaku sajalah Encik Ameal tu penakut dengan lipas. Harapkan badan saja besar,
tapi hati kecik. Muka handsome, tapi bila
takut, buruk sangat. Kalau saya tak ada tadi, agaknya mati keras Encik Ameal
berdiri atas sofa ni.” Kata-kata Dhia bersulam tawa halus. Langsung tidak
terkesan di hati Ameal pujian Dhia mengatakan dia kacak. Perkataan penakut yang
ditujukan kepadanya lebih buat dia terasa hati. Macam nak lempar saja Dhia ni
dari tingkap ke bawah.
“Puas hati dapat gelak kan saya?!” suara Ameal kuat tiba-tiba.
Bernanah rasa telinga bila dia tidak habis-habis diusik oleh gadis itu.
Alamatnya, peristiwa ini akan dijadikan ‘bahan’lah.
“Saya bukan sengaja gelak kan Encik Ameal. Encik tu yang
lawak sangat. Muka kering tak berdarah. Dengan lipas pun takut,” usik Dhia
lagi. Puas rasa hati dapat menyakat Ameal.
“Berapa kali saya nak cakap. Bukan takutlah! Geli!” Ameal
masih tidak mahu mengalah.
“Yalah... Yalah... Geli... Lain kali kalau lipas tu kacau
Encik Ameal lagi, panggil saja saya ya. Saya sentiasa bersedia menyelamatkan
Encik Ameal. Itulah..., lain kali jangan biarkan kertas-kertas bertimbun macam
ni. Memang sukalah ‘cik li’ tu buat sarang.”
“Sudah! Jangan banyak cakap. Cepat sambung kerja!” arah
Ameal tegas. Telinga tidak sanggup lagi menerima usikan gadis itu. Dia terus
duduk memulakan kerja.
“Cepatlah! Buat apa lagi berdiri tercegat dekat situ,”
jerkah Ameal lagi.
Mulalah tu, nak angin tak tentu pasal. Nak marah-marah
orang. Kita dah selamatkan dia dari lipas durjana tu, ucap terima kasih pun
tidak. Menyesal aku tolong dia! Di sini menyesal tolong yang di sana! Nak
menyesal apa Dhia? Sekurang-kurangnya kau dah tahu apa kelemahan dia. Lepas ni,
kalau dia asyik menyakitkan hati saja, kau tahulah apa nak buat. Stand by sekotak lipas lepas ni, desis
Dhia. Senyuman tersungging di bibirnya.