Total Pageviews

Thursday, July 30, 2015

Kau Yang Di Hatiku - Teaser 6



“Makanlah. Rendang ayam ni saya masak special untuk awak tau. Brownies ni pun saya baru bakar sebelum datang ke sini tadi. Ini pun special untuk awak” Iskandar menundingkan jarinya kepada piring berisi brownies di dalam dulang.
Biar benar mamat bagero ni? Hebat sangatlah pula. Memasak pandai, membakar pun terror. Kalah dia.
“Pa..., Is balik dululah ya. Lagipun, Is dah lama sangat dekat sini. Is nak berkemas. Petang nanti nak balik dah.” Iskandar menghulurkan jabat kepada Encik Azry.
Azizah tidak ambil pusing. Lebih baik lelaki ini cepat beredar. Dia sudah tidak tahan berhadapan dengan Iskandar. Tangan perlahan-lahan menyudukan nasi ke dalam mulut. Hmm... Sedap juga air tangan mamat ni. Tak sangka pula air tangan si bagero ni sedap. Standard rasa masakannya lebih kurang mama juga.
“Eh! Takkan dah nak balik? Tunggulah sekejap. Kita minum kopi dulu. Mama tengah buatkan tu.” Encik Azry menahan.
“Tak apalah papa... Lain kali saja. Bukannya Is tak boleh datang lagi lepas ni, kan?”
“Ya, ya, ya...” Encik Azry mengangguk kepala.
“Is balik dulu ya. Is nak jumpa mama dekat dapur lepas ni.”
“Biar papa hantarkan ke pintu depan.”
“Tak apalah papa... Is boleh keluar sendiri. Papa teman Zizah makan. Kalau tak, dia tak habis makan nasi tu.”
Nak balik, balik sajalah! Sempat lagi nak menyakitkan hati dia. Azizah kerling Iskandar kurang senang.
“Yalah,” balas Encik Azry.
Selepas bersalaman, Iskandar menghilangkan diri ke tingkat bawah. Azizah pula meneruskan suapannya sambil diperhati oleh papanya.
“Zizah...” Encik Azry memanggil anaknya selepas agak lama mereka berdua berdiam diri. Lembut dan perlahan. Tidak melengking seperti tadi.
“Ya pa...,” sahut Azizah lemah. Sudu diletakkan ke dalam pinggan. Pinggan itu pula diletakkan di atas pehanya sebelum dia mencapai gelas minuman. Disisip sedikit air jus oren di dalam gelas itu. Kemudian gelas diletakkan ke atas meja. Selesai semuanya, baru dia memberi perhatian kepada lelaki di sebelahnya ini.
“Zizah... Selama ni pernah tak papa paksa Zizah buat apa-apa?”
Azizah kerut dahi tidak faham.
“Pernah tak papa suruh Zizah buat benda yang Zizah tak suka?”
Dia masih tidak faham, tetapi jawapan tetap diberikan. Azizah geleng kepalanya ke kiri dan ke kanan.
“Selama ni, papa ikutkan saja apa kehendak Zizah. Papa tak pernah larang. Papa tak pernah bantah. Dan papa pun tak pernah mintak Zizah buat sesuatu untuk papa. Betul tak?”
Dia angguk.
“Boleh tak sekarang ni, papa mintak Zizah buat sesuatu untuk papa dan mama? Bukan papa nak paksa, tapi papa nak Zizah buat ni ikhlas untuk papa dan mama. Boleh tak sekali ni saja, Zizah penuhi kehendak papa dan mama. Ini bukan untuk masa depan papa dan mama, tapi untuk masa depan Zizah.”
Azizah terdiam. Serasa sudah boleh meneka, apakah permintaan yang bakal diutarakan oleh papanya ini.
“Boleh ke Zizah?”
Dalam rasa berat hati Azizah angguk juga.
“Dengarlah nasihat papa ni Zizah. Papa ni orang tua. Sudah banyak makan garam dan gula.”
Azizah buka luas cuping telinga untuk mendengar buah bicara papa dia selanjutnya.
“Papa ni lelaki. Sebagai lelaki, papa tahu Iskandar tu jenis lelaki yang macam mana. Kalau mama yang menilai, ya mungkin, mama berkenankan Iskandar tu kerana paras rupa dia. Bagi lelaki seperti papa ni, papa menilai dia bukan semata-mata dari segi paras rupa saja. Dari segenap sudut papa teliti dan nilai. Perangai, tingkah laku, percakapan, cara berfikir, cara bertindak, semuanya papa ambil perhatian. Dan kesimpulannya, papa pasti dia seorang lelaki yang baik, Zizah. Iskandar ada kualiti untuk jadi pemimpin keluarga. Boleh dikatakan dia pandai serba-serbi. Dia pandai memasak. Sedap masakan dia. Betulkan?”
 “Ya pa. Sedap,” balas Azizah mendatar. Memang sedap pun masakan mamat tu.
“Nanti Zizah rasa pula brownies dia ni. Dah lama rasanya papa tak rasa brownies sesedap ni,” cerita Encik Azry lagi.
Mata Azizah kalih melihat piring brownies. Memang kelihatan menyelerakan. Tak sabar pula hendak merasa. Adakah benar sesedap yang papanya khabarkan?
“Kalau Zizah tak pandai memasak, dia pandai. Bukankah kekurangan Zizah itu akan disempurnakan oleh kelebihan yang dia ada? Itu salah satu ciri yang perlu ada dalam perkongsian hidup. Kelebihan seseorang itu akan menutupi kelemahan seseorang yang lain. Terutamanya pasangan suami isteri. Betul tak?”
Azizah goyang kepala setuju.
“Bukan itu saja Zizah. Papa yakin, dia mampu mendidik dan menjaga Zizah. Mengubah Zizah jadi lebih baik. Menjadi imam kepada Zizah. Sedangkan solat papa dan mama tadi dia imamkan. Takkanlah dia tak boleh jadi imam kepada keluarga sendiri. Bacaan surah-surah dalam solatnya juga tertib dan betul. Kalaulah papa ni perempuan, lelaki begitulah yang papa cari buat suami. Yang mampu menjaga kita di dunia, dan boleh membimbing kita ke jalan akhirat.”
Ah! Sudah! Nampaknya papa pun dah berkenan gila dengan mamat tu. Kalaulah papa yang lelaki ni boleh berkenan lelaki seperti Iskandar untuk dijadikan suami, apakah dia tidak mahu? Mahu atau tidak, jawapan itu hanya dia sahaja yang tahu.

1 comment: