“Kenapa Zul? Lain macam saja mak tengok muka kamu ni?”
soal Puan Zainon mengambil tempat di sebelah anaknya.
Zul Hafiz senyap tidak membalas. Rasa menyesal singgah ke
rumah Encik Ibrahim ketika dalam perjalanan pulang dari pekan Kuala Pilah tadi.
Kalau dia tak pergi ke rumah Encik Ibrahim, tentu hatinya tidak sesakit ini.
Pada awalnya, dia tidak mahu ke sana. Disebabkan enggan kalah kepada lelaki tu,
dikuatkan juga semangatnya. Akhirnya, dia yang terasa berbisa di hati.
Cerita-cerita Puan Intan tentang lelaki itu, benar-benar menyucuk perasaannya.
Bukan saja bercerita, siap dipuji-puji lagi! Lelaki itu baiklah, tidak
sombonglah, berbudi bahasalah. Nampak gayanya, dia sudah ada pesaing terhebat. Sebelum
anak angkat bidan terjun Abang Brahim dan Kak Intan tu rampas Dhia dari aku,
lebih baik aku buat sesuatu, besit Zul Hafiz.
“Mak boleh tolong Zul tak?”
Puan Zainon jongket kening dan berkerut dahi.
“Mak nak kena tolong apa?”
“Tolong pinangkan Dhia untuk Zul,” luah Zul Hafiz senada.
Makin lurus kening Puan Zainon. Pelik! Hujan tak ada,
ribut tak ada, petir guruh pun tak ada, kenapa tiba-tiba sebut pasal nak
meminang? Sudahlah permintaannya secara mengejut. Bunyi ketika membuat
permintaan itu lebih buatkan Puan Zainon terkejut. Orang lain, kalau minta
pergi meminang, ceria. Ini tak, riak dan suara anak terunanya ini langsung
tiada warna gembira. Seperti dalam terpaksa pula.
“Kenapa mengejut saja suruh mak pergi pinang Dhia?
Sebelum ni, tak pernah pun Zul bincang dengan ayah dan mak pasal ni?”
Zul Hafiz diam.
“Cuba cakap dekat mak, kenapa tiba-tiba?” desak Puan
Zainon. Bukan dia menghalang niat Zul Hafiz itu. Tidak juga dia kurang berkenan
kepada Dhia Melati untuk dijadikan menantu. Paling tidak, dia mahu tahu sebab
musababnya. Selama ini, tak pernah pula dia dengar cerita atau khabar angin Zul
Hafiz ada hubungan dengan Dhia. Malahan Ibrahim dan Intan sendiri tak pernah
berkata apa-apa kepada dia dan suaminya.
“Mak jangan tanya Zul kenapa. Zul rasa, dah sampai
masanya Zul fikirkan masa depan Zul. Zul dah bersedia memikul tanggungjawab
sebagai seorang suami. Dan perempuan yang Zul pilih untuk jadi suri Zul adalah
Dhia.” Laju Zul Hafiz bertutur. Senada. Tiada teruja.
“Memang betul Zul dah bersedia. Macam mana dengan Dhia?
Zul dah bincang dengan Dhia? Dhia setuju ke?”
Zul Hafiz membatu. Tahulah Puan Zainon jawapan kepada
soalannya itu.
“Zul..., keputusan untuk mendirikan rumah tangga ni, kena
datang dari kedua belah pihak. Dua-dua kena setuju. Kena bersedia. Kalau sorang
okey, sorang lagi tak, tak menjadi nanti... Tanggungjawab berumah tangga ni,
berat Zul...” Sambil memberi nasihat, Puan Intan mengusap lengan anaknya.
“Mak nak Zul bincang dulu dengan Dhia. Lepas tu, Zul bagitau mak macam mana. Kemudian nanti
baru mak dan ayah berbincang pulak
dengan Abang Brahim dan Kak Intan,” mohon Puan Zainon. “Meminang ni perkara
besar. Kena muafakat betul-betul. Kalau tiba-tiba disembahkan sebentuk cincin
dan setepak sirih pinang, mahunya pengsan Abang Brahim dan Kak Intan tu nanti.”
Setelah agak lama, barulah Zul Hafiz mengangguk setuju.
Itu pun disulam bersama satu keluhan berat. Nak berbincang dengan Dhia? Dah
tentu Dhia tak setuju. Habis tu, nak buat apa? Kena guna kuasa veto Abang Brahim
dan Kak Intanlah jawabnya. Kalau mak dan ayah Dhia setuju, gadis tu tak boleh nak
kata apa lagi. Untuk dapatkan kuasa veto kedua orang tua Dhia juga satu
masalah. Bukan ke di mata mereka kini sudah ada lelaki itu? Hati Zul Hafiz
mendesah.Tiba-tiba dia rasa peluangnya jatuh merudum.
“Nanti Zul bincanglah dengan Dhia, mak. Zul naik dulu ya.
Nak mandi,” tutur Zul Hafiz lalu bangkit dari situ. Ketika Zul Hafiz menaiki
tangga, dia bertembung dengan bapanya.
“Baru balik, Zul?”
Dengan wajah berwarna suram, Zul Hafiz menggoyangkan
kepala membalas pertanyaan bapanya. Terdetik hati Imam Zakaria melihat tingkah
laku Zul Hafiz itu. Sedari di masjid tadi riak muka anak lelakinya seperti ada sesuatu.
Entah apa yang tak kena agaknya, detak Imam Zakaria. Lantas dihampiri sang
isteri yang masih duduk di kaki tangga.
“Non, kenapa dengan Zul tu?” selidik Imam Zakaria sambil
melabuhkan punggung di sisi isterinya.
“Entahlah, bang. Apa entah angin si Zul tu, tiba-tiba
saja mintak benda yang pelik-pelik,” balas Puan Zainon. Sengaja dia memberi
jawapan begitu. Tidak mahu memanjangkan permintaan Zul Hafiz yang belum tentu
jadinya itu.
“Adalah yang tak kena tu. Biarkanlah dia. Ada benda abang
nak cerita ni!”
“Cerita apa, bang?” Puan Zainon beralih duduk menghadap
suaminya.
“Dekat masjid tadi, abang jumpa Brahim. Dia bawak anak angkat dia. Brahim kenalkan
pada abang.”
“Anak angkat? Tak pernah pulak saya tahu Brahim dan Intan ada anak angkat.” Keruh sedikit
air muka Puan Zainon. “Non dengan Intan tu rapat. Tak ada pulak dia cerita apa-apa dekat Non. Siapa budaknya, bang? Lelaki ke
perempuan.”
“Lelaki... Bos tempat kerja Dhia, katanya. Dia hantar Dhia
tengah hari tadi, menjenguk si Intan yang tak kebah-kebah demam tu. Baik
budaknya, Non. Tak sombong langsung. Ramah betul dia menegur semua orang
kampung yang solat dekat masjid tadi. Susah nak jumpa anak muda macam tu
sekarang ni,” cerita Imam Zakaria bersungguh.
Huh! Patutlah anak bujang aku tu tiba-tiba mintak
pinangkan si Dhia. Rupa-rupanya takut Dhia dikebas orang, detak Puan Zainon.
Mahunya Zul x duduk diam... saingannya sgt hebat... mahu putih mata nanti...
ReplyDeletehihihi.... sian Zul..
ReplyDeletealahai... panas pongong zul... hebat tu saingannya.. hehe
ReplyDelete