Total Pageviews

Wednesday, July 22, 2015

Kau Yang Di Hatiku - Bab 3



Bab 3
“Zizah! Nanti tolong mama buatkan kopi O. Lepas tu hantar ke depan ya,” arah Puan Ainon bersama wajah yang dimaniskan.
Pada mata Azizah, senyuman ibunya itu cukup palsu. Dari air muka ibunya, Azizah dapat meneka hati ibunya tidak senang. Sedari Haji Mahadi dan Hajah Kamariah tiba tadi, warna kerunsingan jelas terlukis pada raut mamanya. Begitu juga pada riak wajah papanya.
Hendak buat macam mana kalau hati aku tak suka? bentak Azizah dalam diam.
Dia mendesah. Dalam hati mula terbit rasa kurang enak. Kasihan pula melihat mama dan papanya berkeadaan begitu. Berdosakan dia? Bersalahkan dia, sekiranya dia terpaksa mengecewakan kedua ibu dan bapanya?
Ini semua pasal si Iskandar nilah! Apasal tiba-tiba nak datang meminang? Azizah mendengus. Meja makan mula dikemas selepas mama dan papanya beredar ke ruang tamu bersama Haji Mahadi serta Hajah Kamariah.
Sejak Iskandar sampai hinggalah sekarang, dia tidak memandang langsung kepada lelaki itu. Bersungguh-sungguh Azizah melarikan anak matanya dari terlihat wajah Iskandar. Hendak melirik dari ekor mata pun dia tak ingin. Lagipun, tadi mama dan papanya ada. Haji Mahadi dan Hajah Kamariah pun ada. Dia takut terkantoi ketika mencuri pandang Iskandar.
Sekarang, mereka semua sudah ke ruang hadapan. Tinggal dia dan Iskandar berdua sahaja di meja makan ini. Kalau nak kerling sedikit, rasanya boleh. Tak ada orang yang akan perasaan. Dia nak tahu jugalah, bagaimana rupa orang agaknya si Iskandar ni. Masa sekolah rendah dahulu, Iskandar ni seorang budak lelaki yang suka buat perangai budget bagus.
Agaknya masih begitu ke peel dia ? teka Azizah.
Sambil mengutip pinggan-pinggan kotor, Azizah mengerling seketika kepada lelaki yang duduk di hadapannya.
Eh! Memang ada roman Fahrin Ahmad lah!
Ha... Baru tau... Sekarang macam mana? Kalau kau reject, rasa-rasanya kau menyesal tak Jijah?
Ceh! Kalau Fahrin Ahmad yang ori datang meminang sekalipun, aku tak hadaplah! Inikan pula mamat yang baru ada rupa Fahrin Ahmad. Memang taklah kan... Aku kuis tolak tepi saja.
Jangan... Nanti kot dah ludah, kau jilat balik...
Tak hingin!
Saat Iskandar panggung muka kepadanya, dia campakkan jelingan yang maha tajam kepada lelaki itu. Kalaulah jelingan itu mampu membunuh, biarlah si Iskandar ni mati saja dari menyusahkan hidupnya. Kerana Iskandar, dia terpaksa berhadapan dengan keinginan mama dan papanya yang sudah suka dan berkenan kepada lelaki itu untuk dijadikan menantu.
Lembabnya makan! Orang lain dah sudah, dia baru nak cuci tangan? rungut Azizah. Mencari punca saja untuk dia terus menokok rasa bencinya kepada lelaki itu.
Iskandar pamerkan senyuman. Dia buat tidak peduli.
Sengih pun macam kambing. Ingat handsomelah tu? Hati terus mengumpat.
Azizah meneruskan kerja-kerja mengemas meja makan. Pinggan-pinggan kotor ditindih agar senang untuk diangkat ke dapur. Sebelum beredar sempat juga ekor matanya singgah sekali lagi ke wajah lelaki itu.
Glup!
Rasa kaget seketika apabila menyedari lelaki itu masih tunak merenung kepadanya. Cepat-cepat dia atur langkah ke dapur. Ingin melarikan diri dari renungan tajam itu. Renungan lelaki itu seperti ada sesuatu. Sesuatu yang boleh buat hati dia mula libang-libu. Sebelum terjebak, lebih baiklah dia elak. Pinggan-pinggan kotor lantas diletakkan ke dalam sinki sambil merungut.
“Tenung orang macam tak pernah nampak perempuan!” Tak ada sebab, tiba-tiba rasa geram pula. Azizah anggap lelaki itu telah melakukan kesalahan yang besar dengan merenungnya.
“Cuba fikir positif sikit, Zizah. Mungkin dia tenung kau lama-lama, sebab nak tilik muka kau tu.”
“Nak tilik buat apa? Muka aku macam muka orang lain juga. Ada hidung, ada mata, ada mulut!”
“Memanglah macam orang lain... Tapi manalah tahu, kalau-kalau hidung kau tu senget pula. Mulut kau tu bengot ke. Mata kau tu cemeh ke. Kan dia dah lama tak jumpa kau? Tentulah dia nak tahu macam mana roman kau sekarang ni.”
“Aku tak sibuk pun nak tilik macam mana muka dia? Aku pun dah lama juga tak jumpa dia. Kalau muka aku ni herot-berot sekalipun, dia tak mahu pinang aku ke? Dasar lelaki memandang kepada kesempurnaan!”
“Bukan kau dulu pun macam tu ke? Sebab memandang kepada kesempurnaan kau hina Aziz?”
Hati dipagut hiba tanpa sedar. Dan rasa sesal itu kembali menghurung jiwa.
“Sudahlah Zizah... Dah! Jangan sedih-sedih. Nanti ada orang nampak pula.” Azizah memujuk hatinya sendiri. Kalaulah ada orang melihat dia ketika ini, tentu mereka ingat dia pendek wayar otak. Serupa orang gila bercakap seorang diri. Haji Mahadi dan Hajah Kamariah nampak, terus cancel nak meminang. Itu lagi bagus! Tak payah dia pening-pening kepala fikir macam mana nak tolak pinangan Iskandar.
Azizah depangkan kedua belah tangannya pada bibir sinki. Pandangan dilemparkan keluar tingkap.
Ish! Mamat tu dah blah duduk ruang tamu ke belum hah? Nak kemas meja makan pun tak senanglah!” Dalam kepala mula berkira-kira mahu menyambung kerja mengemas meja makan ataupun tidak. Dia bimbang lelaki itu masih tertonggok di situ. Tak betah dan rasa kekok hendak berhadapan dengan lelaki yang tidak berkenan di hatinya ini.
Sedang leka Azizah berfikir, tiba-tiba dulang berisi gelas-gelas dan jag kosong diletakkan di atas muka kabinet di sebelah sinki. Cepat anak matanya beralih kepada dulang itu.
Tangan lelaki?!
Terpandang akan sepasang tangan berurat kasar dan berbulu roma agak lebat itu, Azizah terus menelan air liur. Sudah dapat meneka siapa empunya tangan yang kelihatan gagah perkasa ini. Takkanlah sepasang tangan ini milik papanya. Pergelangan tangan papanya cuma secekak. Tangan ini, kalau dilengankan ke lehernya, memang boleh tergolek ke belakang. Tak mungkin juga tangan ini milik Haji Mahadi. Apa ke halnya pula Haji Mahadi nak terlebih rajin menolong angkat gelas ke dapur? Tangan ini berurat kasar. Tangan Haji Mahadi kulitnya sudah kendur. Tak logik... tak logik... memang tak logik...
Hai lah Jijah... Tangan pun jadi masalah ke?
Perlahan-lahan anak matanya menjalar menaiki tangan lelaki itu. Dari jari memanjat ke lengan, ke bahu dan...
Iskandar sedang tersenyum menawan kepadanya.
Erk!
Terpana seketika. Lutut sudah bergoyang. Hati mula ada getar. Dada berdebar-bedar. Dup dap dup dap...
Amacam? Fahrin Ahmad sudah senyum menggoda. Tak tergoda ke?
Heh! Tak hingin!
Secepat kilat Azizah tinggalkan sinki dan terus menuju ke meja makan semula. Boleh kejung satu badan kalau duk melayan mamat tu menyengih macam kupang dah seminggu busuk.
“Biar saya tolong.”
Suara itu menyapa di sebelah telinganya. Hampir sangat. Hingga angin dari mulut itu terasa pada cupingnya. Tegak berdiri segala bulu roma di tangan dan tengkuk. Segera hati ditetapkan supaya menjadi kuat. Agar tiada getar yang muncul seperti tadi. Dia tidak mahu menjadi lemah. Lemah kepada aura mamat klon Fahrin Ahmad ni.
Huh! Nasib baik tak makan petai. Kalau tidak..., terbau mulut dia..., boleh pengsan aku! Berani dia tunjuk mesra dekat aku. Dia ingat aku ni apa? Senang nak pikat? Senang nak goda? Senang tergoda? Boleh jalan! Bolayan! Hati menggerutu rasa menyampah.
Sepasang tangan milik lelaki itu mula sibuk mengemas meja makan. Dalam rasa tidak suka, sempat juga Azizah mengerling gerak tangan Iskandar. Memang tidak kelihatan canggung langsung lelaki itu melakukan kerja. Seperti sudah biasa. Dalam hatinya berdetak ligat.
Apa hal mamat ni? Aku ke dapur, dia ke dapur. Aku ke depan, dia ikut juga ke depan. Aku sibuk kemas meja, dia pun sama. Apasal asyik menempel dekat aku? Belum ada apa-apa, nak menggesel saja. Besok, kalau dah jadi bini berkepit dua puluh empat jam ke?
Tu! Kan dah mula berangan nak jadi bini Iskandar?
Pui! Cakap sajalah! Tak ada makna apa-apa pun!
Dia tinggalkan Iskandar di meja makan. Piring terisi saki-baki lauk-pauk dibawa ke dapur. Muka dimasamkan lebih masam dari cuka. Moga lelaki itu mengerti bahawasanya dia tidak suka. Tidak gemar. Tak sir. Jangan nak mengekor buntut dia saja.
Rupanya Iskandar memang tidak faham. Dia menjejak langkah Azizah ke dapur. Baki piring hidangan yang tertinggal di atas meja turut dibawa bersama. Di mana Azizah meletakkan piring lauk, di situ juga dia meletakkan piring di tangannya.
Azizah mendengus kuat. Mula kurang selesa. Lelaki ni memang berhajat nak jadi belangkas ke apa? Dia tak mahu jadi belangkas betinanya. Pergilah cari orang lain yang suka jadi belangkas juga. Nak berkepit macam belangkas pula dengan dia.
Iskandar buat tidak peduli. Di hatinya langsung tidak terkesan dengan perbuatan Azizah sebentar tadi. Malahan dia ukir sekali lagi senyuman menawan seperti tadi.
Sakit pula mata Azizah melihat senyuman itu. Dia cuba abaikan lorekan menggoda Iskandar. Langkah dipanjangkan menghampiri kabinet. Kain buruk yang berada di atas kabinet diambil kasar. Isyarat dia sedang tunjuk protes kepada lelaki itu. Pusing sahaja badannya, Iskandar sudah menghadang di hadapan. Sedang menghalang derap kakinya. Di antara mereka berjarak cuma sedepa.
Engkau apa hal mamat...? Agak-agak, kalau aku buat flying kick, sampai tak ke anu kau tu? Mata Azizah sudah buntang. Hati menahan geram.
 “Awak basuh pinggan. Remah atas meja tu, biar saya yang bersihkan.” Iskandar menadah tangan di hadapan Azizah.
Azizah mengetap gigi. Eeee... Apa hal kau mamat oi...? Kenapalah kau ni berhemah sangat? Tinggi sopan santun dan budi bahasa kau ni! Dah macam perempuan pula aku tengok. Dalam bengis tidak sedar dia mula memuji. Iskandar tetap menghulurkan tangannya biarpun dia mencerlung tajam begitu. Senyum manis masih melingkar pada bibir merahnya.
Mesti dia tak hisap rokok!
Oit Jijah! Sempat pula kau membelek bibir si Iskandar tu. Kata tak suka?
Enggan terus bertatapan empat mata dengan Iskandar, Azizah letakkan kain buruk itu pada telapak tangan Iskandar. Kasar!
Iskandar terus mengukir senyuman manis. Langsung tidak terusik dengan tindakan Azizah. Berkecil hati pun tidak.
Makin menggerutu perasaan Azizah. Mamat ni kenapa? Dari tadi tayang senyum kambing saja. Dah tersampuk hantu senyum agaknya. Malas mahu menyesakkan otaknya memikirkan pasal Iskandar, Azizah berpaling ke sinki. Dia mula mencuci pingan mangkuk. Iskandar pula hilang semula ke ruang makan.
Sambil mencuci, di dalam kepala Azizah sibuk mencari idea untuk menolak dari dirisik oleh kedua orang tua Iskandar. Apa alasan yang perlu dia beri? Kalau boleh, biarlah helah yang bakal diutarakan kedengaran logik dan boleh diterima akal oleh orang-orang tua di luar sana. Dia masih seorang gadis yang punya adab dan sopan. Penat sahaja ibunya mendidik kalau dia tidak tahu mempraktikkan apa yang telah diajar. Air muka mama dan papanya perlu dijaga. Hati Haji Mahadi dan Hajah Kamariah juga perlu diambil kira.
Nak jaga hati bakal pak mertua dan mak mertua la tu! Ke kau nak jaga hati si Iskandar? Tak sampai hati nak tolak pinangan dia. Confirm kau dah tergoda kan...?
Woi! Kau rasa-rasa nak kena sepak tak? Aku tak naklah dengan Iskandar tu. Kau faham tak? Aku cuma hormatkan mak bapak dia. Tu saja...
Selang dua minit selepas itu, Iskandar berdiri semula di sisinya. Iskandar letak kain buruk di tepi sinki. Dari hujung pandangan mata, Azizah melihat Iskandar membuka pili air di sinki sebelah.
Lepas basuh tangan tu, cepat-cepat blah ke depan ya, desis Azizah. Mata melirik lagi kepada Iskandar.
Iskandar ambil pinggan yang sudah bercuci di dalam sinki. Lalu mula membilasnya di bawah pancuran air paip.
Ah sudah! Dia nak bilas pingganlah pula... Dia ni memang minat buat kerja perempuan ke apa? Hatinya sudah hilang sabar.
“Tak payahlah awak nak menyibuk dekat sini pula... Itu kerja saya. Biar saya saja bilas pinggan tu nanti,” tegah Azizah bersama nada suara yang agak keras. Muka Iskandar dikerling sesaat.
Aik! Ada suara rupanya. Saya ingatkan, selama kita tak jumpa ni, awak dah jadi bisu? Dari saya sampai tadi, saya tak ada dengar pun mulut awak bersuara.” Iskandar sengih mengusik.
Ni nak berseloroh ke apa? Tak lawak hokeh! Dia jeling Iskandar. Entah kali yang keberapa dia menjeling kepada lelaki ini, tahulah. Lama-lama harus juga dia jadi juling.
Cis, Aku tak bisu ya! Memang pekak tuli kau ni mamat. Bukan ke aku ada bertegur sapa dengan mak bapak kau tadi? Kau tak dengar ke? Dalam hati tetap ada rasa yang terbuku kepada lelaki di sebelahnya ini.
“Kenapa? Kalau saya bisu, awak tak jadi nak masuk meminang saya ke?” Dia tunjuk sikap sarkastik. Biar si Iskandar ni menyampah kepadanya. Kalau Iskandar bencikan dia, lagi baik.
“Biar awak bisu sekali pun, saya tetap juga nak masuk meminang awak. Lagi bagus awak bisu. Tak adalah awak bebelkan saya hari-hari bila kita dah kahwin nanti.”
Choi... Mulut awak..., langsung tak ada insurankan? Suka pula awak doakan saya ni jadi bisu.” Span pencuci dicampakkan ke dalam sinki. Terbantut kerja mencuci pinggan dan mangkuk kotor itu.
“Lagi satu, yang awak berangan sampai kita dah kahwin ni apa kes? Saya tak nak kahwin dengan awak tau!” Dia rasa seperti nak sumbatkan saja kain buruk lap meja tadi ke dalam mulut Iskandar ni.
“Awak ni kan Zizah, masih... seperti dulu. Tak mesra alam langsung. Kasar. Keras. Perangai lelaki awak ni, tak juga hilang kan?”
“Jadi awak tak sukalah perangai saya ni macam lelaki?” Segera diterjah Iskandar dengan soalan itu. Kalau Iskandar jawab tak suka, mudahlah kerjanya nanti. Tuan empunya badan yang tak suka, buat apa nak meminang dia lagi.
“Awak yang tak sukakan saya...”
Pula...
Apasal palitkan saya?” Mata ditancap tepat kepada lelaki di sebelahnya ini.
Iskandar senyum lagi.
Boleh sakit jiwa macam ni. Dari tadi asyik melihat senyum manis ni saja.
“Yalah... Dari kita sekolah rendah lagi, awak yang tak suka saya. Saya sukakan awak. Tapi..., awak tak pernah bagi perhatian pada saya. Saya selalu usik awak, sakat awak, awak buat tak tahu saja. Tiap-tiap hari saya tunggu awak bila awak main bola dekat padang sekolah tu. Saya setia jadi tukang sorak awak. Sampai sakit anak tekak saya ni menjerit. Jangankan nak pandang, malahan awak buat dekkk... saja,” omel Iskandar panjang.
Erk! Biar benar mamat ni? Yang selalu aku dengar, dia ni boo aku saja. Bukannya bersorak untuk aku. Aku yang tersalah dengar ke, atau dia yang tak tahu nak bezakan boo mengejek dengan boo bagi semangat?
“Dari darjah satu kot saya sukakan awak. Dan perasaan tu saya simpan sampailah saya darjah enam. Kadang-kadang saya rasa terkilan juga, sebab awak tak pernah pandang saya. Kalau dengan budak lelaki lain, boleh saja awak rapat dengan mereka. Boleh main bersama mereka. Tapi bila dengan saya, awak buat tak reti pula,” rungut Iskandar lagi.
Mamat ni spesies cepat akil baligh agaknya. Sekolah rendah lagi dah syok kan aku. Kecik lagi dah pandai nak bercintan-cintun. Memang confirm sewel! Tanpa rasa kasihan terus-terusan dia kondem Iskandar.
“Itu masa sekolah rendah. Tak payahlah awak nak sebut-sebut. Waktu tu hingus masih meleleh lagi. Takkan awak dah mula sukakan saya masa tu?” Dia ambil semula span pencuci pinggan yang dicampaknya tadi. Mula menyambung kerja mencuci. Rasa dua tiga macam pula dalam hati, apabila berlawan mata dengan Iskandar tadi.
Sukakan aku konon... Suka apa ke benda, kalau selalu cari pasal? Pantang aku buat silap sikit, cepat saja mengadu dengan Cikgu Sazali. Hati merungut tidak sudah.
“Memang dari darjah satu saya sukakan awak. Dan saya tetap sukakan awak sampailah saya darjah enam. Dan sekarang pun, saya masih juga sukakan awak.”
Sekali lagi kerja mencuci pinggan terhenti. Dia kembali berpaling kepada lelaki itu. Berani sungguh Iskandar kata begitu. “Kalau masa kecik dulu awak sukakan saya, kenapa awak suka cari pasal dengan saya? Kenapa awak suka mengadu hal saya kepada Cikgu Sazali?”
“Itu namanya strategi nak memikat awak. Tengok! Sampai sekarang awak ingatkan saya sebab hal report pada cikgu disiplin tu kan? Kalau tidak pasal tu, agaknya sekarang ni awak langsung tak ingat siapa saya.”
Azizah mendengus geram. Memang miong mamat ni! “Sekarang kenapa awak masih sukakan saya? Sedangkan dah berbelas tahun kita tak jumpa.”
“Berbelas tahun tak jumpa, tak semestinya saya dah lupakan awak, Azizah... Ini soal hati dan perasaan. Awak adalah cinta pertama saya. Mana mungkin saya boleh lupakan cinta pertama saya.”
Cinta pertama! Aku cinta pertama dia? Aku cinta pertama dia masa dia masih di sekolah rendah lagi? Ini baru betul serupa lagu Mark Adam.
“Sekarang saya pula nak tahu. Kenapa awak tak sukakan saya? Kalau masa kecik dulu, awak tak suka saya, saya boleh terimalah. Saya faham awak belum matured masa tu. Sekarang, bila awak dah dewasa macam ni, awak masih tunjukkan sikap yang sama. Kenapa?”
Iskandar merenung tajam. Azizah sudah menelan air liur. Cepat dia jatuhkan anak matanya ke dalam sinki. Lama matanya merenung ke bawah. Mahu menghilangkan rasa gugup, akhirnya baki pinggan kotor yang dia kira. Tak ada kerja betul!
Kenapa ya aku tak sukakan dia? Adakah kerana Aziz? Ya, memang itulah jawapannya. Kerana Azizlah hati aku tak mampu terima kehadiran lelaki lain.  Tapi..., takkan aku nak bagi jawapan ni dekat dia, benak Azizah bertelangah sendiri.
“Sebab Aziz ke awak susah nak terima saya?”
Bagai direnjat oleh kuasa elektrik, Azizah terus menjadi keras.
Dia boleh baca mind aku ke? Dari mana Iskandar tahu pasal Aziz? Dia kenal Aziz? Otak ligat meneka.
“Kerana rasa bersalah awak kepada Aziz, awak tutup pintu hati awak kepada semua lelaki, termasuk saya? Cerita awak dan Aziz sudah lama berlalu, Azizah...”
Kalaulah betul Azizah direnjat elektrik, rasanya sudah rentung dia sekarang ni.
Dari  mana pula Iskandar tahu cerita aku dan Aziz? Hati semakin tertanya-tanya.
“Buat apa awak buang usia awak begitu saja? Kenapa awak sia-siakan zaman remaja awak, Zizah? Untuk apa awak korbankan semuanya, semata-mata kerana lelaki lembut tu?”
Telinga mula berdesing. Hati terasa panas berbahang. Iskandar tak ada hak nak menilai dia. Iskandar tak tahu apa-apa tentang dia dan Aziz untuk Iskandar buat kesimpulan mengenai hidupnya. Dia buang usia dia ke, dia sia-siakan zaman remaja dia ke, dia nak berkorban ke, itu semua dia punya pasal. Diri dia. Iskandar bukan orang yang tepat untuk menghakiminya.
Kepala yang tertunduk diangkat dan dihadap tepat ke wajah Iskandar. Rasa seperti hendak ditelan jam-jam ni saja si Iskandar. Marahnya meluap di dalam dada.
“Suka suki kau saja mengata aku! Kau tak kenal Aziz tu siapa. Kau tak tahu apa-apa tentang aku dah Aziz.” Telunjuknya ditekan ke bahu Iskandar. Bergerak-gerak tubuh lelaki itu bila jarinya menunding kuat di situ beberapa kali.
“Memang Aziz tu lembut. Selembut-lembut dia, dia lebih baik dari lelaki sempurna macam kau ni. Memang aku tak boleh terima kau kerana Aziz. Memang aku tutup pintu hati aku kerana Aziz. Apa kena-mengena dengan kau? Tak puas hati? So..., lebih baik jangan ada hati nak meminang aku!” Anak mata memanah tepat ke dalam anak mata Iskandar. Bila baran menguasai diri, bahasanya turut bertukar kesat. Aku, kau saja. Tak ada lagi awak, saya.
Apa reaksi Iskandar?
Senyum Iskandar terus terukir sebaik sahaja kata-kata Azizah itu tamat.
Azizah melepaskan nafasnya deras. Matanya sakit. Hatinya juga sakit. Baru saja dia membuka mulut, ada suara yang menyergah mereka berdua di muka pintu dapur pemisah antara ruang makan.
“Patutlah lambat sangat siap air kopi Onya. Rupanya tengah buat sesi suai kenal dekat dapur ni,” seloroh Puan Ainon yang tidak tahu hujung pangkal. Lega dalam hati apabila melihat Iskandar dan Azizah sedang beramah mesra begitu.
Beramah mesra?! Heh! Puan Ainon kita ni tak tahu, hampir saja nak meletus perang dunia ketiga tadi.
“Iskandar, marilah ke depan. Biar Zizah dekat dapur ni buat air. Kalau Iskandar ada dekat sini, sampai malam karang pun tak siap air kopi O tu.” Puan Ainon menggamit tangannya kepada Iskandar. Memang dia arif sangat, Azizah tidak betah melakukan kerja sekiranya ada orang asing bersamanya.
Iskandar angguk. Dia menoleh kepada Azizah seketika.
“Saya ke depan dulu. Kita sambung perbincangan kita di depan. Saya takkan menarik diri. Saya tetap nak pinang awak juga,” bisik lelaki itu perlahan. Tidak mahu suaranya sampai ke telinga Puan Ainon. Iskandar gariskan lagi senyuman buat Azizah sebelum berlalu mendapatkan Puan Ainon.
Buntang anak mata Azizah melihat kepada jejaka itu. Lelaki ni memang tak faham bahasa Melayu ke apa? Tahu tak aku tak suka... Gigi digigit kuat ke bibir.
Mujur juga, mamanya mengajak Iskandar ke depan. Kalau tidak, entah apa lagi dia akan ‘bahasa’kan si mamat tu. Azizah kemudian merengus kuat. Tak faham kenapa Iskandar masih lagi mahu meneruskan hajatnya. Dan fikiran dia menjadi kacau semula. Mahu mencari alasan untuk menolak pinangan ini.   

3 comments:

  1. hahahaa sis..saya bru ada kesempatan nk mgkomen karya akak..hehehe 5 star kak best hehe..tp nk tnya apa beza teaser ngn bab yer? ni daa kena publish k kak ker e-novel?

    ReplyDelete
    Replies
    1. Amalina mekasih ya... masih setia follow crite kat blog akak
      I lap u....
      Bab tu full 1 chapter
      Teaser tu secoet jer, dipilih dr bab2 tertentu...
      Insya-Allah, blan 9 kluar
      Bg akak FB add, nnti akak PM awak personally bila dah kluar nnti...

      Delete
    2. sama2..hehe..owhh..okeyy faham dah..
      kite dah kawan laa kak..kite pena chat hari tu..(xingat bila hehe)
      nama saya skrg kat fb nur amalina. dlu siti nur amalina..

      Delete