“Zizah! Zizah!”
Namanya dipanggil lagi. Kali ini disertai bersama perit
di muka. Rasa seperti ditampar. Perlahan-lahan ingatannya kembali. Dia bukan
tengah baring tepi pantai. Diakan ada dekat rumah!
Bersusah payah Azizah cuba menjarakkan kelopak matanya. Pandangan
yang kabur beransur jelas. Dia lihat mamanya duduk menghadapnya di birai sofa.
Papanya pula berdiri di depan bersama Iskandar. Huh! Lelaki ni lagi? Tak ada
muka orang lain ke nak muncul depan dia. Pada tangan lelaki itu terdapat semangkuk
air.
“Zizah... Kenapa ni?” Ada nada kebimbangan pada suara
Puan Ainon itu. Dia membantu Azizah untuk bangun dan duduk tegak.
“Zizah ni ada penyakit mudah pengsan ke mama, papa?”
Suara Iskandar juga kedengaran risau.
Ceh! Tak habis lagi nak panggil mama dan papa. Loya haih tekak aku!
Iskandar di jeling. Dia kemudian membetulkan duduk bajunya.
Manalah tahu ada yang terselak di mana-mana. Sia-sia saja bagi mamat ni tengok free.
“Ish! Tak adalah...
Selama ni, Zizah sihat saja. Tak ada penyakit apa-apa pun,” sanggah Encik Azry.
“Entah kenapa, hari ni dia jadi macam ni pula. Dua kali
dah pengsan,” tambah Puan Ainon pula. Jejarinya singgah di kepala Azizah.
Melurut rambut pendek Azizah yang kelihatan sedikit kusut.
Azizah cuma mendiamkan diri. Wajah tunduk memandang ke
bawah. Sekarang kulit muka sudah setebal tembok. Malu yang teramat kepada
Iskandar kerana dia telah memperlihatkan kepada lelaki itu, bahawa dia ini terlalu
mudah lemah semangat. Entah apa pandangan lelaki itu kepada dia agaknya? Kenapalah
dia senang sangat hilang imbangan badan, apabila lelaki itu menunjukkan sisi
romantisnya? Bukankah selama ini dia keras kematu macam batu? Setakat pujuk
rayu, ayat-ayat manis seperti halwa rambut ni, dia memang tak lut. Bila
Iskandar tunjuk sikap romantis, dia seperti hilang punca pula.
“Dia sarapan tak pagi tadi?” soal Iskandar. Benar-benar ambil
berat keadaan Azizah.
“Sarapan... Dia makan nasi lemak lagi,” cerita Puan Ainon.
“Habis tu, kenapa senang sangat dia jatuh pengsan?”
“Entah,” balas Encik Azry dan Puan Ainon serentak.
Ada dengusan kuat dilepaskan oleh Iskandar. Azizah panggung
kepala memandang lelaki itu. Jelas kedutan lahir di dahi Iskandar. Seperti amat
bimbangkan keadaannya. Dia pengsan sekejap saja kot. Yang risau sangat macam dia
ni sedang nazak apa hal?
Azizah buat muka kepada Iskandar. Sesaat kemudian kerutan
pada wajah Iskandar hilang. Diganti pula dengan senyuman yang melebar pada
bibir lelaki itu.
“Awak ni kenapa sa...”
Azizah tahu perkataan apa yang mahu digunakan oleh
Iskandar sebagai ganti nama dirinya. Cepat dia buntangkan matanya ke arah
Iskandar sebagai tanda dia tidak suka panggilan itu digunakan. Kalau berani,
cubalah sebut sayang tu lagi. Memang depan papa dan mamanya dia pelangkung Iskandar.
Pandangannya tajam mencerlung muka Iskandar.
Rupanya lelaki itu tidak faham dengan renungannya.
“yang...?” Iskandar tetap juga menyebut perkataan itu, walaupun
sudah naik terjengil mata Azizah memandangnya.
Gadis itu hilang sabar. “Lagi sekali, kau panggil aku
sayang, aku cepuk mulut kau. Aku tak suka! Geli telinga aku ni. Loya tekak aku.
Rasa nak muntah. Uwek! Paham tak?”
“Zizah!” Serentak papa dan mamanya menegur.
“Tak baik cakap macam tu, Zizah!” tambah Puan Ainon.
“Kenapa kasar sangat ni, Zizah? Apa salahnya kalau Is nak
panggil kamu sayang pun? Papa tak lihat itu jadi satu masalah. Eloklah begitu.
Kan sedap telinga dengar? Mesra, lembut, penuh kasih sayang...”
Mendidih hati Azizah mendengar papanya menyokong
perbuatan Iskandar tu. Haruslah sokong kan... Bagero ni kan menantu pilihan papa. Calon kegemaran mama. Nak saja
mulut menjawab kata-kata papanya tadi. Papa pun tak panggil mama sayang. Kalau
macam tu, papa dan mama tak mesralah? Tak berlemah-lembutlah? Tak ada kasih
sayangkah? Mahu saja dihemburkan ayat-ayat itu. Kalau nak kena tampar dengan
papanya, cubalah jawab macam tu.
“Dia bukan tak suka mama..., papa... Dia segan sebenarnya.
Tak biasa lagi. Mula-mula, memanglah marah-marah. Dengar rasa nak muntah. Dah
selalu panggil sayang nanti, tentu okey.”
Iskandar buat lagi senyum kambing. Semakin menggelegak
setiap pain darah dalam tubuh Azizah. Tak boleh tunggu lama lagi. Kalau lebih
sesaat dua dia berada di sini, memang betul-betul dia pelangkung mamat yang sangat menyakitkan hati ni.
Segera Azizah angkat punggung.
“Zizah nak pergi mana?” tanya Puan Ainon.
“Naik bilik!” Pantas Azizah angkat kaki meninggalkan
ruang tamu itu.
“Sayang makanlah dulu! Nanti perut kosong. Bila perut
kosong, sakit lain pula yang datang. Saya juga yang susah hati. Saya masak special untuk sayang. Makan dulu ya.”
Iskandar memujuk.
Iskandar dijeling sesaat. Hati Azizah merungut geram. Nak
pujuk? Tak payah! Aku dah merajuk, sebab kau selalu bikin hati aku panas. Aku
sakit kau susah hati konon... Poodah!
Ayat halwa rambut aku tak makanlah!
“Sayang, nantilah... Makanlah dengan saya.”
Dua jari telunjuknya disumbatkan ke dalam lubang telinga.
Tidak ingin lagi mendengar suara lelaki itu berkata-kata. Setiap yang dikatakan
oleh Iskandar, memang buat dia rasa nak jadi gunung berapi. Takut silap hari
bulan, hilang sabar, terbang flying kick
dia ni. Tanpa berpaling, Azizah berlari menaiki tangga dan terus menuju ke
biliknya.
Bang!
Dihempas kuat daun pintu. Biar bunyinya sampai ke bawah
sana. Supaya Iskandar tahu dia benci plus
menyampah plus tak suka kepada lelaki
itu. Tubuh dihenyak pada tilam. Bibir dan gigi diketap menahan geram. Mata
tancap merenung siling. Telinga masih terngiang-ngiang suara lelaki itu. Dia cuba
lupakan. Tetap juga berputar-putar di kokleanya. Sayang! Rindu! Aaaa..., hati menjerit kuat. Kedua belah
tangan memukul ke tilam melepaskan baran.
“Memang aku silatkan juga mamat tu karang. Hampeh!”
Tidak habis Azizah menyumpah.
No comments:
Post a Comment