Bab 2
“Dah siap belum?” Itu soalan pertama yang diajukan oleh
Puan Ainon sebaik sahaja pintu bilik ditolak.
Azizah kalih melihat ibunya melalui biasan cermin meja
solek. Sesaat dia memandang, kemudian dia kembali membelek wajahnya. Rambut
pendek separas bahu ala-ala Lady Diana disisir rapi.
“Apasal pakai
baju ni pula? Kan mama dah pesan tadi pakai baju tu.” Muncung Puan Ainon
panjang mengarah kepada baju kurung pesak yang tergantung di dinding
bersebelahan almari baju. Baju itu baru digantungkan di situ ketika Azizah
berada di dalam bilik air tadi.
Azizah meletakkan sikat rambut ke atas meja solek.
Punggung diangkat untuk beralih duduk. Tubuhnya dihalakan kepada ibunya. Memang
dia sengaja tidak menyarungkan baju kurung pesak yang bersulam cantik itu.
Selagi dia tidak tahu apa yang dirancangkan oleh orang tuanya hari ini, dia tak
akan menyarung baju tersebut. Buat apa berdandan cantik kalau hanya hendak
merai tetamu sahaja. Yang datang bertandang adalah kawan papa dan mamanya.
Bukannya kawan dia. Jean dan blaus yang dipakainya ini pun sudah memadai. Janji
sopan, tidak menjolok mata. Pakai baju mengerlip mengilau tu, dah serupa orang
nak bertunang saja.
“Baju ni pun okey apa ma...?” Kedua belah tangan hinggap
ke bahu sendiri dan mengangkat bahu blaus berwarna biru tua itu.
“Kenapa Zizah ni degil sangat?” Puan Ainon melangkah
memasuki bilik. Baju yang tergantung di dinding lalu diambil.
Azizah perhati perbuatan mamanya. Sudah dapat meneka,
pasti mamanya akan memaksa dia mengenakan baju kurung fesyen mak datin tu.
“Nah, tukar! Pakai baju ni,” arah Puan Ainon tegas.
“Ma..., cuba mama terus terang. Apa sebenarnya rancangan
mama hari ni?” Dari cara mamanya berkata, dia tahu mama dan papanya sedang
merancang sesuatu. Sedari malam tadi dia menyoal, apa sebenarnya rancangan
mereka, tetapi soalannya tidak mahu dijawab.
“Kan mama dah bagitau,
kawan papa dan mama nak datang. Pakai baju ni!” Sepasang baju kurung pesak
masih dihulurkan kepada anaknya.
Azizah ambil baju yang diunjukkan. Dia bangkit dari
kerusi dan menuju ke sebelah almari. Baju kurung itu digantung kembali pada
tempat asalnya.
“Ya..., Zizah tahu, kawan papa dan mama nak datang. Biarlah
dia orang datang. Apa kena-mengena pula dengan Zizah? Beria-ia mama suruh Zizah
pakai baju mak datin ni kenapa? Nanti panaslah ma... Susah karang nak tolong
mama dekat dapur siapkan hidangan. Rimaslah...” Azizah memandang tepat ke wajah
mamanya.
Puan Ainon mendengus perlahan. Kalau dia berterus terang
hal sebenarnya, tentu Azizah tidak setuju. Bukan sekali, bukan juga dua kali.
Sebelum ini sudah acap kali dia menyuarakan permintaannya kepada Azizah. Namun
setiap kali itu juga Azizah menolak tanpa sebarang dakwa-dakwi.
Puan Ainon menjatuhkan punggungnya pada kerusi meja solek
yang diduduki oleh Azizah sebentar tadi. Tangan ditopangkan ke dahi sambil
memicit atas pelipis. Kepala sudah pening. Azizah, anak daranya nan seorang ini
memang kepala batu. Dipujuk macam mana gaya sekalilah, dimarah macam mana teruk
pun, kalau Azizah kata tidak mahu, maka itulah jawapan muktamadnya.
Puan Ainon mengeluh berat. Tetamu yang hendak datang
menziarah akan tiba bila-bila masa saja. Kalaulah Azizah buat perangai, malu
dia nanti.
“Cuba mama bagitau
Zizah, apa sebenarnya rancangan papa dan mama?” Azizah mendesak lagi. Kalaulah
mamanya masih mahu berahsia, jam-jam ni juga dia akan balik ke Seremban semula.
Dia nak merajuk. Biar mama dan papanya tahu, betapa dia kecil hati. Selama ini,
dia tidak pernah menyembunyikan apa-apa dari kedua orang tuanya. Bila giliran
mereka, hendak disorokkan pula dari pengetahuan dia.
“Errr... Emmm...” Puan Ainon menelan liur.
Berkira-kira mahu berterus terang ataupun tidak.
Azizah buntangkan mata. Isyarat supaya mamanya terus
bercerita.
“Hhhaji... Mahadi dan Hhhajah... Kamariah nak datang
merisik Zizah,” gugup Puan Ainon berkata-kata. Dia tahu apa reaksi anak daranya
sebentar lagi.
“Apa?!” Azizah bularkan matanya lebih besar dari tadi. Tidak
percaya. Patutlah beria-ia mamanya meminta dia menyarung baju yang macam lampu
disko tu. Memang betullah baju tu seperti baju orang nak bertunang, untuk dia
pakai kerana dia bakal dipinang! Entah bila masa mamanya tempah baju tu pun,
tak tahulah. Mungkin juga disewa dari Mak Cik Bibah, mak andam kampung ini.
Sekali lagi Puan Ainon menelan air liur. Sebelum-sebelum
ini, bila ada orang mahu datang merisik, dia akan beritahu kepada Azizah dulu. Selalunya,
belum sempat orang yang berkenan datang meminang, Azizah sudah menolak. Kali
ini dia dan suaminya sepakat mahu terus sahaja menerima kedatangan tetamu itu. Lebih-lebih
lagi yang hendak meminang, bukannya calang-calang orang. Tidak perlu bertanya
kepada Azizah sama ada dia setuju ataupun tidak. Apabila Azizah tahu apa tujuan
sebenar Haji Mahadi dan Hajah Kamariah datang ke rumah ini nanti, semuanya
sudah terlewat. Orang yang berkenankan dia dah ada di depan mata. Tentu Azizah
tidak berani nak menolak demi menjaga air muka kedua orang tuanya. Puan Ainon
tahu, dalam kedegilan Azizah, dia masih seorang anak yang baik. Begitulah
kira-kiranya rancangan mereka suami isteri. Namun, rancangan itu gagal
nampaknya.
“Iskandar, anak lelaki Haji Mahadi dan Hajah Kamariah tu
berkenan sangat dengan Zizah. Jadi, dia dan keluarganya nak datang hari ini
merisik Zizah,” cerita Puan Ainon.
Jelas ada riak kebimbangan pada wajah Puan Ainon. Risau andainya
Azizah bertindak seperti selalu. Kalaulah Azizah menolak, memang setebal tembok
muka dia suami isteri bila hendak berhadapan dengan Haji Mahadi dan Hajah
Kamariah di kemudian hari. Mereka bukannya orang lain. Jiran setaman. Rumahnya
di lorong B, rumah Haji Mahadi di lorong C. Bukannya jauh sangat. Sepelaung
saja. Tambahan Haji Mahadi tu, ketua taman perumahan mereka. Dalam apa saja
acara yang dianjurkan oleh pihak AJK taman, tidak dapat tidak, dia akan
bertembung juga dengan Haji Mahadi dan Hajah Kamariah. Kalaulah rancangan
mereka ini gagal, di mana dia suami isteri nak letak muka?
Iskandar anak Haji Mahadi! Iskandar yang mana ni? Aku
kenal ke? desis Azizah. Angin kus-kus
dalam badan mula bertiup.
“Kenapa mama dan papa tak tanya Zizah dulu?” bentak
Azizah. Kaki dihentak menuju ke katil. Punggung dihenyak kuat pada tilam. Bias
muka yang penuh rasa terkilan dihadapkan kepada ibunya bersama renungan tajam.
Tidak faham dengan keputusan yang diambil oleh kedua orang tuanya. Bukannya
mereka tidak tahu dia ni macam mana. Kenapa kali ini mama dan papanya main
terjah saja? Langsung tidak bertanya kepada dia dulu seperti selalu.
“Papa yang tak bagi mama bagitau...” Puan Ainon palitkan kepada suaminya. Takkan Azizah
berani nak marahkan papanya pula. Nak tunjuk muka bengis pun Azizah tak berani.
Azizah masamkan muka. Pandangan dibuang ke luar tingkap
bilik. Langit masih mendung seperti semalam. Sah-sah mood dia juga bakal mendung sekejap lagi.
“Mama dan papa tahukan, Zizah tak suka benda-benda macam
ni? Dah berkali-kali Zizah bagitau,
jodoh Zizah biar Zizah sendiri yang tentukan,” rungut Zizah tidak puas hati.
“Ya..., mama dan papa faham... Yang mama dan papa tak
faham, apa lagi yang Zizah nak tunggu? Zizah nak tunggu Aziz? Berapa lama lagi
Zizah nak sia-siakan umur Zizah?”
Azizah diam tidak menyahut. Mata masih cerlung melihat ke
luar tingkap. Kenapalah kali ini kedua ibu bapanya seperti tidak memahami
dirinya?
“Zizah... Zizah terimalah pinangan Iskandar tu ya? Mama
dan papa dah jumpa dia. Dia tu baik budaknya. Mama dan papa pun berkenan dan
suka pada dia,” pujuk Puan Ainon bersama suara lembut beralun.
Azizah kembali melihat Puan Ainon. Bias tidak puas hati
tetap terpamer pada wajahnya. “Ma..., mama dan papa tak bolehlah buat Zizah
macam ni. Tak bolehlah paksa Zizah terima Iskandar tu. Macam mana baik
sekalipun dia, tak semudah tu Zizah nak terima dia. Mama dan papa berkenan,
tapi Zizah tak berkenan. Mama dan papa suka, tapi Zizah tak suka dia.”
Di dalam kepala Azizah, otaknya sibuk mencari segala
perkara tentang Iskandar anak Haji Mahadi yang dia mungkin masih ingat. Haji
Mahadi sudah berjiran lama dengan mereka. Kalau tidak silap, semenjak dia kecil
lagi. Tentu ada perkara walaupun sekecil semut yang dia ingat tentang Iskandar.
Mesti ada kenangan bersama Iskandar terselit di mana-mana di celah lipatan memorinya
ini. Mungkin juga Iskandar pernah menjadi rakan sepermainannya.
“Boleh ya, Zizah?”
“Ma... Zizah tak nak...” Bagaimana dia hendak terima? Dia
tak kenal Iskandar. Inikan pula hati budinya. Wajah lelaki itu pun dia sudah
lupa romannya bagaimana.
Iskandar? Iskandar? Iskandar? Berulang kali hatinya
menyebut nama itu. Otak berusaha keras melakukan kerja. Cuba mengingati perihal
lelaki yang berani mati nak datang meminangnya hari ini.
“Zizah jumpalah
dia dulu... Lagipun, Iskandar tu kan pernah jadi kawan Zizah masa sekolah
rendah. Dia masih ingatkan Zizah lagi tau! Takkan Zizah tak ingat dia?”
“Ma..., itu masa sekolah rendah... Dah berbelas tahun
kot. Manalah Zizah ingat.” Kalau tak salah, Iskandar menjadi rakan sekelasnya
selama enam tahun ketika di sekolah rendah. Kemudian, dia tak tahu apa jadi
dengan Iskandar. Selepas berbelas tahun, tiba-tiba lelaki itu muncul nak
meminang dia. Ish! Tak ke pelik
sangat bunyinya.
“Mungkin kami tak rapat. Sebab tu Zizah tak ingat,” sanggah
Azizah.
“Eh! Mana boleh tak rapat? Kalau tak rapat, takkanlah dia
terus tanya pasal Zizah masa dia jumpa mama dekat surau beberapa minggu lepas?”
cantas Puan Ainon pula.
Erk!
“Aaapa ma?! Dia tanya pasal Zizah?” Sedangkan dia tak
ingat banyak perkara tentang Iskandar, bagaimana pula lelaki itu boleh ingatkan
dia?
“Yalah! Mama ni mana ada anak perempuan lain. Zizah
sorang saja. Bila dia tanya anak perempuan mama apa khabar, tentulah dia tanya pasal
Zizah.”
Ceh! Tanya macam tu saja kot. Entah-entah main serkap jarang
saja mama aku ada anak perempuan, dalam hati Azizah mengomel.
“Tentu Azizah bertambah cantik sekarang ni, kan makcik?
Saya rindu betul nak jumpa Azizah. Lama dah tak jumpa dia. Masa sekolah dulu
saya selalu usik dia. Hah! Macam tulah dia cakap pada mama dekat surau hari
tu.” Puan Ainon mengulangi kata-kata Iskandar sewaktu majlis kenduri kesyukuran
yang diadakan oleh Haji Mahadi di surau taman perumahan mereka ini sempena
kepulangan Iskandar dari luar negara.
Azizah terpaku. Iskandar yang selalu mengusik aku? minda
terdetak.
Pantas satu wajah terpampang di layar matanya. Kini dia
sudah mengingati wajah anak tunggal Haji Mahadi itu. Seorang kanak-kanak lelaki
yang sentiasa bermuka serius. Budget
pandai. Kendong buku tebal-tebal ke hulu ke hilir. Pada hakikatnya, memang pun
budak muka putih bersih tu tergolong dalam kategori murid bijak pandai. Periksa
memanjang dapat nombor satu saja. UPSRnya pun cemerlang. Sebab itu boleh
melanjutkan pelajaran ke sekolah berasrama penuh.
Dia tidak pernah sukakan budak lelaki yang berlagak nak
mampus tu. Sebabnya, Iskandar selalu saja cari pasal dengannya. Pantang buat
salah sikit, atau datang lewat ke sekolah, namanya pasti sampai ke tangan Cikgu
Sazali, guru disiplin. Iskandar juga selalu memerlinya. Mengata dia ni macam
lelakilah, macam jantanlah, lelaki jadianlah. Setiap kali dia main bola di
padang sekolah, Iskandarlah yang akan jadi tukang boo. Bukan boo bagi
semangat, boo mengejek!
Dia buat tak tahu saja. Tak pernah ambil peduli. Malas
nak layan budak lembik macam Iskandar tu. Sekali dia tolak mesti tergolek ke belakang.
Tak thrill langsung nak ajak
bergaduh. Buang karen dan tenaga. Hubungan mereka kekal begitu, tidak mesra dan
tidak rapat hingga mereka tamat darjah enam. Yang hairan, dari bunyi cerita
mamanya ini, seperti Iskandar tu rapat sangat pula dengan dia dahulu. Macam best friend for ever. BFF... Sedangkan
tak pun...
“Lepas tu terus dia tanya mama, Zizah dah kahwin ke
belum.” Puan Ainon menyambung ceritanya lagi.
“Habis tu mama jawab apa?”
“Tentulah mama jawab belum.”
“Habis tu dia kata apa?”
“Terus dia kata nak masuk meminang Zizah. Itu yang dia
dan mak bapak dia datang hari ni.”
Gilos! Otak mereng agaknya mamat
tu, rengus Azizah.
“Mana boleh macam tu ma... Berbelas tahun kami tak pernah
berjumpa, tiba-tiba nak masuk meminang, apa kes?”
“Sebab tu mama kata jumpa dulu dengan Iskandar tu... Mama
tahu Zizah dah lama tak jumpa dia. Zizah jumpa dulu ya?” Puan Ainon masih tidak
putus asa memujuk. Maruah dan air mukanya pada mata Haji Mahadi dan Hajah
Kamariah perlu dijaga. Selama ini, puas sudah dia dan suaminya bertolak ansur
dengan sikap anak daranya ini. Sekarang giliran Azizah pula memberi kerjasama
kepada mereka. Bukan untuk orang lain. Untuk masa depan Azizah juga. Tiga tahun
saja lagi umur Azizah hendak mencecah tiga puluh. Mana boleh dibiarkan anaknya
terus jadi macam ni.
“Ma..., tolonglah. Janganlah paksa-paksa Zizah...,” rayu
Azizah. Dalam radangnya, dia masih menghormati ibunya ini. Tidak tergamak
hendak membentak keterlaluan. Selagi dia belum berkahwin, syurganya di bawah telapak
kaki mamanya. Bila dah bersuami nanti, syurganya terletak pada suaminya pula.
Suami! Siapa? Iskandar Haji Mahadi?
Choi... Tak hingin
lah!
Kau belum jumpa dia lagi Zizah... Sekali Iskandar tu handsome pula. Mengalahkan Fahrin Ahmad.
Ke‘handsome’man Fahrin Ahmad pun
kalah kepada kekacakan Iskandar tu. Macam mana? Kau juga yang rugi nanti.
Handsome macam Zul Ariffin baiklah, aku tak nak!
“Mama bukan paksa... Mama cuma mintak Zizah jumpa
Iskandar tu dulu. Tu saja!”
“Nak jumpa? Habis tu buat apa pula mak bapak dia datang
merisik?”
“Eh! Tentulah nak datang merisik dulu. Tanya tuan empunya
diri ni, dah ada orangnya ke, atau belum.” Telunjuk Puan Ainon mengarah kepada
Azizah di birai katil. “Kita setuju ke tidak kalau mereka nak datang meminang
lepas ni. Kalau kita setuju, boleh teruskan dengan majlis pertunangan. Kalau
tak...”
“Suruh sajalah si Iskandar tu datang jumpa Zizah
sudahlah! Tak pun ajak Zizah ni keluar. Nak kenal sajakan? Tak payahlah datang
merisik,” cantas Azizah. Rambut yang tersisir rapi kembali menjadi kusut
gara-gara tangan sudah menggaru kasar di situ.
“Nak ke Zizah jumpa dia kalau dia saja-saja datang sini?
Nak ke Zizah keluar dengan dia, kalau dia ajak?” perli Puan Ainon. Terangkat-angkat
keningnya bila bertutur.
Azizah berdecit. Dalam banyak-banyak benda, inilah perkara
yang paling dia tidak gemar. Dia tak suka jodohnya diatur. Selama ini bukan dia
memilih, tetapi kerana kesilapan lampau buatkan dia tidak berani hendak
menerima mana-mana lelaki.
“Zizah jumpa dia dulu. Okey?”
Azizah berfikir sejenak. Dada terasa semakin berbahang.
Tidak pernah mamanya berkelakuan begini. Selalunya kalau dia sudah menyatakan
keengganannya, ibunya akan terus diam dan beralah. Kali ini tidak pula. Sudah
puas dia membantah, tetap juga dipaksa. Sebelum dia jadi anak yang seperti
kurang diajar adab dan sopan, lebih baik dia mengalah sedikit. Lagipun nak
jumpa Iskandar sajakan? Hujung-hujung, setuju ataupun tidak ditunangkan dengan
lelaki itu, keputusannya tetap menjadi hak dia.
“Okey! Zizah setuju jumpa Iskandar.”
Puan Ainon tersenyum lega. Kulit di dahi kembali tegang.
Alhamdulillah... Akhirnya Azizah mengalah juga, sisip
syukur si ibu.
“Jumpa saja, tapi Zizah tak setuju nak bertunang dengan
dia!”
Pula...
Terus terpadam senyuman Puan Ainon yang baru terukir
sebentar tadi. Kening kembali bertaut lurus. Kedutan di atas pelipis muncul
semula. “Apasal pula...?”
“Kan mama yang cakap tadi, dia orang cuma datang merisik.
Nak tanya Zizah ni dah ada orang ke belum. Kalau setuju, boleh teruskan. Kalau
tak, boleh lupakan.”
“Kalau tak, boleh lupakan?” Puan Ainon ulang ayat
terakhir yang dituturkan oleh anaknya.
“Mana ada mama cakap macam tu?” sanggah Puan Ainon.
Sekonyong-konyong itu, loceng pintu berbunyi tanda tetamu
yang ditunggu sudah pun tiba. Segera Azizah bangkit meninggalkan birai katil.
Tidak mahu menyambung hujah dengan mamanya. Pasti akan berlarutan nanti. Kelak,
keras tetamu menunggu di depan muka pintu.
“Zizah pergi bukak
pintu.” Cepat-cepat Azizah melangkah menghampiri pintu bilik.
Nampaknya, baju mak datin tu akan tetap tergantung di
situ. Kirim salamlah dia nak pakai baju mengerlip mengilau mengalahkan tuan
empunya syarikat D’Herbs terlajak laris tu! Jangan mimpi!
Puan Ainon masih berkerut dahi. Bertambah pening
kepalanya memikirkan sikap Azizah. Kenapalah setiap kali bila dia sebut perihal
lelaki, Azizah mesti membantah? Membangkang. Menolak, dan segala ‘M’ lagi yang
mempunyai maksud yang sama. Benarkah rasa bersalah Azizah kepada Aziz dahulu
meninggalkan kesan yang amat mendalam dalam hati Azizah? Ataupun mungkin Azizah
telah menutup pintu hatinya kepada lelaki kerana Aziz? Ke Azizah sudah hilang
selera kepada lelaki?
Choi! Apa yang kau merepek ni Non oi...! Seriau Puan Ainon
memikirkan kemungkinan yang ketiga itu. Minta-minta janganlah sampai macam tu. Simpang
malaikat empat puluh empat. Kempunan dia nak bercucukan anak dari Azizah nanti,
doa Puan Ainon terbesit di dalam hatinya.
Tetamu sudah tiba di bawah, apalah yang akan jadi sekejap
lagi, desis Puan Ainon lagi. Hatinya bertambah runsing. Segera dia bangkit
menyoroti langkah anaknya yang sudah hilang di balik daun pintu.
Satu lg karya Qaseh Farina yg menarik ni...
ReplyDeletemcm penuh konflik jer citer ni...
Satu lg karya Qaseh Farina yg menarik ni...
ReplyDeletemcm penuh konflik jer citer ni...
sob sob sob...
Deletemekasih Alin...
masih setia bersama QFT
trus follow ya...
insya-Allah kita jumpa blan 9
best
ReplyDeleteCeta baru..
ReplyDeleteakak follow..
Ceta baru..
ReplyDeleteakak follow..
Ceta baru..
ReplyDeleteakak follow..