Total Pageviews

Thursday, July 23, 2015

Kau Yang Di Hatiku - Bab 4



Bab 4
“Tiga bulan!”
“Kenapa pula sampai tiga bulan Zizah...?” Puan Ainon cerlung melihat anaknya.
“Lama sangat tu Zizah...,” tegur Encik Azry pula.
Ish! Biarlah Azry...,” cantas Haji Mahadi. Hati tuanya faham kenapa Azizah buat keputusan begitu.
“Tak apa. Is sanggup tunggu. Kalau Zizah mintak setahun untuk fikir pun, Is boleh bagi dia masa selama tu,” putus Iskandar pula. Langsung tidak menunjukkan tanda-tanda mahu mengalah kepada Azizah. Walhal gadis itu baru sahaja selepuk sound dia ketika mereka di dapur sebentar tadi.
Saat Iskandar menuturkan kata-katanya, pandangan Azizah langsung tidak bergarit kepada jejaka itu. Sakit hatinya terhadap Iskandar masih kuat. Sudah ditayang perangai sarkastik, kasar lagi keras dia ini pun, Iskandar masih juga tidak berganjak dari hajatnya. Bersepah dekat luar sana gadis yang tahap sopan santunnya lebih tinggi dari perempuan Melayu terakhir. Pilih saja yang mana berkenan di hati. Kenapa dia juga Iskandar hendak? Kenapa dalam hidup dia juga mamat tu nak menyemak?
Kalau betul-betul aku mintak setahun, baru padan dengan muka kau! Sempat juga Azizah membebel.
“Betul kata Is tu, Non. Kita bagilah masa pada Zizah ni untuk berfikir dulu. Kami tahu, permintaan kami ni terlalu mendadak. Nak buat macam mana. Si Iskandar ni yang beria-ia. Bersungguh-sungguh betul dia. Kami ni menurut saja. Biarlah mereka berdua ni kenal-kenal dulu. Kita bagi ruang untuk mereka mencari keserasian,” ujar Hajah Kamariah. Menyokong kata-kata anaknya sebentar tadi.
“Abang pun setuju. Benda nikah kahwin ni bukan perkara main-main. Kami datang ni pun sekadar bertanya. Memenuhi permintaan Iskandar ni. Bak kata dia, nak cup dulu. Takut orang lain datang bertanyakan si Azizah ni.”
Ceh! Mamat ni ingat aku ni barang dekat kedai ke? Nak cup-cup aku dulu pula. Mata mengerling tidak senang kepada Iskandar.
Zizah..., kalau kau tu macam barang yang boleh dibeli di kedai, kena bayar down payment dulu supaya orang lain tak ambik, memang aku dah bayar dah. Itu sebagai tanda kau tu aku punya. Orang lain tak boleh masuk meminang. Bagai boleh meneka itulah yang tercetus di minda Iskandar kala mata Azizah terlihat senyuman senget lelaki itu. Kalau betullah itu yang terbit dalam kepala Iskandar, jawabnya memang dia pelangkung dengan batang penyapulah si Iskandar ni. Paling tidak pun, dia samasok Iskandar macam bola tampar. Terus tercampak ke rumah Iskandar di lorong depan sana.
“Biarlah Azizah kenal betul dengan Iskandar ni. Tak payahlah kita terlalu memaksa. Kalau jadi apa-apa pada mereka kemudian hari, tak adalah kita yang disalahkan,” tegas Haji Mahadi kemudiannya.
Azizah menghembus nafas lega apabila Haji Mahadi dan Hajah Kamariah memahaminya.
Itu cerita siang tadi. Memang Haji Mahadi dan Hajah Kamariah tidak kisah. Iskandar juga setuju dengan tempoh tiga bulan itu, tetapi mamanya ini pula yang tak nak cuba memahami kenapa dia minta begitu.
“Kenapalah sampai tiga bulan, Zizah?” Soalan siang tadi ditujukan kepada anaknya buat yang keseratus kali mungkin.
Azizah mengeluh kecil. Tangan menggaru di belakang tengkuk yang tidak gatal.
“Ma...” Baru saja dia mahu menjawab, bicaranya terus dicantas.
“Lama sangat tu, Zizah... Kalau Zizah tak setuju nanti, tak kesian ke pada mereka? Begitu punya lama mereka kena tunggu. Zizah tak tengok tadi, macam mana rupa mereka. Mereka berharap sangat Zizah terima.”
Azizah garu kepala pula. Bukan ke Haji Mahadi dan Hajah Kamariah sudah bersetuju? Iskandar juga tidak membantah. Jadi apa masalahnya kalau mereka menunggu lama pun? Kalau dia tak setuju, itu risiko yang perlu mereka ambil bila datang merisik anak dara orang.
“Ma..., ni hidup Zizah ma... Zizah yang akan menghadap muka Iskandar tu hari-hari, kalau Zizah kahwin dengan dia nanti. Mama bagilah Zizah masa untuk berfikir. Bagi Zizah kenal Iskandar tu luar dan dalam. Kan Haji Mahadi dan Hajah Kamariah juga kata, biar Zizah cari keserasian dulu dengan Iskandar tu?”
“Habis tu, kalau tak jumpa keserasian, Zizah nak tolak pinangan mereka?” pangkas Puan Ainon. Geram!
“Yalah! Kalau dah tak serasi buat apa nak jadi suami isteri? Kalau dah kahwin, lepas tu bercerai-berai lagi susah,” tangkas Azizah membalas.
Wajah Puan Ainon sudah berbahang. Nafasnya turun naik dengan pantas. Ada harapan darah dia mencanak tinggi bacaannya.
“Kalau dah macam tu, kenapa Zizah mintak tiga bulan? Terus bagitau tak setujukan lagi senang. Kenapa nak bagi harapan kepada mereka?” bentak Puan Ainon. Muka sudah masam kucam.
Azizah mengeluh. Kenapalah mamanya sukar benar memahami dirinya? Dia buat begitu kerana mahu menjaga air muka kedua orang tuanya. Mahu menjaga hati Haji Mahadi dan Hajah Kamariah. Tidak mahu dilabel sebagai gadis yang tak beradap. Walaupun dia ni keras kematu seperti lelaki, dalam tubuhnya tetap ada ciri-ciri kewanitaan. Kalau mereka belum datang bertanya, memang dia reject awal-awal. Tetapi bila mereka dah datang bertandang ke rumah, takkan dia nak tendang macam tu saja. Dia ni tak adalah zalim sangat. Hendak menolak pun kenalah ada budi bahasa. Kena ada cara. Di sebalik alasan untuk mencari keserasian, tempoh tiga bulan itu juga cukup untuk dia menyusun strategi.
“Ma... Zizah buat macam tu untuk jaga air muka mama dan papa. Bagilah Zizah uruskan hidup Zizah sendiri. Biarlah Zizah yang tentukan, siapa yang akan menemani hidup Zizah ni. Kalau Zizah tak boleh terima Iskandar tu nanti, mama dan papa kenalah terima,” tegas Azizah menyuarakan pemintaannya.
Kali ini Puan Ainon pula yang berkeluh-kesah. Dalam hati mula timbul penyesalan. Kekerasan hati Azizah, kedegilan Azizah ini, semuanya berpunca daripada dia. Silap dia dalam mendidik Azizah dahulu.
Sedikit demi sedikit imbauan ketika Azizah masih kanak-kanak terlakar di benaknya. Sedari Azizah kecil lagi, dia biarkan sahaja Azizah bergaul dengan budak-budak lelaki. Tambahan Akmal, Ammar dan Azizan, abang-abang Azizah, melayan dan memperlakukan Azizah seperti adik lelaki mereka. Bukannya seperti adik perempuan. Akhirnya Azizah terikut-ikut tingkah laku abang-abangnya. Bergurau, bermain, bercakap, malahan Azizah berpakaian juga seperti lelaki.
Pada telahan dia, senanglah. Tidak perlu dia hendak membeli pakaian yang banyak untuk Azizah. Tidak susah-susah hendak mencari baju gaun atau skirt bagai. Azizah boleh berkongsi saja baju dengan abang-abangnya. Lebih-lebih lagi Azizah jenis anak yang tidak cerewet. Sarungkanlah apa saja baju ke badannya, dia pakai tanpa banyak songeh. Apabila Azizah lebih suka mengejar bola di tengah padang bersama abang-abang dan kawan-kawan lelakinya, dia biarkan juga. Alasannya, dia tidak perlu hendak pening-peningkan kepala, buang-buang duit, belikan anak patung atau alat mainan kanak-kanak perempuan untuk Azizah. Sementelah ketika itu, kehidupan keluarga mereka belum berapa stabil. Ekonomi rumahtangga juga tidak berapa baik. Dia perlu pandai menguruskan kewangan keluarga mereka. Jadi dia tidak mahu membazir.
Lama-kelamaan, Azizah semakin selesa berkawan dengan budak lelaki. Itupun dia tidak bising juga. Bagi dia, kalau Azizah bergaul dengan budak-budak lelaki, biarlah dewasanya Azizah nanti, menjadi seorang yang tegas dan tidak lemah. Mampu berdiri di atas kaki sendiri seperti juga seorang lelaki. Pandai berdikari dan membawa diri. Apabila Azizah ingin belajar silat, pun dia tidak menghalang. Semua telahannya itu benar belaka dan ada juga silapnya. Azizah memang seorang yang tegas, tidak lemah dan mampu berdikari. Tetapi Azizah membesar seperti seorang lelaki. Tingkah laku dan tutur katanya kasar seperti lelaki. Berpakaian, apatah lagi. Sedikit pun tiada ciri-ciri seorang perempuan. Bila Azizah dah dewasa ini saja ada menunjukkan sedikit perubahan. Mula menyarung baju blaus. Kalau tidak tu, memanjang berseluar jean dan baju T saja.
Cuma satu yang disyukuri. Alhamdulillah, selera Azizah tidak pernah terarah kepada kaum sendiri. Buktinya, sehingga kini Azizah masih lagi menyayangi lelaki itu. Kalau tidak, masakan Azizah masih setia merenung rumah banglo di hadapan ini. Tetapi apa yang cukup mengecewakan dia ketika ini, kerana lelaki itu juga, Azizah sanggup menolak lelaki sebaik Iskandar. Seorang lelaki yang mungkin takkan hadir buat kedua kalinya untuk gadis sekeras Azizah. Apabila memikirkan perkara ini, kekesalan Puan Ainon semakin bertimpa-timpa. Ralat kerana dia telah membiarkan Azizah hanyut melayan kekecewaan dan rasa penyesalan itu sejak sekian lama. Mungkinkah dia sudah terlewat untuk membetulkan keadaan? Mungkinkah ada peluang untuk memperbaiki kesilapannya suami isteri?
“Ini semua salah mama...,” getus Puan Ainon akhirnya.
Melihat kepada riak wajah ibunya, hati Azizah dijentik rasa bersalah.
“Mama..., mama janganlah cakap macam tu. Kan Zizah dah cakap malam tadi... Zizah jadi macam ni, bukan salah mama atau salah siapa-siapa pun. Zizah mintak maaf, kalau selama ini Zizah banyak menyusahkan papa dan mama. Bukan niat Zizah nak buat papa dan mama risau tentang Zizah.” Azizah mengelus lembut tangan Puan Ainon.
“Mama jangan risau. Andai tiba jodoh Zizah, Zizah akan kahwin juga. Kalau bukan dengan Iskandar, mungkin dengan orang lain. Cuma belum masanya. Mungkin satu hari nanti Allah datangkan jodoh untuk Zizah, seorang insan yang boleh terima kekurangan Zizah ni. Yang boleh menerima ketidaksempurnaan Zizah.”
“Bukan ke Iskandar macam tu? Dia sanggup terima Zizah walaupun Zizah keras dan kasar macam ni,” pangkas mamanya.
“Ma..., ini soal hati. Kalau Zizah tak boleh terima dia, takkan Zizah nak paksa. Insya-Allah, tentu ada orang lain selain Iskandar yang boleh terima Azizah. Mungkin lama lagi kot. Tau-tau sajalah! Zizah nikan keras macam kayu. Tak macam perempuan sejati. Memasak apatah lagi... Failed. Susah sikitlah nak cari lelaki yang sukakan perempuan yang macam ni...” Azizah cuba berlelucon. Mengendurkan perbualan mereka anak-beranak yang tegang sedari tadi.
Puan Ainon melepaskan nafasnya dengan deras.
“Habis tu, Zizah nak tolak pinangan mereka?”  Soalan ini yang paling penting. Kalau siang-siang sudah ditolak, tak perlu nak tunggu tiga bulan baru nak beritahu Haji Mahadi suami isteri.
Azizah diam seketika untuk berfikir. Dia tahu mamanya kecewa.
“Baiklah ma. Tiga bulan tempoh yang Zizah mintak ni, Zizah akan gunakan untuk berfikir. Manalah tahu, dalam tempoh tiga bulan ni, hati Zizah berubah pula. Siapa tahu.” Mata merenung redup kepada mamanya. Kata-kata dia ini sekadar untuk melembutkan hati mamanya. Biar reda gusar mamanya. Tetapi di dalam hati, lain pula bicara.
Oh! Plllease la... Hati aku nak berubah? Nak berkenan dekat Iskandar? Nak jatuh hati pada Iskandar? Takkan..., besit Azizah.
Lelaki yang sesempurna Iskandar, belum tentu sempurna luar dan dalam. Terutama hati dan fikiran lelaki itu. Sejarah telah mengajar dia, Iskandar tu jenis lelaki yang bagaimana. Saling tak tumpah, tentu perangainya sama saja seperti Khairi. Lelaki yang sempurna di mata, belum tentu sempurna serba-serbinya.
 Puan Ainon akhirnya tersenyum tawar. Tiada guna lagi dia membangkang. Azizah tetap Azizah. Keras, tegas dan degil. Pasti akan ada saja idea anak gadisnya ini untuk menyanggah kata-katanya.
“Insya-Allah. Mama akan doakan semoga pintu hati Zizah terbuka untuk Iskandar. Kalau bukan Iskandar, mama doakan semoga lelaki itu akan segera Allah munculkan buat Zizah.” Ayat ini dituturkan sekadar memancing hati anaknya. Keinginan dan nalurinya lebih mengarah kepada Iskandar. Berkenan yang amat lelaki sebaik Iskandar itu menjadi menantunya. Tubuh sekeping anaknya lalu diraih. Selepas rangkulan diuraikan, Puan Ainon berdiri untuk melangkah pergi dari balkoni.
“Terima kasih mama, kerana memahami Zizah.”
“Sudahlah tu. Jangan duduk berembun lama sangat dekat luar ni. Mama masuk tidur dulu.” Sebuah ciuman singgah ke dahi Azizah.
“Okey... Good night mama...” Azizah menghantar langkah Puan Ainon ke pintu gelangsar dengan pandangan. Hilang kelibat Puan Ainon di balik pintu, dia kembali merenung langit. Sama seperti semalam.
“Aziz...”
Nama itu kembali meniti di bibirnya. Memori detik pertemuan dan perpisahan mereka bertaup kembali. Bila sahaja dia teringatkan Aziz, sepantas itu juga persoalan itu muncul semula di dalam kotak fikirannya.
“Dari mana ya mamat tu tahu pasal Aziz?” Bulu kening bertaut lurus. Di telinganya terngiang-ngiang kata-kata lelaki itu.
“Sebab Aziz ke awak susah nak terima saya? Kerana rasa bersalah awak kepada Aziz, awak tutup pintu hati awak kepada semua lelaki, termasuk saya? Cerita awak dan Aziz sudah lama berlalu, Azizah...”
Azizah berdecit. “Mana dia tahu hah?”
Dikerah segenap ruang otak untuk meneka. Kepala rasa pening-pening lalat memikirkan kebarangkalian bagaimana Iskandar boleh mengetahui tentang dia dan Aziz. Lama dia termenung. Masih juga kosong. Tiada jawapan. “Ini memang misteri. Jadi kalau nak rungkaikan misteri tu, lebih baik telefon dia.”
Azizah bangkit dari kerusi besi. Baru hendak melangkah, dia duduk semula pada kerusi itu. “Aku mana ada nombor telefon dia. Alah... macam mana ni?”
Dia menjana otaknya lagi. “Mama! Tentu mama ada nombor telefon rumah Haji Mahadi.”
Dia bangkit. Selang sesaat kemudian, duduk semula. Dah seperti orang tak betul pula. Duduk bangun, duduk bangun! “Kalau tanya mama, mesti mama ingat yang bukan-bukan. Lebih teruk kalau mama fikir, aku dah nak terima si Iskandar tu. Ish! Taknaklah!”
Habis tu macam mana? Kalau tak, kau tak tahu dari mana si Iskandar tu tahu pasal Aziz.
Nantilah sekejap. Aku tengah fikir ni... Rasanya ada satu cara.
Cara apa?
Kau orang tengok sajalah sekejap lagi.
Azizah bangkit semula. Terus memasuki biliknya dan cepat-cepat menuju ke pintu. Persoalan tentang bagaimana lelaki itu mengetahui perihal Aziz, perlu dirungkaikan dengan kadar seberapa segera.
Beberapa minit kemudian Azizah sudah menapak menuju ke lorong C. Kedua belah tangan dipelukan ke tubuh. Cuaca di luar memang sejuk, tetapi suhu di dalam badannya panas mendidih. Apabila teringatkan kata-kata Iskandar siang tadi, semakin menggelegak darah di dalam setiap urat nadinya. Kaki menapak laju. Anak mata tunak merenung ke hadapan. Suasana lorong ini sunyi. Kebanyakan rumah yang dilaluinya juga gelap dan sepi. Mungkin penghuninya sudah nyenyak beradu. Maklum sajalah, musim hujan. Aktiviti yang paling syok dilakukan ialah buat tahi mata. Lebih-lebih lagi kalau perut sudah buncit kekenyangan. Memang cepatlah hanyut.
Sebaik sahaja melepasi lorong rumahnya, langkah Azizah semakin pantas bergerak. Jarak antara rumah orang tuanya dengan rumah keluarga Iskandar tidaklah jauh. Lorong rumah mereka sebelah-menyebelah saja. Kalaulah tidak ada deretan banglo yang bertentangan dengan rumah dia tu, sudah tentu dia boleh lihat rumah Haji Mahadi dari rumahnya.
Tanpa mempedulikan keadaan sekeliling yang suram, Azizah teruskan derap kakinya. Sudah agak lama juga dia tidak menjenguk lorong sebelah sini. Kali terakhir bila ya? Hmm... rasa-rasanya masa dia sekolah menengah dulu kot. Teringat waktu merayau mengelilingi taman ini untuk mengutip derma bagi tabung Pengakap.
Masuk sahaja lorong C, mata Azizah mula meliar melihat ke kiri dan ke kanan. Cuba mengingati rumah Haji Mahadi terletak di sebelah mana. Jari telunjuknya menunding ke kanan. Kemudian beralih pula ke kiri. Seiring dengan otak yang cuba mengingati lokasi rumah yang sedang dicari. Kepalanya diketuk sekali. Masa nilah otak kosong tidak berfungsi.
Gagal memanggil semula ingatan lama, akhirnya Azizah buat keputusan untuk melalui sahaja lorong itu hingga ke hujung sana sambil mencari rumah Haji Mahadi. Selepas beberapa langkah, pandangan Azizah mati pada sebuah rumah. Lampu di berandanya masih menyala. Sebab itulah dia boleh nampak dengan jelas kereta antik Mercedes Benz 200, model (A) keluaran tahun 1986 tu. Inilah kereta yang sama dipandu oleh Haji Mahadi ketika bertandang ke rumahnya tengah hari tadi. Warna kereta itu pun sama, silver metalik.
Nombor plat?
Heh! Tak ingatlah pula... Tapi, confirm! Aku pasti inilah rumah dia. Lawak juga Haji Mahadi tu. Bergerak beberapa langkah saja pun, nak naik kereta. Tak sempat pedal minyak cecah ke lantai, dah sampai rumah aku. Tak larat nak berjalan gamaknya. Maklumlah, usia dah lanjut.
Azizah masih meneliti kawasan beranda rumah Haji Mahadi. Di sebelah kereta Mercedes Benz antik, terparkir pula sebuah kereta Toyota Vios warna hitam pekat. Entah type apa, dia pun tak tahu. Type E ke, G ke, ataupun J. Semua jenis Toyota Vios ni, pada luarannya nampak lebih kurang sama saja.
“Hantam gila siot! Bikin habis betul kereta tu. Tinted gelap. Ni kalau road-block memang sangkut. Skerting, rear bumper, bodykit, spoiler. Ekzos, besar gedabak! Kucing pun boleh menyorok dalam ekzos tu. Heh! complete modified! Mesti kereta mangkuk tu. Takkan Haji Mahadi punya kereta pula kan? Berdarah muda sangat pula Haji Mahadi tu, kalau pandu kereta rupa ni.” Sempat pula Azizah mengomel panjang. Mata beralih pula kepada tingkap di tingkat bawah rumah dua tingkat itu.
“Gelap? Dah tidur ke? Bagus juga kalau Haji Mahadi dan bini dia dah tidur. Tak adalah dia tahu aku datang jumpa mamat tu,” getus Azizah.
Leher panjang menjengah ke sana. Dia pasti Haji Mahadi suami isteri menggunakan bilik di bahagian bawah. Sama seperti papa dan mamanya. Mereka lebih suka menggunakan bilik di tingkat bawah kerana malas hendak turun naik tangga. Orang tua biasalah... Dah tak larat panjat tangga berpuluh kali dalam satu hari. Gris lutut dah kering.
Mata bergerak pula ke tingkat dua. Layout rumah Haji Mahadi ini, serupa dengan layout rumah papanya. Tak ada beza kedudukan ruang-ruang di dalam rumah itu dengan rumahnya. Jadi dia boleh tahu di mana terletaknya bilik tidur-bilik tidur. Azizah melihat tingkap di sebelah hujung di mana terletaknya bilik utama.
“Masih terang! Mesti bilik mamat tu. Maknanya, dia tak tidur lagi. Macam mana nak panggil dia turun yek?” Kepala digaru kasar. Mencari akal untuk memanggil Iskandar supaya turun berjumpanya.
“Takkan nak menjerit panggil dia pula? Malulah kalau orang dengar. Tentu orang kondem aku, kata aku ni perempuan apa tah. Merayap rumah lelaki malam-malam buta. Nak tekan loceng? Ish! Tak naklah. Malu kalau Haji Mahadi atau Hajah Kamariah yang bukak pintu. Jatuhlah air muka aku.  Datang jumpa anak bujang dia masa orang lain dah tidur. Habis tu macam mana?” Azizah berdecit. Otak buntu. Tidak ada buah fikiran mahu mencari jalan. Ke hulu ke hilir dia menapak di depan pintu pagar rumah Iskandar. Seketika kaki berhenti melangkah. Pandangan kembali kepada bilik yang masih terang itu.
“Alah..., macam mana ni?” Belakang tengkuknya pula digaru kasar. Kaki berkawat semula di depan pintu pagar. Hanya seketika. Sesaat kemudian derapnya terhenti kala mata jatuh pada batu-batu kecil di bahu jalan raya.
Ting!
“Batu pun batulah. Kalau ada botol air Long Chan, memang harus aku ketuk buat style Suddin dalam cerita Bujang Lapok tu. Eh! Mangkuk tu paham ke, kalau aku panggil dia guna botol?”
Ceh! Tak payah pikir banyak sangat Jijah. Cepatlah panggil si Iskandar tu, sebelum orang lain nampak kau depan rumah Haji Mahadi ni. Nanti orang ingat kau ni perompak pula. Tak pasal saja kena pelangkung nanti.
Segera dikutip beberapa butir batu kerikil bersaiz sebesar ibu jari. Kalau besar sangat, berlubang pula cermin rumah Haji Mahadi tu. Azizah bergerak ke bucu laman berhadapan dengan bilik yang masih terang. Tangan dijulang tinggi. Ditarik ke belakang dan dengan sekuat tenaga, dia lecut sebutir batu kerikil menghala ke tingkap bilik tersebut.
Tuk!
Yes, kena!” Dia melompat girang. Mata ralit memandang ke sana. Menunggu seketika. Menanti respond. Beberapa saat berlalu, tingkap bilik itu masih tidak menunjukkan tanda-tanda akan dibuka.
Hampeh! Dah tidur ke mamat ni? Tidur mati!”
Sebutir lagi batu kelikir dilontarkan.
Tuk!
“Kena juga!” Tingkap ditenung tepat-tepat. “Apasal mamat tu tak bukak tingkap hah? Tak dengar ke? Takkan aku nak baling batu besar penumbuk kot.”
Tangan sudah bersedia untuk melontar semula. Kalau masuk acara melontar peluru, kan bagus. Gerenti menang medal. Paling cikai pun dapat bronze. Ini melempar tingkap bilik anak bujang orang. Apa dapat? Dapat penampar boya ada la...
“Pecah tingkap bilik babah saya tu, awak nak ganti ke?”
Satu suara menyergah kuat di belakangnya.
“Mak kau!” Batu di tangan terlepas ke tanah. Pantas Azizah berpaling ke belakang.
Glup!
Terpandang sahaja wajah itu, air liurnya berbuku-buku masuk ke dalam perut.
“Aaawak dari mana? Tttiba-tiba ada belakang saya,” soal Azizah gugup. Mujur juga dia tidak pengsan. Kalau tidak, pecah perut mamat ni ketawakan dia agaknya. Nampak saja keras kematu, tapi bila kena sergah sikit, dah lembik.
“Dari kedai depan tu... Beli barang nak buat brownie besok pagi,” jawab Iskandar.
“Nnnaik apa? Kereta dua-dua ada bawah tu.” Telunjuk menunding ke beranda rumah.
“Dekat... Jalan kaki sajalah,” balas Iskandar bersama senyuman yang tidak pernah lekang dari bibir merahnya.
Mamat mana yang tak nak bukak tingkap tu? Babah saya ke? Sejak bila pula awak ada skandal dengan babah saya? Awak tak kesian ke tengok saya ni? Saya yang datang merisik, dengan babah saya pula awak sangkut,” kata lelaki itu kemudiannya.
Mata Azizah terbuntang bulat. “Choi! Mulut longkang! Apa pula saya ada skandal dengan babah awak? Tak ada kerja saya nak jadi mak tiri awaklah. Ingat selera saya ni tumpul sangat ke? Takkan orang tua macam babah awak tu saya nak bedal.”
“Habis tu, yang awak duk baling tingkap bilik babah saya buat apa? Awak nak jumpa babah saya? Nak jumpa babah saya tengah-tengah malam buta ni, buat apa?”
Ada juga yang kena cepuk karang ni. Suka suki dia saja tuduh aku ada skandal dengan babah dia. Tak sir haih! Jap! Dia kata apa tadi? Bilik babah dia? Babah dia guna bilik atas ke? Bukan bilik bawah? Berderet-deret pula soalan merapu timbul dalam otak Azizah.
Anak matanya kembali melihat bilik yang terang-benderang itu. Kelopak mata terlebil-kebil beberapa kali. Air liur juga sudah berkali-kali ditelan sampai naik kering mulutnya.
Itu bilik babah dia! Alamak! Nasib baik Haji Mahadi tak bukak tingkap. Kalau tidak habis... aku. Azizah garu belakang kepala.
“Awak nak usha babah saya ke?”
Iskandar tebak dia dengan soalan itu lagi. Ini soalan jenis apakah ini? Soalan menuduh, atau soalan menyindir? Cipan punya mamat. Cili mulut tu nanti baru tahu! Gigi sudah mengetap kuat.
“Orang kata, makan boleh sebarang makan. Cakap jangan sebarang cakap. Nanti orang makan nasi, awak makan batu jalan ni pula.” Baki batu kerikil yang masih berada di dalam genggamannya, disuakan ke depan mata Iskandar. “Saya datang nak jumpa awaklah!”
Iskandar tiba-tiba ketawa mengekek. Azizah cerlung tidak faham. Sewel betul mangkuk ni! Dia mencebik.
“Apa hal ketawa pula? Tadi bukan main marah? Kata saya ada skandal dengan babah awak.” Geraham kanan diketap kuat menahan geram. Pandangannya memanah tepat ke wajah bersih lelaki itu.
Handsome kan?
Cet! Diam! Jangan nak provoke aku. Tak hingin aku dengan dengan mamat ni.
“Baru siang tadi awak jumpa saya, sekarang dah rindu? Itulah..., kalau awak terima risikan saya siang tadi, kan ke senang. Boleh kita terus sarung cincin tunang. Tak adalah awak terhendap-hendap cari saya malam-malam buta begini. Menghendap salah bilik pula tu.”
“Heh! Rindu? Tak ada mananya saya nak rindukan awaklah! Menghendap awak? Perasan! Saya tak teringin pun. Tak ada pekdahnya saya menghendap awak.”
“Sudahlah Zizah... Lain di mulut, lain di hati awak tu Zizah.”
Iskandar buat lagi senyuman kambing menawan tahap gaban dia tu. Azizah jeling mata ke atas. Malas hendak melayan perasan tak hengat Iskandar ni.
“Mengaku yang awak dah mula rindukan saya?”
Pui! Rindukan kau mamat? Jangan harap. Azizah meregus. Hati jadi makin jelak.
“Saya jumpa awak ni sebab hal siang tadi...” Segera Azizah menukar tajuk perbualan hangat mereka.
Senyuman Iskandar yang tidak padam-padam dari tadi semakin melebar.
“Hal siang tadi?! Maknanya, awak nak bincang pasal tempoh tiga bulan tu ke? Nak pendekkan lagi, jadi sebulan?” Raut wajah Iskandar berubah teruja.
“Tak! Nak tambah jadi setahun.” Sengaja Azizah mengusik. Tadi beria lelaki ini menyakat dia perihal skandal dengan Haji Mahadi. Sekarang giliran dia pula buat hati lelaki itu jadi gundah-gulana. Hendak meletus tawa Azizah apabila melihat wajah Iskandar berubah ketat.
Huh! Siang tadi bukan main lagi ayat kau, kan mamat? Kalau aku mintak setahun untuk berfikir pun, kau boleh bagi aku masa selama tu. Baru cakap main-main, muka dah keras. Padan muka! Hati Azizah mengejek seiring dengan senyum sinis di bibirnya.
Iskandar tidak beralih dari melihat wajah yang sedang tersenyum sumbing kepadanya. Riak sudah bertukar. Seperti orang hilang semangat. Agaknya dia menyangka Azizah betul-betul minta tempoh setahun itu.
“Baru gertak, muka dah jadi biru,” perli Azizah.
Iskandar tunduk menyembunyikan muka.
“Saya datang jumpa awak ni ada sebab lainlah.”
“Sebab apa?”
Nada suara Iskandar terdengar lemah di telinganya. Hati kecik juga lelaki ini. Tak boleh dibawa bergurau. Cepat benar nak terasa. Azizah tersengih dalam hati.
“Saya nak awak terus terang pada saya, macam mana awak tahu pasal saya dan Aziz.” Terus saja Azizah menyoal perkara pokok, kenapa dia boleh berada di hadapan rumah Iskandar pada waktu begini. Tak payah nak kona sana kona sini. Straight to the point. Buang masa saja nak berbasa-basi ni. Renungan dia tancap melihat ke wajah Iskandar yang sudah tidak beriak. Lelaki itu terdiam lama. Dia pula tidak sabar menunggu.
“Lebih baik awak bagitau saya, macam mana awak tahu pasal saya dengan Aziz tu?” Azizah menyoal sekali lagi dalam baris ayat yang berbeza, tetapi mempunyai maksud yang sama.
Iskandar panggung kepala kepadanya.
“Awak ada hak untuk menyoal. Saya pula berhak untuk tidak menjawab. Kita bukan dalam court, nak kena jawab semua soalan yang ditanya. Macam mana saya tahu, awak tak perlu tahu. Yang perlu awak tahu, saya akan buat awak lupakan Aziz.”
Apa ni? Punya berjela jawapan, tapi satu pun tak ada yang bersangkut paut. Lain yang dia tanya, lain yang Iskandar jawab. Dalam dada mula rasa berbahang.
“Saya masuk dulu. Lebih baik awak balik. Kalau babah saya nampak awak datang jumpa saya, saya takut tak payah awak tunggu tiga bulan. Terus saja dia suruh papa awak kahwinkan awak dengan saya jam-jam ni juga.” Iskandar bergerak melintasi Azizah. Menuju ke pintu pagar. Selak engsel dan terus masuk ke perkarangan rumahnya.
“Woi! Bagitaulah macam mana awak tahu pasal saya dengan Aziz tu?”
Iskandar berhenti melangkah. Berpaling dan berkata, “yang perlu awak tahu, saya akan buat awak lupakan Aziz.”
Iskandar lemparkan senyuman kepadanya sebelum menyambung derap menuju ke beranda. Dia ditinggalkan dalam keadaan termangu-mangu.
Siot punya mamat! Jawapan tu juga yang dia ulang. Hati menggerutu geram.

3 comments:

  1. adoii xpena jmpa cite cmni..gile eh pmpuan ni..cite akk ni wat sy tersenyum d tgh mlm ni d dlm kgelapan..hahaha..xley stop daa baca

    ReplyDelete