Bab 1
Sebelas tahun telah berlalu. Namun ingatan dan kenangan itu
tidak pernah terpadam. Segalanya masih segar. Malahan seraut wajahnya juga
sering berlegar di fikiran.
“Aziz...”
Tanpa sedar, sebaris nama itu meniti lagi di bibirnya.
Buat yang kesekian kali, nama itu diulang sebut bersama sesal meruntun di hati.
Alangkah baiknya andai masa itu boleh diputar semula. Jika bisa diulang, tentu
kisah mereka bukan begini jadinya. Mereka tidak akan terpisah dalam keadaan dia
menyesal sepenuh hati. Dan lelaki itu tidak akan membenci dia menggunung
tinggi.
Hampir dua jam waktu berjalan. Azizah tetap di situ. Duduk
termenung menongkah langit. Melunjurkan kakinya ke atas meja separa tinggi dengan
kedua kaki disilangkan. Sepasang tangan pula dipeluk erat ke tubuh menahan
dingin malam.
Dalam kesamaran cahaya lampu jalan, jelas kelihatan banglo
teres dua tingkat yang terletak bertentangan. Sudah bertahun-tahun rumah itu
ditinggalkan. Gelap gelita tiada penghuninya.
Ke mana agaknya dia menghilang? Hati berbisik sayu.
“Hmm...” Azizah mengeluh berat. Cuba melepaskan segala kekesalan
yang menyesak di dada. Punggung dialih sedikit ke hadapan. Kemudian tubuhnya direbahkan
ke penyandar. Kesejukan malam mencengkam hingga ke tulang hitam. Namun ia
sedikitpun tidak mampu mendinginkan hatinya yang terasa berbahang.
“Aziz....” Dan nama itu meluncur lagi di bibir
munggilnya.
Dari rumah banglo itu, perlahan-lahan pandangan Azizah
kalih ke langit lepas. Gelap suasananya seperti gelita di hatinya tatkala ini. Hujan
yang mencurah turun sedari petang tadi, kini sedikit reda. Hanya rebas masih
lagi bersisa. Beginilah keadaannya, setiap kali tiba hujung tahun. Ada orang
memanggilnya musim tengkujuh. Ada juga yang menggelarnya musim bah, tetapi yang
pasti bagi Azizah, sebelas tahun yang lampaulah titik permulaan hatinya terus
dilanda tengkujuh dan bah. Mendungnya kekal berpanjangan hingga ke hari ini.
“Aziz... Di manakah kau?” keluh Azizah lagi.
Bunyi berkeriot kedengaran dari arah pintu bilik. Tanda
ia telah dikuak oleh seseorang. Azizah membuang pandangannya ke dalam bilik. Beberapa
saat kemudian, terpacul satu susuk tubuh di muka pintu gelangsar.
“Oh Mama! Tak tidur lagi ma?” sapa Azizah perlahan tanpa
nada yang sepatutnya. Lemau dan tidak mesra.
Wanita berusia hampir enam puluh tahun itu melangkah
menghampiri Azizah.
“Sekejap lagi. Mama saja nak tengok kamu dah tidur ke
belum,” balas Puan Ainon.
“Kamu tak tidur lagi ke Zizah?” Pertanyaan itu Puan Ainon
tujukan kepada anaknya semula. Dia berdiri di sisi meja.
“Zizah belum mengantuk lagilah mama. Sekejap lagi kot,” jawab
Azizah jujur.
Puan Ainon singgahkan telapak tangan ke dahi Azizah.
Dilurutkan tangan pada kepala. Anak rambut gadis itu dibelai-belai dan disisip
ke tepi dahi.
“Zizah... Zizah...” Puan Ainon menggeleng kepala.
“Kamu tu anak mama Zizah. Tak payahlah kamu bohong mama.
Sembilan bulan sepuluh hari mama kendong kamu dalam perut ni. Tahu sangat mama
dengan perangai kamu,” sanggah Puan Ainon.
“Mama ni... Mulalah tu nak mengarut,” pangkas Azizah.
Kepalanya dikalihkan semula menghadap langit. Sudah tahu apa bait-bait yang
bakal meniti di bibir mamanya.
Puan Ainon menarik kerusi bersebelahan Azizah, lalu
didaratkan punggungnya di situ.
“Mama faham sangat dengan perangai kamu. Kamu tu, kalau
balik ke rumah ni, tak sah kalau tak termenung dekat sini,” tegas Puan Ainon
lagi. Itu fakta yang memang tidak boleh dinafikan oleh Azizah.
“Sudah-sudahlah kamu mengingatkan dia, Zizah. Dah sebelas
tahun benda tu berlalu. Kamu masih duk macam ni juga. Hal yang lepas, biar saja
berlalu. Kenapa kamu nak kenangkan lagi? Hidup kamu ni, mesti diteruskan.
Takkan kamu selamanya nak jadi macam ni? Umur kamu tu, makin lama makin
bertambah angkanya. Kamu nak ke orang letak label dekat dahi kamu tu sebagai anak
dara tua?” bebel Puan Ainon berjeda. Matanya tajam merenung kepada anak dara
tunggalnya ini. Sudah naik lali lidahnya menuturkan benda yang sama berulang-ulang
kali, tetapi hasilnya tetap serupa.
Azizah diam tidak memberi sebarang reaksi. Anak mata masih
juga begitu. Tetap kejap merenung jauh ke langit malam. Cuba mencari kerdipan
bintang di sebalik awan mendung yang masih berbaki. Leteran si ibu yang singgah
ke cupingnya diabaikan. Memang dia hafal sangat. Bukan sekali, bukan dua kali.
Setiap kali dia pulang ke rumah ini, itulah yang dibaca oleh ibunya. Skripnya
sama saja. Tidak ditambah, tidak pula ada yang tertinggal.
Kalaulah perbuatan itu semudah mulut yang bertutur, sesenang
mengetik jari, sepantas mata mengerlip, bukannya sekarang, malahan dari dulu
lagi dia sudah melupakan semua peristiwa itu. Mungkin juga hidupnya bahagia
ketika ini. Barangkali juga sudah berumah tangga. Dah berderet anaknya dua
tiga, tetapi dia tak mampu untuk semudah itu membuang rasa bersalah yang
menghurungnya selama ini.
“Zizah... Zizah dengar tak apa yang mama cakapkan ni?”
“Ma..., Zizah ni baru 27 tahun tau. Belum tua lagi. Yang
mama ni risau sangat kenapa?” keluh Azizah perlahan. Anak matanya masih tancap
ke langit.
“Tak tua kamu kata?! Kamu pandang mama ni Zizah!” Keras
nada yang dilemparkan oleh Puan Ainon.
Perlahan Azizah menukar pandangan. Diredupkan anak matanya,
memohon simpati si ibu. Harap-harap, mamanya menaruh belas terhadap dia. Tidak
di‘basuh’ untuk kesekian kalinya.
“Hah, Mulalah tu buat muka kesian!” Puan Ainon mengetap
bibir. Arif benar dia dengan perangai Azizah. Kalau tidak mahu dibebelkan,
mulalah buat muka seposen.
“Kamu dengar sini.” Puan Ainon mengendurkan sedikit nada
suaranya. Lebih baik dia berlembut. Kalau tegas sangat, tetapi sedikit pun tidak
ada kata-katanya yang melekat di benak anak daranya ini, buat apa.
“Abang kamu yang tiga orang tu, semuanya dah ada
kehidupan dan keluarga mereka masing-masing. Tinggal kamu saja yang masih duk
lagu ni. Mama ni, makin hari makin tua Zizah... Bukannya makin muda... Kamu pun
sama juga.” Puan Ainon berhenti seketika menelan liurnya. Sambil itu otak ligat
berfikir, ayat apa yang perlu digunakan agar dapat menterjemahkan kerisauannya
terhadap Azizah secara tepat.
“Mama nak sangat tengok Zizah macam perempuan lain. Ada
suami, ada anak dan ada kehidupan yang bahagia. Biarlah hari-hari tua mama dan
papa, kami lalui dengan hati yang tenang,” gumam Puan Ainon perlahan. Kali ini
anak matanya pula merenung redup ke arah Azizah minta dikasihani. Minta difahami.
“Mama dan papa selalu risaukan Zizah. Apa akan jadi pada kamu,
jika ditakdirkan kami tak ada lagi nanti?” Puan Ainon menyambung kata-katanya.
Azizah tunduk memandang hujung ibu jari kaki di atas
meja. Dia diam membisu. Membiarkan sahaja ibunya meluahkan apa yang terbuku di
dada. Tiada langsung niat di hati ingin mencelah.
“Kami risau tengok kamu hidup macam ni. Siang malam,
asyik kerja, kerja, kerja. Kawan lelaki langsung tak ada. Dengan cara kamu,
sikap kamu yang keras macam ni, mana ada lelaki yang nak dekat. Mereka rapat
pun tak berani. Asyik tayang penumbuk saja. Kamu pun bukannya nak cari teman
lelaki.” Puan Ainon terdiam buat kali keduanya.
“Mungkin ini semua salah mama. Sebab mama kamu jadi macam
ni,” bungkam Puan Ainon kemudiannya. Mula menyalahkan dirinya sendiri. Seperti
selalu.
“Ma..., apa yang mama merepek ni?” Pantas Azizah menegakkan
tubuhnya menentang si ibu. Dia jadi begini, tidak ada kena-mengena dengan
ibunya. Bukan sebab ibunya. Dia jadi begini atas pilihannya sendiri.
Puan Ainon merenung wajah Azizah dalam-dalam. “Mama dan
papa dah fikir banyak kali tentang kamu ni, Zizah. Dan kami pun dah setuju.
Mungkin ini saja cara yang terbaik. Dah puas kami nasihatkan, tapi semuanya tak
meninggalkan kesan pada kamu.”
Hati mula dup dap
dup dap. Lain benar skrip ibunya kali ini. Ada dibuat penambahan. Bicaranya
tidak seperti selalu. Seperti ada maksud yang tersembunyi. Ada makna yang
disorokkan.
“Cara? Cara apa? Mama dan papa nak buat apa?”
“Ada sebab kenapa mama dan papa panggil Zizah balik hari
ni. Kami tak boleh biarkan kamu terus hidup macam ni. Dah cukup lama kami
biarkan kamu. Sekarang tiba masanya kami melakukan apa yang patut kami lakukan
dari dulu lagi. Mama dan papa harap, Zizah setuju.”
“Hah?! Setuju? Setuju apa?”
Hati semakin tidak sedap.
No comments:
Post a Comment