Bang!
Pintu kereta ‘hantam’ Iskandar dihempas sekuat hati.
Kalau nak tercabut pun pintu tu, lantaklah. Itu pintu kereta Iskandar, bukan
pintu kereta dia. Kalaulah tidak kerana dia hampir putus nafas kerana berjoging
stail 100 meter tadi, tak ingin dia naik sekereta dengan mamat ni.
Iskandar pula sengaja mengekor dengan kereta di belakang
ketika dia berlari tadi. Apabila melihat dia tidak larat lagi hendak berlari,
cepat-cepat lelaki itu mengambil peluang. Terus berhenti sebelah dan pelawa dia
naik kereta ‘hantam’ tu. Hendak tidak hendak, kerana terpaksa, dan sebab tidak
larat lagi hendak menapak balik ke rumah, dia tebalkan mukanya menumpang kereta
Iskandar.
“Awak hempas macam mana kuat baiklah Zizah, kereta saya
ni tetap rasa bangga sebab awak sudi jejakkan punggung awak tu pada kerusi ni.”
Iskandar kerling sambil mengangkat sebelah keningnya kepada kerusi penumpang di
sebelah.
“Kalau saya larat nak balik, saya tak hingin naik kereta awak nilah!”
“Itulah..., yang awak berlari macam kena kejar dek hantu
tadi apasal...?”
“Memang pun kena kejar dek hantu. Awaklah hantunya.
Hantu!” Pantas Azizah tinggalkan Iskandar. Pintu pagar dibuka dan ditolak
kasar. Selepas melepasi pintu pagar itu, dibiarkan saja pintu itu ternganga
luas. Hatinya bernanah, apabila telinga mencerap ketawa Iskandar yang berdekah-dekah.
“Bengong! Orang marah dia, dia boleh ketawa pula. Memang sawan mamat tu!” Sambil melangkah, mulut
Azizah tidak habis-habis menggomel.
“Eloklah biarkan pintu pagar tu terbuka. Senang saya nak
masuk bila saya datang nanti. Lagi baik kalau biarkan pintu rumah terbuka juga,”
jerit Iskandar.
Suara lelaki itu sayup-sayup sampai ke cupingnya. Azizah
tidak peduli. Jauh sekali hendak berpaling. Langsung tidak diendahkan apa yang
dikatakan oleh lelaki itu tadi. Beberapa saat selepas itu, deruman ekzos kereta
Iskandar kedengaran memecah sunyi lorong rumah itu.
“Pencemaran bunyi betul!” regus Azizah yang sedang marah.
No comments:
Post a Comment