Bab 5
“Kenapa pagi-pagi lagi dah buat muka macam ni?” tegur
Puan Ainon apabila melihat wajah Azizah keruh sewaktu muncul di dapur.
“Muka macam mana?” Azizah menyoal mamanya semula. Pelik!
Rasanya, muka dia seperti biasa saja. Tak ada yang ganjil. Hidung, mulut, mata
masih terletak di tempat yang sama.
“Muka masam. Muncung.”
Azizah meraba wajahnya.
“Muka macam orang tengah berserabut otak!” tambah Puan
Ainon lagi.
Eh! Nampak sangat ke? Segera Azizah ubah air muka. Biar
nampak manis pada mata mamanya. Kalau tidak, mamanya akan tambah lagi kategori
muka dia ni. Serabai ke, sememeh ke, tak ke haru. Mamanya kalau bab mengusik
atau memerli, boleh tahan juga.
Entah macam mana rupa wajah dia tidur malam tadi.
Berkerut seribu agaknya. Pasal itulah mamanya boleh membaca kecelaruan fikirannya
hanya dengan melihat raut muka. Memang cerah masa depan nak jadi tua sebelum
tiba waktunya.
Ni semua pasal si mangkuk tu lah! Macam mana otak tak berserabut
kalau dia asyik ingatkan Iskandar saja. Bukan sebab angaukan Iskandar, tetapi
fikir bagaimana Iskandar tahu sejarah dia dan Aziz. Otak dia ni tak berhenti
berfikir, sampailah terlelap. Sebab tu kerut di dahi melekat sampai ke pagi.
“Takkanlah Zizah fikir pasal pinangan Iskandar tu sampai
macam ni sekali?” tebak Puan Ainon.
Nak jawab apa? Bagitau
mama yang aku jadi macam ni lepas terjah rumah mamat tu malam tadi, semata-mata aku nak tahu pasal Aziz? Lepas tu cakap
pada mama, aku jadi serabut sebab Iskandar tahu pasal Aziz? Baik tak payah!
Tidak mahu cari masalah dengan mamanya, Azizah memutuskan
untuk pendamkan saja.
“Mestilah ma... Mama ingat tiga bulan tu lama ke? Pejam
celik, pejam celik sekejap saja habis tiga bulan. Nanti, Haji Mahadi tu datang
balik, Zizah masih tak ada keputusan, macam mana?” Jawapan yang amat play safe...
“Jangan sampai kamu terbeban, Zizah. Iskandar tu pun
kerja dekat Seremban juga. Nanti bila kamu balik, bolehlah jumpa dia dekat
Seremban. Selalu berjumpa, lagi cepat kamu kenal dia. Tahu perangai dia macam
mana. Lagi mudah jumpa keserasian tu.”
Azizah renung tepat wajah mamanya. Tangan yang sedang
mengupas kulit telur rebus terhenti dari bekerja. Terasa pelik pula dengan
tutur kata mamanya sebentar tadi. Nak suruh dia selalu keluar dating dengan Iskandar ke apa?
“Supporting
sangat pula mama kali ni? Tak kisah pun Zizah selalu keluar dengan Iskandar
tu?” Tangan mengupas telur rebus semula.
“Iskandar tu mama dah kenal siapa dia. Siapa mak bapak
dia. Sebab tu mama tak risau kalau Zizah keluar dengan dia...”
Azizah geleng kepala. Dah berkenan tu, ada saja alasannya.
“Tengoklah nanti. Iskandar tu tak cakap apa-apa pun. Takkanlah Zizah ni terhegeh-hegeh
nak ajak dia keluar. Biarlah dia yang ajak.”
“Mama cakap dekat dia, ya?”
“Ish! Apa mama
ni? Nanti dia ingat apa pula. Kalau dia nak keluar dengan Zizah, tak payah
tunggu mama bagitau dia. Pandailah
dia cari Zizah.” Geram pula Azizah kepada mamanya. Selalu sangat lebih sudu
dari kuah.
Puan Ainon tersenyum melihat wajah anaknya yang mencuka.
“Yalah..., yalah... Mama tak cakap apa-apa dekat Iskandar.”
Azizah kerut dahi. Senyuman itu nampak ganjil di matanya.
Seperti ada sesuatu.
“Mama jangan...” Mati kata-kata Azizah separuh jalan
apabila mamanya cepat memangkas.
“Hari ni balik Seremban pukul berapa?” Puan Ainon mengubah
tajuk perbualan mereka sambil tangan sibuk mengacau sambal tumis di dalam
kuali. Dia tahu, Azizah dapat meneka ada sesuatu yang disembunyikan di dalam
kepalanya ini. Kalau Azizah tahu, tentu anaknya mengomel panjang. Sah-sah
Azizah takkan berkenan dengan apa yang dia aturkan.
“Zizah balik petang.”
“Eloklah. Boleh makan tengah hari dulu.” Puan Ainon
senyum lagi.
“Mama ni kenapa?”
“Kenapa apa?”
“Dari tadi senyum lain macam sangat.”
“Mana ada?”
“Ya... Zizah kenal sangat senyum mama tu...”
“Zizah saja yang rasa macam tu. Senyum mama ni biasa
saja.”
“Yalah tu!” Azizah tinggalkan kerja mengupas telur rebus yang
baru dilakukan separuh jalan. Dia tahu, senyuman mamanya itu ada sesuatu,
tetapi masih juga tidak mahu mengaku. Entah apalah yang hendak disembunyikan.
Lebih baik dia beredar. Kalau tidak, mereka akan terus berbalas kata.
“Zizah nak pergi mana tu?”
“Joging!”
Pandangan mata Puan Ainon menghantar langkah Azizah meninggalkan
dapur itu. Kepalanya digelengkan beberapa kali. “Boleh ke Iskandar bersabar
dengan perangai Azizah ni nanti? Keras kepala, degil, kasar, cepat melenting.
Nak selalu buat kerja dapur, memang taklah. Tengoklah ni! Dah tahu aku sedang
sibuk buat nasi lemak, bukannya nak tolong siapkan meja ke, apa ke. Kupas telur
pun sekerat jalan. Tapi..., kalau tak cuba tak tahu pula. Manalah tahu,
Iskandar tu boleh mengubah Azizah.”
Puan Ainon senyum. Dia yakin dengan keputusannya.
Rancangan tengah hari ini akan diteruskan juga.
Azizah menutup pintu pagar dan mula berlari keluar dari
taman perumahan itu. Dah lama dia tidak berjoging. Sibuk sangat dengan kerja.
Shifnya juga tak tentu masa. Kadang-kadang pagi. Kadang-kadang petang. Bukannya
ada jadual. Ikut mana tenaganya diperlukan saja. Lebih-lebih lagi dia tidak ada
rakan sejawat. Biasalah kalau kerja di pasar raya besar. Tambahan pula TESCO beroperasi
dari jam lapan pagi hingga jam satu pagi keesokan harinya. Memang tak
menentulah waktu kerjanya.
Tidak sampai satu kilometer Azizah berlari, dia sudah
berhenti. Nafasnya semput. Rasa seperti hendak terputus nyawa pun ada juga.
Perut pula keras dan senak.
Heh! Azizah. Kau dah lembik sekarang ni. Dah tak keras
dan cergas macam dulu lagi. Bukannya merentas desa. Baru joging saja kot. Tapi
gaya macam nak pengsan dah, rengusnya sendiri.
Dipanjangkan langkahnya menuju ke bus-stop berhampiran. Tidak sabar hendak duduk melepaskan lelah. Helaan
nafasnya yang tercungap-cungap ini, perlu distabilkan semula. Cecah sahaja
punggung pada bangku simen itu, lantas sweater
dibuka lalu dikibas-kibaskan ke muka yang merenik peluh-peluh kecil. Dia
melihat kepada matahari yang mula meninggi.
Rasanya sudah hampir pukul sembilan pagi, getus Azizah.
Tidak tahan dengan silau cahaya matahari, mata dijatuhkan
ke bangunan di atas bukit di hadapannya. Itu bangunan kantin Sekolah Menengah
Kebangsaan Datuk Abdullah. Di situlah dia berkenalan dengan Aziz buat pertama
kalinya. Bila terkenangkan detik itu, dia tersenyum sendiri.
“Sorang saja?”
Sapa satu suara garau. Azizah merengus geram. Baru saja
hendak mengimbas kenangan lama, sudah ada yang datang mengganggunya. Pantang
nampak anak dara, nak saja try usha. Siapa
agaknya yang berani mengacau dia? Nak sangat agaknya kena penampar boya. Mata dikalihkan kepada sumber
suara itu.
Ceh! Macam mana aku boleh jumpa dia dekat sini pula? gumam
Azizah.
Muak betul matanya asyik tengok muka yang sama saja dua
hari ni. Tanpa dipelawa, lelaki itu dengan tidak segan silunya mengambil tempat
di sebelahnya. Rapat. Sangat... rapat, hingga siku mereka berlaga. Dia angkat
punggung untuk menjarakkan sedikit kedudukan antara mereka.
“Kenapa senyum sorang? Ada yang menggelikan hati ke bila
tengok kantin tu?”
Sambil bertanya, lelaki itu menghulurkan sebotol air
mineral kepadanya. Mamat ni macam
tahu-tahu saja tekak dia tengah kering. Nak ambil ke tak? Nak ambil ke tak? Anak
mata tidak kalih melihat botol tersebut.
“Ambik
sajalah... Pandang lagi buat apa?”
Iskandar tarik tangannya. Botol air mineral ECPI diletakkan
ke tapak tangan. Badan keras sekejap bila genggaman Iskandar terasa panas pada
kulitnya. Sesaat selepas itu dia tersedar. Cepat lengannya direngkuh dari
genggaman tangan Iskandar.
“Suka-suka hati awak pegang tangan saya.”
“Dah awak tu malu-malu nak ambik. Saya tahu awak haus...,” balas Iskandar. “Nah!”
Anak mata Azizah melihat pisang montel yang dihulurkan
kepadanya. “Buat apa?”
“Makanlah! Buat apa lagi? Penyelidikan yang dijalankan,
membuktikan dua biji pisang boleh membekalkan tenaga untuk kita melakukan kerja
atau senaman berat selama 90 minit.”
“Tapi awak baru bagi saya sebiji?”
“Cukuplah... Awak bukannya merentas desa. Baru joging
saja. Muka awak tu, macam nak pengsan! Kalau awak pengsan, agak-agaknya awak
bagi tak saya cempung awak? Baru pegang pun awak dah melenting.”
Ceh! Ini perli ke apa ni? Tak ada mananya aku nak bagi kau
cempung aku. Dalam mimpi pun takkan. Dalam pada hatinya menceceh geram itu,
disambar juga pisang montel yang dihulurkan oleh Iskandar. Penutup botol air
dibuka. Selepas meneguk sekali dua, dia kupas pisang montel dan memakannya.
“Kenapa senyum sorang? Ada yang menggelikan hati ke bila
tengok kantin tu?” Iskandar ulang semula soalannya tadi.
Lelaki di sebelahnya ini Azizah kerling dengan hujung
mata. Mulut berat hendak membalas pertanyaan itu.
“Kenapa awak senyap? Awak masih marahkan saya pasal malam
tadi?”
“Itu soalan bodoh namanya. Dah tahu lagi nak tanya,”
perli Azizah.
Jangan kata nak marah bila dah di‘bahasa’kan begitu, Iskandar
terasa hati pun tidak. Jejaka di sebelahnya ini masih seperti selalu. Suka
menayang senyum kambing dia tu.
“Saya mintak maaf kalau awak masih marahkan saya. Okey.
Kita buat deal.”
“Deal? Deal apa benda?” Anak mata Azizah tunak
memandang lelaki itu. Nak pujuk? Jangan haraplah! Dia tak makan dipujuk. Setakat
muka klon Fahrin Ahmad ni, tak bergoyang langsung hatinya.
“Awak bagitau
saya kenapa awak senyum bila pandang kantin sekolah tu. Dan saya akan bagitau awak, dari mana saya tahu pasal
awak dan Aziz.”
Memang mamat ni
pandai bertoleransi betul! “Baik. Kita deal!”
“Awak cerita dulu,” ujar Iskandar.
“Mana boleh! Awaklah.” Azizah tidak mahu mengalah.
Buatnya Iskandar kelentong, lepas dia cerita Iskandar tak mahu pula beritahu,
tak pasal saja.
“Saya yang buat deal
ni, jadi awaklah kena bagitau dulu.
Kalau tidak, saya baliklah. Dan awak sampai bila-bila takkan tahu bagaimana
saya tahu pasal Aziz.” Iskandar bangkit meninggalkan bangku simen. Berlagak
seperti mahu bergerak ke kereta Toyota Vios ‘hantam’ yang terparkir di tepi
jalan.
“Ceh! Main ugut
nampak?”
“Kalau tak setuju tak apa... Saya balik dululah.” Kaki
diangkat untuk mula melangkah.
“Okey! Saya cerita dulu.”
Iskandar senyum. Punggung dilabuhkan semula pada tempat
yang sama. Menunggu Azizah mula berhikayat cerita lama.
“Masa tu saya di tingkatan empat...” Cerita dimulakan.
Mata tancap melihat bangunan kantin di atas bukit. Benak mula terbayang. Dia
masih ingat lagi kejadian waktu rehat pada satu pagi lebih sebelas tahun yang
lepas.
******
“Zah!”
Satu tamparan kuat hinggap di belakang Azizah.
“Allah!” Terperanjat Azizah dibuatnya. Dia terdorong ke hadapan
akibat daripada tamparan dan sergahan suara itu. Suara yang memang cukup dia
kenal. Siapa lagi kalau bukan teman baiknya, Rozaini. Pantas kepalanya dipaling.
Kemudian tubuhnya pula dikalihkan untuk bertentangan dengan Rozaini. Tangan
dicekak ke pinggang bersama riak wajah yang diseriuskan.
“Engkau ni Zai, tak boleh ke panggil orang elok-elok
sikit?” Bahang marah Azizah menyerbu ke muka. Temannya yang seorang ini memang
selalu begitu. Tidak pernah bersopan santun bila menegur.
“Alah sorry
la... Kau bukannya tak tahu perangai aku!” Senyum sumbing terpamer di bibir
Rozaini.
“Berapa kali aku nak bagitau
kau? Panggil aku tu baik-baiklah sikit. Ni tidak, nak menempik saja. Selalu
sangat kena sergah macam ni, boleh mati sakit jantung aku, tau!” Azizah jengulkan
mata bagi mengisyaratkan kemarahannya.
“Hehehe...”
Terhembur ketawa Rozaini.
“Kau ni apasal?
Aku tengah marahkan kaulah! Bukannya aku buat lawak. Yang kau ketawa macam
pontianak mengilai ni apa hal?” Terbit garis kehairanan di dahi Azizah.
Langsung Rozaini tidak ambil serius rasa marah yang dipamerkannya.
“Tak adalah... Aku ketawa bukan pasal kau buat lawak, tapi
muka kau tu yang kelakar. Hehehe...” Hilai
Rozaini bersambung.
“Kenapa dengan muka aku?” Tajam dia merenung kepada
Rozaini.
“Pucat lesi tak berdarah!”
“Ah! Malaslah layan kau. Lebih baik aku pergi makan nasi
lemak Cik Lijah dekat kantin.” Azizah menyusun langkahnya meninggalkan Rozaini.
Tawa Rozaini terus terhenti.
“Wei! Cik
Jijah! Tunggulah aku.” Segera dituruti jejak Azizah. Diraih bahu sahabatnya itu
lalu dilingkarkan tangannya pada bahu Azizah. Kemudian mereka berjalan
beriringan menuju ke kantin sekolah. Rozaini kerling sahabatnya. Wajah Azizah
masih cemberut.
“Okey... okey... Sorry
la... Kau ni Zizah, nampak saja brutal, tapi lemah semangat. Kuat merajuk pula
tu. Aku panggil macam tu pun, kau dah terkejut katak,” usik Rozaini. Sebenarnya
dia sedang memujuk. Ditepuk perlahan bahu Azizah.
“Aku bukannya lemah semangat, cuma cepat terperanjat saja.
Kau ni, macam baru sehari dua kenal aku. Aku kan memang tak suka kena
sergah-sergah. Darah gemuruh aku, cepat saja sampai. Hah! Kenapa kau lambat
keluar rehat hari ni?” soal Azizah. Api amarahnya tadi reda sedikit apabila
dipujuk begitu.
Dia dan Rozaini mana boleh bermasam muka lama-lama.
Mereka ibarat adik-beradik kembar. Rasa tak kena kalau hendak bermusuhan. Apatah
lagi nak menyimpan marah. Rozaini satu-satunya kawan dia yang paling rapat di sekolah
ini, walaupun mereka bukannya satu kelas dan aliran. Ketika di sekolah rendah,
kawan-kawannya terdiri daripada budak-budak lelaki sahaja. Begitu juga di
sekolah menengah. Rozainilah satu-satunya kawan perempuan dia. Mereka menjadi
sahabat selepas dia membantu Rozaini yang pengsan dalam pemilihan merentas desa
mewakili sekolah, ketika di tingkatan satu. Walaupun ketika itu, dia berpeluang
untuk menang dan sekaligus mewakili sekolahnya, tetapi kerana ingin membantu
Rozaini, dia sanggup melepaskan peluang itu. Semenjak itu, mereka menjadi
sahabat baik. Ditokok pula mereka sama-sama terpilih menyertai pasukan bola
baling, bola tampar dan hoki sekolah.
“Kau pun keluar lambat. Kenapa? Kalau tidak tu, kaulah
orang pertama menghadap muka Cik Lijah bila tiba time rest.” Rozaini membalas soalan Azizah dengan pertanyaan juga.
“Orang tanya dia, dia tanya kita balik!” bentak Azizah.
“Aku tolong Cikgu Omar hantar buku ke bilik guru tadi.
Engkau pula kenapa lambat?”
“Aku pun tolong cikgu juga. Tolong Cikgu Santha kemas lab lepas habis kelas Kimia tadi,” jelas
Azizah pula.
“Kita ni memang murid-murid contohkan?” Rozaini memuji diri
mereka sendiri.
“Sudahlah kau! Naik lif tekan button sendiri.” Lalu ditolak sedikit tubuh Rozaini. Mereka
sama-sama ketawa selepas itu sambil meneruskan langkah menuju ke kantin.
Setibanya di kantin mereka terus ke kaunter menyertai murid-murid
lain beratur untuk membeli makanan. Sedang mereka menanti giliran untuk membeli
makanan, suara ketawa berdekah-dekah sekumpulan pelajar lelaki di meja hujung
sebelah kiri kantin menarik perhatian Azizah. Direnung tajam kumpulan itu.
Ingin mengetahui apa yang sedang berlaku.
Huh! Asyik-asyik budak tak ada masa depan tu buat hal,
rengus Azizah.
“Zai! Kau tengok group
Ayim tu. Dia orang tengah buat apa tu hah?!” Dia mencuit bahu Rozaini agar
turut menyertainya memerhatikan kumpulan itu.
“Biasalah dia orang tu. Kalau tak pedajal orang lain, mesti tengah menyakatlah tu,” gumam Rozaini
turut memandang ke tempat yang sama.
“Siapa budak lelaki yang Ayim and the gang tengah kacau tu?” Mata Azizah masih lagi tertancap kepada
kumpulan itu.
“Entahlah. Tak pernah nampak pun.”
Dari tempat mereka beratur, jelas kelihatan kumpulan itu
sedang mengganggu seorang pelajar lelaki lain. Bekas makanan yang dibawa oleh
pelajar tersebut diambil, lalu dilayang-layangkan di hadapannya. Pelajar itu merayu-rayu,
agar bekalnya dipulangkan semula, tetapi mereka semua hanya mentertawakan dia.
Langsung tidak peduli permintaan budak lelaki itu.
Timbul rasa kasihan di hati Azizah apabila melihat budak
lelaki itu dipermainkan sebegitu rupa. Apa gunanya dia dilantik sebagai
pengawas, sekiranya dia tidak dapat mengawal situasi tersebut dan membiarkan
kejadian itu begitu saja. Dia ingin membantu. Setakat Ayim and the gang, tak susah mana nak handle. Gertak sikit saja, kecut perutlah mereka semua.
“Zai, kau tolong beli nasi lemak aku. Aku nak pergi settlekan budak Ayim and the gang tu.” Azizah tinggalkan
Rozaini di dalam barisan sebelum sempat Rozaini berkata apa-apa. Tak sabar
rasanya nak keluarkan aura kepimpinannya ini. Segera dihampiri kumpulan itu. Langkah
kaki diatur kemas supaya dia tampak berani dan tegas. Di Sekolah Menengah Kebangsaan
Datuk Abdullah ini, semua murid-murid kenal siapa dia. Seorang pengawas yang berani,
tegas dan keras. Satu sekolah menggelarnya ‘pengawas tomboy’. Berpadanan pula dengan penampilannya yang berambut pendek
dan bersifat seperti lelaki itu.
Banggg!
Tangan Azizah menghentak kuat permukaan meja.
“Hoi! Kau orang buat apa ni hah?!” Suara Azizah lantang.
Ditenung satu persatu muka kumpulan pelajar itu.
Akibat daripada hentakkan terbabit, tapak tangannya terasa
sedikit perit, tetapi dia buat tidak tahu saja. Control muka, biar nampak ganas. Senyap seketika kumpulan pelajar
nakal itu. Mungkin mereka terperanjat dengan hentakkan kuat tangannya tadi.
“Mana ada kita orang buat apa-apa. Betul tak Ayim?” dalih
salah seorang budak lelaki dari kumpulan itu, seraya menghalakan pandangannya
kepada ketua kumpulan mereka yang bernama Ahmad Zahim Johari a.k.a Ayim. Zahim ketika itu duduk di sebelah
pelajar yang mereka ganggu.
Anak mata Azizah kalih melihat pelajar yang menundukkan
mukanya merenung meja. Dia tidak tahu kepada siapa pelajar itu merasa takut.
Adakah takut kepada dia yang sedang buat muka ganas gila ni, ataupun kepada
Ayim and the gang tu? Dia tundukkan
lagi mukanya mahu melihat wajah pelajar tersebut dengan lebih jelas.
Confirm budak baru. Aku tak pernah nampak pun muka dia, detak
mindanya.
“Yalah Zizah... Mana ada kita orang buat apa-apa? Cuma
nak bergurau mesra saja dengan budak baru sekolah kita ni. Takkan nak kenal pun
tak boleh?” Zahim berkata sinis.
“Hekeleh... Nak
bergurau mesra konon... Nak berkenalan? Pegi
dah.... Bukan aku tak tahu perangai tak semenggah kau orang ni semua!” bidas
Azizah.
“Apa ni Zizah?! Kau cakap macam aku dan budak-budak aku
ni jahat sangat pula.” Zahim bangun dan meletakkan kaki kanannya ke atas
bangku. Tangan kanannya dialaskan ke lutut. Lagaknya sebiji seperti Sarip Dol,
samseng Kampung Dusun dalam cerita P. Ramlee.
“Kita orang nak berbaik saja dengan budak baru ni. Tak
salahkan? Kesian dia makan sensorang.
Tak ada kawan pula tu. Kita orang nak berkawan dengan dia pun tak boleh ke?”
“Memang muka kau orang ni, muka budak jahat. Kerja lain
tak ada. Mengusik dan menyakat orang saja. Kalau tak nak makan, janganlah duduk
dekat kantin ni. Baik kau orang semua blah
sekarang juga!” Riak wajah Azizah bertukar kemerahan menahan bengis. Jari
telunjuknya menguit-nguit di hadapan Ayim and
the gang.
“Apa hak kau nak halau kita orang?!” tengking Zahim kuat
sambil menundingkan jari telunjuknya pula. Tepat ke hidung Azizah. Seinci
sahaja jaraknya.
“Pooorah! Nak tunjuk
samseng pula dekat aku.” Azizah langsung tidak gentar. Perasaannya secuit pun
tidak bergarit.
Pelajar-pelajar lain yang berada di kantin ketika itu
hanya memerhati sahaja. Mereka tahu, Azizah mampu menangani perangai Ayim and the gang itu. Budak-budak yang
paling nakal dalam sekolah mereka ini.
“Memang aku tak ada hak nak halau kau orang dari kantin
ni, pasal ini tempat public. Semua
orang boleh duduk dekat sini. Duduk untuk makan, tapi kalau duduk sini, saja
nak buat kacau, baik kau orang pergi. Kalau tidak aku bagi nama kau orang semua
dekat Cikgu Azizan. Biar petang ni, kau orang jadi tukang basuh jamban. Toilet sekolah kita ni pun, dah lama tak
ada orang cuci. Sekarang aku offer.
Kau nak tak Ayim?” ugut Azizah.
“Ooo... Kau main kasar ya Zizah? Tak apa. Aku nak tengok
sampai bila kau boleh berlagak macam ni. Nak jadi jantan konon.” Zahim menepuk
pehanya sendiri. Rasa tercabar dengan ketegasan dan keberanian Azizah.
Pandangannya meliar ke serata ruang kantin. Ada di antara murid-murid di kantin
itu, memandangnya dengan pandangan mengejek. Semakin sakit hatinya.
“Jom geng kita blah!
Kau ingat Azizah. Buah kelubi buah kana, ada hari kau kena. Cik Lijah makan
tembakau, makan tembakau rasa payau, hari ni hari kau, tak bermakna hari-hari
pun hari kau!” Zahim memandang muka gadis di hadapannya dengan dendam kesumat
penuh di hati. Sememangnya dari dahulu lagi, gadis ini menjadi musuh tradisi.
“Tak apa Zizah. Kau belum kenal lagi aku ni siapa. Satu
hari nanti, aku pasti kau akan dapat balasannya,” kata Zahim kemudiannya. Dia
berlalu meninggalkan Azizah dan pelajar baharu tersebut. Diikuti pula oleh
pengikut-pengikut setianya.
“Blah la kau Ayim!
Nak berpantun bagai. Kau ingat aku tak tahu berpantun ke apa? Makan pengat buah
kelulut, kau ingat aku takut...! Jalan... daa...”
Azizah memerhati kumpulan itu pergi meninggalkannya dan pelajar baharu itu.
Setelah dia pasti Zahim dan kawan-kawannya keluar dari
ruang kantin itu, baru dia beredar. Dia ingin mendapatkan Rozaini semula. Tentu
Rozaini sudah lama menunggunya bersama sepinggan nasi lemak Cik Lijah yang dipesan
tadi. Beberapa tapak saja kakinya melangkah, pelajar baharu itu bersuara
memanggilnya.
“Zizah!”
Derap kaki terhenti. Azizah berpaling memandang kepada
budak lelaki itu. Alamak! Macam mana aku boleh terlupa pula nak perkenalkan
diri aku? Mesti dia ingat aku ni pengawas kerek.
Sombong. Tak nak berkenalan dengan pelajar baru macam dia. Azizah membantutkan
hasratnya untuk pergi.
“Mana tahu nama saya?” Kerut di atas kening Azizah
berlapis.
“Tadi! Budak-budak tu, kan panggil awak Zizah.”
“Ooo... Yalah!” Azizah tepuk dahinya sendiri. Mudah benar
lupa. Tentulah budak ni tahu namanya. Sepanjang pertengkaran antara dia dan Zahim
tadi, banyak kali namanya disebut oleh Zahim. Sah-sahlah budak baharu ni dapat
meneka dengan mudah.
Kaki disusun semula menghampiri budak lelaki itu. Dia
memandang ke arah pelajar tersebut. Kali ini tangan dihulurkan untuk
bersalaman.
“Maafkan saya. Terlupa pula nak perkenalkan diri saya
tadi. Mesti awak ingat saya ni sombongkan?” Azizah tersenyum kepada pelajar
itu.
“Eh! Tak adalah.” Segera huluran salam Azizah disambut.
“Saya Aziz Azizi Bin Malik, pelajar baru.” Disalami
tangan Azizah dengan penuh lemah lembut. “Terima kasih.”
Pantulan suara itu kedengaran begitu perlahan di telinga
Azizah.
Alamak! Patutlah budak lelaki ni kena sakat oleh Ayim and the gang. Sotong rupanya. Auww... Dalam hati tersenyum. Astaghfirullah...
Tak baik tau, Azizah! Lembut-lembut dia ni pun, ada hati dan perasaan juga.
Kesianlah dekat dia, sisi naluri murni Azizah memberi nasihat pula.
“Saya Azizah Azra Binti Azry. Boleh saya duduk di sini?” Azizah
mengambil tempat di hadapan Aziz.
“Apa salahnya. Duduklah. Saya pun rehat sorang saja.
Belum ada kawan lagi. Baru hari ni daftar masuk.” Aziz mempelawa sambil
bercerita tanpa dipinta.
******
“Ooo... Begitu rupanya awak berkenalan dengan Aziz.
Maknanya, awak ni super hero yang
telah menyelamatkan dialah? Yang peliknya, nak pula si lembut tu berkawan
dengan awak yang kasar ni, kan?”
Angin kus-kus
Azizah sudah datang. Kenapalah bila bersama Iskandar, angin puting beliungnya
cepat saja berpusing dalam badan? Bercakap dengan lelaki ini, memang menyakitkan
hati saja.
“Apa maksud kau?” Muka Azizah merah.
“Janganlah marah. Awak ni cepat sangat melentinglah.”
“Mana aku tak marah. Kau tengah mengata aku dan Aziz!”
“Bukan saya mengata. Tak salahkan apa yang saya cakap
tadi? Aziz tu lembut tapi nak pula berkawan dengan orang kasar macam awak ni. Dan
awak seorang yang kasar, nak pula berkawan dengan orang lembut macam Aziz tu.
Lepas tu, awak sanggup pula biarkan diri awak merana semata-mata kerana Aziz.
Itu yang pelik.” Iskandar tersenyum apabila melihat wajah Azizah mula naik
radang. Baginya, Azizah semakin cantik bila gadis itu marah-marah begitu.
“Kau peduli apa? Aku nak berkawan dengan orang lembut
macam dia ke, dia nak berkawan dengan orang kasar macam aku ke, itu kami punya hal
lah!” Azizah bangkit dari bangku simen. Melangkah meninggalkan Iskandar di
situ.
“Zizah tunggulah!”
Azizah buat tidak peduli.
“Zizah! Saya hantar awak balik.”
Semakin cepat Azizah melangkah.
“Zizah! Nantilah dulu.”
Apabila mendengar suara Iskandar semakin dekat, segera Azizah
memulakan lariannya. Laju, laju dan semakin laju. Bukan seperti berjoging lagi.
Sudah serupa orang berlari 100 meter. Entah dari mana datangnya tenaga dia.
Mungkin dari sebiji pisang pemberian Iskandar yang dimakannya tadi. Bila
teringatkan itu, rasa jam-jam tu juga dia mahu muntahkan semula pisang yang dah
ditelannya tadi.
Dah kutuk-kutuk aku, mengata aku, ada hati lagi nak
meminang aku. Dia ingat aku ni apa? Tak ada perasaan ke bila dia hina aku
dengan Aziz macam tu? Setiap hayunan lariannya tidak habis-habis menggerutu
tentang Iskandar. Berbakul-bakul sumpah seranahnya buat Iskandar. Memang setiap
kali mereka berjumpa, dia akan rasa menyampah tahap petala ketujuh kepada
lelaki itu.
Boleh ke bertemu jodoh kalau dah begitu?
No comments:
Post a Comment