Total Pageviews

Friday, July 31, 2015

Kau Yang Di Hatiku - Teaser 7



“Helo!”
“Assalamualaikum sayang...”
Erk! Sayang?
“Maaf ya, dekat sini tak ada orang nama sayang.” Kasar dia berbahasa. Bertanya siapa yang bercakap pun tidak, tiba-tiba nak panggil sayang apa hal!
“Awaklah...”
“Dalam rumah ni pun tak ada orang nama awaklah. Salah nombor!” Segera Azizah matikan panggilan. Entah siapa tah! Kacau saja orang nak berfikir.
Telefon diletakkan semula ke atas meja. Baru saja hendak berpaling, lagu Rude kembali berkumandang. Dia tarik semula telefon di atas meja dan dibawa ke depan mata. Nombor yang muncul pada skrin diteliti. Masih juga nombor yang sama.
“Dah tahu salah nombor, telefon lagi buat apa?!” rungut Azizah seraya menekan skrin.
“Awak ni tak faham bahasa ke? Dah tahu salah nombor, buat apa telefon lagi? Awak tahu tak, awak ni dah mengganggu saya?” Dia meradang.
“Assalamualaikum...”
Suara lelaki itu masih lembut memberi salam walaupun sudah di‘bahasa’kan sebentar tadi. Tak faham bahasa rupanya orang ni. Dah kena marah tu, faham-fahamlah dia tak suka diganggu. Dahlah tak kenal. Azizah ketap bibir menahan geram.
“Assalamualaikum... Hukum memberi salam adalah sunat. Manakala orang yang mendengar,  hukumnya wajib menjawab salam tu. Berdosa kalau awak tak jawab Zizah.”
Wait! Apasal dia rasa macam kenal saja suara ni?
“Mana awak ambik nombor telefon saya ni?”
“Jawab dulu salam saya.”
“Waalaikumussalam!” Kasar Azizah membalas.
“Mak oi! Garangnya bakal tunang saya ni. Tapi tak apalah. Elok juga awak garang-garang macam ni. Nanti tak adalah lelaki berani nak dekat dengan awak.”
Sakit telinganya kala mendengar suara lelaki itu ketawa kecil di hujung sana.
“Tunang?! Boleh jalan. Awak nak apa telefon saya malam-malam ni?”
“Boleh awak keluar sekejap tak?”
Ini yang buat dalam badan dia nak bertiup taufan Haiyan.
“Orang soal bukan nak jawab. Lepas tu tanya pula soalan yang merepek merapu. Tanya saya boleh keluar ke tidak apasal?” lengking Azizah agak kuat.
“Sebab saya dah ada depan rumah awak ni.”
“Hah?!”
“Dah lama saya berdiri dekat luar rumah awak ni. Dari tadi saya fikir, nak jumpa awak ke tidak. Hati saya ni, rindu. Dia nak juga jumpa awak.”
“Hah?!” Gila ke apa mamat ni?
“Kalau awak tak percaya, cuba awak tengok dari tingkap bilik awak tu. Saya ada dekat depan pintu pagar rumah awak ni.”
Bingkas Azizah turun dari katilnya. Segera menghampiri birai tingkap. Langsir yang menutupi cermin diselak ke tepi. Dia melihat ke bawah. Confirm! Kereta ‘hantam’ malaun tu ada depan rumah. Iskandar pula sedang bersandar pada kereta sambil melambai tangan kepadanya.
“Awak nak apa datang rumah saya malam-malam buta ni?”
“Turunlah sekajap. Saya nak jumpa awak ni.”
“Awak gila ke apa? Datang rumah anak dara malam-malam buta. Karang tak pasal saja kita kena tangkap basah tau!”
“Saya nak jumpa awak dekat luar rumah. Tepi jalan ni saja. Tangkap basah apa bendanya? Lampu jalan depan rumah awak ni terang-benderang. Kalau kena tangkap basah pun apa salahnya. Dengan ikhlas dan rela hati saya menikahi awak. Tak perlu nak tunggu jawapan awak lagi tiga bulan tu. Itu pun belum tentu awak nak bertunang dengan saya.”
Eeee... Menyesal pula benarkan mamat gilos ni eskot dia sampai depan rumah petang tadi. Bila tak bagi, Iskandar paksa juga sampai dia izinkan. Puas dia cilok sana, cilok sini, Iskandar mengekor juga buntut keretanya. Kalau tidak, gerenti Iskandar tak tahu rumah dia dekat mana.
Cik Zizah oi... Kalau kau tak bagi pun, kau ingat dia tak boleh tanya mama dan papa kau ke, kau tinggal dekat mana? Kau ingat dia tu bodoh sangat? Orang kalau dah hendak tahap cipan, sanggup ikhtiar apa saja. Hendak seribu daya, tak nak seribu dalih. Pernah dengar pepatah ni?
“Saya tak nak. Sekejap lagi kawan serumah saya balik. Nanti dia cakap apa pula tengok awak terpacak depan rumah ni.”
“Tak payahlah awak nak kelentong saya, Zizah. Kawan awak tu kerja syif malam. Besok pagi baru dia balik. Kalau awak takut sangat, jom kita keluar. Pergi kedai mamak depan sana. Tak ada sesiapa yang nak tangkap basah kita tengah ramai-ramai tu.”
Dahi Azizah berkerut. Aik! Macam mana dia tahu Rozaini kerja malam hah?

“Saya tunggu sampai awak turun.”
“Awak tunggulah sampai pagi besok. Saya takkan turun. Berembunlah dekat situ.”
“Kalau awak tak turun, awak yang rugi.”
“Kenapa pula saya yang rugi? Saya dapat tidur atas katil saya yang empuk tu. Awak tegaklah dekat situ jadi tiang lampu nombor dua.”
“Rugi, sebab awak takkan tahu bagaimana saya tahu pasal awak dan Aziz.”
Hah! Yalah..., mamat bongok ni belum menepati janji dia hari tu. Nak turun ke tak nak ni? Kalau tak turut, nanti sampai bila-bila tak tahu.
“Malam ni saja saya buat offer nak cerita dekat awak. Lepas ni kalau awak tanya, saya takkan bagitau.”
Suara lelaki itu kedengaran tegas pada corong telefon yang masih melekap di telinganya. Ceh! Nak ugutlah kononnya tu... Boleh jalan!
“Awak takkan tahu saya tahu pasal awak dan Aziz dari siapa. Bukan dari mama dan papa awak. Dan sah-sah juga bukan dari babah atau umi saya.”
Ya Allah! Menyampahnya dengan mangkuk ayan ni... Kenapalah Iskandar ni pandai sangat buat hati dia bergoncang macam dipukul ribut?
“Awak nak turun ke tidak?”
“Yalah, yalah. Saya turun.” Akhirnya Azizah bersuara melalui celah gigi yang menggigit bibirnya.
Yes!”
Dia lihat Iskandar mengepal penumbuk meraikan kemenangannya. Sempat juga Iskandar melayangkan flying kiss kepadanya. Hah! Flying kiss?! Tengoklah sekejap lagi... Flying kick dia pula yang terbang.
Terbang ke mana?
Terbang ke anu Iskandar. Biar merengkuk mamat tu.

Thursday, July 30, 2015

Kau Yang Di Hatiku - Teaser 6



“Makanlah. Rendang ayam ni saya masak special untuk awak tau. Brownies ni pun saya baru bakar sebelum datang ke sini tadi. Ini pun special untuk awak” Iskandar menundingkan jarinya kepada piring berisi brownies di dalam dulang.
Biar benar mamat bagero ni? Hebat sangatlah pula. Memasak pandai, membakar pun terror. Kalah dia.
“Pa..., Is balik dululah ya. Lagipun, Is dah lama sangat dekat sini. Is nak berkemas. Petang nanti nak balik dah.” Iskandar menghulurkan jabat kepada Encik Azry.
Azizah tidak ambil pusing. Lebih baik lelaki ini cepat beredar. Dia sudah tidak tahan berhadapan dengan Iskandar. Tangan perlahan-lahan menyudukan nasi ke dalam mulut. Hmm... Sedap juga air tangan mamat ni. Tak sangka pula air tangan si bagero ni sedap. Standard rasa masakannya lebih kurang mama juga.
“Eh! Takkan dah nak balik? Tunggulah sekejap. Kita minum kopi dulu. Mama tengah buatkan tu.” Encik Azry menahan.
“Tak apalah papa... Lain kali saja. Bukannya Is tak boleh datang lagi lepas ni, kan?”
“Ya, ya, ya...” Encik Azry mengangguk kepala.
“Is balik dulu ya. Is nak jumpa mama dekat dapur lepas ni.”
“Biar papa hantarkan ke pintu depan.”
“Tak apalah papa... Is boleh keluar sendiri. Papa teman Zizah makan. Kalau tak, dia tak habis makan nasi tu.”
Nak balik, balik sajalah! Sempat lagi nak menyakitkan hati dia. Azizah kerling Iskandar kurang senang.
“Yalah,” balas Encik Azry.
Selepas bersalaman, Iskandar menghilangkan diri ke tingkat bawah. Azizah pula meneruskan suapannya sambil diperhati oleh papanya.
“Zizah...” Encik Azry memanggil anaknya selepas agak lama mereka berdua berdiam diri. Lembut dan perlahan. Tidak melengking seperti tadi.
“Ya pa...,” sahut Azizah lemah. Sudu diletakkan ke dalam pinggan. Pinggan itu pula diletakkan di atas pehanya sebelum dia mencapai gelas minuman. Disisip sedikit air jus oren di dalam gelas itu. Kemudian gelas diletakkan ke atas meja. Selesai semuanya, baru dia memberi perhatian kepada lelaki di sebelahnya ini.
“Zizah... Selama ni pernah tak papa paksa Zizah buat apa-apa?”
Azizah kerut dahi tidak faham.
“Pernah tak papa suruh Zizah buat benda yang Zizah tak suka?”
Dia masih tidak faham, tetapi jawapan tetap diberikan. Azizah geleng kepalanya ke kiri dan ke kanan.
“Selama ni, papa ikutkan saja apa kehendak Zizah. Papa tak pernah larang. Papa tak pernah bantah. Dan papa pun tak pernah mintak Zizah buat sesuatu untuk papa. Betul tak?”
Dia angguk.
“Boleh tak sekarang ni, papa mintak Zizah buat sesuatu untuk papa dan mama? Bukan papa nak paksa, tapi papa nak Zizah buat ni ikhlas untuk papa dan mama. Boleh tak sekali ni saja, Zizah penuhi kehendak papa dan mama. Ini bukan untuk masa depan papa dan mama, tapi untuk masa depan Zizah.”
Azizah terdiam. Serasa sudah boleh meneka, apakah permintaan yang bakal diutarakan oleh papanya ini.
“Boleh ke Zizah?”
Dalam rasa berat hati Azizah angguk juga.
“Dengarlah nasihat papa ni Zizah. Papa ni orang tua. Sudah banyak makan garam dan gula.”
Azizah buka luas cuping telinga untuk mendengar buah bicara papa dia selanjutnya.
“Papa ni lelaki. Sebagai lelaki, papa tahu Iskandar tu jenis lelaki yang macam mana. Kalau mama yang menilai, ya mungkin, mama berkenankan Iskandar tu kerana paras rupa dia. Bagi lelaki seperti papa ni, papa menilai dia bukan semata-mata dari segi paras rupa saja. Dari segenap sudut papa teliti dan nilai. Perangai, tingkah laku, percakapan, cara berfikir, cara bertindak, semuanya papa ambil perhatian. Dan kesimpulannya, papa pasti dia seorang lelaki yang baik, Zizah. Iskandar ada kualiti untuk jadi pemimpin keluarga. Boleh dikatakan dia pandai serba-serbi. Dia pandai memasak. Sedap masakan dia. Betulkan?”
 “Ya pa. Sedap,” balas Azizah mendatar. Memang sedap pun masakan mamat tu.
“Nanti Zizah rasa pula brownies dia ni. Dah lama rasanya papa tak rasa brownies sesedap ni,” cerita Encik Azry lagi.
Mata Azizah kalih melihat piring brownies. Memang kelihatan menyelerakan. Tak sabar pula hendak merasa. Adakah benar sesedap yang papanya khabarkan?
“Kalau Zizah tak pandai memasak, dia pandai. Bukankah kekurangan Zizah itu akan disempurnakan oleh kelebihan yang dia ada? Itu salah satu ciri yang perlu ada dalam perkongsian hidup. Kelebihan seseorang itu akan menutupi kelemahan seseorang yang lain. Terutamanya pasangan suami isteri. Betul tak?”
Azizah goyang kepala setuju.
“Bukan itu saja Zizah. Papa yakin, dia mampu mendidik dan menjaga Zizah. Mengubah Zizah jadi lebih baik. Menjadi imam kepada Zizah. Sedangkan solat papa dan mama tadi dia imamkan. Takkanlah dia tak boleh jadi imam kepada keluarga sendiri. Bacaan surah-surah dalam solatnya juga tertib dan betul. Kalaulah papa ni perempuan, lelaki begitulah yang papa cari buat suami. Yang mampu menjaga kita di dunia, dan boleh membimbing kita ke jalan akhirat.”
Ah! Sudah! Nampaknya papa pun dah berkenan gila dengan mamat tu. Kalaulah papa yang lelaki ni boleh berkenan lelaki seperti Iskandar untuk dijadikan suami, apakah dia tidak mahu? Mahu atau tidak, jawapan itu hanya dia sahaja yang tahu.

Wednesday, July 29, 2015

Kau Yang Di Hatiku - Teaser 5



“Awak marah saya panggil awak sayang? Awak dua kali pengsan tadi, pasal tu ke? Awak pengsan sebab sebelum ni, belum pernah ada orang panggil awak sayang? Ke..., awak seronok sangat bila saya panggil awak sayang? Seronok sampai awak pengsan?”
Ceh! Ini soalan berbentuk apa ni? Inginkan penjelasan, kepastian atau soalan cacian? Dahlah soalan merapu. Panjang meleret. Iskandar dipandang penuh jelik.
“Awak ingat saya ni koman sangat ke? Sampai nak pengsan bila awak panggil saya sayang. Buat pengetahuan awak, ramai lelaki yang panggil saya sayang tau!” Memang betul pun. Bukan dia auta. Di tempat kerjanya, ramai juga yang memanggil dia sayang. Baik lelaki, baik perempuan.
“Saya mengusik awak saja tadi... Saja nak bergurau.”
Haih! Memang nak juga dia silatkan mamat ni. Bibir atas bawah sudah diketap kuat.
“Apa? Bergurau?” Puas Azizah menahan intonasi suaranya agar tidak terlalu kuat. Sedangkan kemarahannya ini dah jauh melambung tinggi. Bimbang sampai ke pendengaran papanya. Nanti kena marah lagi.
“Sekarang awak pilih. Nak tangan saya hinggap ke muka awak ke, ataupun kaki saya terbang ke anu awak?” Suara Azizah dalam nada tertahan-tahan.
Ish! Garangnya awak ni... Sanggup ke awak terbangkan kaki awak ke anu saya ni?” Anak mata Iskandar mengerling sedikit ke bawah.
“Hujung-hujung nanti, awak juga yang tak merasa.” Iskandar berseloroh.
What?! Hoi! Mamat ni, buat gurauan 18SX ke apa?
“Apa awak cakap?” Tangan diangkat tinggi. Penumbuk sudah dikepalkan. Memang ada yang bertelur di dahi sekejap lagi ni.
Shhh...” Muncung Iskandar jadi panjang.
“Papa dan mama awak, kan ada dekat sana.” Anak mata Iskandar mengerling pula kepada Encik Azry dan Puan Ainon di ruang rehat.
“Saya ni bakal menantu kesayangan mereka tau. Kalau berani, cubalah awak pukul saya.” Iskandar sengih nakal.
Cepat Azizah tersedar. Dalam hati tidak henti-henti menggumam geram. Kalaulah tidak kerana mama dan papanya ada di situ, memang selamat dahi mamat ni tumbuh telur. Tangan diturunkan lalu mengurut di dada. Meredakan bara di dalam hati yang terasa sudah terbakar ini. Menambak sabarnya yang semakin terhakis.
“Awak sakit dada pula ke? Nak saya urutkan?”
Tangan Iskandar seperti mahu singgah ke dadanya. Spontan kaki Azizah menendang kuat. Tepat ke tulang kering keting lelaki itu.
“Aduh!” Iskandar terjerit. Disertai dengan muka menyeringai menahan sakit.
“Padan muka! Berani awak buat gangguan seksual dekat saya. Kerja lain tak ada. Asyik nak menyakitkan hati saja. Ingat saya tak berani pukul awak” Azizah tersengeh sinis.