Semilir laut Selat Melaka yang bergerak
lembut, menyapa ke wajah bersihnya. Juraian anak rambut bermain-main di dahi
apabila disentuh tiupan bayu. Perlahan dia seka ke tepi, lalu diselit ke celah
telinga.
Dari atas pangkin beratap nipah ini, di
tepi Teluk Biru yang terbentang luas di hadapannya, dia merenung ke laut lepas.
Mega merah yang menata warna kaki
langit, dihiasi pula perahu-perahu kecil beroleng-olengan di muka laut, sedikit
pun tidak menarik perhatiannya.
Suasana damai itu langsung tidak mampu
menenangkan hatinya tatkala ini.
Mungkinkah kerana dia sudah biasa dengan
pemandangan seperti ini?
Ataupun mata sudah buta dalam menilai
keindahan alam maya ciptaan tuhan?
Zairin Elina melepaskan helaan nafas.
Apakah dia sedang mengeluh, menyesali
nasib sendiri? Entahlah... dia tidak tahu jawapannya.
Sebentar tadi, selepas membantu Tok
Alang di gerai minuman mereka di kawasan peranginan di hujung kampung, Zairin
Elina meminta izin untuk ke mari.
Tujuan asal untuk melayan rasa sedih di
hati. Moga-moga kesayuan ini mampu dibawa pergi bersama-sama hembusan angin
petang.
Tetapi nampaknya tidak begitu. Perasaan
hiba dia semakin menjadi-jadi pula.
“Ibu...” Rintih Zairin Elina.
Seraut wajah ibu yang amat dirindui terbayang-bayang
di seluruh pelusuk ruang mata.
Hari ini, umur Zairin Elina genap dua
puluh satu tahun. Ini bermakna juga sudah genap tujuh tahun ibu pergi
meninggalkan dia buat selama-lamanya.
Dia masih ingat lagi peristiwa hari itu.
Hari di mana Zairin Elina kehilangan ibunya ketika dia menyambut ulang tahun
yang ke empat belas.
Hanya kerana permintaan Zairin Elina
mahukan sebiji kek coklat sebagai hadiah, ibunya sanggup bergadai nyawa turun
ke laut walaupun dia tahu ketika itu musim tengkujuh sedang hebat melanda.
Untaian detik-detik itu bermain semula
di kotak kenangan.
Hari tersebut selepas pulang dari
sekolah dan usai saja solat Asar, Zairin Elina terus menunggu kepulangan ibunya
di pangkin itu.
Begitu lama dia menungggu. Dari matahari
terik bersinar hingga bertukar gelap. Dari angin sepoi-sepoi bahasa menjadi
ribut. Hujan pula turun mencurah-curah.
Bila hari semakin merangkak malam,
bayang sampan dan ibunya masih juga belum kelihatan. Zairin Elina tetap juga menunggu.
Sepanjang malam dia menangis risaukan
keadaan ibunya, sampai dia terlena di pangkin itu hingga keesokkan hari. Bila pagi
itu Tok Alang datang mengejutkan Zairin Elina, ibunya masih juga belum pulang.
Dia masih tetap setia menunggu. Doa
sudah berbakul-bakul dipohon, supaya ibunya selamat pulang. Tetapi hampa...
Selama dua hari berturut-turut Zairin
Elina bertapa di pangkin itu. Akhirnya dia menerima berita paling buruk dalam
hidup.
Orang-orang kampung menemui perahu ibu
Zairin Elina terdampar di hujung tanjung. Tetapi sayang..., hanya perahu ibu
dia!
Dan sehingga kini, selepas tujuh tahun
berlalu ibunya masih jua belum ditemui. Jika orang lain ada pusara untuk diziarahi,
tetapi tidak pada dia. Bagi Zairin Elina laut luas inilah kubur ibunya.
Setiap kali terkenangkan arwah, di atas
pangkin menghadap ke Teluk Biru inilah, tempat dia menghadiahkan surah Yasin
buat ibunya.
Pangkin beratap nipah ini adalah tempat
dia meluahkan rasa perasaannya. Rasa sayang, rindu, sedih dan seribu satu macam
lagi perasaan yang selalu menghimpitnya sepanjang waktu.
“Ibu...” Serunya lagi
Air mata menetis ke pipi.
“Arin! Mari kita balik nak!”
Zairin Elina menyeka air mata lalu
berkalih memandang insan itu.
“Hari dah nak masuk Maghrib ni. Tak baik
duduk termenung di sini lama-lama. Nanti ditegur dek jembalang air, lagi
susah!” Ujar lelaki tua itu lagi.
Tok Alang berjalan menghampiri Zairin
Elina. Susah benar nampaknya dia mengimbangkan badannya berjalan di atas pasir
pantai yang lembut dan tidak sekata itu. Segera Zairin Elina melompat turun
dari pangkin lalu mendapatkan lelaki tua yang semakin uzur ini.
“Kenapa atok datang ke sini?” Soal
Zairin Elina.
“Atok datang cari kamulah!” Pantas Tok Alang
menjawab.
“Tok takut Arin terjun masuk laut ke?”
Dia berseloroh, tidak mahu Tok Alang membaca kesedihan di hatinya.
“Ish... apa yang kamu merepek ni Arin!”
Tok Alang memandang Zairin Elina seraya menggeleng.
Zairin Elina tersenyum. Jelas di mata
Tok Alang senyuman itu tidak semanis raut wajahnya.
“Kamu tu kalau dah duduk termenung dekat
sini, lupa semuanya. Tok kan dah bagi tahu kamu tadi, cepat balik... Lepas
maghrib ni kita nak baca surah Yasin untuk arwah ibu kamu.”
“Arin ingat tok... Arin memang dah nak
balik ni, tapi atok sampai dulu pulak,” dia cuba berjenaka. Jenaka yang sememangnya
tidak lawak bagi si tua itu.
“Ya... lah tu? Sudah! Mari kita balik.
Nanti nenek kamu risau pulak.”
“Baik tok,” dia memaut lengan Tok Alang.
Dipimpin tangan lelaki itu agar lebih cepat berjalan.
“Tok..., besok Arin lambat sikit pergi
gerai boleh tak?”
“Kamu nak pergi rumah arwah ibu kamu
ke?” Tanya Tok Alang semula.
Zairin mengangguk lesu.
Faham benar Tok Alang dengan perangai
cucu angkatnya ini. Walaupun Zairin Elina bukan darah dagingnya, tetapi setiap
inci sifat gadis itu amat dia ketahui.
Zairin Elina bukan seperti anak gadis lain.
Dia tidak suka berpeleseran atau bersosial. Kalau anak gadis lain, habis saja
sekolah sudah tidak sabar-sabar hendak keluar dari kampung ini, mahu ke bandar
bekerja dan mencari hiburan di sana.
Tetapi Zairin Elina tidak.
Dia lebih suka duduk di kampung. Lebih
gemar membantu Tok Alang di gerai minuman milik mereka itu.
Tambahan kudrat Tok Alang tidak lagi
seperti dulu. Dia tidak mampu menguruskan gerai itu sendirian.
Mujur Zairin Elina ringan tulang
membantu. Pelanggan juga semakin hari semakin ramai. Lebih-lebih lagi pada
hujung minggu atau musim cuti sekolah. Tidak menang tangan dia dan Zairin Elina
dibuatnya.
“Arin nak kemaskan rumah arwah ibu.
Sudah lama Arin tak ke sana. Boleh ya tok? Arin janji, lepas saja Zohor Arin
pergi tolong atok,” pinta Zairin Elina penuh sopan.
Sejuk hati Tok Alang mendengar tutur
bicara gadis ini.
“Boleh... kenapa tak boleh pulak?
Lagipun besokkan hari Khamis, bukan hujung minggu. Pelanggan pun tak ramai.”
Tok Alang bersuara sambil menghayunkan kepala ke atas dan ke bawah tanda
mengizinkan rancangan Zairin Elina.
“Malam lusa hingga malam Ahad, Arin nak
tidur rumah arwah ibu boleh tak tok? Rindu sangat Arin nak tidur sana.” Pinta
Zairin Elina lagi.
“Tok bukannya nak melarang Arin tidur di
sana. Tapi bahaya Arin tidur sana seorang diri. Arin tu anak dara. Kalau ada
perkara buruk berlaku, macam mana?” Bebel Tok Alang.
“Atok ni macam tak biasa pulak. Nanti
Arin ajaklah Tini temankan,” balas Zairin Elina pula.
“Eh! Bukan ke si Tini tu dah pergi Kuala
Lumpur?” Tebak Tok Alang. Dahi dikerutkan, petanda dia sedang keliru.
“Belum lagi... Sepatutnya memang dia dah
pergi. Tiba-tiba pulak agensi modelling tu panggil dia datang lagi dua minggu.
Katanya, bakal bos dia tu, dapat job durian runtuh di Hong Kong.”
Tok Alang hanya mengangguk-angguk.
Entahkan faham, entahkan tidak.
‘Kata nak jadi model, apasal jual durian
dekat Hong Kong pulak?’ Getus hati Tok Alang.
“Boleh ya tok?”
“Kalau dah macam tu kata kamu, tok
izinkanlah.” Tok Alang menepuk perlahan tangan gadis yang memimpinnya itu.
“Terima kasih tok,” luah Zairin Elina
sambil tersenyum.
Cerah sedikit mendung di wajahnya.
**********
Malam itu, usai sembahyang Maghrib
mereka bersama-sama membaca surah Yasin untuk disedekahkan pahalanya kepada roh
arwah Maimun, iaitu ibu Zairin Elina.
Ketika alunan surah Yasin memenuhi ruang
rumah yang sederhana besar ini, sesekali terdengar esakkan kecil Zairin Elina
menyulami bacaan itu. Nek Alang turut merasa sayu. Dia juga dapat merasakan
kesedihan Zairin Elina ketika ini.
Hati mana yang tidak sedih, jika
ditinggalkan orang tersayang untuk menempuh hidup di dunia ini sendirian?
Zairin Elina anak yatim lagi piatu. Dia
tiada ayah, tiada ibu, apatah lagi saudara mara. Dia sudah kehilangan tempat
bergantung ketika usia masih lagi mentah.
Pada bahu Nek Alang dan suamilah
tanggung jawap menjaga Zairin Elina digalaskan. Itulah amanat yang pernah
Maimun tinggalkan pada mereka. Pesan arwah Maimun kembali bermain-main di
cuping telinga Nek Alang.
“Mak Lang, Pak Lang! Sekiranya berlaku
sesuatu yang tak diingini pada saya. Saya amanahkan menjaga anak saya pada Mak
Lang dan Pak Lang. Hanya pada Mak Lang dan Pak Lang saya menaruh kepercayaan
untuk mendidik Arin. Saya banyak terhutang budi pada Mak Lang dan Pak Lang.
Dari hari pertama saya tiba di kampung ini hingga sekarang. Ketika saya
memerlukan bantuan, waktu saya susah, Pak Lang dan Mak Lang yang banyak
membantu saya. Dan saya memohon lagi pertolongan Mak Lang dan Pak Lang,
anggaplah Arin tu seperti cucu sendiri. Jagalah dia, sekiranya ditakdirkan saya
sudah tiada lagi nanti.”
Itulah amanah yang diucapkan oleh Maimun
sebelum dia turun ke laut pada hari terakhir hayatnya. Dan Nek Alang tidak
menyangka, itu adalah merupakan hari terakhir dia melihat Maimun.
Nek Alang sendiri merasa pelik! Dua hari
sebelum itu, sikap Maimun sudah kelihatan ganjil. Dia meminta Nek Alang
menyimpan satu kotak. Nek Alang tidak tahu apa kandungannya. Kata Maimun, kotak
itu perlu diserahkan pada Zairin Elina ketika usia anaknya mencecah dua puluh
satu tahun.
Bila Nek Alang bertanya kenapa
diserahkan pada dia untuk menyimpannya pula, jawab Maimun, dia bimbang kotak
itu akan dicuri orang bila dia tiada di rumah. Kata Maimun, kandungan kotak itu
amat penting bagi masa depan Zairin Elina.
“Sadaqallah...hula’zim...” Suara mereka
bertindan serentak menamatkan bacaan surah Yasin.
Zairin Elina terus mendapatkan Tok
Alang. Diraih tangan kecut Tok Alang lalu dicium. Kemudian dia mengensot pula merapati
Nek Alang. Tubuh wanita tua itu dibawa ke dalam pelukan.
“Terima kasih tok, nenek.” Zairin
memandang mereka redup.
Wajah ke dua-dua insan yang menggantikan
tempat ibunya di tatap lama.
“Kenapa nak berterima kasih pada kami
pula, Arin?” Soal Nek Alang lembut. Jari-jemari Zairin Elina digengam erat.
“Terima kasih kerana atok dan nenek sudi
menjaga Arin, rela menjadi tempat Arin berpaut, tempat Arin berteduh. Tempat
Arin menumpang...” Kata-kata Zairin Elina terhenti di situ bila jari kasar Nek
Alang melekat di muncungnya.
“Sudahlah Arin. Janganlah disebut-sebut
lagi tentang ini. Dah banyak kalikan nenek berpesan? Selagi tok dan nenek ada,
kami akan menjaga kamu!” Tungkas Nek Alang.
Jarinya diturunkan dan kembali
menggenggam jejari Zairin Elina.
“Ya Arin! Kami tak pernah menganggap
kamu sebagai beban pada kami. Bukankah dari dulu lagi atok dan nenek sudah
beritahu, walau apa pun kamu tetap cucu kami,” celah Tok Alang.
“Tok! Nenek! Arin janji, selagi ada
nyawa, Arin akan menjaga atok dan nenek.” Tutur Zairin Elina seraya merebahkan
kepalanya ke pangkuan Nek Alang.
“Ya lah!” Balas Nek Alang sepatah.
Kepala Zairin diusap-usap.
Tidak terniat lagi hatinya mahu
memanjangkan kesedihan gadis manis itu.
“Tanggal telekung ni. Mari kita makan.
Hari ni nenek masak ‘sepesel’ untuk Arin.”
Zairin Elina mengangkat kepala dari
pangkuan Nek Alang. Sambil tersenyum dia berkata.
“Wah! Pandainya nenek speaking London,”
usik Zairin Elina.
Rasa pilu sebentar tadi hilang begitu
sahaja.
Itulah Zairin Elina. Kematangan dia
mengatasi umurnya. Zairin Elina seorang yang bijak mengawal perasaan. Andai
sebentar tadi dia kelihatan sedih, dengan sekelip mata pula dia mampu mengukir
senyuman.
“Alah..., nenek bukannya bodoh sangat.
Dulu nenek sekolah orang putih tahu! Tapi takat darjah dua saja. Orang
dulu-dulu, hidup susah. Tak macam budak-budak sekarang. Semuanya ada bantuan.
Tengok saja kamu ni! Nenek suruh sambung belajar kamu tak mahu,” omel Nek Alang
berjela.
“Bukan Arin tak mahu. Kalau Arin pergi
belajar jauh-jauh, siapa nak jaga nenek? Siapa nak tolong atok?”
Telekung di kepalanya ditarik dan
dilipat.
“Ya lah! Ya lah! Tok tahu, Arin
sayangkan kami. Sanggup lepaskan peluang untuk belajar semata-mata kerana
kami,” bungkam Tok Alang.
“Tok...! Ilmu tu boleh cari di mana-mana
dan bila-bila masa saja. Buat sementara waktu ni, biarlah Arin berbakti dulu
kepada orang yang sudah banyak berjasa pada Arin, selagi masih ada hayatnya,”
ungkap Zairin Elina bersungguh-sungguh.
Tok Alang dan Nenek Alang tersenyum
bangga bila mendengarnya. Inilah kata orang, kalau kita buat baik, dibalas baik
juga. Zairin Elina adalah orang asing pada mereka, tetapi dia melayan Tok Alang
dan Nenek Alang seperti darah daging sendiri.
“Marilah kita makan. Lapar betul perut
atok ni rasanya!” Tok Alang bingkas bangun. Songkok ditanggalkan dan diletak di
atas almari yang dipenuhi dengan Al-Quran, kitab-kitab dan buku agama.
Nek Alang dan Zairin Elina turut bangun,
mengangkat sejadah serta telekung dan disidai pada dawai yang melintang di tepi
dinding.
**********
Di meja makan, mereka mengadap rezeki
serba sederhana itu dengan penuh rasa syukur. Tiada sedikit pun kedengaran
suara mereka ketika itu. Memang pantang Tok Alang kalau makan sambil berbual.
Tidak menghormati rezeki kata Tok Alang.
Selesai sahaja mencuci tangan, barulah
Zairin Elina bersuara.
“Sedap betullah rendang nenek ni!
Selalunya kalau nak merasa rendang nenek ni, kena tunggu hari raya saja,” puji
Zairin Elina.
Kembang kuncup- kembang kuncup hidung
Nek Alang bila dipuji begitu.
“Itulah sedap air tangan namanya...
Nanti kamu belajar dari nenek macam mana nak memasaknya,” usik Tok Alang.
“Betul! Betul! Betul! Nanti nenek
ajarkan Arin macam mana nak masaknya ya!” Ujar Zairin Elina dengan mata
menyorot ke wajah Nek Alang penuh teruja.
“Alah! Nenek masak macam biasa saja.
Arin pun tahu kan?”
“Memanglah Arin tahu.... Tapi kenapa
bila Arin masak, rasanya tak sama pun macam nenek punya? Ini mesti ada bahan
rahsia yang nenek tambah, tak bagi tahu Arin ni!” Zairin Elina menghalakan
telunjuknya pada Nek Alang.
Nek Alang sudah tersenyum simpul.
“Memang ada benda rahsia yang nenek kamu
tambah. Sebab itulah rasanya tak sama,” jenaka Tok Alang pula. Matanya sempat
menjeling ke arah Nek Alang.
“Hah! Betul ke nenek?!”
“Baiklah. Memandangkan hari ini, hari
lahir Arin, nenek nak bagi petua ni sebagai hadiah. Hadiah ni tidak ternilai
harganya, tapi berguna seumur hidup.”
“Apa dia tu nenek? Misteri sungguh
bunyinya.”
“Rahsia pengikat kasih sayang.”
“Bunyi macam ubat guna-guna saja!”
“Ish! Kamu ni Arin. Berdosa tahu kalau
kita buat macam tu.”
“Habis tu apa dia nenek? Cepatlah
beritahu,” Zairin Elina menghadapkan muka hampir pada Nek Alang. Tidak sabar
ingin tahu.
“Tapi ingat, kamu jangan beritahu
sesiapa. Ini rahsia turun-temurun keluarga nenek!”
“Okey, Arin janji. Arin tak akan cakap
dengan sesiapa. Cepatlah nenek!” Gesa Zairin Elina lagi. Tok Alang yang
memerhati hanya menyeringai sahaja sedari tadi.
“Tok moyang nenek kata, ini adalah cara
untuk mengeratkan hubungan kasih sayang antara keluarga. Kasih sayang suami
pada isteri, kasih sayang anak-anak pada ibu bapa.”
“Okey... okey..., setakat ni Arin rasa,
Arin faham. Tapi apa kena mengena rahsia ni dengan rendang nenek pulak?”
“Eh! Mestilah ada kena mengena. Ini
rahsia bukan untuk rendang saja, tapi untuk semua masakan nenek. Apa! Rendang
nenek saja ke yang sedap? Hari-hari nenek masak tu tak sedap?!”
“Sedap... Itulah yang Arin hairan. Nenek
masak telur kicap pun, menjilat jari Arin makan. Cepatlah beritahu nenek...”
Zairin Elina menggoyang-goyang tangan Nek Alang tidak sabar.
Tok Alang ketawa melihatnya.
“Bagitahu sajalah cik Alang oiii...
Kasihan budak ni, dah beria-ia sangat nak tahu. Boleh jugak dia amalkan bila
dia dah kahwin nanti.” Gurau Tok Alang dengan ketawa yang masih berbaki.
“Apalah atok ni! Tiba-tiba saja buka
cerita pasal kahwin. Siapa yang nak kahwin entah!”
Jelingan manja Zairin Elina lemparkan
pada Tok Alang. Dia buat-buat merajuk.
“Kamulah! Siapa lagi? Kamu tu dah cukup
umur, Arin. Sedang elok dah ni, kalau atok kahwinkan kamu.” Seloroh Tok Alang
lagi.
“Arin nak jaga tok dan nenek dulu...
Belajar pun Arin tak mahu, inikan nak kahwin pulak. Taknaklah!” Juih Zairin
Elina panjang.
Tok Alang menggeleng kepala seraya
ketawa. Tercuit hati tuanya dengan keletah cucu angkatnya itu.
“Cepatlah nenek bagitahu,” sekali lagi
tangan Nek Alang digoncang-goncang.
“Baiklah! Baiklah! Nenek bagitahu...
Tercabut pulak sekeru bahu nenek kamu goyang-goyang macam ni.”
Zairin Elina tersenyum puas bila Nek
Alang akhirnya beralah.
“Tak kira apa pun kamu masak, walau
goreng ikan masin sekali pun, sambil bersihkan tu kamu selawat ke atas Nabi
Muhammad S.A.W tiga kali. Kalau kamu menggulai, tak kiralah kari ke, rendang ke,
ataupun goreng sayur, kamu basuh tangan kamu bersih-bersih, lepas tu ambil
sedikit air, curahkan pada jari kamu ke dalam masakan sambil selawat.
Insyaallah..., atas berkat nama Nabi junjungan kita seluruh ahli keluarga yang
makan masakan kamu akan turut mendapat berkatnya sekali. Nanti tak adalah rasa
benci, iri hati dan cemburu sesama sendiri. Itulah ilmu pengikat kasih yang
diturunkan oleh tok moyang nenek. Lagipun kata orang dulu-dulu, kalau nak
mengikat suami ni..., mestilah diikat perutnya dulu. Kalau kita masak sedap,
nanti bertambah sayanglah dia.” Jelas Nek Alang mengakhiri sesi ‘kuliyah’nya.
“Oooo... itu ke rahsianya?! Patutlah
atok bukan main sayang lagi pada nenek. Rupanya dah kena ilmu pengikat kasih,”
senyum Zairin Elina panjang. Tok Alang mengangguk setuju.
“Kalau kamu tak percaya, lepas ni bila
kamu dah kahwin cuba buat pada suami kamu pula.” Canda Tok Alang
“Atok ni memanglah... Dari tadi asyik
suruh Arin kahwin saja.” Jeling Zairin Elina pada Tok Alang sekali lagi.
“Habis tu! Kamu tak nak kahwin?”
“Malaslah nak cakap lagi. Arin nak kemas
meja ni. Nanti Arin buatkan kopi-O untuk atok dan nenek. Tok dan nenek tunggu saja
di depan,” pantas tangan Zairin Elina menyusun pinggan dan mangkuk yang sudah
kosong untuk dibawa ke dapur.
“Atok tahu, Arin marah-marah tok pun,
Arin tetap sayangkan atok jugakkan?” Tutur Tok Alang masih mahu berseloka.
“Ya..., selagi nyawa dikandung badan,
selagi itulah Arin sayangkan atok dan nenek,’ luah Zairin Elina perlahan lalu
beredar dari situ.
Tok Alang dan Nek Alang memandang Zairin
Elina redup. Tersetuh hati mereka. Memang gadis itu baik seperti ibunya juga.
‘Maimun...’ Detak hati Tok Alang.
Bila Tok Alang teringatkan Maimun,
segera dia kalih melihat isterinya,
“Bila kamu nak serahkan barang Maimun tu
pada Arin, cik Alang?”
“Bila tiba masa yang sesuai saya akan
pulangkan. Arin pun sudah genap dua puluh satu tahun. Wajib saya menunaikan
amanah Maimun tu.” Balas Nek Alang hiba.
No comments:
Post a Comment