Total Pageviews

Wednesday, September 17, 2014

Kau Yang Pertama Dan Terakhir - 3

Bab 3



Usai memandikan Zairin Elina, Maimun menidurkan kembali anak itu. Setelah ditepuk punggungnya beberapa kali, Zairin Elina terus terlena. Mungkin dia kepenatan. Tambahan pula perut sudah kekenyangan.
Tiupan angin dari penghawa dingin, menyejukkan keadaan suhu bilik. Lagi bertambah cepatlah mata merasa kuyu.
Selepas dia pasti Zairin Elina sudah betul-betul terlena, perlahan-lahan Maimun turun dari katil ingin melangkah ke bilik air. Baju yang diletakkan oleh Sharifah Zahara di atas meja sudut di tepi katil, turut dicapai lalu dibawa bersama.
Selesai membersihkan diri, Maimun menunaikan solat Maghrib di sejadah yang sudah siap dihamparkan mengadap ke arah kiblat oleh Sharifah Zahara sebentar tadi. Diqada juga solat Zohor dan Asar yang tertinggal.
Usai saja solat, lama Maimun berteleku di sejadah. Memanjatkan doa kepada Allah S.W.T dengan penuh rasa kesyukuran. Berterima kasih kepada yang esa, kerana menghadirkan insan yang sudi menumpangkan dia walaupun hanya untuk semalam. Dipohon supaya Allah S.W.T sahaja yang membalas budi baik mereka. Kemudian Maimun juga memohon agar roh suaminya dicucuri rahmat, dan di tempatkan di kalangan orang-orang yang beriman. Semoga mereka di panjangkan jodoh bertemu di akhirat kelak.
Air mata yang mengiringi doa mengalir lesu di tubir mata. Perlahan dia menyeka.
“Ya Allah, kau tabahkanlah hatiku, dalam menempuhi segala dugaan darimu. Kau bantulah aku dalam mengingatimu. Kau perelokkanlah ibadahku terhadapmu. Dan permudahkanlah segala urusanku. Amin...” Dikucup telapak tangan dan diraup ke seluruh muka.
Telekung yang bersulam cantik di tepi, ditanggalkan dan dilipat kemas sebelum disangkut ke tempat penyidai. Sejadah juga di letakkan di situ.
Maimun memerhati ruang kosong di sebelah Zairin Elina. Tubuh memang sudah meminta untuk dibaringkan. Penat benar rasanya. Zahir dan batin, semua terasa lesu.
Ikut hati, ingin saja dia meluruskan badan di atas tilam empuk itu. Tetapi, adapnya masih lagi bersopan. Adat orang menumpang, haruslah pandai membawa diri.
Dia menghampiri Zairin Elina yang sedang nyenyak tidur. Dicium dahi anak kecil itu. Kemudian perlahan dia bergerak ke arah pintu dan berhati-hati menarik tombol, lantas keluar menuju ke dapur.
“Boleh saya bantu puan?” Sapa Maimun pada Sharifah Zaharah.
Sharifah Zahara yang sedang lincah menyusun pinggan ke atas meja sedikit terkejut dengan kehadiran Maimun.
“Eh! Kak Maimun. Tak mengapalah kak. Kakak berehat sajalah. Lagipun sudah hampir siap ni. Tinggal nak senduk lauk saja.” Balas Sharifah Zahara seraya tersenyum memandang Maimun.
Senang hati Maimun melihatnya. Jelas di mata Maimun, Sharifah Zahara tidak seperti orang kaya yang lain. Dia tidak sombong, angkuh ataupun bongkak. Malahan budi pekerti serta tutur katanya cukup baik.
Sedikit demi sedikit persepsi buruk Maimun terhadap orang kaya semakin terhakis. Siapa kata perangai semua orang kaya tu tidak elok? Ada juga orang kaya yang baik hati dan berhemah tinggi.
“Saya tolong sendukkan lauk ya, puan!”
Belum sempat Sharifah Zahara melarang, pantas Maimun menghampiri periuk yang terletak di atas dapur. Mangkuk yang memang sudah tersedia di atas kabinet dicapai. Lalu gulai disenduk ke dalam mangkuk.
Sekali lagi Sharifah Zaharah tersenyum pada Maimun.
Selesai sahaja mereka menyediakan hidangan di meja makan di ruang dapur, Sheikh Mustapha muncul bersama Sheikh Azri Sufian.
“Eh! Kak Maimun tak berehat ke?” Tegur Sheikh Mustapha apabila menyedari Maimun sudah berada di situ.
Maimun membalas dengan gelengan. Dia berdiri tegak di sisi meja. Kepala pula menunduk ke lantai. Ibarat seperti khadam berhadapan dengan tuan besar.
“Kenapa tak berehat...?”
“Saya tak penat encik.” Dalih Maimun.
“Anak kak Maimun dah tidur?” Tanya Sheikh Mustapha lagi.
“Sudah encik.”
“Terima kasih ya kak Maimun, tolong saya siapkan meja.” Bicara Sharifah Zahara pula.
“Tak mengapa puan. Sepatutnya saya yang harus berterima kasih, sebab encik dan puan sudi menumpangkan saya dan anak saya di rumah ini.” Tungkas Maimun perlahan.
Matanya kejap merenung ke lantai.
“Apa sangatlah pertolongan saya ni kak Maimun. Itukan sudah menjadi tanggung jawap saya sebagai seorang insan, membantu insan yang lain yang sedang dalam kesusahan. Betul tak?! Hari ini hari kakak, mana tahu, esok lusa hari saya pula.” Balas Sheikh Mustapha.
“Sudahlah kak! Mari kita makan. Nanti sejuk pula nasi dan lauk ni. Mari bang kita makan.” Pelawa Sharifah Zahara. Dia menarik kerusi untuk suaminya duduk.
“Ma..., tarikkan kerusi untuk Sufi juga...” Rengek Sheikh Azri Sufian manja.
“Eeee... susah betul ada dua orang lelaki nilah!” Sharifah Zahara mencuit pipi gebu Sheikh Azri Sufian.
Kerusi ditarik, kemudian Sheikh Azri Sufian lalu diangkat dan didudukan ke atas kerusi. Pipi mulus si cilik dicium penuh kasih.
“Thank you mama... So kind of you...” Puji Sheikh Azri Sufian mengambil hati mamanya.
“Bodek mamalah tu...” Tawa Sheikh Mustapha.
Sheikh Azri Sufian dan Sharifah Zahara turut ketawa.
Maimun hanya memerhati keletah keluarga bahagia itu. Jauh di sudut hati, dia merasa tersentuh. Alangkah bertuahnya mereka mempunyai keluarga sebahagia ini. Beruntung sungguh mereka. Bukan sahaja mewah dengan harta, tapi melimpah jua dengan kasih sayang.
**********
“Bang! Zara rasa kasihanlah dengan kak Maimun tu.” Sharifah Zahara memulakan perbualan, sambil membetulkan kedudukan bantal-bantal di kepala katil. Ditepuk-tepuk beberapa kali, agar bantal itu menjadi gebu.
Masih lagi terngiang-ngiang di telinga Sharifah Zahara, cerita Maimun sebentar tadi. Hampir saja dia mahu menitiskan air mata. Dia merasa simpati atas nasib malang yang menimpa Maimun.
“Suaminya baru saja meninggal dunia, anak pula masih kecil. Terpaksa pula keluar dari rumah sewa, kerana tak mampu nak bayar. Lepas tu, kena ragut lagi. Bertimpa-timpa betul musibahnya,” keluh Sharifah Zahara. Dia memanjat katil dan merebahkan badan di sebelah Sheikh Mustapha.
“Itu pun nasib baik abang tak terlanggar dia semasa kak Maimun tengah mengejar budak peragut tu petang tadi. Kalau tidak..., tak tahulah apa cerita kak Maimun dan anaknya tu. Entah-entah sudah terbaring dekat hospital sekarang ni,” sambung Sheikh Mustapha pula.
“Bang..., kalau Zara nak minta tolong abang sikit boleh tak?” Sharifah Zahara sudah beralih. Dia bangkit semula dan bersimpuh memandang ke arah suaminya.
“Abang tahu apa yang Zara nak katakan...”
“Eeee... abang ni. Mana abang tahu? Zara tak cakap apa-apa pun lagi tau...” Pintas Sharifah Zahara. Tangannya menepuk lengan Sheikh Mustapha.
Sheikh Mustapha ketawa kecil.
“Abang tahu... Zara nak kita tolong kak Maimun kan? Biar kak Maimun tinggal saja di rumah kita ni. Betul tak?” Tebak Sheikh Mustapha.
“Pandai betul abang baca hati Zara. Ini yang buat Zara sayang sangat dengan abang.” Tubuh suaminya dirangkul erat. Direbahkan kepala ke atas dada Sheikh Mustapha.
“Abang kenal Zara ni dah lama. Sudah lima tahun kita berkahwin. Tidur sebantal, baring setilam. Takkanlah... abang tak faham-faham lagi perangai Zara. Abang tahu, isteri abang ni baik hati.” Ujar Sheikh Mustapha. Lalu dicium kepala isterinya itu.
Sharifah Zahara meleraikan rangkulan. Mata Sheikh Mustapha direnung lembut.
“Abang izinkan ya, kak Maimun tinggal dengan kita. Lagipun ummikan memang sudah lama mahukan pembantu rumah orang tempatan. Lagi dua minggu saja ummi nak balik dari Mekah. Mana kita nak cari orang gaji secepat tu? Kita ambil saja kak Maimun jadi pembantu rumah kita. Macam mana?”
“Bagus juga idea Zara ni kan! Abang tengok, kak Maimun tu pun baik orangnya. Calon yang paling sesuai untuk menggantikan tempat kak Bedah tu. Nanti Sufi pun tak adalah sunyi sangat. Jarak umur antara Sufi dan anak kak Maimun tu, bukan jauh. Boleh dibuat kawan bermain.” Kata Sheikh Mustapha seraya mengangguk-anggukkan kepala. Bersetuju dengan cadangan isterinya.
“Nanti besok pagi, Zara bincangkan dengan kak Maimun ya, bang!”
“Kalau dia tak setuju, macam mana?” Cetus Sheikh Mustapha risau.
“Pandailah Zara nak pujuk dia nanti. Abang serahkan saja pada Zara. Tahulah Zara nak approach kak Maimun tu.” Sharifah Zahara tersenyum lebar.
“Kalau ummi tak setuju pula, macam mana? Zara tahu sajalah, ummi tukan cerewet. Berapa ramai yang dah menggantikan tempat kak Bedah tu, tak ada seorang pun yang ummi berkenan. Ada saja yang dia tidak puas hati. Driver kita pun, sampai sekarang tak ada. Semuanya gara-gara ummi tu terlampau memilih sangat.” Omel Sheikh Mustapha berjela.
“Abang nikan, sesekali membebel macam mak nenek jugakan?” Sindir Sharifah Zahara.
“Bukannya membebel macam mak nenek, sayang oiii... Abang cuma risau,” hidung Sharifah Zahara ditarik manja.
“Zara rasa, ummi mesti setuju bila dia tengok kak Maimun tu okey. Kalau ummi tak setuju pun, nanti Zara akan pujuk dia. Sampai ummi setuju.”
“Ya lah..., mentang-mentanglah menantu kesayangan ummi,” juih Sheikh Mustapha.
Sharifah Zahara ketawa halus. Macam-macamlah perangai suaminya ni.
“Thanks abang...” Pipi Sheikh Mustapha dicium sebagai tanda berterima kasih.
“I love you,” bisik Sheikh Mustapha pula.
“I love you too abang.” Balas Sharifah Zahara. Dia kembali berbaring. Tetapi kini bahu Sheikh Mustapha yang menjadi bantalnya.
**********
Di bilik tidur tetamu, Maimun duduk menyandar di kepala katil. Kedua belah kaki dilunjurkan di bawah selimut. Sebelah tangannya pula, mengusap-usap kepala Zairin Elina.
Maimun termenung jauh.
Hati menjadi gundah-gulana. Dia terasa amat berdosa. Berdosa kerana dia sanggup membohongi dua insan yang telah sudi membantunya.
Bukan dia sengaja, tetapi dia terpaksa. Maimun tidak tergamak untuk menjatuhkan maruah arwah suami di hadapan orang lain. Apatah lagi membuka pekung aib keluarga bekas mertuanya.
Berat hatinya ingin menceritakan perkara sebenar, apabila dia ditanya bertalu-talu oleh Sheikh Mustapha dan Sharifah Zahara, selepas makan malam mereka tadi.
Akhirnya Maimun terpaksa mereka cerita, yang suaminya meninggal dunia kerana kemalangan. Dia pula terpaksa keluar dari rumah yang mereka sewa kerana dia tidak mampu lagi membayar wang sewaan. Dan selebihnya Maimun menceritakan kejadian sebenar yang berlaku di perhentian bas siang tadi.
“Hmm... Ya Allah, kau ampunkanlah dosa ku ini.” Maimun mengeluh berat.
“Esok..., kemanalah ingin ku langkahkan kaki ku ini? Arah mana yang harus aku tuju? Ke mana hendak aku pergi? Ya Allah, aku hambamu yang amat lemah lagi hina. Kau berilah aku pertolongan...” Doa Maimun perlahan.
Tubuh dibaringkan bila kelopak mata semakin memberat. Walaupun jiwa tidak keruan, akhirnya dia terlena dengan seribu keresahan untuk menghadapi hari esok.
**********
Kini sudah dua minggu Maimun menjadi pembantu di rumah mewah itu, atas pelawaan Sharifah Zahara dan Sheikh Mustapha. Permintaan Sharifah Zahara tempoh hari, supaya Maimun terus tinggal di situ dan menjadi pembantu rumah mereka, diterima dengan hati yang amat gembira.
Dia bersyukur, sesungguhnya Allah itu maha pendengar, dan telah memakbulkan doanya. Sebaik sahaja dia menerima khabar gembira itu, lantas dia menunaikan sujud syukur. Kini dia dan Zairin Elina tidak perlu hidup merempat.
Bertambah tinggi pandangan Maimun terhadap pasangan suami isteri itu. Walaupun mereka tidak mengenali Maimun, dan tidak mengetahui apa-apa tentang Maimun, mereka tidak keberatan membantu. Tiada sedikit pun wasangka buruk terbit di hati mereka kepada Maimun.
Sebagai tanda berterima kasih dan menghargai bantuan mereka, Maimun meminta supaya Sheikh Mustapha tidak perlu membayar upah dia bekerja di rumah itu. Cukuplah dengan apa yang disediakan. Tempat berlindung, pakaian dan makanan. Tiada apa yang dia ingini lagi.
Maimun juga meminta untuk tinggal di bilik belakang dapur. Katanya, dia tidak betah tinggal di bilik yang besar dan berhawa dingin. Dia berasal dari keluarga miskin. Sudah biasa hidup susah.
Maimun sedar, sebagai seorang pembantu rumah, tempatnya bukan di bilik yang serba mewah. Cukuplah, sekiranya bilik itu selesa untuk dia dan anaknya tinggal. Tempat mereka berehat, tidur dan menukar pakaian.
“Kak Maimun, hari ini kita masak special sikit ya!” Bicara Sharifah Zahara ketika mereka sibuk menyediakan sarapan pagi.
“Kenapa puan? Ada tetamu nak datang ke?” Tanya Maimun pula.
“Kak Maimun ni... Cepat betul lupa. Belum tua lagi, dah kuat pelupa tau...” Seloroh Sharifah Zahara.
Maimun membalas dengan senyuman. Sungguh dia tidak tahu. Mungkin benar Sharifah Zahara ada memberitahunya, tapi dia yang terlupa.
“Hari ni kan ibu mertua saya nak pulang dari haji. Kak Maimun dah lupa ke?” Sharifah Zahara mencuit bahu Maimun.
“Oh ya! Saya terlupa puan,” balas Maimun.
Sebenarnya, bukan dia terlupa. Cuma dia cuba untuk tidak memikirkannya. Bila dia teringat tentang kepulangan puan besar rumah ini, dia menjadi kecut perut.
Bagaimanakah penerimaan Sharifah Sakinah terhadapnya nanti? Setujukah Sharifah Sakinah, bila Sheikh Mustapha menumpangkan Maimun di rumah mereka, dan dijadikan pembantu rumah pula?
Walaupun cerita yang didengar dari mulut Sharifah Zahara, mengatakan ibu mertuanya itu seorang yang baik, itu belum cukup buat Maimun. Resahnya masih bergelora di hati.
‘Minta-minta puan besar seperti anaknya juga.’ Doa Maimun.
“Kita masak nasi briyani hari ni ya kak Maimun!” Suara Sharifah Zahara menenggelamkan lamunan Maimun yang berkecamuk.
“Baik puan. Lauknya puan?” Maimun cuba menutupi keresahan hati dengan menyibukkan diri.
Air dituang ke dalan cawan.   
“Kita masak kari kambing, ayam masak merah, kurma daging dan acar sekali.”
“Tak banyak sangat ke lauknya puan?” Soal Maimun lagi. Kini tangan pantas menyapu butter ke roti pula.
“Tak adalah banyak mana kak Maimun... Lagipun hari ni, abang ipar saya nak balik ke sini juga.” Balas Sharifah Zahara.
Tangan Maimun yang sedang menyapu butter ke roti, tiba-tiba terhenti.
‘Abang ipar...???’ Detik hati Maimun. Dahi sudah berkerut. Bertambah kecutlah perutnya nanti. Dulu Sharifah Sakinah, kini ditambah pula lagi seorang, abang ipar Sharifah Zahara!
Sharifah Zahara memerhati Maimun penuh kehairanan.
“Kenapa kak Maimun? Oooo...” Bulat mulut Sharifah Zahara.
Baru dia teringat, selama ini dia tidak pernah menceritakan apa-apa pada Maimun tentang abang iparnya, Sheikh Mustaza.
“Sebenarnya suami saya ada abang. Namanya Sheikh Mustaza. Mereka ni dua beradik saja. Tapi abang Mus tak tinggal di sini. Sebab itulah kak Maimun tak pernah berjumpa dia. Dia pun jarang balik ke mari.” Cerita Sharifah Zahara.
“Abang saya tu, bukan seperti saya ni kak Maimun,” sampuk Sheikh Mustapha yang tiba-tiba muncul di meja makan.
Baju kot dan briefcase diletakkan di atas meja. Dia kemudian duduk di kerusi.
“Minum bang...” Sharifah Zahara menyuakan secawan kopi kepada Sheikh Mustapha, lalu disambut oleh suaminya.
“Abang nak roti ke, nasi goreng?” Tanya Sharifah Zahara.
“Abang nak makan yang Zara masak.” Senyum Sheikh Mustapha.
“Pagi-pagi lagi dah nak mengada-ngada tau...” Sharifah Zahara mencubit lengan Sheikh Mustapha.
Sheikh Mustapha mengaduh kecil seraya ketawa.
Sharifah Zahara menyenduk sedikit nasi goreng ke dalam piring dan diletakkan di hadapan Sheikh Mustapha.
“Saya ni jenis yang menurut kata ummi. Abang Mus tu pula suka membantah. Ummi dan abang Mus tu, memang tak boleh berjumpa selalu. Ada saja benda yang menjadi bahan untuk mereka bertegang leher. Sebab itulah abang Mus tak boleh tinggal di rumah ni,” sambung Sheikh Mustapha lagi.
Maimun hanya diam mendengar.
“Bila abang Mus datang malam ni, saya perkenalkan pada kak Maimun ya?!” Celah Sharifah Zahara.
“Eh! Tak perlulah puan. Saya ni bukannya siapa-siapa. Orang gaji saja. Tak perlulah nak diperkenalkan.” Bantah Maimun perlahan.
“Kak Maimun segan ke? Apa nak disegankan. Nanti, lama-lama dia kenal juga dengan kak Maimun.” Ujar Sheikh Mustapha pula.
Maimun diam. Tidak tahu alasan apa yang perlu diberi untuk mengelak dari bertemu lelaki yang bernama Sheikh Mustaza itu. Hati Maimun semakin resah.
Dia kemudian menghilangkan diri ke dapur.
“Petang ni abang terus pergi airport ambil ummi tau. Nanti Zara jangan risau pula abang pulang lewat. Mungkin dalam pukul lapan kami sampai rumah,” terang Sheikh Mustapha.
Dia menyudu saki-baki nasi goreng ke dalam mulut. Air kopi dicapai dan diteguk sehingga habis.
Sharifah Zahara menghulurkan kot dan briefcase kepada Sheikh Mustapha apabila suaminya bangun dari kerusi. Pipi Sharifah Zahara dicium.
“Hati-hati memandu bang.” Tangan Sheikh Mustapha dikucup hormat.
**********
Selepas selesai memasak, Sharifah Zahara terus naik ke kamar untuk bersiap. Maimun masih sibuk di dapur menyediakan hidangan. Sheikh Azri Sufian pula sedang bermain bersama Zairin Elina di bilik Maimun. Pintu bilik sengaja dibuka, agar Maimun dapat memerhatikan mereka berdua dari ruang dapur itu.
“Jadi, awaklah pembantu baru rumah ni?”
Tinggg... Tinggg... Ting...
Sudu yang berada di tangan Maimun jatuh berselerakkan ke lantai. Terkejut besar dia dengan kehadiran lelaki itu secara tiba-tiba di belakangnya.
Tanpa salam, tanpa sapaan,dia ditegur begitu. Bagai mahu melayang semangatnya.
Maimun terpaku keras. Sudu yang bertaburan di atas lantai tidak dikutip. Dia seolah-olah bertukar kaku dan beku. Lidah pula menjadi kelu. Kulit muka sudah merona kemerahan.
Lelaki tersebut menghampirinya. Selangkah, dua langkah, tiga langkah dia berjalan ke arah Maimun. Kini lelaki itu sudah berada berhampiran dengannya.
Maimun menelan liur. Tiba-tiba lelaki itu tunduk di hadapannya. Spontan Maimun melangkah sedikit ke belakang.
Lelaki itu mengutip satu persatu sudu yang bertaburan di atas lantai. Kemudian dihulurkan kepada Maimun. Terketar-ketar tangan Maimun ingin menyambut sudu itu.
Bila sudu sudah bertukar tangan, segera Maimun berpaling dan bergerak ke sinki. Dia tidak mahu terus-terusan bertentangan mata dengan lelaki itu. Kecut perutnya ketakutan.
Sudu itu dibasuh, lalu di simpan semula. Maimun kemudian mengeluarkan sudu yang baru dari laci kabinet.
Lelaki itu masih lagi berdiri di situ memerhatikan Maimun. Sedikit pun dia tidak berganjak. Maimun pula yang terpaksa mengelak, apabila dia mahu menghampiri meja untuk meletakkan sudu-sudu itu ke dalam hidangan. Terasa kekok pula melakukan kerja bila diperhatikan begitu.
“Saya Sheikh Mustaza. Nama awak?”
Buat-buat tanya pula. Sudah sah-sahlah Sharifah Zahara pasti dah beritahu nama Maimun pada Sheikh Mustaza siang-siang. Biasalah tukan..., kata-kata nak mengayat.
Tangan Maimun yang terketar-ketar menyediakan hidangan terus terhenti.
“Maimun,” jawabnya perlahan. Dia tidak menoleh melihat lelaki itu.
‘Cantik juga maid baru Zara ni.’ Desis hati Sheikh Mustaza.
Di dalam telefon kelmarin, Sharifah Zahara tiada pula menceritakan apa-apa tentang Maimun. Dia cuma memaklumkan di rumah mereka sudah ada pembantu baru. Sheikh Mustaza membayangkan, pasti pembantu baru tu kelihatan seperti perempuan kampung yang lain. Maklum sajalah, namanya pun sudah ke kampungan ‘Maimun’. Tak sangka pula Maimun secantik ini.  
“Pak long!” Jerit Sheikh Azri Sufian. Dia meluru ke arah Sheikh Mustaza lantas melompat ke dalam pelukan bapa saudaranya. Kedua-dua pipi Sheikh Mustaza dicium bertalu-talu.
“I miss you so much pak long. Kenapa dah lama sangat pak long tak datang tengok Sufi?” Rungut si kecil.
Maimun yang berdiri di sisi mereka, hanya memerhati. Nampak seperti Sheikh Azri Sufian amat rapat dengan pak longnya.
“Pak long busylah sayang... Sorry ya!”
“Never mine. Sufi dah ada new friend sekarang. You want to meet her?” Keletah si kecil Sufi lagi.
“Yes of cause! Mana dia new friend Sufi tu? Pak long nak kenal.” Sheikh Mustaza menurunkan Sheikh Azri Sufian dan membuntuti langkah anak buahnya ke bilik Maimun.
Maimun menjadi serba salah.
‘Takkan nak biarkan lelaki tu masuk dalam bilik aku?’ Hatinya bermonolog.
Segera dia mengikuti jejak Sheikh Mustaza.
“Hai sweet girl! Siapa nama sayang...?” Sheikh Mustaza menghampiri Zairin Elina.
Ketika dia cuba mendukung Zairin Elina, anak itu lantas lari mendapatkan Maimun. Takut kerana dia tidak mengenali Sheikh Mustaza.
Sheikh Mustaza berpaling seraya bertanya.
“Anak awak?”
Maimun mengangguk.
“Berapa umur dia?”
“Setahun lebih.”
“Bapanya mana?” Soal Sheikh Mustaza lagi. Ada riak kecewa pada wajahnya.
“Dia anak yatim.” Suara Maimun bertukar sayu. Wajah pula berubah menjadi sugul.
“Maafkan saya! Saya tak tahu.” Air muka Sheikh Mustaza berubah ceria semula. Seperti ada sesuatu yang tak kena saja dengan Sheikh Mustaza ni?
“She’s name is Zairin Elina, pak long.” Celah Sheikh Azri Sufian di antara mereka.
“What a nice name. Betul tak Sufi.”
Sheikh Azri Sufian mengangguk setuju.
“Susu...” Zairin Elina yang sudah pandai menuturkan beberapa patah perkataan menarik-narik kaki baju kurung Maimun.
“Ibu buatkan ya,” Cepat Maimun mendukung Zairin Elina dan melangkah keluar dari bilik. Dia mahu mengelak dari lelaki itu, supaya Sheikh Mustaza tidak dapat membaca kesedihan pada wajahnya.
Seketika Maimun berpaling.
“Sufi pergi dekat mama, sayang. Mandi. Sekejap lagi kita nak makan.” Arah Maimun pada Sheikh Azri Sufian. Dia kemudian kembali meneruskan langkah untuk ke dapur.
“Okey aunty. Bye pak long... I’ll see you latter,” anak kecil itu berlalu, terus berlari ke arah tangga untuk ke tingkat atas.
Sheikh Mustaza keluar dari bilik Maimun dan berjalan menghampirinya.
“Awak buat susu anak awak. Biar saya tolong angkat hidangan ni ke meja hadapan.” Ujar Sheikh Mustaza.
“Tak mengapa encik. Saya boleh buat nanti.” Maimun menghalang.
“Tak apa..., apa salahnya saya menolong. Bukan berat sangat pun kerja ni.”
“Nanti apa pula kata puan.”
“Siapa? Sharifah Zahara! I know my sister-in-law well...” Jawab Sheikh Mustaza.
Akhirnya Maimun diam saja.
Nampaknya Sheikh Mustaza tidak seperti apa yang dia bayangkan sebelum ini. Kelihatan perwatakkan, sikap dan tutur kata tidak jauh berbeza dari adiknya, Sheikh Mustapha. Tentu dia pun sebaik adiknya, fikir Maimun.
Kecut di perut Maimun hilang separuh. Lega sedikit rasa hati. Sekarang, cuma seorang saja yang belum dia temui. Puan besar!
“Bu..., susu...” Rengekkan Zairin Elina memutuskan lamunan Maimun. Segera dia tersedar.
Sheikh Mustaza tiada lagi di situ. Pasti dia telah mengangkat hidangan ke meja makan di ruang hadapan.
Maimun lantas membancuh susu Zairin Elina, dan membawa anak itu ke bilik untuk disusukan.

No comments:

Post a Comment