Total Pageviews

Wednesday, September 17, 2014

Kau Yang Pertama Dan Terakhir - 1


Bab 1
 
“Hei betina! Berambus kau dari rumah aku ni. Keluar kau! Aku tak nak tengok muka kau lagi. Betina sial!!!” Suara Puan Halimah berdentum bagai guruh di langit. Matanya membulat memandang Maimun. Darah kebencian meluap-luap ke muka.
Kata cerca dan nista itu entah sudah berapa kali dihemburkan kepada Maimun. Setiap patah kata-kata Puan Halimah bagaikan kilat membelah hati Maimun.
“Maafkan Maimun mak… Bukannya salah Maimun. Maimun sendiri tak minta ini semua berlaku.” Rayu Maimun dengan iringan air mata yang lebat mencurah di pipi.
Sedaya upaya air mata itu diseka. Berulang kali tangan Maimun menyapu titisan jernih itu, hingga basah hujung lengan baju kurungnya.
“Diammm…! Aku tak nak dengar sepatah pun kau berkata. Memang kau sial! Pembawa bala dalam rumah aku ni. Kau keluar! Keluar dari rumah aku ni. Keluar sekarang jugak!” Lalu direntap dan ditarik kasar tangan menantunya.
Pantas Maimun melutut di kaki Puan Halimah. Lalu dipeluk erat kaki tua itu.
Saat ini, tiada siapa yang mampu menghalang Puan Halimah. Tiada siapa berdaya meredakan perasaan Puan Halimah.
Kamal yang duduk di kerusi hanya memandang sahaja. Tiada apa yang boleh dia lakukan untuk membela kakak iparnya. Dia sendiri takut untuk berkata sesuatu.
Memang sudah sedia diketahui oleh seluruh isi rumah itu, Puan Halimah adalah seorang yang pembengis dan pemarah. Tahap kesabarannya senipis kulit bawang. Arwah suaminya sendiri pun tidak boleh melakukan apa-apa apabila Puan Halimah sudah mengamuk bagai lembu naik minyak.
Dua tiga orang saudara Puan Halimah yang baru saja tiba, hanya berdiri di muka pintu. Terpaku memerhati drama rialiti ini, seumpama babak cerita filem Melayu dulu-dulu. Mereka datang menziarah sebaik sahaja menerima perkhabaran buruk tentang kematian Talib, suami Maimun.
Talib terbunuh ketika kejadian rompakan di rumah Puan Halimah malam tadi sewaktu dia cuba melindungi isteri dan anaknya.
“Tolonglah mak… Mana Maimun nak pergi? Selain abang Talib, Maimun tiada siapa-siapa di dunia ini, mak. Kalau mak tak kasihankan Maimun, mak kasihanilah cucu mak tu. Arin masih kecil lagi mak… Pada siapa dia nak menumpang kasih?” Rayu Maimun lagi, memohon simpati.
Rayuan Maimun diibaratkan mencurah air ke daun keladi. Ketika ini hati Puan Halimah bagai sudah luput rasa belas kasihan. Rasa sayang jauh sekali, kerana dia tidak pernah mahu menerima Maimun sebagai menantunya semenjak Talib mengahwini Maimun dua tahun yang lepas.
Puan Halimah menarik kasar kaki yang dipeluk erat oleh Maimun.
“Aku peduli apa! Mana kau nak pergi, mana kau nak merempat, itu kau punya hal. Kalau kau aku tak suka, darah daging kau pun aku tak suka. Kau dua beranak boleh berambus. Keluar sekarang jugak!!!” Jerit Puan Halimah sekali lagi.
Suara Puan Halimah semakin meninggi, seperti dirasuk syaitan. Matanya merah menyala memandang ke wajah Maimun tanpa berkelip. Jari telunjuk pula lurus menghala ke pintu.
Maimun masih lagi mahu merayu. Biarlah dia menyembah. Sujud di kaki ibu mertuanya itu pun tidak mengapa. Dia sanggup…, demi anaknya Zairin Elina.
“Tolonglah mak… Maimun rayu… Mun sembah mak… Mun sujud, cium kaki mak… Tolonglah jangan halau kami dari rumah ni, mak…” Maimun mengingsot, menghampiri Puan Halimah. Kaki Puan Halimah cuba dipaut.
“Kau jangan sentuh aku lagi sial!!!” Puan Halimah bergerak kebelakang, mengelak dari digapai oleh Maimun.
“Dulu suami aku yang mati waktu kau kahwin dengan Talib. Sekarang, selepas kau ada anak, Talib pulak yang mati. Memang kau anak-beranak pembawa musibah. Lepas ini aku tak tahu siapa pulak yang akan mati. Lagi lama kau tinggal dalam rumah ni, entah-entah aku yang akan mati. Sebelum semua tu berlaku, baik aku halau kau keluar dari rumah aku ni. Keluar kau dari sini!” Masih belum puas hati Puan Haliman mencerca Maimun.
Kamal memandang dengan hati yang sebak. Tidak sanggup lagi dia mendengar Puan Halimah menghina isteri arwah abangnya itu. Apakah dosa Maimun, sehingga dilayan begitu rupa? Adakah kerana keturunan Maimun yang tidak diketahui asal usul? Ataupun kerana Maimun tidak berharta?
“Mak, sudahlah tu... Kasihankanlah kak Maimun dan Arin ni. Abang Talib baru saja meninggal. Jenazahnya pun masih lagi di hospital. Dalam keadaan macam ni, mana kak Maimun nak pergi?” Suara Kamal terketar-ketar. Rasa takut pada ibunya itu masih kukuh.
“Kau diam Kamal! Jangan kau nak masuk campur pulak. Apa yang kau tahu? Makan tidur, makan tidur saja. Rumah ni dah macam api neraka semenjak betina di datang, ada kau ambil peduli?” Kali ini mata Puan Haliman terarah kepada Kamal pula. Tajam mencerlung.
Kamal menunduk, tidak berani membalas. Mata merenung anak buahnya, Zairin Elina yang sedang lena di pangkuan.
‘Kasihan anak kecil ini. Apalah nasibnya nanti?’ Perlahan dia mengusap ubun-ubun anak itu.
“Mak..., paling tidak pun, izinkanlan Maimun berada di sini sehingga selesai urusan jenazah abang Talib nanti. Bagilah peluang pada Maimun untuk menatap wajah abang Talib buat kali terakhir, mak.” Sorotan mata Maimun masih memandang Puan Halimah. Riak di wajah cukup membayangkan betapa deritanya hati Maimun kala ini.
“Jangan kau harap dapat tengok muka Talib lagi. Mayatnya pun kau tidak boleh sentuh. Pergi kau! Pergi...!!!” Jeritan Puan Halimah bergema lagi.
Iblis sudah pun beraja di hati. Syaitan pula semakin bersultan di mata.
“Mak...,”
Panggg...
Belum sempat Maimun berkata, tapak tangan Puan Halimah singgah di pipi. Berkesan lima alur jari Puan Halimah di pipi Maimun. Peritnya bukan kepalang. Setitik darah pekat terbit di hujung bibir Maimun.
“Diam!!! Jangan kau nak merayu-rayu lagi. Sekarang jugak kau pergi. Jangan ada satu barang pun kau bawa keluar dari rumah ni. Ini, ini, barang-barang ni, semuanya anak aku yang punya. Kau ambil anak kau dan berambus!!!”
Rantai leher, gelang tangan dan cincin yang dipakai oleh Maimun direntap oleh Puan Halimah satu persatu. Kemudian ditolak tubuh Maimun yang masih lagi duduk bersimpuh di hadapannya. Hampir saja muka Maimun menyentuh lantai.
Esak Maimun semakin kuat. Air mata bertambah deras berjujuran.
Begitu sekalikah perempuan itu membenci dirinya? Jijik sangatkah dia di mata Puan Halimah? Hina sangatkah Maimun, sekiranya dia berasal dari keturunan yang tidak tahu asal-usul dan tidak berharta pula?
Tidakkah Puan Halimah tahu, setiap yang terjadi itu adalah urusan Allah? Atas kehendaknya, setiap perkara itu berlaku. Bukan kerana tuah atau malang sesiapa. Begitu cetekkah iman di dadanya? Sehingga sanggup menghukum Maimun dan anak dari darah daging dia sendiri, sebagai penyebab ke atas setiap ujian yang Allah turunkan untuknya.
Bukankah Allah menurunkan setiap dugaan itu, sebagai pengukur aras keimanan kita? Supaya kita tahu, sejauh manakah kepercayaan kita. Seharusnya apabila diduga, kita hendaklah redha menerima. Bukan menyalahkan sesiapa. Tetapi kenapa Maimun dan Zairin Elina yang dituduh menjadi angkara?
Nampaknya, seperti tiada apa lagi yang harus Maimun ungkapkan untuk memujuk Puan Halimah. Jika takdir Tuhan sudah menentukan dia harus berkelana selepas kehilangan suaminya, dia pasrah. Redha dengan apa yang telah tertulis.
Perlahan Maimun bangun. Dihampiri anak kecil yang masih lena di pangkuan Kamal. Dengan sedu-sedan yang masih hebat, dia membawa anak kecil itu ke dukungan.
“Shsss..., tidur sayang . Ibu dukung Arin ya...” Pujuk Maimun. Anak kecil itu merengek bila tidurnya diganggu.
“Kak...! Maafkan Kamal, kak. Kamal tak berdaya nak membantu. Kamal tak mampu pertahankan kakak. Maafkan Kamal, kak.” Kamal memandang Maimun dengan rasa kesal penuh di hati.
“Tak apalah Mal. Bukan salah Mal pun. Mungkin ini dah nasib akak dan Arin. Tolong jaga mak baik-baik. Akak pergi dulu.” Suara Maimun perlahan. Hanya senyuman nipis yang mampu dipaksa.
Beg tangan dicapai, lalu Maimun melangkah menghampiri Puan Halimah. Sepantas itu juga Puan Halimah memalingkan muka dan tubuhnya. Loya benar dia ingin memandang wajah Maimun. Cukuplah dua tahun saja Maimun menyusahkan hidupnya. Dia tidak ingin lagi melihat muka Maimun yang baginya banyak mendatangkan petaka.
“Izinkan Maimun pergi mak. Halalkan segala makan dan minum Maimun, selama Maimun menumpang di sini. Ampunkan Maimun, sekiranya ada dosa Maimun pada mak.” Ingin diraih tangan Puan Halimah untuk dicium buat kali terakhir, tetapi tangannya ditepis kasar.
Wajah Puan Halimah, Maimun renung sayu. Tubir mata masih setia digenangi air. Tidak mahukah Puan Halimah mencium Zairin Elina. Paling tidak pun, memandang raut wajah comel cucunya itu untuk kali terakhir?
Akhirnya Maimun dengan berat hati melangkah ke arah pintu rumah. Jiran tetangga yang semakin ramai datang bertandang, sudah memenuhi muka pintu. Masing-masing berpandangan sesama sendiri. Mereka memberi ruang kepada Maimun apabila Maimun melalui mereka.
Kini kaki Maimun sudah berdiri di halaman rumah. Buat kali terakhir, dia berpaling memandang rumah yang tersergam indah itu. Rumah yang pernah menjadi mahligai bahagia buat dia dan suami. Walaupun sepanjang ingatan, lebih banyak kenangan pahit dari manis. Kenangan pahit dan manis itulah yang akan menemani hidupnya selepas ini.
Dia bertekad, demi cinta pada Talib, dan kerana kasih sayang pada satu-satunya zuriat yang ditinggalkan oleh Talib, dia berjanji, dia tidak akan menoleh lagi.
Biarlah dia meninggalkan rumah itu selama-lamanya, andai itu yang terbaik untuk dia dan Zairin Elina.
Dia tidak akan berpatah semangat untuk meneruskan kehidupan mereka. Mungkin ada hikmah yang terselindung disebalik setiap perkara yang berlaku. Hanya Allah S.W.T sahaja yang maha mengetahui.
Dia harus memandang kehadapan. Gigih berusaha, membina kembali hidup mereka yang entah bagaimana nanti geloranya.
Insyaallah..., dengan iman yang digenggam kuat, dia pasti berjaya menongkah walau sehebat mana sekalipun arusnya.
“Ya! Demi mu anak ku, Zairin Elina. Ibu berjanji, sedaya upaya ibu akan berusaha, agar kamu tidak akan menempuhi apa yang pernah ibu lalui ini.” Diusap perlahan kepala anak kecil yang masih lena di bahu. Pangkal leher anak itu dicium lembut. Tercuit sedikit bahu anaknya. Mungkin merasa kegelian.
Dengan tenang langkah diatur ke destinasi yang dia sendiri belum ketahui.

No comments:

Post a Comment